Bab 17

Romance Series 5211

EBELUM pukul 6.00 pagi, aku sudah mandi dan menukar pakaian yang memang ada aku bawa semalam di dalam bilik air. Aku perlu bersiap awal sebelum pekerja lain datang. Entah apa reaksi emak bila aku tak balik malam tadi. Mengamuk agaknya.
Mungkin juga aku bakal kena halau keluar dari rumah itu. Tapi jika itu boleh membuatkan hati aku lebih tenang dan lebih bahagia, aku rela. Walaupun ada sedikit risau tentang emak yang bukan selalu sihat. Kebelakangan ini emak selalu sakit-sakit kepala dan pening.
Jam 7.20 pagi, pejabat masih kosong. Ketika aku sedang memakai pelembap bibir, perutku berbunyi lapar. Kebetulan ketika aku hendak keluar bersarapan, Mina baru sampai.
“Morning, Mina.” Sapaku macam pekerja paling rajin datang awal.
“Pagi, Lila. Awal hari ni?” Tegur Mina sambil menyimpan barang-barangnya di dalam bilik props.
“Kebetulan bas sampai awal. Saya nak pergi beli sarapan, awak nak kirim apa-apa tak?” Sengaja aku berlagak macam biasa. Manalah tahu Mina hendak pesan apa-apa.
“Beli sarapan di mana? Temankan aku beli barang kejap, ada barang yang lupa nak beli. Nanti Martin bising kalau barang tu tak ada.” Ujar Mina yang mula kelam-kabut.
“Jomlah, saya tak ada kerja juga awal pagi ni.”
Sebaik keluar dari bangunan E-Rose TV, Mina mengajak aku naik kereta dia. Kami ke sebuah kafe yang berdekatan sahaja. Kafe yang memang selalu menjadi tumpuan pekerja-pekerja di situ. Bolehlah aku belikan untuk Martin sarapan sekali.
“Pasal idea kau yang suruh Juni lukis muka girlfriend dia yang macam alien tu, Martin suruh aku beli kertas lukisan banyak-banyak. Mungkin minggu ni ada lagi scene lucu tu. Bagus idea awak, Lila.” Puji Mina ketika kami berdua melangkah masuk ke dalam kafe.
“Senang buat dialog kalau ada bahan lucu untuk talk show. Nanti tetamu pun tak rasa janggal.” Jawabku.
“Betul.”
Aku memilih roti ban keju untuk makan tengah hari juga. Antara mahal dan nampak menyelerakan, aku pilih menyelerakan. Bukan selalu dapat makan roti ban sedap. Selepas mengira bajet dalam poket, aku mengambil roti ban dan sandwich berkhasiat untuk Martin ketika Mina datang menghimpit.
“Lila...” Bisiknya dengan muka curiga.
“Jangan tengok ke kanan.”
Aku terkejut dan tertanya-tanya. Kenapa? Aku ada buat salah ke?
“Martin makan dekat situ, nanti dia nampak kita.”
Ketika Mina memesan kopi untuk kami berdua, aku tidak dapat menahan hatiku daripada melihat ke arah kanan. Lantas mataku menangkap sebahagian wajah Martin dari balik rak hiasan. Dia sedang tersenyum mesra kepada Zara di hadapannya.
Jadi, betullah apa yang dikatakannya semalam. Dia ada kekasih yang bekerja dengan E-Rose TV juga dan perempuan itu adalah Si Zara rambut merah rupanya. Patutlah masa Mystery Game sebelum ini, perangai Zara nampak semacam saja.
Bungkusan sandwich tadi aku letakkan semula ke dalam bekas. Aku cuma membayar ban keju untukku sahaja. Martin sudah sarapan. Buat apa nak belikan sarapan lagi!
Cepat-cepat aku bawa Mina keluar. Sesuatu yang menyelinap diam-diam malam tadi, kembali menghuni puncak hatiku. Aku berharap masalah dalam kegelisahan hatiku ini tidak seserius itu.
Keluar dari kafe, kami ke kedai Nusa Stationery yang cuma bersebelahan dengan kafe sahaja. Setelah Mina mendapat semua keperluannya, kami balik semula ke pejabat hampir pukul 10.00 pagi.
“Dari mana?” Tegur Suhan di pintu jabatan kami.
“Lila temankan aku pergi beli barang props tadi.” Jawab Mina.
Aku mengangkat kening dan melontar senyuman kepada Suhan sebelum berjalan masuk ke bilik pejabat. Suhan mengekoriku dari belakang.
“Martin cari Lila tadi.” Beritahu Suhan.
“Kenapa? Dia datang awal pagi ke?”
Suhan mengangguk.
“Tiba-tiba aje dia datang awal. Lila tak jumpa dia dekat luar?”
Aku menggeleng. Mungkin sebab aku dan Mina lebih awal keluar dari Martin, jadi kami tak sempat bertembung.
“Saya nampak dia breakfast dengan Zara.” Ujarku sambil berjalan ke meja.
“Zara datang ke sini tadi cari Martin. Lepas tu dia orang keluar sama-sama.” Beritahu Suhan lagi.
“Dia tak pesan apa-apa untuk saya? Err... maksud saya, pasal kerja?” Aku cuba untuk tak ambil peduli pasal Zara dan Martin.
“Tak, dia masuk dalam sini dan terus ke meja Lila. Dia berdiri dekat situ sekejap. Entah dia tengok apa atas meja, alih-alih dia terangguk-angguk macam orang tak siuman.”
Aku ketawa. Tiba-tiba aku rasa gembira bila mendengar Suhan kata Martin tak siuman. Kak Mimi dan Bella pun ikut ketawa.
“Dengar Martin nanti... habis kau, Suhan.” Sampuk Kak Mimi.
“Okay, guys...” Aku menarik nafas panjang. Mereka bertiga serentak memandang aku.
“Saya ada idea baru, kita berkumpul dekat ruang perbincangan.” Arahku kepada Kak Mimi, Bella dan Suhan. Kemudian aku mengambil buku nota dari dalam laci meja, beberapa kertas lakaran dan berjalan keluar.
Aku singgah sekejap ke bilik props. Kelihatan Mina dan Azila sedang menyusun barang. Mereka berdua berpaling sebaik melihat aku di depan pintu.
“Boleh ke ruang tengah sekejap, nak bincang pasal idea saya.”
“Wah, yang ni aku tunggu-tunggu.” Sahut Mina lalu menyauk lenganku.
Sebaik saja semua orang berkumpul, aku mula membentangkan ideaku kepada mereka tanpa Martin. Lagipun dia hanya sebagai penilai sama ada ideaku itu boleh diterima atau tidak.
“Program ni lebih kepada hiburan. Untuk idea awal, rasanya saya perlukan... kalau boleh, selebriti atau komedian terkenal untuk menarik penonton ke kaca TV. Kalau bos besar bersetuju, maknanya dia akan menyediakan wang kemenangan untuk peserta bertanding. Tetapi E-Rose TV akan dapat pulangan melalui undian penonton di luar dan juga iklan.”
Jelasku sungguh-sungguh dengan mereka semua memerhatikan sahaja aku menggariskan beberapa lakaran lagi supaya mereka lebih faham apa yang aku mahu.
“Saya perlukan idea untuk permainan lucu setiap episod. Saya dah senaraikan beberapa jenis game tapi tak cukup. Jadi saya minta kalau ada idea lain...” Tambahku lagi.
“Macam mainan kita masa kecil-kecil dulu?” Suhan bersuara.
Aku mengangguk, setuju cadangan Suhan itu.
“Idea yang baik, bergantung kepada props yang kita ada juga termasuk bajet.”
“Kita pilih pelawaklah, senang sikit dan dah memang lucu.” Kak Mimi pula memberi idea.
“Selebriti yang pandai ikut skrip dan biasa dalam variety show pun boleh. Tentu lebih meriah.” Jawabku.
“Bagus idea tu, Lila. Kota Media kan terkenal dengan rancangan Raja Pelawak dia orang. Mungkin kita boleh cuba tanya mana-mana pelawak dari rancangan tu. Tapi idea awak ni nak kena buat dalam studio ke?” Bella mencelah setelah hanya diam sedari tadi.
“80% lokasinya di luar studio. Macam game mencari harta karun, tapi lebih humor atau realiti show. Bergantung dengan jenis permainan.”
Mereka semua nampaknya bersetuju dengan ideaku. Sesi seterusnya bertukar menjadi bahan jenaka kami. Bila datang gila-gila Suhan, maka keluarlah aksi tidak masuk akalnya yang menjadi bahan ketawa semua orang. Macam-macam cadangan permainan yang bukan-bukan dimasukkan ke dalam rancangan itu.
“Kita sendiri akan cuba permainan tu dulu sama ada sesuai atau tidak sebelum kita senaraikan untuk slot game ni nanti.” Aku mengakhiri penerangan tentang idea rancangan baru itu.
“Aku sukalah. Bestnya, boleh kita keluar jalan-jalan. Bosanlah duduk dalam office aje, kan?” Suhan mencelah gembira.
Semuanya mengangguk setuju kalau pasal jalan-jalan makan angin, termasuk aku. Ini bermaksud kami semua akan kerja lebih masa untuk merealisasikan idea itu jika berjaya diluluskan.
“Lepas senaraikan game korang semua, saya akan susun balik semua rangka idea sebelum hantar kepada Martin untuk penilaian. Program ni bukan dalam masa terdekat, cuma kita kena buat persediaan awal. Sekarang saya sedang fokus nak buat talk show.” Jelasku menutup perbincangan kami.
“Tak sabar nak buat rancangan ni, mesti seronok di lokasi nanti.” Kak Mimi dengan yang lain mengangguk setuju sebelum Bella tersentak melihat ke arah pintu.
“Eh, Martin...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience