“Apa lagi, Lila. Pergilah. Mungkin dia nak tahu visi awaklah tu.”
Suhan mengejutkan aku dari lamunan yang tidak masuk akal.
“Pergi cepat, Lila. Martin tu okey aje, tak makan orang pun.”
Kak Mimi pula mendesakku. Bella menepuk bahuku ketika aku sedang membaca doa tolak bala.
“Nanti tengah hari kita keluar makan sama-sama.”
“Okey.” Sahutku tanpa melihat Bella, masih kaku di tempat duduk ketika semua orang beredar keluar.
‘Oh... Tuhan, apa yang aku nak buat ni? Lari? Ada tak dalam kontrak yang aku akan didakwa mengikut undang-undang jika melanggar kontrak bekerja?’
Aku mengeluh dan merintih perlahan sebelum berdiri. Menuju ke bilik HOD, debaran jantungku macam tak stabil. Otak gigih memikirkan ayat-ayat yang baik untuk disampaikan. Mungkin ayat yang menggoda. Dan aku berharap sangat Martin akan tergoda. Siapa tahu itu boleh mengurangkan hutangku.
Aku pejam mata beberapa saat bila tiba di depan pintu bilik pejabat Martin dan menghela nafas resah.
“Masuk, Lila...” Tiba-tiba Martin berdiri di depan pintu yang terbuka luas.
“Err... macam mana tuan tahu saya dah berdiri depan pintu bilik?” Tanyaku penuh formal dan hormat sebelum berjalan masuk ke dalam bilik.
“Lama sangat saya tunggu. Duduk, Lila.” Martin menjemputku duduk.
“Panggil saya Martin. Semua orang di sini panggil saya... Martin. Okey?” Dia mengangkat kening dan duduk semula di tempatnya.
Kami saling berhadapan. Setiap kali Martin berdehem, aku ikut tersentak kecil. Dia khusyuk menyelak fail di hadapannya beberapa saat. Dan selepas menutup fail itu, Martin memeriksa kalendar besar di atas mejanya pula sebelum memandang kepadaku.
Aku tersentak lagi, tetapi cepat-cepat mengawal rasa debarku. Bimbang ketahuan mencuri pandang anak teruna orang.
“Saya selaku orang yang bertanggungjawab, sangat berharap awak dan team awak dapat berbincang dan menghasilkan idea yang bagus. Awak boleh minta sumbangan idea dari team awak ataupun idea awak sendiri. Saya dan pihak atasan akan buat penilaian sama ada idea itu boleh diguna pakai nanti.”
Jelas Martin dengan teliti. Gayanya hari ini berbeza betul dengan sikapnya ketika pertemuan pertama kami.
“Saya boleh claim idea itu sebagai idea saya biarpun dibantu rakan lain?” Aku serius ingin tahu.
“Ya, sudah tentu. Idea asal akan tetap diberi kepada orang yang mencetuskan idea. Sementara bantuan rakan lain kita sebut sebagai Assistant Writer. Okey, faham?”
“Faham.”
“Idea itu sebenarnya... boleh saja dari sesiapa. Sama ada dari saya, awak atau dari pekerja suntingan. Even dari bos besar dan penonton di luar sana. Itu biasa berlaku. Jadi tugas team awak untuk mencantikkan lagi idea itu dengan skrip penulisan yang baik. Rasanya awak tahu skop kerja ini bagaimana sebab awak pun belajar dalam bidang kreativiti. Betulkan?”
Martin sedang membaca fail biodataku sekali lagi.
“Oleh sebab syarikat E-Rose TV tidaklah segah Kota Media, jadi awak mungkin akan dilantik sebagai penerbit juga. Awak tahu kerja-kerja penerbit rancangan?”
Aku menggeleng laju tetapi teruja mendengarnya.
“Macam uruskan tetamu, jadual, keperluan artis, apa yang mereka mahu atau tak suka itu ini... hmmm... banyak kerenah yang akan awak jumpa dalam bidang ni dan pasti buat kita rasa mual.” Bibirnya mengherot sedikit.
Dari kata-katanya itu, aku tahu dia sudah melalui itu semua. Belajar melalui pengalaman.
“Kadang-kadang awak akan benci dengan mereka semua tu, tapi pengalaman akan buatkan kita kuat. Penerbit orang yang paling penting dalam tugas mencari penaja. Dia mesti seorang yang pandai berkomunikasi dengan baik serta lancar. Dan saya rasa awak menepati ciri-ciri itu semua. Awak boleh bertanya kepada Kak Mimi, dia tahu semua kerja-kerja di sini. Tapi disebabkan kita kekurangan tenaga produksi, jadi saya berharap semua orang boleh buat dua atau tiga kerja dalam satu-satu masa.” Jelasnya panjang lebar.
Aku mengangguk penuh disiplin dan terus mendengar cerita Martin.
“Di Kota Media atau Stesen Astra, sistem mereka agak berbeza dengan E-Rose TV.”
“Maksudnya?” soalku.
“Mereka menguruskan satu kumpulan dengan seorang penerbit. Sebab itu mereka mempunyai rating dan penonton yang ramai. Di E-Rose TV, Variety and Talk Show Department menguruskan lebih dari lima rancangan dalam satu team yang besar. Jadi, bila-bila masa awak mungkin akan diangkat sebagai penerbit rancangan jika bos besar nampak potensi awak. Sekarang ni, tugas semua orang dalam department ni ialah bekerja keras untuk memastikan semua rancangan televisyen berjalan lancar mengikut tugas masing-masing. Sebab itu saya kata idea itu boleh datang dari sesiapa saja. Tapi kalau kita boleh bersaing dengan Kota Media, tak mustahil bos besar akan mengupah lebih banyak pekerja supaya satu rancangan diuruskan oleh satu kumpulan sahaja.” Terang Martin lebih jelas.
Aku memahami semua yang dikatakan lelaki itu. Lebih-lebih lagi cara Martin bercakap dengan bahu dan mimik wajah yang boleh membuatkan aku fokus dan mengangguk laju tanda faham sangat.
“Ada apa-apa soalan lagi?”
Lantas dia duduk tegak dengan riak wajah yang mengecutkan perutku dengan tiba-tiba. Aku kaku beberapa saat memandang wajah kacaknya sebelum tergagap-gagap bertanya soalan yang sudah lama bermain di fikiran.
“Err... saya nak tahu kenapa awak ada dalam pertandingan itu? Adakah...” Soalanku tergantung bila Martin memintas.
“Adakah saya tahu pasal game yang kita lalui tu semua?” Dia tersenyum beberapa saat sebelum menyambung ceritanya.
“Tidak. Orang yang membuat idea itu adalah Haqiem dari bahagian grafik. Dia dengan team dia yang melakar semua permainan tanpa pengetahuan yang lain. Saya, Abraham dan Zara hanya dipilih untuk merasai pengalaman itu. Maksudnya, saya pun peserta macam awak dan yang lain juga. Saya langsung tak terlibat dalam pembuatan game seram sebegitu.”
Aku lega mendengarnya. Jadi, kami menang atas dasar usaha kami sendiri dalam Mystery Game itu.
“Saya... ermm... terima kasih.” Ucapku gugup.
“Ada apa-apa soalan lagi awak nak tanya?” Martin masih terus memandang tepat ke wajahku.
“Err... tak.” Jawabku yakin.
‘Bodohnya kau, Lila.’
Aku takut nak beritahu Martin tentang masalah aku yang sebenar.
“Kalau begitu... selamat bekerja, Lila. Moga kita boleh bekerjasama dengan baik.” Martin memberi senyuman manisnya, mengakhiri perbualan ringkas kami.
Biarpun bagai ada tangan seperti menahan kakiku dari bawah meja, namun aku tetap juga berdiri. Cepat-cepat aku keluar dengan rasa resah yang mula menggila dalam dadaku.
Di tepi luar pintu bilik Martin yang masih terbuka lebar, aku bersandar seketika sambil mengeluh kecewa. Berkali-kali aku memukul dahiku dengan tapak tangan. Kecewa dan marah pada diri sendiri.
?
TM available in bookstores
Share this novel