KELUAR! Kau memang anak tak guna! Dari kecil sampai besar, memang tak pernah buat aku senang!” Sambil menyanggul rambut, emak terus membebel.
Dengan rasa amarah yang menggunung, aku cepat-cepat membuka pintu rumah dan keluar dari situ. Kalau amarah itu terus dibiarkan terkumpul, mungkin akan meletup. Dan aku pasti aku akan menjadi anak derhaka selepas itu.
‘Apa dah jadi dengan hidup aku sekarang ini?’
Soalan itu kerap kali bermain di dalam benakku. Berkali-kali, sehingga akhirnya aku lali untuk memikirkannya lagi. Ketika teman seusiaku menjalani kehidupan lebih baik dan normal, aku sedang menjalani takdir yang sebaliknya.
Entahlah, mungkin bunyinya macam aku tak bersyukur. Jadi lebih baik aku tidak berfikir tentangnya kalau ia semakin melukakan hati.
“Buat kerja, tak betul. Belajar dekat bangunan tinggi pun, otak kau masih tahap dalam longkang. Kerja pula kejap-kejap berhenti. Yang kau pergi masuk pertandingan tu, buat apa? Baik kau pergi cari kerja, tolong aku dekat rumah ni!” Masih bergema suara emak menyumpah seranah.
Selesai menyarung kasut, aku terus melangkah tanpa menoleh ke arah emak yang aku nampak sudah serupa nenek sihir hendak menyumpah aku dengan tongkat saktinya. Macam mana emak boleh mengatakan dan mengucap kata-kata makian bahawa aku tak pernah tolong dia? Jadi sebelum ini, siapa yang bayar bil letrik dan air dekat rumah itu? Hantu ke?
Sedangkan abang aku lagi payah nak bagi dia duit tiap-tiap bulan walaupun satu sen. Tapi dia tak pernah bising pun. Dalam kepala aku mulalah terfikir yang aku ini anak pungut agaknya. Sebab itu mak benci sangat tengok muka aku.
Sambil mengelap air mata, aku meredah jalan menyusuri lorong berbatu-bata menuju ke perhentian bas. Hari ini amat penting buat aku.
STUDIO terkenal milik E-Rose TV kelihatan bagaikan satu medan pada tengah hari yang terik di luar sana. Banyak krew penggambaran sedang berkumpul untuk program sebuah pertandingan. Pertandingan yang menawarkan pekerjaan di bawah kendalian stesen penyiar yang bolehlah kusebut sebagai pilihan kedua jika aku diberikan pilihan lebih baik.
Aku tak sempat menyediakan diriku dengan bekalan nota penting kerana sejak dari terpilih mengikuti pertandingan, peserta tidak diberi apa-apa petunjuk. Lapan peserta akan dibahagikan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada dua orang.
Bagaimanapun, empat kumpulan yang akan dibahagikan itu nanti adalah hasil dari cabutan nama. Itulah maklumat yang aku dapat sebaik saja aku duduk di sebelah Gita, salah seorang peserta berbangsa india yang cantik dan peramah.
“Itulah dia, pemenang Puzzle Competition tu.”
Seorang gadis bertudung menunjuk ibu jarinya kepadaku. Lantas aku mengukir senyuman lebar buat gadis manis itu. Kemudian dia melambai mesra, dan aku membalas lambaiannya. Dia duduk di sebelah kanan bersebelahan dengan Gita.
“Gembiranya saya dapat jumpa awak.” Sapa gadis itu.
“Saya pun. Kamu berdua pemenang dari program ‘Siapa Paling Pintar’, kan?” Aku yakin betul dengan andaianku dan mereka berdua mengangguk-angguk sambil ketawa.
Kami mula memperkenalkan diri masing-masing dan bertukar jabat tangan. Bagus juga dapat kawan baru. Kebetulan aku pula memang jenis tak banyak kawan. Bekas kawan sekolah dulu pun semuanya sudah berkahwin dan jarang sekali dapat berjumpa dengan mereka.
Adalah juga aku terbaca kisah anak-anak mereka yang baru lahir dalam laman Fac. Disebabkan aku pun suka bertukar-tukar kerja, jadi aku tak berkesempatan langsung dapat teman baik.
Kadang-kadang mereka menggelar aku seorang introvert. Tapi aku tak kisah apa pun gelaran yang mereka beri pada aku. Selagi aku suka menonton drama Korea dan rancangan hiburan, jelas aku seorang yang normal dalam dunia realiti.
“Semua peserta sila makan dulu. Makanan ada dekat meja sebelah sana, ya.” Seorang lelaki berambut kerinting dan bertubuh kecil berkata dengan kuat melalui corong pembesar suara.
“Jom kita makan.” Ajak Gita.
Aku pun turut bangun menyertai semua peserta, termasuklah para krew. Kami berbaris mengikut giliran masing-masing. Selepas semua orang dijamu dengan hidangan yang ringkas, para peserta kembali duduk di kerusi masing-masing.
Di hadapan kami semua, telah disediakan satu studio di mana kami semua akan masuk ke dalamnya dan bertanding antara kumpulan nanti. Aku mula berdebar sebaik sahaja rancangan dimulakan.
Pengacaranya, selebriti yang biasa kulihat di kaca televisyen dan biasa mengendalikan program-program hiburan yang popular. Haznil, seorang yang memang pandai bergurau, profesional dan berkarakter. Dia mula memusing-musingkan bola pingpong dengan tangannya di dalam balang kaca lutsinar yang boleh dilihat oleh semua orang. Setiap sebiji bola itu tertulis nama semua peserta.
Ketika itu seorang gadis berambut kemerahan yang duduk di hadapanku, merengek manja sambil menempelkan kepalanya ke bahu seorang lelaki kacak di sebelahnya. Sungguh menjengkelkan.
Lalu aku membuang pandangan ke kiri dan bertembung dengan seorang gadis bermata sepet. Wajahnya cengkung seperti aku juga. Dia ketawa dan turut meluat dengan apa yang baru kami lihat tadi. Gadis itu membuat gaya seperti nak termuntah. Aku hanya ketawa tanpa suara.
“I harap nama kita berdua terpilih dalam satu kumpulan...” Pintanya manja.
Lelaki kacak itu tersenyum tanpa menyahut. Aku menyebutnya sebagai kacak kerana aku yakin lelaki itu berdarah kacukan. Mungkin kacukan Eropah kerana aku menganggarkan ketinggiannya melebihi 6 kaki.
Sedar akan lirikan mataku lebih kepada pasangan itu, cepat-cepat aku motivasi otakku sendiri dalam hati.
‘Aduh... jangan kesalkan apa-apa, Lila. Sudah lumrah memang gadis-gadis mudah terpikat dan tertarik dengan penampilan lelaki sebegitu.’
Perlahan aku menggeleng dan tersenyum sendirian sambil berharap tiada sesiapa menyedari kelakuanku. Aku hampir hilang fokus, ketika kumpulan pertama telah disenaraikan.
Gita berpasangan dengan Farhana, gadis kecil molek bertudung dan peramah. Dia yang mula-mula menegur aku tadi. Aku lantas melambai kepada Farhana dan Gita yang berbaris dengan pengacara di hadapan sana.
“Sebelum itu...” Suara Haznil yang nyaring menarik perhatian kami.
“Jika ada peserta yang tidak puas hati dengan pemilihan cabutan nama ini, saya ingin beritahu kami tidak akan melayan sebarang ban... ta... han! Permainan yang anda akan lalui itu adalah adil dan tidak memerlukan anda mengangkat berat. Juga tidak akan membuat anda memerlukan tenaga lelaki. Ia cuma perlukan otak untuk anda berfikir.”
writer rom/action/mystery/mi
Share this novel