Bab 15

Romance Series 5211

K
ENAPA Lila lambat balik semalam?” Aku yang sedang membuat Milo panas, terkejut bila disergah begitu. Segera aku menoleh memandang emak yang baru balik dari membeli barang dapur di pasar malam.
Mungkin aku tidur sampai tengah hari siang tadi, dia tak sempat tak tanya apa-apa. Bila dah malam begini baru emak teringat bertanya hal itu kepadaku.
“Lila ada kerja dekat studio.”
“Mak risau tau, baik kau kahwin aje. Bingung kepala mak ni kalau kau tak kahwin lagi. Aku tak tahu apa kau buat dekat luar sana. Entah buat maksiat ke, apa ke, siapa tahu. Kan?” Sembur mak melulu.
“Mak! Apa ni? Tolong jangan anggap saya ni buruk perangai boleh tak?”
Emak melabuhkan punggungnya di meja untuk menyertaiku. Aku lihat mata emak bersinar gembira lain macam hari ini.
“Lila, abang kau suruh mak tanya. Kalau ada orang kaya sukakan Lila, macam mana? Lila okey tak?”
Aku menggeleng, malas nak dengar.
“Lelaki tu orang senang, Lila. Kereta ada dua tiga biji, rumah besar, tak apalah kalau kau jadi bini kedua. Nanti bila dia belikan kau rumah, tak payahlah kita menyewa lagi dekat sini.”
“Aduh, mak. Tolonglah jangan mula lagi.”
“Kau nak jadi anak dara tua ke? Umur kau tu dah patut kahwin tau. Nak tunggu kau cari laki, entah bilalah kau nak dapat!” Tengking emak tiba-tiba.
Bila melihat emak hampir menjadi singa betina, aku tinggalkan saja emak di dapur dan terus bersiap-siap pergi kerja.
Beberapa hari kemudian selepas aku pulang dari kerja, pertengkaran tentang topik yang sama tercetus lagi antara aku dengan emak yang semakin luar biasa barannya. Ketika itu aku sedang menikmati secawan Milo dengan biskut kering sambil berehat selepas membersihkan diri. Tiba-tiba emak mengomel macam orang hilang akal.
“Kalau ada orang pinang kau, mak terima terus. Senang, habis cerita. Kau jangan bantah-bantah lagi.”
“Mak... tolonglah, kenapa mak sibuk dengan urusan Lila kahwin atau tidak. Lila baru dapat kerja, ada cita-cita yang nak dicapai. Tak payahlah mak nak risau sangat.” Aku cepat-cepat menghabiskan Milo dan membawa cawanku ke sinki.
“Kau jangan melawan mak, Lila. Susah hidup kau nanti!” Amuk emak yang mengekori aku hingga ke dapur.
“Lila bukan nak melawan mak, tapi hal nikah kahwin ni biarlah Lila yang tentukan siapa teman hidup Lila.” Aku mengelap tangan yang basah selepas membasuh cawan tadi.
Tiba-tiba emak datang menerkam aku macam orang gila. Rambutku ditarik kuat dan ditolak hingga kepalaku terhantuk ke dinding konkrit. Berpinar pandanganku jadinya. Sakit.
Ini sebenarnya perkara biasa pernah berlaku dalam hidupku. Apalah sangat setakat lebam di dahi, malah aku dah pernah rasa lebih teruk dari ini. Aku terus meninggalkan dapur dan masuk ke bilik.
“Mak dah nekad, Lila!” Jerit emak dari luar bilikku.
Pantas aku mengambil telefon dan mencari nombor Andy, tempat mengaduku yang jauh di mata. Sekejap saja dia menyambut video call yang aku buat.
“Akak okey ke? Kenapa menangis?” Tanya Andy yang nampak sedang sibuk buat kerja di meja belajarnya.
“Tak payah tanya, siapa lagi...” Aku ketawa kecil.
“Tanda baru.” Sambungku lagi sambil menunjukkan lebam di dahi.
“Baik kakak bawa mak pergi psikiatri. Andy rasa ada yang tak kena dengan mak tu. Dah nampak jelas sikap mak terbawa-bawa dengan kisah lama. Dia selalu ingat kakak tu masih berumur 14 tahun.”
“Mak ada masalah ingatan benci yang tak berakhir pada kakak, Andy.” Nada suaraku berubah sayu. Air mata mula mengalir perlahan.
“Nanti Andy balik cuti semester, kita bawa dia jumpa doktor. Andy rindu dengan kakak. Macam mana tempat kerja baru?” Tanya Andy yang tersenyum memujuk hati laraku.
“Okey, kerja semua tak ada masalah. Yang tak okey dekat rumah aje.” Aku ketawa kecil.
“Nanti bagi nombor office kakak, senang Andy nak cari kalau ada emergency. Selalu call handphone tak dapat. Sibuk betul ke atau dating dengan Martin?” Usiknya lagi.
“Dating?” Aku ketawa kecil mendengar andaian Andy.
Memang aku banyak bercerita kisah hal aku dengan Martin kepada Andy. Begitu juga dengan Andy, suka berkongsi cerita dan masalah dengan aku. Hanya kami berdua saja. Emak dan Ameng tidak termasuk di dalamnya.
“Okeylah. Andy. Pergilah buat homework tu, kakak nak tidur ni.”
“Okey, bye. Jaga diri, jaga kesihatan.”
Aku tersenyum sebelum menutup talian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience