Semua peserta termasuk aku, mengangguk tanda bersetuju dan ia muktamad. Tak boleh dibantah-bantah lagi.
“Baiklah, kita teruskan dengan cabutan nama untuk kumpulan kedua.”
Haznil tidak membuang masa dan terus menyambung kerjanya. Tangan kanannya memusingkan lagi bola-bola yang melantun ke sana-sini dalam balang kaca tersebut. Dalam kiraan tiga, dia terus menggenggam dua biji bola sekaligus. Mungkin dia mahu mempercepatkan pemilihan kerana sudah dekat dua jam kami menunggu di lapangan luar studio tersebut.
“Nazim dan Bella!” Panggil Haznil dengan lantang.
Aku berpaling ke belakang melihat dua pasangan yang lebih kurang seusiaku. Rupanya gadis bermata sepet yang comel tadi namanya Bella. Mereka berdua saling bersorak kerana terpilih bersama. Aku rasa Nazim dan Bella mungkin sudah saling mengenali dari mana-mana pertandingan.
Dari apa yang aku tahu, kesemua peserta hari ini termasuklah aku, merupakan calon yang pernah memenangi sesuatu pertandingan yang dianjurkan oleh stesen E-Rose TV ini juga. Begitulah cara pemilihan pertandingan ini dibuat. Aku pula ditawarkan dalam satu kiriman e-mel sebulan yang lepas.
Kalau tak silap aku, Bella merupakan pemenang tempat kedua di dalam program ‘Holidays’ yang terkenal dengan rating yang agak tinggi tahun lalu. Gita dan Farhana pula pemenang dari rancangan ‘Siapa Paling Pintar’, sebuah rancangan yang sangat menarik perhatian remaja. Nazim pula pemenang pertandingan menyanyi dua bulan lalu, tapi dari siaran stesen TV yang lain.
Cuma aku tak ingat sangat nama program hiburan itu sebab aku tak berapa suka pertandingan menyanyi. Mungkin penyertaannya sebagai strategi pihak pengurusan untuk memperkenalkan dia sebagai artis yang bakal keluar dengan lagu baru.
Kini hanya tinggal si kacak itu, perempuan berambut merah tadi dan seorang lagi lelaki yang duduk bersama mereka. Namun tidak aku ketahui dari manakah mereka datang.
Selepas Nazim dan Bella ikut berbaris bersama Gita dan Farhana, nadiku berdenyut pantas. Aku semakin berdebar menanti nama yang bakal disebutkan. Cuma tinggal empat nama sahaja lagi, dan bila-bila masa namaku akan dipanggil.
Perasaan menunggu dengan debaran sebegini, buat aku teringin nak minum ais kepal Milo untuk meredakan perasaanku yang tak menentu. Perasaan teruja, tak sabar dan berharap pemilihan itu selesai dengan cepat. Pandanganku fokus kepada Haznil yang telah menarik sebiji lagi bola pingpong.
“Martin!” Laung Haznil dengan kuat sambil tersenyum.
Lelaki kacak itu tiba-tiba berdiri dan kelihatan berlari anak ke arah Haznil.
‘Jadi... namanya Martin?’
Perempuan yang bersama si kacak itu sebentar tadi semakin tidak sabar dan kelihatan teruja. Aku sebenarnya tidak suka menilai seseorang yang aku tidak kenal dengan sesuatu yang buruk, walaupun kulihat Bella dan Farhana semakin menyampah melihat perempuan itu membuat gaya manja.
Jari telunjuknya menggulung hujung rambut sambil tersenyum mesra. Yakin agaknya yang dia akan berpasangan dengan lelaki itu. Bagi aku pula, aku tak kesah jika dipasangkan dengan sesiapa pun. Kalau aku dipasangkan dengan lelaki, aku terima saja walaupun aku teringin pasangan kumpulanku seorang wanita.
‘Mungkin Bella? Tapi Bella dah ada pasangan. Mungkin aku terpaksa menunggu...’
“Lila!”
Laungan Haznil buat aku terkejut. Sementara wanita kemaruk berambut kemerahan di hadapanku ini, sudah menghentak kaki kerana tidak dapat apa yang dihajatinya. Lantas aku bangun dan berjalan lebih laju menghampiri peserta lain. Dari kerlingan mata, dapat aku rasakan yang perempuan berambut merah itu melontarkan pandangan marah kepadaku.
Aku buat tak peduli. Tapi aku masih seperti tak percaya kerana dapat berpasangan dengan si kacak itu. Dengan ramah, dia melontarkan senyuman mesranya kepadaku ketika kami sama-sama mengambil nama dari tangan Haznil. Si rambut merah yang bernama Zara itu akhirnya digandingkan bersama kawan Martin yang dipanggil sebagai Abraham.
Setelah pemilihan kumpulan keempat, maka bermulalah undian untuk kumpulan mana yang akan mula dahulu. Sama seperti cabutan nama tadi. Aku melihat jurukamera sudah bersedia menunggu peserta mana yang mula dahulu.
“Wakil setiap kumpulan sila datang untuk cabut nombor dari dalam balang kaca sekarang.” Minta Haznil.
“Tak sabarnya...” Ujar Bella yang berdiri di sebelahku.
Dialah satu-satunya peserta yang kelihatan benar-benar gembira dengan pertandingan program ‘Mystery Game’ ini berbanding peserta lain, termasuklah aku. Jelas aku tak begitu gembira dengan aturan pertandingan ini.
Apatah lagi aku baru lepas kena marah dengan emak. Risau juga jika sumpahan emak tadi menjadi pula. Kalau betul, sudah pasti aku takkan menang dan buang masa sahaja aku menyertai pertandingan ini.
“Awak pergi ambil nombor tu.”
Satu suara garau datang dari arah bahu kananku membuatkan aku pantas menoleh. Kelihatan Martin mengangkat keningnya. Aku yang dari tadi berfikir sampai ke langit, hampir tidak mendengar apa yang dikatakannya.
Haznil datang ke tempat aku berdiri dan menyorong balang lutsinar itu kepadaku. Cepat-cepat aku menarik keluar sebiji bola, lalu menayang nombornya kepada Haznil.
“Peserta ketiga... Martin dan Lila.” Jerit Haznil kuat kepada semua orang.
Rasanya, menjadi peserta ketiga agak melegakan aku buat masa ini. Sekurang-kurangnya aku boleh bersiap sedia. Martin mengangkat ibu jarinya, setuju dengan nombor giliran tadi sebelum dia kembali kepada Abraham.
Kumpulan pertama yang akan memulakan pertandingan, Nazim dan Bella telah pun bersedia di muka pintu yang bertulis ‘ROOM 1’. Oleh kerana rancangan itu akan disiarkan di kaca TV, maka krew-krew yang terlibat mula menjalankan tugas masing-masing termasuklah penerbit rancangan, Haqiem.
Haqiem dan pembantunya sibuk memberi sedikit tunjuk ajar tentang bagaimana hendak memulakan permainan. Tetapi beliau enggan memberitahu kami cara permainannya. Studio itu telah diubah suai menjadi beberapa bilik dengan gambar-gambar aneh dan simbol-simbol pelik menghiasi dinding luarnya.
“Nazim dan Bella, sila bersedia sekarang.” Haznil berdiri di sebelah dua peserta pertama.
Kemudian peserta Bella dan Nazim pun dilepaskan masuk ke dalam ‘ROOM 1’. Aku turut bersorak untuk mereka berdua.
“Fighting, Bella!” Sorakku meyakinkan Bella. Gadis itu membalas sorakanku dengan mengangkat tinggi tangannya yang digenggam kuat.
Setiap kumpulan mempunyai seorang jurukamera yang mengekori ke mana sahaja peserta dalam lokasi itu. Mereka diberikan kebebasan untuk bercakap dengan kamera. Itu cara program tersebut mendekatkan peserta dengan penonton. Aku yang berdiri dengan Martin pun menyedari seorang jurukamera telah mula merakamkan pergerakan kami berdua.
“Martin... macam mana perasaan awak?”
Tiba-tiba saja Haznil datang bertanya di hadapan kami berdua dengan jurukamera mengejarnya dari belakang. Aku turut memandang Martin, teringin juga hendak tahu perasaan lelaki itu. Mungkin dia tidak selesa dengan aku sebagai rakan sekumpulannya. Bukan Zara.
“Okey... saya rasa teruja dan tak sabar.” Dia mengangguk-angguk sambil tersenyum.
“Baik, saya harap awak dah readylah ya.” Haznil ketawa sambil menepuk bahu Martin.
Sebab itu aku suka Haznil, karakternya yang peramah buat orang lain tidak merasa kekok.
“Sebelum itu, Martin... kenal tak dengan partner awak ni?”
Tanya Haznil lalu menarik aku berdiri di sisinya.
Tentulah dia tak kenal, sangkaku. Namun sebaliknya Martin mengangguk sambil memandang aku. Bukankah itu mengejutkan? Aku bukannya dari kalangan perempuan anggun bergaya macam Zara.
“Dia juara dalam ‘Puzzle Competition’ untuk tahun ini.”
Beritahu Martin dan menoleh kepadaku sekejap. Aku ternganga, tak sangka dia tahu.
“Betul...” Sahut Haznil pantas.
Bunyinya macam aku ini hebat sangat. Lantas aku menggeleng laju, seolah cuba menidakkan kejuaraan itu. Ia tidak berkaitan pun dengan pertandingan hari ini.
“Okey... good luck, Lila dan Martin. Buat yang terbaik.”
Haznil menepuk bahuku pula sebelum beredar. Martin mengangkat tangan isyarat high-5 dan aku menyambutnya. Tiba-tiba Zara mencelah manja.
“Rasanya kalau I yang jadi partner you... kita memang boleh menang tau, Martin. I dah biasa main escape room ni. Setakat sejam tu memang tak jadi masalah buat I. Tapi tak apalah, I pun nak ucapkan good luck untuk you, Martin.”
Dia menjabat tangan Martin tanpa menoleh sedikit pun kepadaku. Agaknya memang begitu perangai perempuan perasan. Suka tunjuk lagak macamlah dia saja yang pandai dan orang lain pula bodoh. Aku tersengih sinis dalam hati.
“Arghh!...” Tiba-tiba satu jeritan kuat kedengaran dari dalam bilik pertandingan.
Aku juga turut terkejut. Selepas 15 minit kumpulan pertama masuk ke dalam ‘ROOM 1’ itu, suara Bella tadi benar-benar menakutkan aku. Nyaring juga teriakannya. Ada apa dekat dalam sana?
“Wah, menakutkan...” Bisikku yang telah menjauhkan diri dari Martin. Untuk seseorang yang jelas penakut macam aku, suara teriakan sebegitu pantas membuat fikiranku membayangkan suasana menyeramkan.
Bukan aku seorang sahaja, malah Farhana dan Gita juga kelihatan berpelukan sambil mereka berdua ketawa dan menggeleng dengan mimik muka yang sedikit bimbang. Mungkin mereka berfikiran sama seperti aku.
Tiba-tiba aku mencemburui mereka berdua. Yalah, sebab mereka sama-sama perempuan. Kalau mereka takut pun, mereka boleh saling berpelukan dan saling menenangkan rakan sekumpulan mereka dengan sentuhan.
Kemudian aku mengerling Martin. Takkan aku nak minta Martin peluk aku pula, kan? Aku menghela nafas resah sambil berharap tak ada apa-apa yang membimbangkan sangat di dalam sana.
TM
Available at bookstores
or online
?
Share this novel