Bab 18

Romance Series 5211

Aku dan yang lain-lain ikut sama berpaling ke kiri dan melihat lelaki itu bersandar di tepi almari buku. Entah sejak bila dia berdiri di situ. Wajahnya serius memandang kami semua. Tetapi pandangan seriusnya lebih tajam ke arahku. Aku langsung tak perasan dia berdiri dekat pintu masuk itu tadi.
“Dah selesai meeting?” Tanya Martin serius.
“Sudah.” Suhan yang membalas pertanyaannya.
“Boleh saya pinjam ketua awak ni sekejap?”
Mina dan Suhan serentak berpaling ke arahku.
“Boleh... boleh saja.” Sahut Kak Mimi pula.
“Silakan, tuan direktor.” Suhan tersengih dengan ekor mata yang curiga.
“Lila, masuk bilik saya.” Arah Martin dan terus berjalan keluar dengan gaya sempurna seorang lelaki Eropah.
Sambil menggaru kepala yang tidak gatal, aku berdiri. Rasa meluat dan menyampah berganda-ganda bila aku teringatkan apa yang berlaku di kafe tadi.
‘Oh, Tuhan... kau cemburu, Lila? Kenapa aku nak cemburu?’ Desis hatiku.
Aku tidak ingin melibatkan perasaan itu dalam kamus hatiku. Martin seorang ketua dan aku patut meletakkan rasa setiaku terhadapnya sebagai orang yang bekerja di bawah arahan Martin. Jelas!
Aku melangkah laju ke bilik Martin yang telah terbuka lebar. Kebetulan Abraham baru sahaja keluar dari situ. Lelaki itu sempat melontarkan senyumannya kepadaku. Aku mengangguk sedikit dan membalas senyumannya.
“Lila nampak cantik hari ini.” Tegur Abraham tiba-tiba sambil mengangkat kening.
‘Aku apa... cantik ke?’
Lantas aku tunduk memandang baju lengan panjang yang ringkas berwarna merah jambu. Dia puji ke perli?
Tanpa sempat melihat Abraham menutup pintu, aku berpaling ke depan melihat Martin berdiri dengan tangan kirinya menyeluk poket sambil bersandar di tepi meja kerja. Dia memandangku dengan pandangan macam ketua menegur pekerja yang tidak menyiapkan kerja.
“Awak dah mandi ke?” Soal Martin tiba-tiba.
“Mmm?...” Sekali lagi dengan perlahan kepalaku menunduk dan mencium baju sendiri.
Wangi. Tak ada bau yang kurang menyenangkan pun. Aku mengangkat muka semula dan melihat riak Martin yang tidak berani kuramal. Dia marahkah?
“Saya tak jawab soalan peribadi begitu.” Jawabku.
“Oh, jadi awak suka pujian Abrahamlah?”
Ada yang pelik dengan nada ‘Abrahamlah?’ itu.
“Err... ada yang tak kena ke?”
“Agaknya apa yang tak kena?”
Posisi Martin masih sama dan dia langsung tidak menyuruh aku duduk.
“Ada masalah pasal talk show... ke?”
Pelik rasanya bila kami berdua saling tertanya-tanya. Kenapalah dia tak berterus-terang saja? Aku bukannya sudah bekerja setahun dua, tetapi baru seminggu dua di situ. Manalah aku faham apa yang cuba dia sampaikan.
“Tak ada masalah. Awak dah breakfast Lila?”
“Dah.”
“Kalau begitu, mana breakfast saya?”
Gulp!
Dia sudah bosan agaknya jadi lelaki yang cukup sempurna dengan apa yang dia ada. Berapa lagi kalori yang dia perlukan pagi ini selepas sarapan dengan Zara, 2 jam yang lalu?
“Bukankah awak dah sarapan tadi?” Melulu saja ayat itu keluar dari bibirku. Dan sebaik saja aku sedar, sudah terlambat untuk menariknya semula.
“Hmm...” Martin tiba-tiba berubah posisi.
Dia mula berdiri tegak menghampiriku sehingga aku dapat menghidu wangiannya yang nyaman seperti bau pudina. Kami saling berhadapan dengan lebih dekat. Dalam posisi begini, jelas perbezaan ketinggian kami sangat ketara. Aku hanya separas bahunya sahaja.
“Macam mana awak tahu?” Dia mula curiga.
‘Kau ni dah kenapa, Lila?’
Aku macam nak tampar mulut aku sendiri waktu itu.
“Sss... saya dan Mina ke... ke... kafe tu juga.” Aku mula gagap lalu menggaru dahi yang tidak gatal. Dalam beberapa saat, aku cuba mengawal rasa debaran yang menyesakkan dada.
“Kami nampak awak breakfast dengan Zara, jadi saya rasa awak tak perlukan breakfast pagi ni dari saya.” Aku berterus-terang sahaja. Nanti Martin fikir lain pula.
“Bukankah awak masih ada hutang dengan saya?” Martin tersenyum sinis.
“Ya, betul. Saya minta maaf. Nanti saya belikan lunch untuk awak.” Mudahkan sahaja semua urusannya supaya aku selamat dari perasaan aneh yang semakin menyelubungi ragaku.
“Tak payah, pukul 5.00 nanti awak temankan saya cari bahan mentah di pasar raya. Sebab awak lupa, awak kena masak. Saya dah jemput mereka semua ke rumah saya untuk makan malam. Kita boleh tengok Mystery Game tu sama-sama malam ni dekat rumah saya.”
“Err... saya... masak?”
Kenapa pula aku kena masak? Adakah itu salah satu hukuman sebab melesapkan duit RM15 ribunya?
“Ya, pukul 5.00 petang. Tapi kalau saya dapat perlepasan awal, tunggu saya pukul 4.00 petang. Jangan lupa, Lila.”
Martin terus berpusing tanpa mempedulikan aku yang terkulat-kulat resah. Malas hendak membantah, aku terus memusing tubuh hendak keluar tanpa langsung menyahut atau mengatakan ayat persetujuan.
Cepat-cepat aku mencapai pemegang pintu dan menggenggamnya dengan kuat. Oleh kerana menahan rasa marah yang mahu meletup, aku tidak sedar yang pintu itu berkunci. Berkali-kali aku menolak dan menariknya, tetap juga enggan terbuka.
‘Martin sengaja kunci ke? Atau kerja Abraham? Sengaja nak kenakan aku agaknya.’
Tiba-tiba muncul tangan Martin menindih tanganku. Laju saja aku menarik tanganku daripada pemegang pintu tersebut. Dengan perlahan, Martin menyorong pintu itu ke kiri.
‘Sliding door ke?’
“Awak nak robohkan pintu ni ke?”
Martin bersuara dari sebalik bahuku. Suaranya yang garau dan dalam itu membuatkan aku meremang bulu roma dan rasa tak tentu arah.
“Kalau awak nak belanja saya breakfast esok pun boleh. Pukul 8.30, di kafe.” Kata Martin dengan nada yang penuh pesona.
“Tak perlu...” Cepat sahaja aku menggeleng.
“Okey, tapi jangan lupa petang ni. Siapkan kerja awak cepat.”
Aku mengangguk laju dan cepat-cepat keluar sambil mengutuk diri sendiri. Kenapalah aku bodoh sangat? Kenapa pula pintu biliknya jenis gelangsar, tak macam pintu bilik yang lain?
Memalukan betul, tentu Martin ingat aku cemburu sangat selepas tengok dia keluar makan dengan Zara.
“Haish!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience