8

Romance Series 5211

AWAL pagi lagi aku berkejar dengan bas kerana lewat beberapa saat. Setiap bas ada jadual tetap di kawasan perumahan Swan Flat. Pagi ini aku terlambat disebabkan kasut tinggi aku hilang sebelah. Mungkin sudah dibawa lari kucing-kucing liar yang kadang-kadang suka bermain dengan kasutku.
Setelah tercungap-cungap berlari dengan berkaki ayam, dapat juga aku menaiki bas itu. Pemandu basnya sekadar tersengih kepadaku.
“Kenapa lambat?” Tegurnya.
Aku tersengih. Penumpang lain yang kehairanan memandang aku berkaki ayam, tidakku pedulikan ketika aku mengimbas kad transit untuk tambang perkhidmatan. Kemudian aku pun duduk di bahagian hadapan sekali lalu menyarung kasut jenis bertali warna hitam yang kelihatan sudah lusuh warnanya.
Setengah jam perjalanan menaiki bas, perhentian yang aku tujui pun sampai. Tetapi aku kena berjalan kaki sedikit menuju ke pusat pengawal yang dengan ramah memberi tunjuk arah. Sebaik terpandang replika besar huruf ‘E-ROSE-TV’ di tepi pintu masuk, rasa penat tadi hilang serta-merta.
Keadaan di situ agak sibuk dengan pekerja-pekerja keluar masuk. Melihat krew-krew yang mengangkat peralatan, wartawan yang berlari keluar masuk macam mengejar sesuatu, dan mungkin pekerja pejabat yang baru hendak masuk bekerja, begitu mengujakan perasaanku. Aku tidak sabar hendak memulakan hariku di syarikat ini.
“Selamat pagi. Boleh saya tolong cik?” Sambut seorang gadis penyambut tetamu berkulit hitam manis.
“Selamat pagi. Saya nak ke bahagian rancangan... err...” Aku terkial-kial membaca semula surat tawaran di tanganku.
“Yang mana satu? Boleh saya lihat surat anda?”
Aku segera menghulurkan surat tawaranku.
“Oh, Variety and Talk Show Department.” Dia mengangguk faham.
“Sila naik lif ke tingkat 2, belok kiri, jalan terus. Cik boleh nampak signboard Variety and Talk Show Department dengan mudah.” Jelas gadis itu dengan teliti.
“Terima kasih.”
“Sama-sama, selamat bekerja.” Ucapnya dengan senyuman ramah.
Aku mengikut arahan yang diberikan. Menunggu di depan lif bersama beberapa pekerja lain. Sekejap saja pintu lif terbuka dengan luas. Bagai pak turut, aku mengikut pekerja di hadapanku. Salah seorang dari pekerja tadi sudah pun menekan tingkat 2.
Dalam beberapa saat, pintu lif terbuka semula. Aras 2 tertera jelas di hadapan. Di luar lif kepalaku langsung menoleh ke arah kiri. Lengang saja keadaannya. Tiada sesiapa yang keluar masuk, tidak seperti ruang di bawah tadi. Pekerja yang sama-sama dengan aku tadi semuanya membelok ke kanan.
“Betul ke tak maklumat yang aku dapat ni?” Aku berkata sendirian tetapi masih terus berjalan ke hadapan.
Sambil melangkah, aku menggumam dengan bibir terkumat-kamit membaca doa sebagai bekal pertahanan diri. Suasana baru begini selalu buat aku mudah berasa janggal, buruk sangka dan hilang selera makan. Di depan mata, satu papan tanda kecil di sebelah pintu menjadi petunjuk yang jelas.

Aku menolak pintu kacanya dengan perlahan. Pejabat itu agak luas, dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kriteria jawatan. Aku membaca setiap papan tanda kecil di luar setiap bahagian. Bilik Peralatan dan Keperluan, Bilik Bahagian Suntingan yang tertutup rapat dengan nota ‘Dilarang masuk tanpa keperluan’.
“Hello, miss...”
Seorang lelaki menyapaku dari belakang.
“Cari siapa?”
“Saya pekerja baru, Lila.”
Lelaki itu nampak sedikit terkejut.
“Ketua Bahagian Idea dan Skrip?”
“Betul.” Jawabku kehairanan melihat reaksinya.
“Nama awak ada disebut dalam meeting semalam. Tak sabar nak tengok game tu dekat TV. Akhirnya saya dapat bersemuka dengan pemenangnya. Kalau macam tu, mari ikut saya.”
Dia mengajakku terus menuju ke bahagian yang patut kutuju.
“Lila!” Panggil satu suara halus.
Aku pantas menoleh ke kiri.
“Bella?” Terkejut melihat Bella ada juga di situ. Kami berpelukan bagai tak berjumpa bertahun-tahun.
“Dia pun pekerja baru juga, baru masuk semalam. Tapi awak ketua bahagian, kan? Selamat berkenalan, Lila. Saya Suhan.”
Suhan menunjukkan tempat dudukku di bahagian belakang sedikit, lebih besar dengan tanda nama di atas mejanya yang membuatkan hidungku kembang kempis.
“Jadi, awak tolak tawaran kerja supervisor tu?” Tanyaku pada Bella lalu duduk.
“Betul, rasanya lebih seronok kerja dekat sini.” Riak Bella segar dan ceria.
“Definitely!” Sahut Suhan yang tinggi lampai dan peramah sangat.
“Hai, guys...” Sapa seseorang penuh ceria.
Aku dapat rasakan aura keceriaan di dalam bilik itu terlalu serasi dengan aku. Walaupun pada awalnya aku agak kekok dan takut jika rakan sekerjaku jenis yang perengus dan bengis.
“Saya Kak Mimi. Happy to see you Lila, Bella.” Sapanya gembira dan memberikan pelukan.
“Lila boleh arahkan kakak apa-apa saja. Saya menurut perintah.” Bibir Kak Mimi mengukir senyuman manis.
“Terima kasih, Kak Mimi.” Aku menyahut gembira.
“Maimunah binti Pardi, kau ada belikan aku nasi lemak? Aku dah lapar, karang aku gigit Kak Mimi nanti.” Suhan bersuara dengan nada bergurau.
“Adaaa... Suhan. Eh, jomlah kita sarapan dulu. Kak Mimi beli banyak ni.” Pelawa Kak Mimi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience