16

Romance Series 5211

KEESOKAN paginya aku cuma sempat membelikan Martin mee goreng dari dewan makan E-Rose TV. Seperti biasa aku menitipkan nota ringkas untuk Martin.
‘Saya beli yang ringkas aje, sorry.’
Selepas itu aku buat kerja bersendirian. Merangka idea yang baru keluar dari kepalaku seperti permintaan Martin semalam. Kesibukan di bilik pejabat buat aku leka berjam-jam. Tak cukup duduk di meja, aku duduk di lantai. Kadang-kadang aku bersandar pada dinding sambil menyusun idea ke dalam buku nota.
Ini kerana aku tidak mahu terganggu dengan kesibukan Bella yang sedang menaip skrip dan Suhan yang sibuk menyemak kerjanya. Kak Mimi pula baru lepas kena tegur dengan Martin pagi tadi, mukanya nampak murung saja. Tentu pasal rancangan ‘Teka Siapa?’.
Entah sudah berapa jam aku terus khusyuk membuat kerjaku. Dahiku mula rasa berat memikirkan idea-idea yang boleh ditambah.
“Lila, buat apa dekat situ?”
Tiba-tiba Kak Mimi muncul dengan kepalanya terjengul dari bahagian atas mejaku.
“Cari idea.” Dengan kepala mendongak memandang Kak Mimi, aku melebarkan senyuman.
“Oh... thanks untuk semalam. Mujur ada Lila. Lepas ni bolehlah tolong Kak Mimi lagi, ya. Kakak bingung ni.” Dia mengadu jujur.
“Okey, lepas Lila siapkan kerja ya.”
“Kenapa dengan dahi Lila tu? Nampak lebam.”
Kak Mimi mula pelik sambil menunjukkan lebam didahi yang lupa aku sembunyikan dengan bedak fondation.
“Tak apa, terhantuk sikit aje. Nampak ketara sangat ke?” Aku tersengih.
Kak Mimi mengangguk dan mengerlingku seolah ragu-ragu.
“Jom makan.” Ajaknya pula.
“Dah masuk tengah hari ke?”
“Dah petang, Lila. Angau ke?” Kak Mimi ketawa mengekek.
“Ada kek ni Martin belanja. Tadi dia tanya kakak, Lila buat apa? Tu yang kakak intip ni...”
Aku ketawa lalu berdiri. Kek coklat yang dihidang Kak Mimi begitu mencairkan perasaan. Kami semua duduk berkumpul di meja Kak Mimi.
“Martin sekarang ni sejak ada Lila, Kak Mimi dah tak laku. Mina apa lagi, tolak ke tepi terus.” Suhan mencelah dan menarik sepotong kek.
“Betul, kan? Kejap-kejap cari Lila, tanya Lila. Kak Mimi dah boleh pencen. Tapi baguslah tu, Suhan. Hilang stress Kak Mimi kalau Lila ada.” Cerita Kak Mimi lalu melentokkan kepala kepadaku.
“Betul tu. Dari first jumpa lagi, Martin kalau tengok Lila lain macam aje.” Bella pula menyampuk.
“Dah... dah, sambung makan. Jangan nak merepek. Nanti Martin dengar, dia ingat kita group penggosip.” Aku mencelah dan disambut gelak ketawa mereka.
Kalau aku beritahu yang aku banyak hutang dengan Martin, mungkin heboh satu pejabat. Mungkin juga ada yang menjauhkan diri. Kami terus sambung makan sambil berbual tentang isu-isu hangat artis. Suhan memang pakar dalam bab mengorek rahsia artis yang ditemu bual.
Sedar tak sedar, sudah sampai masa untuk pulang. Lebih kurang pukul 7.00 malam, pejabat sudah kosong. Aku yakin bilik suntingan pun kakitangannya sudah pulang. Cuma aku yang masih berlegar di dalam bilik, pura-pura membuat kerja yang kujadikan alasan utama.
Sebenarnya aku merajuk. Aku berkecil hati dengan emak. Terima kasih untuk lebam yang dia hadiahkan di kepalaku. Pulang ke rumah bukan lagi hal utama. Memikirkan di mana hati seorang ibu, buat aku tawar hati untuk terus bertahan dengannya.
Tenggelam dalam kekecewaan, aku ke pantri untuk membuat secawan kopi buat menenangkan hati. Sambil menghirup kopi, aku melihat refleksi sendiri dari tingkap kaca yang tertutup.
Rambut pendek melepasi bahu, bertubuh kurus dan mata yang selalu basah dengan air mata adalah duka yang tetap menjadi milikku. Orang lain tidak akan memahaminya. Kadang-kadang aku terfikir tentang masa depan yang sempurna. Bahagia dengan kasih sayang yang ditaburkan.
Tetapi hidup dengan emak yang membenci anaknya, menjadikan aku kuat dan hampir tidak memerlukan sesiapa dalam hidupku lagi. Namun begitu, aku perlu meneruskan hidup dan menuruti semua pesanan Tuhan tentang berbaiklah dan kasihani orang tua. Ingatlah jasa mereka.
Pesanan itulah yang selalu menjadikan aku seorang pemaaf. Tidak kira seberapa banyak aku berkecil dengan emak, namun dalam masa yang sama aku tetap menyayanginya sepenuh hatiku.
Sedang aku berfikir hendak tidur di mana, tiba-tiba kelibat seseorang membuatkan aku kalut dan terkejut.
“Alamak, kenapa dia belum balik lagi? Dah jam berapa ni?”
Kelam-kabut aku bersembunyi di bawah meja. Kalau sekuriti, bolehlah aku bagi alasan ada kerja nak buat. Setahu aku mana ada program penting hari ini. Aku kekal berdiam di situ sambil memeluk lutut.
Telingaku jelas mendengar seseorang sedang mengambil cawan dari rak. Aku seakan-akan menahan nafas kerana takut hendak mengeluarkan sebarang bunyi dari bawah meja.
“Seronok menyorok di situ, Lila?”
Gulp!
Aku menutup mulut kerana terkejut. Martin tahu! Tetapi aku tetap berdiam di situ. Memalukan betullah bila ketahuan begitu.
“Marilah minum, Lila.” Suara Martin semakin kuat.
Aku melihat kakinya dari bawah meja yang tertutup separuh oleh penghadang. Perlahan-lahan aku keluar dari tempat persembunyianku dan tersengih menayang muka selamba.
“Err... macam mana awak tahu?”
Jari telunjuk Martin mengarah ke tingkap kaca yang menampakkan bayanganku. Aku menepuk dahiku.
“Kenapa sembunyi?”
Aku tiada jawapan untuk soalan Martin. Hanya mata terus menatap lembut wajahnya. Tak penting untuk dia tahu kenapa aku masih berada di pejabat pada jam 9.00 malam.
“Kenapa?” Martin mengulang soalan dengan lebih ringkas.
Aku terbatuk kecil. Sebelum aku menjawab, mata Martin mengecil seperti melihat sesuatu di wajahku. Ada yang tak kena ke?
“Kenapa dahi awak lebam?”
Ini soalan ketiga yang belum kujawab dan aku tak tahu macam mana nak jawab. Aku cuba menutup lebam itu dengan membetulkan rambut sambil memikirkan jawapan yang baik dan yang tidak disalah anggap.
“Saya...” Mulutku bagai digam sementara menunggu otak mencari perkataan dalam kamus ingatan.
“Saya lari dari mak saya. Untuk malam ini aje... err... mungkin esok juga. Saya tak tahu macam mana nak selesaikan. Macam... makin teruk.”
Aku fikir aku akan berasa kesal menceritakan masalahku kepada Martin yang tidak begitu aku kenal hati budinya. Tetapi tidak! Malahan aku rasa lega meluahkannya. Seolah-olah hati aku yang berbolak-balik tadi lebih kosong dan kembali tenteram tanpa sebarang fikiran meresahkan. Bagus juga kalau ada orang yang faham masalah aku.
“Mak awak ke yang sebabkan lebam tu?” Tanya Martin dengan pandangan yang macam nak cari gaduh.
Aku mengangguk perlahan. Dalam kepala sudah berfikir nak minta kebenaran Martin yang aku tidur di pejabat saja malam ini. Mungkin bahaya juga kalau ada yang beritahu bos besar sedangkan Martin tidak tahu.
Martin masih dengan kening yang berkerut sambil jari-jemarinya mengetuk permukaan meja. Sesekali dia mengerlingku ketika meneguk kopinya.
“Awak selalu kena pukul dengan mak awak ke?”
“Ada apa-apa soalan lagi? Dah berapa banyak soalan awak ni yang saya kena jawab.”
Aku ketawa kecil sambil memegang cawan kopiku. Tetapi apabila Martin langsung tidak ketawa, akhirnya aku cuba menjelaskan duduk perkara sebenar.
“Mak saya cuba paksa saya kahwin. Bunyinya macam dia dah ada calon, tapi saya bantah.”
Tangan Martin yang mengetuk permukaan meja tadi terus beralih mengurut dahinya pula. Aku malu, Martin sepatutnya tidak perlu tahu. Tetapi aku tetap juga ceritakan semua kepadanya.
“Hubungan kami berdua memang ada krisis. Jadi bila mak cuba melibatkan diri dalam hal peribadi saya termasuk mencari calon suami, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Harap-harap bukan pasal duit lagi.” Jelasku yang selalu terkena dengan helah emak.
“Mungkin awak patut kahwin.” Martin yang bersandar hampir separuh badan di kerusi tadi, kini sudah duduk tegak.
“Eh, untuk apa? Saya bermalam dekat office ni sebab saya membantah nak kahwin. Sekarang, awak pula yang nak suruh saya kahwin?”
“Sebab mak awak jenis yang ala-ala diktator itulah, saya rasa awak patut kahwin. Sekurang-kurangnya bila awak dah kahwin, mak awak secara automatik hilang kuasa terhadap awak.”
Aku mula memikirkan kebenaran kata-kata Martin.
“Maksudnya... bukan kahwin dengan pilihan mak awak tu. Awak carilah seorang lelaki yang awak suka untuk dijadikan suami.” Tambah Martin lagi.
“Awak rasa patut ke?”
Martin mengangkat bahunya dengan mulut menyenget. Aku hanya memandang dengan perasaan bercampur-baur. Geram, pelik dan mula naik angin. Rasanya, itu cadangan yang buat aku sakit kepala saja.
“Mungkin awak rasa hidup saya macam cerita lawak. Pendapat awak tu macam nak menangkan sebelah pihak aje.” Nada suara tiba-tiba kasar kerana menyangka Martin hanya memperlekehkan masalahku.
“Sebelah pihak? Yang mana satu?”
“Lelaki. Saya kahwin pun masalah ni takkan selesai. Mak saya takkan berubah.”
Martin kelihatan kesal, seolah-olah aku baru saja menolak lamarannya.
“Game yang kita menang tu akan disiarkan malam esok. Feedback dari laman web E-Rose TV sangat bagus, ramai yang tertunggu-tunggu.”
Pantas dia menukar topik perbualan kami.
“Awak baliklah dulu kalau dah selesai buat kerja.” Ujarku seperti menghalau dia dari situ.
“Saya risau awak dekat office ni, gelap. Ingat lagi game tu...”
Martin cuba menakutkan aku pula. Dan aku pula mula risau dengan tingkahnya. Aku risau kalau ada sesiapa marah melihat Martin selalu saja dekat dengan aku. Perasaan tertanya-tanya itu mendorong aku bertanya kepadanya.
“Martin, awak tak ada teman wanita ke?”
“Ada.”
Jantungku tiba-tiba berdegup kencang walaupun zahirku nampak sahaja tenang.
“Apa kata kalau awak balik sekarang? Nanti dia tahu awak dengan saya dekat sini.”
“Tak. Dia kerja dengan E-Rose TV juga. Saya sedang tunggu dia balik kerja.” Jawabnya.
“Baiklah. Selamat malam, saya nak tidur. Tolong kunci pintu di depan lepas awak keluar.”
“Kejaplah, saya nak habiskan kopi dulu. Hati-hati, Lila. Terus call saya kalau ada apa-apa, okey?” Martin tersenyum-senyum melihat kopinya.
Seperti ada sesuatu dalam fikiran lelaki itu. Atau aku yang berprasangka? Malas mahu berfikir panjang, akhirnya aku mengangguk tanpa memandangnya. Ada sesuatu yang menyelinap dalam hatiku. Sesuatu yang tidak ingin aku resahkan.
‘Bermimpi sajalah, Lila.’

beli online at kaseh aries shopee

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience