10

Romance Series 5211

Namun mataku enggan memberi kerjasama. Menderhaka dengan tuannya sendiri. Seolah ada daya tarikan magnet, suka betul anak mata ini merenung wajah Martin. Akhirnya dengan rasa berat hati, pandangan kami bertembung dengan jarak yang hanya terpisah beberapa kerusi sahaja.
“Hai, Lila.” Tegur Martin berserta senyuman manisnya.
“Err... hai.” Sahutku dengan nada yang paling rendah. Aku cuba tersenyum, namun jelas nampak macam dibuat-buat. Langsung tidak menunjukkan keikhlasan.
“Awak dah okey?” Tanya Martin prihatin. Mungkin pasal hari itu.
“Okey...”
“Sila kenalkan diri awak pada yang lain.” Arah Martin macam seorang ketua.
Dia memandang wajahku tepat, menunggu aku memperkenalkan diri agaknya.
“Err... saya... ehem... saya, Lila.” Aku sedikit gagap.
“Lila aje ke?” Tanya satu suara seorang lelaki yang datang entah dari arah mana.
“Panggil Lila aje.” Aku malas nak bersoal jawab.
“Lila pernah masuk modeling tak? Awak nampak kurus sangat!” Suhan tersenyum panjang memandangku.
“Okey, itu bukan soalan. Tak perlu jawab, Lila.” Martin mencelah.
Aku cuba tersenyum dan bersuara meskipun rasa serba salah itu masih menghujani hatiku.
“Saya dari Bahagian Idea dan Skrip.”
“Dah tahu...” Sahut suara mereka beramai-ramai.
Aku ketawa dan tunduk hormat.
“Tolong berikan saya tunjuk ajar sebagai pekerja baru dan terima kasih kerana menerima saya sebagai rakan sekerja di sini.”
Mereka semua bertepuk tangan. Aku mula rasa lega, tetapi dalam masa yang sama tetap bimbang.
“Baiklah, kita berada di sini sebagai satu pasukan. Saya memerlukan idea-idea yang segar serta boleh menarik penonton. Dan yang paling penting... penaja. Saya tidak berminat dengan pekerja yang sambil lewa. Anda boleh blah kalau anda mahu atau ada niat untuk makan gaji buta.” Jelas Martin dengan tegas.
Kemudian dia tersenyum lebar memandang ke setiap orang di hadapannya, sebelum pandangannya singgah sekejap kepadaku. Cepat-cepat aku menoleh kepada Mina yang membuat wajah manja dan begitu terpesona dengan Martin. Ya, lelaki itu memang mempunyai daya tarikan yang sangat kuat.
“Diakah kekasih gelap awak tu?” Bisikku pada Mina.
“Hmm... betul.” Sahutnya manja sambil menongkat dagunya dengan tangan.
“Jangan nak perasan, ya. Laki kau tu nak letak dekat mana?” Pantas Azila menampar bahu Mina.
“Dekat rumahlah, yang ni dekat office.” Jawab Mina yang masih merenung wajah Martin.
Aku, Kak Mimi dan yang ada berhampiran kami, terus ketawa mengekek. Lucu mendengar perbalahan dua rakan sekerja itu.
“Apa jawatan dia dekat sini?” Aku bertanya Kak Mimi saat tawaku reda.
“Dialah HOD (Head of Department) dekat sini. Dia pun orang baru juga, lebih kurang lima bulan lalu. Ketua lama tu dah berhenti. Martin baru habis kursus dekat luar negara.”
“Ooo...” Sambil mengangguk aku berfikir adakah Martin memang tahu semua pasal pertandingan hari itu?
Aku tak suka kalau kemenangan aku pada hari itu dikaitkan dengan posisinya sebagai ketua kami. Rasanya macam tak adil. Tapi bila difikirkan semula, permainan pada hari itu dilihat sebagai subjektif.
Kami berdua saling meneka jawapan selain bergantung dengan nasib baik sewaktu bermain dadu. Jadi, kenapa agaknya dia ada di dalam pertandingan itu kalau jawatannya cukup besar di dalam jabatan ini?
“Okey, saya ada kerja untuk team idea dan skrip. Cuba tulis beberapa idea untuk satu rancangan talk show berbentuk humor tetapi berinformasi. Boleh?” Martin tiba-tiba membuat pengumuman dengan lagak sebagai seorang ketua.
“Boleh...” Sahut Suhan dan Kak Mimi.
Bella sedang mencatat nota, sementara aku jadi pendengar.
“Sampai sini saja meeting kita hari ini. Semua orang boleh beredar, kecuali Lila. Sila masuk ke dalam bilik saya.” Selesai bercakap, Martin terus berdiri dan keluar dari ruangan itu.
Aku sudah ternganga di tempat dudukku. Terbayang pemecatan di hari pertamaku bekerja. Adakah Martin hendak bertanya tentang duitnya? Boleh tak aku sembunyi dulu? Petang sikit baru jumpa dia, setelah semua orang pulang. Sekurang-kurangnya tidak ada sesiapa yang nampak Martin maki hamun aku dalam pejabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience