EHINGGALAH ke petang, fikiranku bukannya fokus pada kerja baruku. Suhan dan Kak Mimi kelihatan sibuk menaip skrip yang diminta oleh bos besar lusa nanti. Bella pula sedang membelek fail-fail lama di rak bersebelahan dengan mejanya.
Aku sekadar menconteng kalendar lama. Masih susah hati pasal hutang dengan Martin. Fikiran itu amat menyeksa benakku. Aku langsung tidak dapat bekerja dengan tenang bila memikirkannya. Sepatutnya aku berterus-terang dengan Martin tadi walaupun dia tidak bertanya pasal duitnya atau mungkin juga dia terlupa.
Kegelisahan itu semakin berpanjangan hingga ke petang. Bimbang aku terkena serangan penyakit kecelaruan dan keresahan, dengan ragu-ragu aku bertanya kepada Suhan.
“Suhan, tahu tak Martin balik pukul berapa?”
“Biasanya pukul 6.00 kalau tak ada program yang dia kena uruskan.” Jawabnya sambil menaip. Seketika kemudian, dia melihat jam di tangannya.
“Hah! Dah pukul 5.30. Aku balik dululah.” Tiba-tiba dia kelam-kabut menyusun kertas dan fail yang berselerak di atas meja dan bersiap untuk pulang.
“Akak pun nak balik ni. Jom Lila, Bella...” Ajak Kak Mimi.
Cuma Bella saja yang ikut Kak Mimi. Sementara aku berpura-pura seolah masih ada kerja lagi yang perlu disiapkan.
“Sekejap lagi saya balik, kak. Nak habiskan kerja ni sikit.”
Cepat sahaja mereka keluar selepas melambai tangan kepadaku yang masih pura-pura sibuk di meja kerja. Selepas keadaan mula lengang, aku keluar mengintai bilik pejabat Martin. Lampunya masih menyala.
Jam di dinding luar menunjukkan 15 minit lagi pukul 6.00 petang. Aku dalam dilema sama ada masuk menemuinya atau esok saja. Tetapi kepalaku sudah terlalu berat dengan beban hutang yang perlu dijelaskan. Aku tak sanggup menanggung keresahan yang mula buat aku tertekan.
Beberapa minit menunggu, tiba-tiba aku tersentak. Tanpaku sedar, Martin sudah pun keluar dari pintu utama. Aku berlari semula ke mejaku, mengambil beg silang dan turut menyusul keluar.
Cuma terlambat beberapa saat, lif yang membawa Martin turun sudah pun tertutup rapat. Aku mengeluh kerana terlepas pandang. Pantas aku berlari turun ikut tangga di bahagian tengah. Aku melangkah sehingga dua anak tangga sekaligus.
Di tingkat bawah, aku kehilangan jejak Martin. Kepalaku tertoleh ke kanan dan ke kiri mencarinya. Lantas aku keluar dari pintu utama terus ke kawasan parkir sebelah kanan. Di situ dalam jarak tiga puluh langkah di hadapan sana, Martin sedang menuju ke kereta.
Aku terus berlari. Apa nak jadi, jadilah. Biarlah aku malu, lebih baik berterus-terang dari digelar penipu. Jarak kami berdua semakin dekat. Kelihatan Martin baru sahaja hendak membuka pintu keretanya.
“Martin!” Panggilku.
Dia berpaling ke belakang dan terkejut saat memandangku sebelum tersenyum.
“Lila... awak nak tumpang saya balik?” Dia menyebut namaku dengan lembut.
Aku mengambil nafas sambil termengah-mengah kerana berlari tadi. Sempat juga aku menggeleng menolak pelawaannya sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Sudah ramai pekerja pulang seawal jam 5.00 agaknya, sebab kereta-kereta yang sesak awal pagi tadi sudah pun berkurangan. Mujur Martin memarkir keretanya di sebelah pohon rendang yang menjadi pelindung kami berdua di situ.
“Saya nak cakap sesuatu.” Kataku dengan degup jantung kencang dan lutut yang menggeletar.
“Apa dia?”
Bagaimanapun, aku kehilangan kata-kata buat seminit dua kemudian.
“Lila...”
Martin hairan bila aku langsung tidak dapat bercakap. Hanya mata kami yang berpandangan sebelum aku membuang pandanganku ke arah lain.
“Awak nak cakap apa?”
Di tangan kananku, ada kad bank yang berbaki RM3 ribu yang perlu aku kembalikan kepadanya. Tetapi aku terlalu takut untuk berbicara. Air mataku mula bergenang. Lantas tanpa dia menduga, aku terus duduk melutut betul-betul di hadapan Martin. Kepalaku menunduk sebagai tanda mohon maaf yang masih tidak difahami oleh Martin.
“Lila?”
“Saya minta maaf...” Nada suaraku bergetar akibat menahan tangis. Saat itu aku menyesali kesusahan hidupku yang selalu menjadi batas-batas penghalang kejayaan.
“Lila, tolong berdiri. Beritahu saya kenapa dengan awak ni?”
Martin ikut duduk dengan sebelah lututnya mencecah jalan. Dia menarik aku berdiri, tetapi aku menolak bantuannya itu. Tidak aku pedulikan wajah hairannya dengan tingkahku. Tidak berkurang keresahan ini jika aku tetap berdiam diri. Biar semua rasa sesak itu keluar dari dadaku. Aku tak mahu menyimpannya lagi.
Lantas, aku menghulurkan kad bank kepadanya dengan wajah yang masih menunduk ke bawah. Malu mahu bertemu mata dengan lelaki itu. Kenapalah aku harus melalui semua perkara yang memalukan? Tak sangka hidupku seteruk ini. Kepalaku terus menggeleng kesal.
“Duit kemenangan tu, saya... saya...” Bicaraku tersangkut. Martin masih menunggu dengan sabar.
“Saya minta maaf, duit tu dah lesap. Saya... bukan... bukan saya...” Aku benar-benar tidak tahu nak cakap apa ketika ini.
“Saya kembalikan baki duit RM3 ribu awak. Semuanya ada dalam kad bank ni. Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak gunakan...”
Tiada daya menahan air mata lagi. Aku teresak-esak menangis di depan seorang lelaki. Bukan untuk menagih simpati, sebaliknya aku amat membenci diriku. Aku benci kerana terpaksa meletak maruahku di tempat yang paling rendah disebabkan wang.
“Lila... berdirilah dulu. Kita duduk di sana, ya?”
Dia memaksa aku bangun dan membawa aku duduk di bahu jalan. Betul-betul di atas tebing simen yang rendah. Namun begitu, aku tetap enggan memandangnya.
“Saya tak faham apa maksud awak. Okey, saya dengar yang duit saya dah lesap. Betul?”
Martin langsung tidak terkejut. Ketika aku mengerling, tidak sedikit pun ada riak kemarahan di wajah lelaki itu. Setidak-tidaknya tingkah Martin saat itu tetap tenang. Malahan dia cuma tersenyum.
“Ceritalah, kenapa jadi macam ni? Mungkin tak patut duit saya lesap macam tu, tapi... saya rasa mesti ada sebab lain yang awak sembunyikan dari saya.” Ujarnya lalu memiringkan kepalanya sedikit untuk melihat wajahku.
Aku menyapu air mata di kedua belah pipiku dan kembali mengawal emosi. Perlahan-lahan mengusir rasa resah dari dalam dada. Setelah reda sedikit, aku cuba bercerita hal yang sebenar.
“Saya tak tahu sama ada awak percaya cerita saya atau tidak.”
“Saya percaya.” Sahutnya dengan pantas. Seolah dia berkata tanpa berfikir dahulu.
Sewaktu matahari sudah mula menghilang di ufuk barat, lampu jalan pun menyala menerangi kawasan parkir yang kian gelap. Dengan suara yang perlahan, aku membuka cerita sebenar.
“Mak saya ambil semua duit tu. Tak... sebenarnya... mak saya curi kad bank saya dan dia belanjakan hampir kesemuanya. Beli barang perabot, bayar hutang. Mak saya tak tahu duit tu bukan kepunyaan saya semuanya. Dia ada masalah shopaholic yang luar biasa. Tapi saya janji akan bayar balik duit awak. Saya akan bayar semuanya, sumpah.” Aku mengangkat tangan seperti orang bersumpah.
Martin terdiam sejenak, kelihatan seperti sedang berfikir sesuatu. Aku tidak begitu pasti adakah dia betul-betul percaya dengan ceritaku yang kedengaran macam cerita rekaan. Aku pun tidak mahu mendesak agar dia percaya dengan ceritaku sebab kepalaku sendiri sudah cukup bingung dengan masalah di rumah.
“Mungkin awak kena belanja breakfast untuk saya setiap hari untuk tebus hutang awak tu.” Putus Martin selepas berfikir panjang.
“Eh, breakfast?” Aku pula yang terkejut sambil memandang dia dengan pelik.
“Breakfast setiap hari atau belanja makan bila ada masa lapang. Saya lebih suka kalau awak yang belanja saya makan. Resitnya bolehlah awak kumpul sampai hutang tu habis.” Ujar Martin lalu ketawa.
“Itu saja? Betul ke?” Aku masih tidak faham sebenarnya. Betulkah Martin hanya mahu aku belanja dia makan sebagai ganti rugi kehilangan duit dia?
“Simpanlah kad bank awak tu. Saya akan fikirkan hal ni lain kali saja. Kepala saya sekarang sedang...” Jari telunjuknya menunjuk ke arah kepala yang sedang serabut.
“Banyak fikir pasal hal kerja. Banyak tugasan juga yang menunggu kita nanti. Dahlah, jangan nangis lagi. Saya hantar awak balik.”
“Tak apalah, saya balik naik bas.” Laju saja aku berdiri dan terus melangkah pergi. Tak cukup segankah aku sampai nak menumpang keretanya pula?
Belum pun jauh langkahku meninggalkan dia, lenganku tiba-tiba disentap dari belakang. Laju aku berpusing menoleh ke belakang dengan muka yang berkerut. Bengis juga bila Martin seperti mahu mengambil kesempatan.
Perlahan, Martin melepaskan tangan aku.
“Saya hantar awak balik. Kalau saya tahu di mana awak tinggal, sekurang-kurangnya awak tak boleh lari dari saya sebelum habis hutang, kan?”
“Err... baiklah.”
Aduh, memalukan betul. Nasib baik aku tak maki hamun dia tadi sebab salah faham. Aku tersengih panjang dan menurut arahan. Lantas aku berpusing ke sebelah tempat duduk penumpang, membuka pintu dan masuk. Mulutku kekal diam, begitu juga dengan Martin. Janggal benar keadaan kami berdua sepanjang dia memandu.
“Belok kiri dekat depan sana.”
Martin mengikut sahaja tunjuk arahku tanpa sepatah kata. Sehinggalah keretanya sampai betul-betul di lorong pertama.
“Awak masih marah ke?” Tanyaku risau.
“Apa?” Martin memusing stereng kereta masuk ke selekoh.
“Awak boleh maki hamun saya sekarang kalau awak nak. Tapi tolong jangan pecat saya. Saya perlukan kerja.”
Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan dan kemudian berpaling kepadaku. Tangannya menggaru dahi sesaat dengan jari telunjuk. Bibirnya turut mengukir senyuman.
“Lila... tolong jangan fikir saya marah atau pasal hutang tu lagi. Percayalah, saya okey. Kita berdua dah jadi satu team. Saya sangat-sangat gembira awak ditawarkan bekerja dalam Variety and Talk Show Department. Awak berbakat, saya tahu. Awak boleh merealisasikan apa yang saya mahu. Kitalah yang bertanggungjawab menaikkan nama E-Rose TV pada masa akan datang. Kita berdua akan jadi partner yang hebat... macam dalam escape room tu, kan? Okay, now give me hi-5!”
Aku menepuk tangannya lemah dan tersengih.
“Kita jumpa esok, jangan lupa breakfast saya.” Katanya lagi.
Aku mengangguk kecil.
“Oh... ya, sebelum saya terlupa.” Aku cepat-cepat menghantar mesej kepada Martin. Sungguh aku tak menyangka yang dia akan tersenyum melihat mesejku.
“Itu alamat rumah saya. Jangan risau, saya tak lari.”
“Okey... selesai. Bye, Lila. Jangan fikir lagi.”
Aku membuka pintu kereta dan turun. Sejurus kereta Martin keluar dari kawasan perumahan, aku mengeluh lega. Seolah-olah semua beban di bahuku terhapus tanpa kesan.
TM kaseh aries shoppee
Share this novel