MARTIN mula menggoncang dadu dalam genggaman tangannya. Dengan gerakan sederhana, dia melambung dadu yang jatuh ke permukaan meja dengan bunyi berdetak jelas dalam kesenyapan bilik.
Tap... Tap... Tap...
Dadu itu bergolek sebelum berhenti menunjukkan permukaan lima titik. Aku mengeluh lega, sekurang-kurangnya buat masa ini. Martin menggerakkan buahnya ke laluan kotak nombor 5.
Jika lawan kami berhenti pada petak-petak yang telah ditanda seperti 7, 10, 18, 21, 30 dan 47, maka kami berpeluang membuat dua lambungan dadu. Sebaliknya jika kami yang berhenti pada nombor-nombor tersebut, sesuatu yang buruk bakal menanti.
Lawan kami mendapat lambungan dadu enam mata. Dadu tersebut melantun dengan agak misteri di dalam balang kaca yang bergoncang dengan sendirinya. Apa yang membuatkan aku meremang, bila buah dadunya bergerak dengan sendiri. Seolah-olah ada seseorang di depan kami yang melakukannya tetapi tidak kelihatan di mataku dan Martin.
Aku tercengang dalam ketakutan sebelum menoleh kepada Martin yang nampak bersahaja. Seperti langsung tidak takut apa-apa. Kemudian tiba giliran aku. Walaupun ketakutan, aku tetap mengambil dadu itu dari tepi meja dan menggoncangnya perlahan sebelum menjatuhkannya dengan perasaan berdebar.
“Jangan dua, lima pun jangan...” Bisikku sambil menutup mata.
Bila mataku terbuka jelas. Lima? Aku terus berpaling kepada Martin, rasa bersalah kerana nasib malangku. Tangannya menepuk bahuku lembut sambil mengangguk kecil. Lantas aku menggerakkan buah ke petak 10 dengan tangan yang terketar-ketar. Di petak itu, aku membaca catatan ringkas yang sudah tersedia ada.
‘Anak lelakiku suka main sembunyi-sembunyi. Tolong cari dia.’
Dalam suasana senyap yang amat mencurigakan, dan dengan debaran dada yang menyesakkan, aku dan Martin berpandangan.
“Di mana saya nak cari anak lelaki dia?” Tanyaku kepada Martin yang hanya mengurut dagunya.
Suara angin menderu dari speaker bagaikan menghantar khabar buruk kepada kami berdua. Ditambah pula dengan kesuraman dan kedinginan bilik itu. Tubuhku terasa seram sejuk sebelum aku menyedari ada sesuatu yang pelik dan menyebabkan aku tiba-tiba memekik terlolong.
“Arghh! Tolong! Tolong!” Aku menarik tangan Martin dengan kuat. Riak wajahnya turut takut dengan keadaanku yang tiba-tiba macam orang gila.
“Kenapa, Lila?”
Aku terasa ada tangan menangkap kakiku dari bawah meja. Aku cuba lari tetapi gagal dan terjatuh ke lantai. Bila aku pandang ke bawah, ada tangan kecil yang kehitaman sedang memegang betisku.
“Arghhhh!!... Martinnn!!” Semakin kuat jeritanku.
Martin menarikku ke belakang hingga cengkaman tangan kecil di betisku terlepas. Lembaga anak kecil itu masuk semula ke dalam almari di bawah meja. Pantas aku mengensot menjauh dari situ, mencari tempat berlindung.
Dadaku terasa sesak. Aku bersandar ke dinding dengan nafas yang tercungap-cungap. Itu memang melampau! Aku boleh trauma dan koma, tahu. Esakanku mula menyelubungi bilik itu dengan air mata berjuraian membasahi pipi.
“Lila, relaks... relaks. Itu cuma lakonan.” Pujuk Martin.
“Saya give up, Martin. Kita keluar, saya tak tahan lagi. Saya takut…” Mohonku. Seluruh tubuhku menggeletar. Macam mana aku nak teruskan? Aku tak boleh berfikir dengan rasional pun.
“Lila... Lila, awak boleh. Awak kuat. Awak mesti kuat.” Martin duduk mencangkung di sebelahku. Dia cuba memberi semangat.
Aku menggeleng-geleng laju. Semangatku hilang entah ke mana.
“Saya tak sanggup...”
“Awak tak nak menang ke? Inilah peluang awak. Bukankah awak nak bekerja dengan E-Rose TV? Ini satu-satunya peluang yang awak ada, Lila.”
Betul! Semua kata-katanya betul. Tujuan utama aku masuk dalam pertandingan ini sebab aku bercita-cita hendak bekerja di stesen E-Rose TV. Aku bukan datang sebagai orang yang mudah berputus asa. Menyerah dan berputus asa bukanlah sebuah pilihan.
Fikiran yang mendadak muncul itu membuatkan aku berhenti menangis dan mula mengelap muka dengan tapak tanganku yang dingin. Seolah-olah bagai diberi semangat baru, aku bangkit. Martin turut membantuku berdiri.
Kami berdua kembali meneruskan permainan. Ketika bunyi mendayu kedengaran dari kejauhan disusuli intro muzik yang misteri, Martin mengambil dadu itu sementara menunggu lawan kami menggerakkan buahnya ke angka 12.
Seterusnya lambungan dadu kedua. Bagaimanapun, lawan kami tidak berjaya melepasi petak yang kusebut sebagai hukuman, dia mendapat enam mata dan terus ke petak 18.
“Yes...” Aku hampir bersorak gembira sebab kami dapat dua giliran sekaligus kerana lawan kami ditahan satu pusingan sebagai hukumannya.
Mungkin kerana turut rasa teruja dan gembira, dengan tidak sengaja Martin telah menggenggam jemariku sebelum dia rasa tersilap dan cepat-cepat menarik balik tangannya.
“Err... sorry…” Martin sedikit gelabah.
Aku cuba tidak mengendahkannya dan mahu menumpukan perhatianku kembali kepada permainan dadu itu. Kalau boleh aku nak cepat-cepat habiskan. Aku tak sanggup berada di meja itu untuk beberapa minit lagi. Jadi aku tidak begitu ambil pusing pasal hal lain melainkan keinginanku mahu segera keluar.
Cepat-cepat Martin melambung tinggi dadu ke udara sebelum jatuh dan berjaya mendapat 5 mata. Aku pula berjaya mendapat 4 mata untuk terus ke petak 24. Kami berjaya mengelak dari kawasan hukuman.
Kali ini pergerakan buah itu berjalan lebih lancar dengan buah lawan berjaya menghampiri kedudukan kami. Permainan menjadi lebih menyeronokkan. Walaupun berdebar, namun aku teruja selain berharap tidak ada lagi kejutan dan kami berjaya mengatasi lawan.
Martin meneruskan lambungan dadu untuk ke petak seterusnya. Sekarang buah kami berada pada petak ke 27. Martin berpaling kepadaku dengan wajah kecewa ketika lawan kami berjaya ke petak 31.
Aku turut kecewa. Dengan berat hati aku menghulur tangan mengambil dadu dari tepi meja sambil dalam hati berdoa agar tidak mendapat tiga mata. Kawasan hukuman sedang menunggu di petak 30.
“Macam mana ni... saya takutlah...” Luahku.
“Yakin menang, Lila. Kita hadapi apa saja.”
Aku teragak-agak untuk meneruskannya. Perlahan, aku memandang ke bawah kaki sebelum berganjak sedikit. Cuba menjauhi bawah meja itu kerana bimbang hantu budak tadi tiba-tiba keluar dari kolongnya.
“Awak nak saya dukung ke?” Tanya Martin yang begitu merasai ketakutanku.
Pantas aku menggeleng. Memang aku dah gila kalau buat begitu. Dah tentu lepas itu emak akan bunuh aku kalau dia nampak dalam TV rancangan misteri ini. Walaupun takut, aku tetap melambung dadu itu. Ia jatuh bergolek-golek ke sisi bingkai meja sebelum berhenti dengan begitu dramatik.
Tiga mata. Malang sungguh, aku memang dilahirkan bernasib malang. Martin tidak berlengah, terus meletakkan buah itu ke angka 30 dengan petak hukuman menantiku.
Pada petak tersebut tercatat tulisan berdarah ‘Berikan anak perempuanku patung kesayangannya.’, disusuli suara tangisan yang bergema. Suara tangisan itu mulanya sayup-sayup, kini menjadi lebih bingit dan menyakitkan telinga. Mataku bulat memandang Martin.
“Anak patungnya?” Martin bertanya kepadaku.
Tiba-tiba suara ketukan mengejutkan dari balik dinding. Semakin lama semakin kuat hinggakan dinding kayu di kiriku kelihatan bergegar, seakan-akan ada satu makhluk yang ingin keluar dari situ. Aku berlari ke belakang Martin kerana ketakutan akan sesuatu yang dahsyat dari dalam dinding itu.
Tentang Martin available in bookstores
Share this novel