BAB 11

Romance Completed 13381

Masih terngiang-ngiang gelak tawa Zeera di cuping telinganya setiap kali dia bergurau dengan si isteri. Masih dia ingat waktu Zeera tersenyum bahagia menyampaikan berita gembira bahawa isterinya itu hamil anak sulung mereka. Dia masih ingat dengan jelas kata-kata Zeera yang sentiasa menenangkan, wajah wanita itu yang sering tersenyum malu-malu dengannya dan setiap tingkah si isteri yang asyik menyerikan rumah tangga mereka sehingga bertahan selama dua tahun.

Sepanjang tempoh perkahwinan, dia dan Zeera tidak pernah bertelingkar dan bertikam lidah. Jikalau barannya menjadi-jadi, Zeera merupakan orang yang akan mengalah dan berusaha mendamaikan keadaan tegang antara kami berdua. Zeera tidak pernah bersangka buruk terhadapnya. Mungkin di awal perkahwinan dia masih tidak mampu mencintai Zeera dengan sepenuh hati tetapi mengapa wanita itu pergi saat cintanya mula berputik untuk sang isteri?

Mengapa dia tidak punyai peluang untuk mencintai seorang isteri yang amat mencintainya? Kenapa zuriat kami juga tidak berpeluang hidup di atas muka bumi ini?

Khairi membiarkan air mata yang berlelehan di pipi. Dia ingin menangis sepuas-puasnya. Pandangan orang yang lalu-lalang tidak dia hiraukan. Matanya setia dihalakan ke pintu bilik kecemasan yang menempatkan jasad arwah Zeera.

Dia menggenggam tangannya kuat untuk mengumpul segala sisa-sisa kekuatan yang masih ada dalam dirinya. Pantas dia bangkit dan mengatur langkah ke bilik kecemasan. Ketika pintu bilik kecemasan dikuaknya perlahan, semakin jelas sepasang matanya yang sebam melihat sekujur tubuh kaku yang amat dia kenali. Walau hati mengatakan dia tidak kuat menghadapi semua ini, langkahnya tetap diatur mendekati tubuh kaku itu. Sehinggalah tangan sasanya menyelak kain putih yang menutupi wajah milik jasad kaku itu, dia menangis lagi. Air matanya semakin lebat menuruni lekuk pipi melihat wajah putih pucat Zeera dengan mata yang terkatup rapat.

“ Zeera, abang minta maaf sayang.. Abang cintakan Zeera. Abang terlalu sayangkan Zeera dan anak kita. Abang tak mampu.. abang tak boleh hidup tanpa Zeera. Tolong, Zeera! Jangan tinggalkan abang. Abang takut.. “ Khairi merayu-rayu meskipun dia mengetahui bahawa pemergian Zeera adalah untuk selama-lamanya. Sempat dia mengusap lembut wajah tenang yang tidak berkutik itu. Dia menatap lama wajah yang akan dia ingat sampai bila-bila itu. Dahi dingin Zeera dikucup lama sebelum dia menutup kembali wajah wanita itu dengan kain putih. Tidak dapat menahan kesedihan, Khairi akhirnya rebah juga dan terduduk di sisi katil yang menempatkan jasad Zeera yang kaku. Dia menangis dan meraung. Dadanya ditumbuk kuat seperti tindakan itu mampu menghilangkan kesedihan yang terpalit. Kesedihan kerana kehilangan orang yang dicintai.

Air mata masih berlinangan di pipi Farah sedari tadi. Air mata ini tidak pernah berhenti daripada menitis sejak jasad kaku arwah Zeera yang terbaring di lantai simen tangga kecemasan diangkat bawa oleh beberapa orang jururawat lelaki setelah dia menjerit meminta tolong. Kakinya bagaikan terpaku di hadapan pintu bilik kecemasan dan setia menyaksikan Khairi melepaskan kesedihannya di sisi katil arwah Zeera melalui celahan pintu yang terkuak. Dia berasa bersalah dan sengsara melihatkan kesedihan Khairi yang meratap dengan pemergian si isteri yang tercinta.

Dia menangis mengenangkan peristiwa pahit yang dia lalui bersama-sama arwah Zeera. Terlayar di ruang mata tatkala tubuh Zeera ditolak kasar oleh Ina sehingga wanita yang sarat mengandung itu jatuh terguling-guling di tangga dan terlentang di lantai simen dengan lumuran darah merah. Esakan Zeera yang sedang mengerang kesakitan begitu menghiris perasaannya. Rasa bersalah yang menggunung membuatkan dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku terhadap rakan baiknya. Dia berasa marah dengan diri sendiri kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa Zeera.

Dia masih ingat saat apabila Ina yang meracau-racau diberikan suntikan penenang oleh doktor dan dibawa pergi dengan bantuan beberapa orang jururawat yang bertugas sejurus jasad arwah Zeera turut dibawa pergi. Tinggal dia keseorangan di tempat kejadian yang melakar sejarah hitam dalam hidupnya. Bergema tangisannya di seluruh genap penjuru kawasan tangga kecemasan.

Farah hanya tersedar apabila dia mendapati dirinya sudah terbaring di atas katil hospital. Kepalanya juga sudah berbalut kemas. Dia melihat keadaan sekeliling yang sunyi tanpa kehadiran sesiapa. Hatinya terus terdetik untuk keluar daripada bilik wadnya. Tudungnya yang tersidai elok di kerusi bersebelahan katil hospital dicapai dan disarungkan menutupi seluruh kepalanya.

Dia berjalan perlahan-lahan di koridor hospital tanpa arah tujuan sehinggalah dia terpanggil untuk menjenguk sebuah bilik kecemasan. Esak tangis yang garau menunjukkan seorang lelaki empunya suara menarik perhatiannya. Dan tatkala matanya singgah ke sesusuk tubuh sasa yang dia kenali, terus dia kaku di posisinya. Dia turut menangis melihatkan Khairi yang menangis teresak-esak.

Raungan Farah di luar bilik kecemasan menampar halwa pendengaran Khairi. Dia terus berhenti menangis apabila dia mendengar esakan kuat seorang perempuan. Tanpa berfikir panjang, dia mendapatkan wanita itu. Dan saat wanita itu menolehkan wajah memandang ke arahnya, dia terus naik angin. Dia merasakan dadanya berombak-ombak menahan amarah. Tangannya dikepal seperti ingin menumbuk wajah itu.

“ Kau buat apa dekat sini? “, tanya Khairi dingin. Wajah Farah tidak dia pandang. Hatinya cedera apabila wanita itu muncul kembali. Kehadiran wanita itu memaparkan kembali luka-luka lama. Dan kini luka itu kembali berdarah.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Sekelumit kesabaran ditagih ketika waktu-waktu genting sebegini. Tidak dinafikan panas barannya boleh menjadi-jadi apabila tiada sesiapa berada di sampingnya yang menjadi penenang buatnya. Dia masih ingat ketika arwah Zeera yang sabar dan setia menemaninya dan menasihatinya supaya mengawal barannya yang mungkin membawa keburukan untuk orang sekelilingnya. Arwah Zeera yang merupakan wanita yang mengusap-usap dadanya ketika dia marah.

Tindakan arwah Zeera itulah yang mendorongnya untuk berusaha mengawal barannya yang berada di tahap kritikal.

“ Puas hati kau? Hei, perempuan! Aku tanya kau ni! Puas ke hati kau lepas bunuh bini aku?! “ Lantang Khairi melemparkan tuduhan terhadap Farah. Mungkin dulu ada secebis sayang dan kasihnya untuk Farah tetapi tidak lagi kini. Dia terlalu bencikan wanita itu. Dia merintih kerana nyawa arwah Zeera yang tergadai dan bukan nyawa Farah. Rasa benci yang bercampur dengan kesakitan lama memutikkan bunga-bunga dendam di hati Khairi untuk Farah.

Dia juga mengetahui daripada Emir bahawa arwah Zeera bersama-sama Farah di hujung hayatnya. Apa lagi motif perempuan tak sedar diri tu kalau bukan ada niat nak bunuh arwah Zeera? Kenapa perempuan tak guna tu muncul secara tiba-tiba lepas dua tahun menghilangkan diri? Kalau tidak punyai apa-apa niat jahat?

Farah mendongak memandang wajah Khairi yang dipalingkan daripada berhadapan dengannya. Terkejut sungguh dia dengan tuduhan yang dilemparkan. Dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu tegar menuduhnya membunuh rakan karibnya sendiri. Sakit dan pedihnya apabila terpaksa menelan pahit tuduhan melulu daripada Khairi. Sebegitu rupa Khairi menganggap dirinya kejam. Sebanyak inikah harga luka yang dia palitkan di hati Khairi kerana pernah menolak cinta lelaki itu sewaktu ketika dahulu?

“ Khairi, aku tak sekejam tu untuk bunuh Zeera! Aku masih waras untuk tak buat perkara terkutuk tu! “ Farah mencuba untuk membuka mata Khairi supaya dapat menerima kenyataan sebenar. Dia juga cuba untuk mempertahankan diri daripada dituduh sebegitu. Tidak pernah terdetik pun di hatinya untuk menyakiti Zeera apatah lagi membunuh wanita itu. Dia lebih rela menyakiti dirinya sendiri.

“ Heh, kau dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah! Hipokrit tak habis-habis! Aku menyampah tengok kau berlakon baik depan aku. Dan kau dengar sini, perempuan! Aku bencikan kau sampai bila-bila. Aku akan tuntut hutang atas kematian arwah Zeera! Aku akan balas dendam! “

Bingkai gambar perkahwinannya bersama-sama arwah Zeera ditatap sekilas. Dilekapkan gambar arwah Zeera yang menunduk dan mengucup tangannya selepas selamat diijabkabulkan ke dadanya. Keadaan ruang bilik utama yang menjadi tempat beradunya bersama-sama arwah isteri terasa kosong dan sunyi bagai tidak berpenghuni. Ketiadaan arwah Zeera di bilik itu menyebabkan suasana sekeliling kelam dan suram. Tiada lagi gelak tawa Zeera yang sentiasa menggembirakannya. Tiada lagi gurau-senda antaranya dan Zeera yang meriuhkan keadaan.

Plastik bungkusan rokok yang baru dibelinya dikoyak dengan rakus. Pantas pemetik api dicapai dan dihalakan di hujung rokok. Rokok tersebut dihisapnya perlahan sebelum dia terbatuk-batuk. Terasa pedih di kerongkong dengan asap yang dihisapnya untuk cubaan kali pertama. Walau sesak nafasnya dengan asap yang membawa maut itu, Khairi tetap memaksa dirinya menghisap rokok. Dia melakukannya untuk berkali-kali sehinggalah dia mulai dapat membiasakan diri.

Khairi menghisap rokok perlahan-lahan dan menghembuskan asap melalui rongga hidung dan mulutnya. Dia terhenti untuk seketika supaya dia mampu membendung kesedihan yang bertapak di hati. Dia tewas tatkala air matanya mengalir lagi dengan pemergian arwah Zeera. Masih segar di ingatannya apabila arwah Zeera melarang dengan sekeras-kerasnya dia daripada merokok.

“ Abang, jangan mengada nak hisap rokok tau! Tak elok untuk kesihatan. Nanti abang sakit, Zeera yang susah. “ Khairi yang sedang duduk di kerusi berdekatan dengan sinki dipandang sekilas. Zeera tersenyum meleret apabila melihat wajah suaminya yang muram. Dia kembali mengalihkan perhatiannya pada lauk gulai yang sedang dimasaknya di atas dapur. Sudu teh digunakannya untuk mengambil sedikit kuah gulai di dalam periuk dan dia berlalu ke arah Khairi. Disuanya sudu teh itu kepada Khairi untuk merasa masakannya.

Dia sabar menunggu respons dan reaksi daripada Khairi atas kemajuan masakannya. Namun, hampa apabila dahi Khairi berkerut-kerut merasa kuah gulai hasil air tangannya. Zeera menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik juga kalau rasa gulai itu lain macam kerana dia sudah mengikut resepi yang dinyatakan di internet dengan betul. Takkan boleh lain macam pula rasanya kan? Garam ke tak cukup? Dia menggeleng-gelengkan kepala. Takkanlah garam? Tadi punyalah banyak dia letak garam. Aik, banyak mana pula garam kena letak ni?

“ Abang, teruk sangat ke rasanya? Abang rasa apa yang tak cukup? Garam ke? Tapi kalau garam macam tak kut sebab tadi Zeera dah letak banyak garam. Nanti kalau letak lagi tak ke masin jadinya? Abang rasa-rasa tahu tak kenapa rasa gulai ni lain macam? Serius, Zeera dah ikut betul-betul resepi yang Zeera search dekat Google tadi.. “

Zeera bergegas ke ruang tamu untuk mengambil telefon bimbitnya bagi menunjukkan bukti kepada Khairi bahawa dia telah mengikut resepi yang tertera dengan betul. Khairi yang masih duduk di dapur hanya tergelak dengan gelagat isterinya yang gelabah tak tentu pasal. Bukannya dia sengaja ingin mengenakan Zeera tetapi isterinya itu yang tiba-tiba menjadi seperti cacing kepanasan dan membuat spekulasi sendiri tanpa mendengar dahulu komennya tentang masakan gulai yang dirasanya. Gulai yang dimasak oleh Zeera bukan sahaja tidak punyai rasa lain macam tetapi rasanya memang sedap. Perangai nakalnya yang mendorong dirinya untuk terus mengenakan Zeera.

Dia berasa sungguh bahagia hidup bersama-sama Zeera. Zeera tekad memilih untuk berusaha memikat hatinya walaupun mengetahui dia tidak mencintai wanita itu sepenuhnya. Keputusan untuk berkahwin dahulu pun Zeera yang memutuskannya tanpa kehendak Khairi sendiri. Khairi hanya bersetuju apabila Zeera menyatakan dengan tegas bahawa lelaki itu akan jatuh cinta kepadanya selepas berkahwin nanti. Bercinta hanya setelah mempunyai ikatan yang sah, lagi manis dan bermakna, ujar Zeera dengan bersungguh-sungguh.

Siling bilik yang terbina tinggi di kamar beradunya di tenung dalam-dalam. Dia mengeluh saat rasa pening di kepalanya semakin mencengkam. Mata dipejam rapat-rapat dengan harapan dia mampu terlena meskipun buat seketika.

“ Khairi! “ Namanya dilaung kuat dari arah luar bilik tidur. Suara garau yang amat dikenalinya. Emir.

“ Kau bangun sekarang, Khairi! Aku ada hal dengan kau “, pinta Emir sedikit mendesak lelaki yang terbaring lemah di atas katil untuk bangkit daripada pembaringannya. Meluap-luap dadanya apabila tiada sebarang respons diberikan oleh lelaki itu. Khairi hanya mendengus kasar sambil meletakkan selamba lengan sasanya di atas dahi. Dia memandang tajam ke arah Emir yang turut membalas pandangan mautnya.

Dahlah pakai serbu aja bilik aku! Boleh pula mamat seorang ni main sergah dan mengamuk tak tentu pasal? Perangai tak pernah berubah sejak dulu lagi. Terbiasa dengan angin serbu dialah tu! Asyik nak menyerbu orang aja. Alahai, malasnya nak layan!

“ Kau nak cakap apa dengan aku? Penting sangat ke? Hal apa yang musatahak sangat sampai kau mengamuk bagai dengan aku ni? Cakaplah apa yang kau nak cakap. But when it comes about Farah, I have no time for it. I’m so sorry.. “

“ Kenapa kau tergamak buat Farah macam tu? Khairi, dia tak bunuh Zeera! Sudah terbukti Farah memang tak bersalah. Kau sendiri dah tengok rakaman CCTV. Zeera kena serang dengan cousin dia sendiri. Moreover, Farah who was trying to save Zeera at that time. Can’t you see it? “

“ Untuk pengetahuan kau, Encik Syed Emir Syed Syah, Farah dari dulu lagi memang nak bunuh Zeera! Memang aku bodoh sebab tak nampak niat buruk perempuan murahan tu awal-awal lagi! “ Tubuh Khairi diterkam Emir semasa lelaki itu masih di perbaringannya. Wajah lelaki itu juga ditumbuk. Mereka bergelut seketika dan berlawan antara satu sama lain sehingga masing-masing berhenti kerana kepenatan. Cadar katil telahpun mempunyai kesan darah yang mengalir di celah bibir Khairi. Nasib Emir tidak mengalami sebarang luka, namun kedua-dua belah pipinya lebam dan mula membiru.

Kedengaran desahan nafas dua sahabat yang masih kepenatan setelah berlakunya adegan tumbuk-menumbuk antara kedua-duanya. Masing-masing membisu dan membiarkan bunyi putaran bilah-bilah kipas di siling mengisi kesunyian di ruang luas kamar Khairi.

“ Dalam dunia ni, bukan kau seorang aja yang sakit, terluka. Mungkin ini dugaan untuk kau. Dan aku faham sangat perasaan kehilangan orang yang kita sayang. Tapi, takkan kau nak berterusan macam ni? Sampai bila? Ada baiknya kalau kau doakan kesejahteraan arwah Zeera daripada terus bersedih. Arwah pun mesti tak suka. Kita yang hidup ni kena teruskan kehidupan.

Untuk pengetahuan kau juga, ada orang lain yang lebih terluka daripada kau. Dari dulu sampailah sekarang, dia sentiasa menangis. Aku selalu tengok air matanya menitis setiap kali melibatkan diri kau. Masa sekolah menengah, bila kita dah start kerja, waktu majlis akad nikah kau dan Zeera, hinggalah insiden yang meragut nyawa arwah Zeera.. Air matanya tak pernah berhenti mengalir. Tanya hati kau, Khairi. Sampai bila kau nak biarkan dia terluka? Sampai bila kau nak menidakkan perasaan kau kepada dia? Kalau kau merana, dia lagi menderita.

Semua yang berlaku ni pasti ada hikmahnya. Semua ni bukan salah dia. Tak perlu menipu diri sendiri. Kau kenal hati budi dia. Farah takkan tergamak nak bunuh arwah Zeera.. “

Tubuhnya disandarkan ke dinding sambil duduk bersila di atas lantai berlapikkan karpet buatan dari negara Afghanistan yang dibelinya bersama-sama Farah pada suatu ketika dahulu untuk dijadikan hadiah perkahwinan Khairi dan Zeera. Tanpa pengetahuan Khairi, karpet import itu juga merupakan pilihan Farah. Kebetulan cita rasa Khairi dan Farah adalah sama. Setelah berminggu-minggu otaknya diperah bagi memikirkan hadiah untuk majlis rakannya itu, Farah menghulurkan bantuan dan memberikan cadangan yang agak bernas. Walaupun jarang sekali kebiasaan orang memberikan segulung karpet yang boleh tahan beratnya sebagai hadiah perkahwinan, namun dia tetap berasa gembira kerana secara tidak langsung hadiahnya juga melibatkan Farah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience