14

Romance Series 5211

MARTIN betul-betul mengajak aku keluar makan malam. Tempatnya agak terbuka dan biasa aku kunjungi. Makanan disediakan dari atas lori-lori kecil yang berbaris di tepi jalan. Bermacam hidangan disediakan seperti sup, satay, makanan barat dan macam-macam lagi. Semua itu berjaya membuat aku terasa lapar.
“Awak nak makan apa? Saya belanja.” Tanya Martin sebaik saja dia meletakkan keretanya di tepi bangunan.
“Eh, tak. Saya yang patutnya belanja awak.” Aku mengingatkan Martin tentang hutangku.
“Untuk idea tadi... biar saya yang belanja Lila.”
Aku tersengih ketika jalan beriringan dengan Martin menuju ke lori menjual steambot ringkas. Kebetulan pelanggannya tidak ramai. Cuaca sejuk begini aku memang suka makan sup panas.
Martin memilih sayuran dan mi, sementara aku pula mengambil beberapa cucuk bebola ikan dan taufu.
“Minum, bang?” Tanya pelayannya.
“Kopi panas, dua.”
Kami duduk di meja belakang sekali. Sebaik sup berasap dihidangkan, aku terus makan.
“Terima kasih, Martin.” Ucapku lalu menyuap sebiji lagi bebola ikan yang sedap.
“Awak kena makan banyak, Lila.”
Mungkin Martin mahu menegur secara halus tentang tubuhku yang kurus. Aku ketawa kecil dan terus makan sementara sup masih panas. Biasanya aku mudah hilang selera makan kalau supnya sudah sejuk. Martin juga makan dengan agak berselera.
“Awak biasa datang ke sini?” Tanyaku.
“Adalah dua kali, dengan Abraham. Kenal lagi Abraham? Dia dari bahagian suntingan.” Martin mengukir senyum.
“Kenal, tapi hari pertama aje saya nampak dia. Hari ni tak ada.”
“Dia sibuk di bilik suntinganlah tu.”
“Esok bolehlah awak berehat. Hari Ahad biasanya E-Rose TV siarkan siaran rakaman. Setahu saya, hanya siaran Live aje yang kena attention lebih.”
“Betul. Tapi saya suka idea awak tadi. Kak Mimi patut periksa semula skripnya sebelum dia balik.” Martin mengangguk dan hampir selesai makan.
“Mungkin dia kelam-kabut tulis tu. Kak Mimi baru lepas balik dari uruskan rancangan kebun bunga. Lepas tu Susan Darl tak dapat datang pula. Tambah masalah, skrip untuk Juni pun belum buat lagi. Saya pun bersalah juga sebab tak baca skrip tu sebelum Kak Mimi balik pukul 5.00 tadi.” Jelasku yang sebenarnya tidak mahu menyebut pasal rancangan itu lagi.
“Awak cuma ambil masa 5 minit, Lila. 5 minit yang menaikkan rating 10%. Dari escape room lagi saya perasan tindakan awak plus otak awak tu, memang ada skill. Jarang orang semacam awak muncul dalam hidup saya.”
Martin memandangku sambil menaikkan lagi keningnya.
“Ermm... saya anggap itu satu pujian.” Aku tersipu-sipu dan memandang ke arah lain. Pipiku terasa membahang dan merah bila dipuji begitu. Malu.
“Alamak!” Aku terkejut.
Mataku bulat melihat Ameng dan isterinya sedang memilih makanan dari food truck yang ada di situ. Cepat-cepat aku membawa bangku dan bersembunyi di belakang Martin.
“Kenapa?”
Martin memandangku pelik. Tetapi entah kenapa dia mengubah juga posisi duduknya supaya aku dapat berlindung di belakang tubuhnya yang lebar.
“Ex... awak ke?”
“Hish... taklah. Abang saya tu. Kalau dia nampak saya keluar dengan lelaki, nanti dia lapor dekat mak saya.” Aku mengadu.
Martin segera memanggil pelayan dan membayar semuanya. Kemudian dia berdiri. Aku pun ikut berdiri di tepinya sambil tertunduk-tunduk, takut Ameng ternampak.
Tak semena-mena, Martin memakaikan jaket di belakangku. Kemudian dia menarik bahuku, membawa aku ke depannya sementara dia berjalan di belakang. Nampaknya dia memberi kerjasama yang baik. Nasib baik Ameng tak perasan.
“Awak dah 28 tahun, Lila. Baik buruk sikap awak bukan lagi jadi urusan abang atau mak awak.” Ujar Martin sambil memusing stereng keluar dari kawasan tersebut.
“Sebab saya dah 28 tahun dan masih single pula tu, mak saya bising. Dia takut saya tak kahwin sampai tua sebab asyik keluar dengan lelaki aje.”
“Okey... itu memang betul. Memang sikap seorang mak begitu. Mak saya pun selalu berdoa saya cepat-cepat kahwin. Saya dah 32 tahun, Lila. Angka tu lagi besar dari umur awak.” Mulut Martin muncung sedikit sebelum dia ketawa.
Aku ketawa sama. Dari semalam aku nak tanya pasal statusnya. Rasanya itu status yang paling aku suka setakat ini. Dapat aku rasakan paru-paruku sesak tiba-tiba. Tidak aku ketahui puncanya. Adakah cuaca sejuk atau tiba-tiba gembira mendengar kata-katanya yang dia belum berkahwin?
Lila dah angau!
Martin tidak memandu keretanya mengikut jalan ke rumahku, sebaliknya dia mengikut jalan menghala ke dataran. Dia nak buat apa agaknya dengan cuaca dingin begini di dataran?
Selepas memarkir kereta, dia mengajakku turun.
“Dah lama saya nak ke sini.” Kata Martin sambil meregangkan bahunya.
Selalunya malam minggu di dataran JB menjadi tempat pengunjung berehat melepaskan rasa tertekan. Ada siaran langsung dari TV4 Kota Media Berhad dari skrin besar. Pertandingan menyanyi yang sudah berlangsung sejam lalu.
“Awak nak tengok Top ke?”
“Ya.”
Martin membawaku duduk di bahagian tempat duduk berupa tangga simen. Sebaik saja kami melabuhkan punggung di situ, aku membuka jaket untuk dikembalikan kepada yang empunya.
“Pakailah, Lila. Paper doll macam awak ni senang masuk angin. Sejuk ni.” Martin menegah.
Aku menyarung semula jaket itu sambil menggaru pipiku, tersengih tak menjawab.
Lewat jam 11.00 malam begini pun masih ramai lagi orang berkumpul. Aku jarang datang ke sini, mungkin setahun sekali. Itupun kalau ada sambutan bunga api meraikan kejayaan pasukan kelab bola sepak JDT yang amat terkenal di sini, malahan di seluruh negeri.
Biasanya Andy yang selalu suka bawa aku keluar, biar aku tenang katanya. Tapi Andy sekarang dah belajar jauh di Penang.
“Pertandingan nyanyian selalu meraih tempat di mana-mana stesen TV. Kalau ada penaja, lagi bagus. Tapi saya lebih suka variety show.” Martin menoleh kepadaku sebaik saja iklan bersiaran di layar besar.
Aku suka bila Martin berbual hal-hal sebegitu. Sebagai satu pasukan dalam jabatan, aku dan dia pasti akan selalu bekerjasama. Mungkin kami terlalu serasi bila bercakap tentang hal kerja pada waktu bukan bekerja. Aku harus mencari topik yang berkaitan.
“Awak pernah rasa macam susah nak tidur malam? Kononnya awak nak tidur pukul 9.00 malam, tapi sampai jam 12.00 malam pun masih lagi berguling-guling tengok telefon. Tak mengantuk pun walaupun siangnya awak dah penat.”
“Biasa...” Jawab Martin.
“Kenapa E-Rose TV tak buat lagi rancangan hiburan bual bicara lewat malam? Kalau adapun sekarang ni, cuma cerita pasal politik. Kita boleh buat lagi talk show begitu, secara live. Feedback tentu banyak dari media sosial. Setiap episod kita pilih tetamu dari pelbagai kategori, contoh selebriti dengan ibunya atau adik-beradiknya. Boleh kita tanya macam-macam soalan humor. Mungkin juga kita boleh pilih pengikut E-Rose TV dari laman sosial. Cari seorang pengacara yang happening.” Panjang lebar pula cadangan aku.
“Idea yang bagus! Kalau sesuai dengan situasi, mungkin boleh jadi satu tarikan yang bagus. Besok awak rangka ideanya macam mana, okey?” Martin mengangkat keningnya sambil mengangguk kepala.
“Betul ke? Awak nak dengar pasal idea saya ni?” Aku sudah teruja.
“Kita boleh kembangkan idea tu.”
“Idea tu mungkin agak berulang dari rancangan yang lama. Awak tak rasa begitu?”
“Kalau diberi inovasi dan penambahan idea yang lebih besar, idea itu bukan lagi ciplak. Cuba tengok berapa banyak singing contest dianjurkan stesen TV, motif utamanya tetap sama. Mencari dan menghasilkan penyanyi berbakat. Tetapi perlu ada penambahan idea baru yang akan membezakan rancangan itu lain dari yang lain.” Jelas Martin.
Perbincangan kami terhenti sebentar saat mendengar seorang penyanyi lelaki yang begitu bagus nyanyian dan lagunya. Aku terlalu menghayati sampaikan mataku kembali layu mendengar lagu sedih yang membuai rasa. Pasangan suami isteri di depanku turut memuji penyanyi itu.
“Awak dah boleh senaraikan idea awak, Lila. Tak kisahlah tentang apapun, saya cuba tengok mana yang okey. Cari satu idea yang rancangannya sesuai dengan masa sekarang. Rasanya penonton sekarang pun sukakan humor.”
Aku mengangguk setuju.
“Awak suka tengok movie? Movie yang beri inspirasi?”
Jangan pula dia nak ajak aku tengok wayang lewat malam begini, sudahlah.
“Moana. Saya suka semangat Moana yang tinggi dan tak putus asa.” Aku ketawa kecil. Terkenang-kenang lagu di dalam wayang animasi itu.
“Moana... Moana...” Ulang Martin berkali-kali sambil tersenyum nipis.
“Mesti awak belum tengok movie tu, kan?”
“Balik nanti saya tengok.” Jawab Martin sambil ketawa kecil.
Mataku semakin layu mendengar ocehannya tentang filem yang belum dia tonton. Suhu dingin malam ini begitu sempurna, memberi tanda sudah sampai masa untuk tidur. Martin masih bercakap dan pandanganku pula perlahan-lahan mulai gelap.
Entah bila aku terlelap dan berapa lama aku tertidur, langsung aku tidak sedar. Aku cuma sedar bila tanganku terasa dicuit-cuit. Tersentak dan masih mamai, aku berpaling memandang Martin.
“Eh, erk... sorry...” Aku menyapu wajahku. Rancangan Top sudah pun habis. Aku tak tahu siapa yang terkeluar minggu ini.
“Tak apa, jom balik. Saya hantar awak pulang.” Martin bersuara perlahan.
Sebaik tiba di rumah, aku terus mencuci muka dan ganti baju tidur. Tubuh aku rebahkan di atas katil, mahu menyambung tidurku yang terganggu di dataran tadi. Sebelum tidur, aku mencapai telefon dari atas meja kecil tepi katil.
Lebih kurang lima mesej WhatsApp yang belum kubuka dan salah satunya dari Martin. Mesej itu baru sampai setengah jam selepas dia menghantar aku balik. Laju jariku membuka mesejnya.
Martin menghantar gambar yang buat aku terharu. Kelihatan aku tertidur dengan kepalaku terlentok di bahu Martin. Aku tak tahu sama ada benar aku yang berbuat demikian. Aku cuma ingat yang aku tertidur tanpa aku sedar.
Namun, gambar posisi kami berdua yang diambil oleh Martin itu sangat cantik. Sekilas, aku merasakan sesuatu tentangnya. Suara hatiku yang berbisik tentang naluri.
‘Oh, Tuhan. Aku jatuh hati ke? Tak mungkin.’

Thanks, temankan saya berbual malam ni. Jumpa lagi isnin nanti selamat malam, Lila... ~ MARTIN

“Selamat malam, Martin.” Jawabku dengan hati yang berbunga-bunga.
Aku tersenyum sendirian, menarik selimut lalu memejamkan mata. Membawa mimpiku terbang ke bintang. Hanya mimpi tempatku yang selayaknya. Aku tidak akan berlebihan tentang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience