BAB 7

Romance Completed 40557

“SERI… masuk bilik saya kejap?”

“Baik Encik Zaf.” Ganggang telefon diletakkannya. Kaki dilangkahkan ke bilik bosnya.

“Ada apa Encik Zaf?”

“Boleh tak awak tolong ambilkan fail nombor lima dekat belakang tu?”

Apa ke pelik? Fail tu situ je kot? Panggil aku masuk sini semata-mata nak suruhkan ambil fail yang dekat situ aje? Biasanya bukan dia ambil sendiri aje ke? Tanpa banyak soal, dia terus mencari fail sepertimana yang diarahkan oleh bosnya itu.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong?”

“Duduk depan tu.” Selamba sahaja arahannya. Ya, dia memang suka pandang muka Seri. Apatah lagi masa tak sihat macam ni. Pandang aje muka Seri, pasti tubuhnya terasa sedikit segar. Seri… Seri… begitu besar penanganmu! Penyejuk di mata, penawar di hati!

Lama Seri duduk. Satu pun tak ada arahan yang dikeluarkan oleh lelaki itu. Cuma sesekali lelaki itu melemparkan pandangan ke arahnya tanpa sedikitpun bersuara. Kenapa dengan Encik Zafril ni? Lain macam aje aku tengok?

“Encik Zaf… boleh saya tanya satu soalan?”

“Hmm. Tanyalah.”

Seraut wajah itu dipandangnya sekejap. Muka dia nampak lain macam aje? Merah, macam demam! Dia demam ke?

“Encik Zaf, kenapa? Tak sihat ke?”

“Entahlah! Rasa tak sedap badan. Awak ada panadol?”

“Sekejap ya, saya ambilkan.” Seri keluar dan mencari panadol di dalam lacinya. Kemudian kakinya dilangkahkan ke pantry lalu mengambil segelas air kosong. Sekejap sahaja dia sudah muncul semula di dalam bilik bosnya.

“Encik Zaf… saya bawakan panadol dan air.” Tidak sampai hati bila melihat tangan yang terketar-ketar menyambut huluran gelasnya itu, Seri menyuakan gelas itu ke mulut bosnya.

Zafril yang sedang menyandarkan tubuh di kerusi sambil memejamkan mata, membuka perlahan kelopak matanya. Seraut wajah Seri dipandangnya lama. Dia… baik sangat. Dia… buatkan aku rasa bahagia. Dia… menimbulkan rasa cinta dalam hati ini. Dialah perempuan yang aku cari untuk menemani aku sepanjang hidup ini!

Seri yang tidak mengesyaki apa-apa sekadar tersenyum walaupun ada rasa serba salah.

“Minumlah.”

Air di dalam gelas itu diteguknya. Namun pandangannya masih pada seraut wajah itu.

Kenapa? Ada yang tak kena ke? Kenapa Encik Zafril pandang aku macam tu? Aku dah terover ke? Tapi… aku cuma nak menolong dia. Takut air tu tertumpah atas kertas kerja dia.

“Ada apa-apa lagi yang Encik Zaf perlukan?”

Zafril menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Kalau macam tu, saya keluar dulu. Kalau Encik Zaf perlukan apa-apa intercom saya, ya?”

Kali ini dia sekadar mengangguk. Sungguh, di dalam hatinya dia terlalu ingin berbicara lagi dengan gadis itu. Namun kepalanya berdenyut-denyut. Dan dia tidak mampu berfikir lagi. Dia cuma perlukan rehat.

Seri melangkahkan kaki keluar daripada bilik itu. Daun pintu ditutup rapat. Tidak mahu mana-mana pekerja menganggu bosnya yang sedang berehat. Baru sahaja dia ingin melangkah ke tempatnya, tiba-tiba lengannya ditarik seseorang. Tidak boleh tidak, kakinya dilangkahkan juga mengikuti langkah lelaki itu. Encik Zaim? Apa hal pulak ni?

“Encik Zaim ni, kenapa? Sakitlah!”

Tubuh Seri dihempaskan ke dinding batu itu. Sakit sungguh hatinya melihat riak tidak bersalah gadis itu. Pandangan tajam dihalakan pada sepasang anak mata itu.

“Kau ni nak goda abang aku ke?”

Berkerut dahinya menahan sakit dihempaskan begitu walaupun cuma perlahan sahaja.

“Goda apa pulak ni?” Aku tak faham betullah dengan dia ni! Sikit-sikit nak marah! Tak boleh ke kalau satu hari ni, dia tak marah-marah macam ni?

“Tadi tu! Yang kau berdiri rapat-rapat dengan dia, kenapa? Siap tolong suapkan air bagai? Dia tak ada tangan ke nak suap sendiri?” Suaranya keras menampar gegendang telinga wanita itu.

Terkebil-kebil dia memandang lelaki itu. Berdebar jantungnya bila disergah begitu. Dia nampak ke?

“Apa yang Encik Zaim merepek ni? Saya cuma nak tolong dia.”

“Tolong apa sampai rapat macam tu? Memang kau nak goda dia kan? Sebab kau memang ada hati dengan dia!”

Seri melepaskan keluhan kecil.

“Encik Zaim… saya cuma nak tolong Encik Zaf aje. Dia tak sihat. Demam. Yang rapat tadi tu, dia macam nak terjatuh. So, saya tolonglah. Pasal suap air tu… tangan dia ketar. Saya takut tertumpah dekat kertas kerja dia. So, saya tolong suapkan. Itu aje. Kalau Encik Zaim tak percaya, Encik Zaim tanyalah Encik Zaf sendiri.”

Sepasang anak mata itu ditatapnya lama. Malu sebenarnya sebab dah tuduh melulu. Tapi… sungguh di dalam hatinya sangat geram melihat situasi mereka berdua tadi. Itu aku yang nampak. Kalau orang lain nampak macam mana? Tak ke mendatangkan fitnah?

Berkerut dahinya memandang lelaki itu. Apesal? Pandang aku macam nak telan aku je? Dah jadi Singa jadian pulak ke?

“Kenapa pandang saya macam tu? Boleh tak Encik Zaim lepaskan tangan saya?”

Pantas tangannya melepaskan tangan kecil yang masih dalam pegangannya itu. Langsung dia tak perasan yang dia masih menggengam erat lengan gadis itu.

“Suka hati akulah nak pegang ke apa! Yang kau menyebok sangat, kenapa?”

Kenapa, dia cakap? Tangan aku, woi!

“Saya bukannya nak menyebok. Tapi tak elok kalau orang tengok! Boleh mendatangkan fitnah! Lagi satu… berdosa!”

“Fitnah konon! Yang tadi tu kau pegang-pegang tangan abang aku tu? Boleh mendatangkan fitnah jugak, kan? Berdosa jugak, kan?”

“Itu tak sengaja. Lagipun berlapik, kan? Dia pakai baju kemeja berlengan panjang!”

“Yang ni pun bukannya aku sengaja.”

Seri senyum. Eleh, nak cover malulah tu! Macamlah aku tak tahu perangai dia. Comel aje dia ni, kan?

“Tipulah! Sengajalah tu! Tadi Encik Zaim dengan sedarnya menarik tangan saya sampai sini, kan?”

Zaim mengetap bibir geram. Dia ni kan… ada sahaja ayat pedas dia tu!

“Tersengih-sengih! Mana kau tahu sengaja?”

Eh, suka hatilah nak sengih ke apa?!

“Sengaja tu ertinya berniat! Tadi tu memang Encik Zaim berniat nak tarik tangan saya sampai ke sini. So, sengajalah tu namanya!”

Zaim mengecilkan kelopak matanya ke arah gadis itu. Seraut wajah itu dipandangnya lama. Mulut dia ni kan… pot pet! Pot pet! Ada yang yang kena cium jap lagi!

Seri menikus sekejap. Takut sebenarnya. Tapi kalau dengan mamat ni, kena buat berani jugak! Jangan sampai dia besar kepala!

“Apa pandang-pandang?”

Zaim menahan gelak. Macamlah aku tak tahu yang dia takut. Tapi konon macam berani. Kelakarlah minah ni!

“Perasannya? Macamlah aku pandang kau!”

“Habis tu? Pandang mana?”

“Kalau kau nak tahu, kat mata kau tu ada tahi mata! Tak malu!”

“Nak malu buat apa? Tahi mata tu keluar sebab membersihkan mata. Bukannya najis pun.” Cepat-cepat dia mengorek tahi matanya. Tak ada pun? Kali ini tangannya beralih ke mata kiri pula. Tak ada jugak. Takkanlah tak keluar lagi? Kan aku dah korek kuat sikit!

“Ada lagi tak?”

Terasa mahu tergelak sampai tergolek-golek mendengar pertanyaan itu. Percaya jugak rupanya. Seri… Seri… ada sahaja perangai kau yang mencuit hati aku, kan?

“Ada.” Bohongnya sekali lagi.

“Kat mana?”

“Sebelah kanan.” Zaim tersenyum kecil. Dia ni kan… mudah sangat percayakan cakap orang. Muka seposen pulak tu! Boleh dia korek tahi mata depan-depan aku? Kalau perempuan lain, sah-sah dah cover bagai.

“Ada lagi?”

“Sebelah kiri pun ada.”

Berkerut dahinya. Dah puas aku korek ni! Takkanlah tak keluar-keluar lagi? Dia mengorek lagi matanya.

“Tak ada pun.”

“Ada. Koreklah betul-betul!”

“Tak ada.”

“Ha’ah… memang tak ada pun.” Kali ini dengan muka selambanya dia berterus terang.

What? Takkanlah dia tipu aku? Siap cakap sebelah kanan lagi. Tajam pandangan matanya menikam seraut wajah itu. Bibirnya diketap geram.“Awak tipu saya?”

“Memang pun.” Selamba jawapannya sambil melangkah masuk semula ke dalam ruang pejabat.

“Awak ni kan…” Dia masih ingin menghemburkan amarahnya. Namun lelaki itu lebih pantas meninggalkannya sebelum dia sempat berceramah lebih panjang.

Seri mengetap gigi geram. Dia ni kan… memang menyakitkan hati! Cepat sahaja dia berlari anak ke arah Zaim lalu melesetkan tangannya pada baju Zaim.

“Nah, ambik ni! Rasakan! Tipu sangat!”

Bulat mata Zaim memandang tingkah laku Seri yang langsung tak terjangkanya.

“Berani kau buat macam tu? Kau ingat, kau sorang aje ke ada?” Kali ini giliran dia pula yang mengorak matanya dan dengan pantas mengesatnya pada baju Seri.

Melihat riak wajah Seri yang menahan geram dan seolah-olah ingin membalas semula, dia terus lari lintang pukang!

Seri mencebik. Tak kuasa aku nak kejar dia! Macam budak-budak! Setelah kelibat Zaim hilang daripada pandangannya, dia tersenyum sendiri. Kan dah kata… Si Singa hidung belang ni dah hilang taringnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience