13

Romance Series 5211

SEPERTI yang dijanji, aku membelikan Martin sarapan sandwich salad dan secawan kopi panas dari kedai roti di depan bangunan. Bungkusan sarapan itu aku letakkan di atas meja Martin sebelum dia datang. Kemudian aku menulis satu nota ringkas dan melekatkannya pada bungkusan sandwich tersebut.
‘Terima kasih sebab percayakan saya.’
Awal pagi aku mula sibuk dengan tugasan baru, meneliti beberapa komen dan idea dari penonton dalam laman web E-Rose TV. Ada idea asli dan ada juga yang ditiru bulat-bulat dari rancangan negara luar.
Aku menilai idea yang baik walaupun bukan idea asli. Tetapi jika diperbaiki dan diberi nafas baru, mungkin boleh dijadikan satu program yang menarik. Rancangan temu bual yang telah bersiaran langsung ataupun rakaman juga perlu aku teliti semula jadualnya.
Tak ketinggalan juga senarai tetamu undangan yang perlu dihubungi pada bila-bila masa. Walaupun itu kerja bahagian pengurusan, tetapi semua orang di dalam department diarahkan perlu ambil tahu tentang setiap rancangan yang telah disiarkan.
Bunyi mesej dari telefon pintarku berlagu beberapa saat ketika Suhan masuk tercungap-cungap macam orang baru lepas berlari 100 meter.
“Tolong aku... carikan ganti... Susan Darl. Dia tak jadi datang, pukul 9.00 malam nanti ada Live. Kak Mimi yang selalu uruskan ni.” Suhan mengeluh sambil terus mengatur nafas yang masih mengah.
Dalam waktu yang sama, mataku sempat membaca mesej dari Martin.
‘Saya suka nota tu. Tq, Lila.’
Bibirku menguntum senyum sebelum kembali kepada Suhan.
“Susan Darl dari rancangan mana?” Soalku.
“Rancangan ‘Teka Siapa?’”
Aku pun menyemak tugasan rancangan ‘Teka Siapa?’. Okey, jumpa. Rancangan yang sudah bersiaran sejak tahun lalu. Susan Darl yang disebutkan Suhan tadi adalah seorang artis baru yang membatalkan janji temunya kerana ada kecemasan.
Kak Mimi bertanggungjawab sepenuhnya untuk skrip ‘Teka Siapa?’ itu. Tetapi Kak Mimi tidak ada di pejabat sekarang. Dia keluar ke lokasi untuk rancangan Diari Kebun Bunga.
“Bella, tolong semak siapa lagi artis dalam senarai rancangan tu?” Pintaku.
Bella melakukan arahan dengan menyemak semula jadual dari kelendar di meja Kak Mimi.
“Juni, vokalis dari kumpulan Hammer.” Beritahu Bella.
“Suhan... cuba call pengurusnya kalau dia tak sibuk. Bella... carikan lagi senarai artis yang belum dijemput kalau Juni tak dapat datang.” Arahku jelas.
“Okey!”
Itulah sebahagian hari kelam-kabutku. Episod yang tiba-tiba ada masalah memang boleh buat penulis skrip jadi buntu hendak buat kerja seterusnya. Jadi sebagai ketua, aku sentiasa perlukan plan B.
Disebabkan masalah itu, aku terpaksa hubungi Kak Mimi di lokasi untuk sediakan skrip baru. Dan disebabkan itu juga aku tak sempat makan tengah hari. Itupun petang baru dapat makan kuih pau kacang merah, baki sebiji pagi tadi sebelum kembali tenggelam dalam timbunan skrip lama.
Menghampiri waktu maghrib, aku pastikan Kak Mimi sudah selesai menyiapkan skrip baru untuk Juni dan diberikan kepada Martin yang akan bekerja hingga lewat malam jika ada rancangan Live. Sempat juga aku menunaikan solat sebelum kembali sibuk.
Sebaik jarum mencecah pukul 8.45 malam, Bella memaklumkan yang artis jemputan iaitu Juni dan ahli kumpulannya sudah datang ke studio. Setelah semuanya sudah selesai, barulah aku bersiap hendak pulang.
“Mana Lila?”
Tiba-tiba seorang pemuda muncul di muka pintu pejabat. Lehernya memanjang melihat-lihat ke dalam bilik. Spontan telunjuk Bella terarah kepadaku. Kami sama-sama berdiri tegak kehairanan.
“Martin panggil Cik Lila. Urgent di studio 2 sekarang!” Beritahu pemuda itu.
“Kenapa?”
“Cepatlah, nanti dia marah tu.”
“Bella, awak balik dululah.” Langsung aku menyusul pemuda itu keluar. Aku tidak begitu pantas menyaingi langkah pemuda itu yang nampak seperti terdesak.
‘Kenapa Martin cari aku?’
Pantas saja kakiku melalui koridor utama tingkat satu. Malah hampir berlari mengikut pemuda berambut keriting yang lehernya tergantung earphone. Tentu krew pentas.
Selepas membelok ke kanan dari ruangan tengah, kelihatan tulisan Studio 2 pada pintu berwarna hitam. Pemuda itu pantas menolak pintu dan memberiku ruang masuk dahulu.
“Martin dekat sana.”
Dia menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang bercekak pinggang menghadap pentas. Di atas pentas, hos dan tetamu jemputan kumpulan Hammer sedang berehat menunggu iklan tamat.
Aku segera menemui Martin yang laju berpaling ke belakang seakan mengetahui kedatanganku.
“Lila.”
“Ada apa?”
Martin menghulurkan skrip ke dakapanku yang terpinga-pinga kehairanan.
“Tolong betulkan skrip ni. Awak ada masa 5 minit, rating show ni dah turun mendadak. Skripnya membosankan!”
Skrip itu ditulis oleh Kak Mimi petang tadi. Laju mataku meneliti skrip temu bual bersama artis setiap malam Sabtu itu. Patutlah Martin marah kerana tiada apa yang menarik dalam skrip itu.
Soalan tentang kampung, cita-cita sebelum menjadi artis, umur dan soalan-soalan klise yang lainnya. Benda-benda macam itu, dalam majalah pun sudah banyak artikel tentang latar belakang mereka.
“Saya percaya awak kreatif.”
Kini Martin sudah berdiri di sebelahku. Memerhatikan aku yang sedang menulis beberapa soalan untuk semua ahli kumpulan.
“Apa kata kita suruh Juni makan lemon dan kemudian minta dia menyanyi lagu dengan nada yang tinggi?” Cadangku.
Martin merenung mataku dengan riak pelik. Terkejut barangkali mendengar cadanganku. Dia berfikir beberapa saat sebelum mengangguk setuju. Tangannya melambai memanggil pemuda yang sama membawaku tadi.
“Malik! Pergi Studio 3, ambil lemon yang untuk promosi blender.”
“Berapa?”
“Sebiji.”
“Ada... err...” Aku mencari sesuatu di sekitar pentas.
“Cuba bagi kertas dan pen untuk setiap seorang ahli Hammer. Minta hos suruh lukis rupa ex-girlfriend mereka selepas iklan.” Aku tuliskan arahan itu pada cue card yang biasa digunakan pengacara.
“Good idea, Lila. saya belanja awak makan nanti.” Puji Martin sebelum dia mengambil skrip dari tanganku.
“Tunggu dekat sini.”
Dia memberi arahan begitu pula kepada aku. Aduh, jawabnya lambatlah aku balik hari ini. Harap-harap emak tak bising.
Aku mengurut bahu yang terasa sengal sambil melihat Martin yang bercakap-cakap dengan pengacara sementara menunggu iklan habis. Rancangan Live begitu memang penting. Dari situ syarikat mengaut lebih banyak pendapatan.
Tadi sempat juga aku membaca tentang rancangan ‘Teka Siapa?’ yang sudah mengalami rating menurun sejak beberapa bulan lalu. Mungkin Martin diberikan harapan untuk menghidupkan kembali rancangan itu.
Jam di tanganku sudah pukul 10.00 malam. Sungguh aku sudah tak sabar hendak pulang dan tidur. Tetapi sebagai pekerja baru, aku menurut arahan ketua yang menyuruhku jangan balik dahulu. Maka meloponglah aku di atas bangku menunggu rancangan itu habis.
Mata sudah mulai layu dan hampir tertutup, namun ia terbuka segar bila mendengar suara riuh ketawa dari atas pentas dan krew produksi. Aku ikut tersenyum bila TV besar di tepi pentas menayang entah lukisan teman wanita siapa yang dikatakan hos macam makhluk asing. Martin turut ketawa di tengah-tengah krew produksi.
Ketika mataku terpejam lagi, suara tepukan mengejutkan aku. Rancangan sudah pun tamat. Kelihatan Martin bersalaman dengan tetamu jemputan dan set mula disusun. Aku berdiri menunggu Martin.
“Kita balik...” Ajak Martin.
Aku mengangguk, setia mengikut arahan dengan patuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience