9

Romance Series 5211

Sebagai orang baru, Suhan dan Kak Mimi menjadi sumber maklumat yang paling baik. Dari merekalah aku tahu tentang siapa yang berlagak macam bos, siapa kuli, dan siapa banyak songeh dalam jabatan kami.
Selain dari itu, aku juga dapat maklumat tentang bos besar E-Rose TV. Namanya Puan Rosni Sulaiman. Jadi, nama syarikat ini memang dia realisasikan dengan menggunakan namanya sendiri.
Selepas bersarapan di pantri, kami memulakan kerja. Untuk aku, hari pertama bermula dengan sesi berkenalan dengan rakan sekerja dari bahagian lain dulu. Ruang bilik itu hampir dipenuhi dengan pekerja lain yang membuatkan aku rasa rendah diri bila mereka sudi menemui aku dan Bella.
“Yang mulut becok dan kuat makan ni, namanya Mina. Dia ni dari bahagian props. Kalau Lila perlukan apa-apa, cari dia. Dan kalau korang nak tahu, dia ada kekasih gelap di sini tau.” Usik Suhan sambil memperkenalkan Mina yang bermata sepet, kulit putih dan memang jenis banyak mulut.
“Ingat, Lila... jangan main mata dengan kekasih gelap I, okey. Bella pun!” Kata Mina dengan nada bergurau sambil menjeling manja.
“Jangan nak perasanlah!”
Kak Mimi mencelah dan membuatkan kami ketawa. Kemudian Kak Mimi mengambil alih menjadi jurucakap yang memperkenalkan semua orang kepada kami berdua.
“Bella, Lila... yang ini pula Azila.”
Aku terus berjabat tangan dengan Azila. Orangnya agak anggun bergaya, cantik dan sedikit pendiam. Namun tetap juga ramah dan menegurku dengan mesra.
Aura keseronokan dalam jabatan itu semakin mula dirasakan bila semua rakan-rakan sekerjaku peramah dan suka buat lawak. Terutama Suhan yang tinggi lampai. Hidungnya mancung dan paling penting, dia satu pasukan dengan aku di Bahagian Idea dan Skrip.
?

Tiga jam berikutnya...

“OKEY... standby, ada meeting kejap lagi!”
Mina melaung kuat dari luar pintu sebelum dia cepat-cepat ke Ruang Perbincangan. Laju gerakannya menyusun atur bangku yang berterabur di sana sini sebelum pekerja lain masuk untuk bermesyuarat.
Aku dan Bella menurut arahan. Ikut sahaja langkah Kak Mimi ke Ruang Perbincangan. Pekerja lain, masing-masing mula mengambil tempat. Ruangan itu memang berbeza dari yang aku bayangkan sebelum datang ke sini.
Kerusi dan mejanya jenis rendah. Ruangannya agak terbuka. Tidaklah begitu besar tetapi kelihatan mula sesak bila semua pekerja mula berkumpul, termasuk dari bahagian suntingan. Aku duduk dengan lutut hampir separas perut.
Kak Mimi menyuruh aku dan Bella duduk di depan bersamanya kerana kami perlu memperkenalkan diri sekejap lagi. Walaupun semua orang duduk secara rawak, tetapi masih dekat dan mudah untuk kami bercerita. Mina dan Azila sudah tidak sabar nak dengar aku bercerita pasal pertandingan sebelum ini.
“Pandai betul semua pesertanya tutup mulutkan. Aku dengar, mereka boleh disaman kalau ada cerita bocor pasal tu sebelum siar dekat TV.” Adu Mina dengan mulut kecilnya.
“Betul, kami dah kena bagi amaran untuk...” Aku membuat isyarat zip mulut. Bella turut terangguk-angguk di sebelahku.
“Tapi dengarnya, itu percubaan program terbaru E-Rose TV. Maksudnya disiarkan secara eksklusif ke?” Kak Mimi pula mencelah. Tetapi tiada sesiapa pun menjawab pertanyaannya ekoran Suhan muncul dengan kelam-kabut.
Ada seseorang di belakangnya yang membuatkan kakiku terasa kejang tiba-tiba. Aku terpaku di tempat dudukku, macam anak kecil yang terkejut disergah kerana telah melakukan kesalahan. Tak tahu macam mana pucat wajahku. Sampai aku berharap moga-moga bangunan itu runtuh serta-merta, biar kami semua tertimbus di dalamnya.
Ketika dia duduk di atas kerusi kayu, jantungku mula beraksi kencang. Perasaan itu lebih teruk dari terperangkap dalam permainan dadu yang menyeramkan dalam ‘ROOM 3’.
“Assalamualaikum.” Dia menyapa.
“Waalaikumussalam...” Jawab mereka beramai-ramai.
“Lawa baju hari ni, Martin.” Puji Mina.
“Thanks, Mina. Baju lama.”
Ya, aku tak salah dengar dan mataku jelas menangkap wajah kacak Martin dan matanya yang bercahaya itu. Apa aku nak buat? Dia pun ditawarkan kerja dekat sini ke? Tapi aku tak dengar pula dia turut diberikan pekerjaan dekat sini. Setahu aku, cuma aku dan Bella saja yang ditawarkan pekerjaan di sini.
Jika benar dia juga mendapat tawaran kerja di sini, boleh tak aku letak jawatan sekarang? Dan lepaskan peluang sebaik ini? Aku cuba menyembunyikan muka dari balik bahu Kak Mimi yang sudah berkerut dahi, kehairanan melihat kelakuan aku.
“Okey, pekerja baru dah masuk ke hari ini?” Tanya Martin.
Aku hanya mendengar suara parau itu tanpa melihat orangnya.
“Sudah. Bella... sila kenalkan diri dulu.” Minta Kak Mimi.
Aku tidak mampu mendengar lagi, tak dapat nak fokus kepada Bella lagi. Ingatanku saat itu kacau-bilau. Kemunculan Martin buat aku jadi tidak tentu arah. Kali ini bukan sebab dia kacak, tetapi sebab duitnya yang telah aku salah gunakan. Tak! Emak aku yang salah gunakan!
Tiba-tiba bahuku dicuit. Kak Mimi memandangku dengan isyarat mata. Aku mengangkat kening isyarat bertanya ‘kenapa?’. Kak Mimi yang faham maksud isyarat aku tadi terus menerangkan maksud isyarat matanya.
“Kenalkan diri.” Nadanya macam dah mula hilang sabar.
Perlahan aku berdiri, cuba tidak memandang ke depan. Tak sanggup hendak berhadapan dengan lelaki itu. Rasa malu dan rasa bersalah terus menghimpit dada hingga saat itu aku merasakan seperti berada di dalam balang kedap udara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience