3

Romance Series 5211

KETIKA hampir sejam kami menunggu Nazim dan Bella keluar, kami tersentak lagi bila Haznil mengumumkan secara mendadak yang Nazim dan Bella sudah berjaya keluar. Kami semua berdiri, bertepuk tangan dan mengalu-alukan kejayaan mereka yang dapat mencari jalan keluar.
Bella berlari-lari anak menuju ke arah kami bertiga dengan wajah yang pucat dan maskara yang luntur sedikit. Mungkin dia menangis.
“Seram ke?” Laju saja Gita bertanya kepada Bella.
“Seram sangat, dah macam Conjuring!” Bella membuat gaya menggigil.
“Gila punya game.” Keluh Nazim pula.
Aku dan Farhana mula merengek resah mendengar cerita Bella yang ketakutan sepanjang masa. Tetapi disebabkan pertandingan itu menawarkan imbuhan RM30 ribu, mereka harus menutup mulut untuk terus bercerita. Kemudian Nazim dan Bella dipanggil untuk buat temu ramah.
Aku melihat jam di skrin telefon bimbit. Hampir sejam juga Bella dan Nazim di dalam bilik itu tadi. Aku menganggarkan mungkin pertandingan itu akan selesai malam nanti, atau mungkin lebih lewat kalau mengambil kira masa kumpulan pertama dapat menyelesaikan misi mereka tadi. Selepas itu Gita dan Farhana pula masuk ke dalam studio.
“Good luck, Gita... Farhana.” Ucapku sambil menepuk bahu Farhana dengan riak kerisauan terpamer di wajahnya.
Ketika kumpulan Farhana sudah lebih setengah jam berada di dalam, aku duduk sendirian di bangku yang disediakan. Aku tak suka menggambarkan perasaan resahku sepanjang mendengar lolongan tangisan dan teriakan mereka berdua di dalam bilik itu.
Ia menakutkan aku juga sambil cuba berfikir permainan apa agaknya yang begitu menyeramkan? Mungkin zombie. Filem zombie di mana-manapun selalu buat kita tak senang duduk.
Sementara itu aku cuba menghafal fakta-fakta sejarah dunia. Siapa tahu jika ia diperlukan nanti. Sesekali aku hilang fokus apabila telingaku terdengar suara pekikan dan lolongan ketakutan Farhana dan Gita beberapa minit seterusnya.
Aku cuba kekal tenang bagi mengelakkan perutku dari memulas jika terlampau bimbang. Malahan aku sengaja mengasingkan diri dari peserta-peserta lain yang sedang berkumpul bercerita dan bergelak ketawa.
Suara manja Zara yang tak henti-henti menyebut nama Martin, tidakku pedulikan. Aku fokus merenung buku nota kecilku. Contengan di sana sini dengan tulisan cakar ayam sebagai identitiku. Masa sekolah dulu cikgu selalu menegur tulisanku sangat buruk.
“Awak okey?”
Satu suara mengganggu ketenanganku. Lantas aku mengangkat muka dan berpaling ke kanan. Martin sudah pun duduk di sebelahku.
Perlahan aku mengangguk tanpa suara kerana tekakku terasa kering. Martin seolah-olah tahu keadaanku, lalu dia menghulurkan sebotol air mineral yang baru dibuka. Aku segera mengambilnya dari tangan Martin dan meneguk air dari botol itu bagi melegakan tekakku.
Antara empat kumpulan ini, rasanya hanya kami berdua sahaja kumpulan yang langsung tiada komunikasi. Berbanding Nazim dan Bella yang kelihatan mesra. Malahan Zara dan Abraham pun berbual ramah di bangku hadapan.
“Sedia?” Tanya Martin dengan suara serak yang begitu memukau.
Sekali lagi aku menjawab dengan anggukan kecil.
Akhirnya Gita dan Farhana berjaya keluar. Belum ada pengumuman berapa rekod masa yang mereka berdua catatkan. Kini giliran aku dan Martin pula yang diarahkan untuk bersedia.

CAHAYA samar menyambut kedatanganku dan Martin sebaik sebaik saja pintu dibuka. Kedengaran dentuman guruh bergema sayup-sayup dari suasana mendung melalui pemandangan luar tingkap.
Aku tahu itu sekadar tingkap props dan rakaman bunyi guruh sahaja, namun ia cukup kuat untuk membuatkan aku tersentak sedikit. Aku amat berharap tidak ada benda yang melompat keluar ketika aku sedang memerhatikan bilik kecil itu.
Sebaik saja pintu ditutup, muzik mendayu menyapa telinga. Alunan muziknya berentak sayu. Punat ‘ON’ pemain CD yang terletak di tepi pintu menyala lampu merah dengan sendirinya. Aku berpaling kepada Martin, namun dia sekadar mengangkat bahu.
Bermakna bukan dia yang memainkan CD itu. Mungkin pemain CD itu telah diprogramkan secara automatik untuk dimainkan mengikut masa yang telah ditetapkan.
“Tengok depan sana... Room 2.” Kataku kepada Martin sambil berlari ke arah pintu berwarna hitam itu dan terus mencapai tombolnya. Berkali-kali aku memusingkan tombol itu tetapi ia tetap berkunci.
“Ish!...” Aku menepuk dahiku sendiri kerana terlupa tujuan asal kenapa kami berdua berada di dalam bilik itu.
“Kita kena cari kunci.” Martin menjawab kedunguanku.
Sambil menggaru kepala aku ketawa kecil. Martin tersenyum selamba lalu menghampiri sebuah skrin TV sebesar 40 inci yang melekat di dinding tengah. Dia menekan butang ‘ON’ di TV tersebut.
Dalam sesaat, warna kebiruan memenuhi keseluruhan skrin sebelum memaparkan dua gambaran jigsaw puzzle. Salah satunya lengkap dan yang satu lagi pula tunggang-langgang. Dengan hanya sekali pandang, aku tahu permainannya bagaimana.
Kami kena betulkan cebisan gambar yang berterabur itu dengan petunjuk gambar sebenar. Ia gambar sebuah kabin dalam hutan yang tenang. Nampak macam susah. Daun-daun dari pepohon kelihatan agak sama antara petak-petaknya tetapi tak ubah macam dalam permainan telefon pintar. Jadi mungkin aku boleh selesaikan.
Dengan rasa teruja, aku berdiri di tengah-tengah skrin TV. Aku menolak Martin yang masih terpinga-pinga itu dengan bahuku, isyarat meminta dia ke tepi sedikit. Lincah tanganku menyusun cebisan-cebisan gambar itu.
Ada yang ditolak ke bawah, ada yang ditolak ke tengah, ada yang dari tengah kemudian ke atas. Memang sudah kuduga cebisan gambar daun-daun itu agak mengelirukan. Aku terus fokus.
Dalam masa 3 minit 32 saat, selesai! Perkataan ‘SELESAI’ berkelip-kelip di skrin TV. Bukan rekod terbaikku tetapi aku tetap bangga dengan hasilnya.
“Wow! Macam mana awak buat?” Martin terpaku di tempatnya berdiri.
“Playstore kan banyak puzzle game.” Aku sedikit berlagak. Inilah masanya buat muka sombong.
Kemudian empat digit nombor terpapar pada skrin yang kembali kebiruan sebagai klu untuk kami gunakan.
“8 0 1 7.” Sebutku sambil menghafal.
Martin juga turut sama menghafal nombor-nombor tersebut. Agaknya nombor itu satu kod kata kunci. Tidak syak lagi.
Sebelum dapat melepaskan diri, kami perlu menyelesaikan satu persatu syarat yang dimahukan. Kepalaku berpaling ke kiri dan kanan, berdiri secara tidak tetap dalam satu tempat demi mencari sesuatu untuk mengaktifkan kod nombor tadi. Dua, tiga rak buku aku selongkar kalau-kalau ada benda yang tersembunyi.
“Cari peti... mungkin peti kecil.” Arahku kepada Martin, yang dengan mudah menolak rak buku tersebut dan mencari di belakang rak itu.
Kemudian Martin mengangkat tangannya dan digoyang sebagai isyarat tidak menemui apa-apa. Masa terus berjalan. Membuang masa di bilik pertama akan merugikan kami berdua. Malas memerah otak, aku menarik keluar satu persatu buku-buku dari dalam rak-rak yang ada. Kesemuanya berkulit tebal dan berat.
Martin juga ikut serta, namun pergerakannya agak lambat. Geram juga aku kerana kami sepatutnya tidak boleh membazir masa dengan gerakan yang lambat seperti itu.
Fikiranku mula leka seminit dua sebelum tersentak ketika Martin menghulurkan sebuah buku kepadaku. Mata kami bertembung buat seketika. Sambil menyambut hulurannya, aku menayangkan riak wajah tidak faham dengan tindakan dia. Nak bertanya, terasa seperti segan pula hendak berbicara dengan lelaki itu.
Sedar yang aku masih tidak faham dengan apa yang cuba dia sampaikan, Martin memusingkan buku yang masih di tanganku secara melintang. Jari telunjuknya menguis sedikit garisan yang kelihatan seperti helaian kertas sebuah buku.
Aku pelik, selain dari rasa ringan, buku itu tidak mempunyai sebarang garisan pun. Ia hanya ada kulit keras yang tebal. Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi garisan berbentuk segi empat yang ketara. Di situlah jari telunjuk Martin menguis lagi sedikit lalu mendedahkan empat petak kecil seperti jam digital dengan skrin sentuh.
“Masukkan kod tadi pada setiap petak tu.” Arah Martin.
‘Okey... Lila, tak patut sungguh kau salah anggap pasal Martin yang agak perlahan tadi. Sebenarnya dia lebih teliti dari kau yang sedikit kelam-kabut. Tengok, dia yang menemui peti kod.’
Aku minta maaf dalam hati dan mengukir senyuman manis kepadanya. Dan dia membalas senyumanku. Terkedu aku buat seketika. Dia benar-benar nampak kacak, berbanding Tony pujaanku. Dadaku tiba-tiba berdebar, namun bukan bersangkut-paut dengan kod pembuka.
‘Aduh... fokus, Lila. Fokus...’
Laju jariku menekan nombor kod yang mengisi setiap petak. Dengan satu bunyi ‘klik’, buku itu terbuka. Sebenarnya lebih kepada sebuah peti yang menyerupai sebuah buku. Di dalam peti itu terdapat sebatang kunci perak dan sekeping nota.
Tawaran wang besar RM30 ribu dan bonus automatik bekerja di stesen media E-Rose TV, kini hampir dalam genggamanku.
“Yes!” Aku mengangkat tapak tangan dan disambut oleh Martin.
“High-5...” Raih kami berdua.
“Terima kasih, Martin.”
“Kitakan partner.” Jawabnya.
Intro muzik ‘In The End’ bergema di dalam bilik itu, bagai dimainkan oleh seseorang. Lagu kumpulan Linkin Park yang terkenal itu begitu mengujakan perasaan. Aku turut menyanyi lirik yang aku tahu.
“Kau minat Linkin Park?” Martin tersenyum segaris.
“Minat? Taklah, saya hardcore fan!”
“Macam tak percaya. Tengok dari muka awak, jenis kaki drama Korea.”
“Itu pun saya minat juga.”
Martin kelihatan ketawa walaupun dia menyelindungkan wajahnya. Aku turut ikut tersenyum sebelum aku membaca nota yang kami dapat tadi.
“Adakah anda pasangan sejati? Awas, ada yang memerhati!” Aku membaca dengan kuat nota itu.
“Maksudnya?” Martin terus berpaling kepadaku.
Aku mengangkat bahu, turut sama memikirkan maksud tulisan pada nota itu. Dengan kunci tadi, aku membuka pintu ‘ROOM 2’. Aku berhati-hati dan mengintai seketika ke dalamnya. Bunyi pintu berkeriut panjang membuatkan perasaan takutku semakin menjalar.
Cahaya samar-samarnya lebih gelap dalam bilik kedua itu dan agak aneh sedikit dari bilik pertama. Biasan lampunya kemerahan dan berselang-seli dengan cahaya kekuningan. Aku rasa dalam bilik inilah suara Bella, Gita dan Farhana memekik ketakutan.
?

apa yang menanti Lila dan Martin dalam escape room yang penuh suspen dan menyeramkan

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience