BAB 1

Romance Completed 40557

MUKANYA diangkat apabila mendengar derap kaki seseorang yang berjalan ke arah pintu pejabat bosnya. Cepat-cepat dia berlari anak dan menghalang langkah lelaki itu. Kalut sungguh dibuatnya apabila Encik Zaim datang dan terus melangkah ke pejabat bosnya tanpa bertanya sepatah pun. Ya, lelaki ini memang begini. Lelaki ini memang sesuka hatinya! Lelaki ini memang suka bertindak melulu. Lelaki ini memang suka marah-marah tanpa sebab yang munasabah.

“Encik Zaim! Encik tak boleh masuk.” Pantas dia berdiri di hadapan lelaki itu lalu menghalang laluannya. Senyuman cuba diukirkan apabila lelaki itu menghentikan langkah dan melemparkan pandangan tajam ke arahnya. Ya Allah, berdebarnya! Jangan dia marah aku depan-depan orang ramai sudahlah!

“Assalamualaikum, Encik Zaim. Maaf, Encik Zaim tak boleh masuk. Encik Zaf ada tetamu.” Dia cuba bersuara selembut yang mungkin dengan harapan hati lelaki itu akan menjadi lembut juga.

Pandangan tajam dihalakan pada seraut wajah wanita bertudung itu. Asal aku datang sini je, mesti dia halang! Dia ni apa hal, eh?

“Kau apa hal? Bilik abang aku kot? Suka hati akulah nak ke mana pun! Syarikat ni ayah aku yang punya. Kau tu cuma makan gaji aje kat sini!”

Seri senyum sambil menganggukkan kepalanya.

“Saya tahu… sebab tu saya cuba melakukan kerja saya dengan sebaik yang mungkin. Tak salah, kan, kalau Encik Zaim hormatkan tetamu Encik Zaf?”

“Huh, rimas betul aku dengan kau ni! Macam manalah Abang Zaf tu boleh ambik PA macam kau ni? Dahlah! Jap lagi kalau diorang tu dah selesai, kau inform kat aku! Payah betul berurusan dengan bendul macam kau ni!”

Seri masih senyum dan menganggukkan kepalanya.

“Terima kasih Encik Zaim, sebab faham. InsyaAllah saya akan informkan kepada Encik Zaim.”

Tanpa bersuara lagi, kakinya terus dilangkah meninggalkan meja PA abangnya itu. Sambil berjalan, dia tersenyum perlahan. Untung Abang Zaf dapat PA macam Seri. Si Seri tu cantik sangat. Sesiapa pun… mana-mana lelaki sekali pun, pasti akan goyah apabila memandang seraut wajah yang penuh dengan kelembutan seperti itu.

Iman aku sendiri pun akan goyah setiap kali memandang senyuman yang terukir indah pada seraut wajah itu. Muka menggelabah dia tu… buat aku termimpi-mimpi! Apesal aku suka cari gaduh dengan dia sangat, eh? Tapi serius… aku jealous sangat dengan Abang Zaf sebab dapat PA macam Seri tu!

Punggungnya dilabuhkan duduk di atas kerusinya. Otak kecil masih memikirkan gadis manis itu. Ya, memang pun! Dalam fikirannya hanya ada Seri, Seri dan Seri! Deringan telefon di atas mejanya memeranjat dirinya. Pantas sahaja ganggang telefon itu dicapainya.

“Hello!” Suara menjawab acuh tidak acuh sahaja!

“Assalamualaikum, Encik Zaim. Saya Seri daripada Pejabat Eksekutif.”

“Eleh, macamlah aku tak cam suara kau tu! Nak kenalkan diri bagai konon! Apa kes?”

Dia sudah tergelak kecil dihujung talian.

“Oh, Encik Zaim boleh cam eh suara saya? Bangganya saya. Sebelum tu saya nak tanya Encik Zaim satu soalan. Encik Zaim dah jawab salam saya ke belum?”

“Eh, yang kau nak menyebok sangat ni kenapa? Kau nak apa ni? Kalau kau call aku semata-mata nak bagi ceramah macam ni, baik tak payah! Aku tak ada masa nak dengar ceramah kau tu!”

“Er… maaf, Encik Zaim. Saya ni lebih-lebih pulak, kan? Saya cuma nak bagitahu yang…” Belum sempat dia menghabiskan baris ayatnya, lelaki itu terlebih dahulu menyampuk dengan jerkahan kuat.

“Nak bagitahu apa?” Jerkahnya kuat. Sebenarnya dia memang sengaja menjerkah gadis itu. Padahal di dalam hatinya sudah ketawa mengekek. Saat ini dia sudah dapat membayangkan seraut wajah menggelabah Seri.

“Er… saya nak cakaplah ni. Encik Zaim tu yang menyampuk tiba-tiba. Nasib baik tak tercabut jantung saya ni sebab terkejut.” Eee… geram pulak aku dengan singa hidung belang ni!

“Kau melawan aku, eh?” Dia masih mahu menghemburkan amarahnya kepada gadis itu.

Seri mengetap bibir geram. Aku tak faham betullah dengan mamat ni! Asal dengan aku aje, mesti dia nak cari gaduh! Benda kecik aje pun! Yang dia nak menjerit sampai putus urat kentut tu kenapa?

“Encik Zaim… saya cuma nak cakap yang…”

“Kau nak ca…”

“Encik Zaim!” Pantas dia menghalang kata-kata lelaki itu. Makin dibiarkan makin lelaki itu akan mencari kesalahannya. Makin lelaki itu akan memintas ayatnya. Lebih baik dia terlebih dahulu menghabiskan baris ayatnya! Kalau dia nak marah-marah pun, tunggu aku habis cakap dulu! Huh!

“Dengar saya nak cakap apa dulu. Lepas tu, kalau Encik Zaim nak marah ke, apa ke, saya dah tak kisah dah! Encik Zaf nak jumpa Encik Zaim. Tetamu dia yang tadi tu dah balik. And then, kalau Encik Zaim nak jumpa Encik Zaf, Encik Zaim boleh datang ofis ni sekarang.” Laju ucapannya dalam satu nafas sahaja. Fuh, lega! Kan dah terkeluar semuanya! Dia tersenyum kelegaan. Sebenarnya dia bimbang Encik Zaim akan memintas ayatnya sekali lagi. Lebih baik dia cakap panjang-panjang macam kereta api biar terdiam terus suara kasar yang suka marah-marah tu! Haha!

Zaim terdiam sekejap. Dah macam bertih jagung! Boleh dia main pintas ayat aku macam gitu aje, kan? Minah ni memang nak kena dengan aku agaknya!

“Yang awak ni be…”

“Kalau Encik Zaim dah tak ada apa yang nak dicakapkan, saya nak letak telefon. Bye. Assalamualaikum.” Pantas sahaja ganggang telefon ditangannya dihempaskan. Haha! Rasakannya! Macam gitulah perasaan aku, bila kau asyik menyampuk aje!

Dadanya diurut perlahan. Kalau aku tak pintas ayat yang dia nak cakap tu tadi, mesti dah berbakul-bakul sumpah seranah yang masuk dalam corong telinga aku ni! Liurnya ditelan perlahan. Huhu… ingat aku tak takut ke buat macam tu? Tapi memang terpaksa buat jugak kalau tak nak bernanah telinga. Dia tu kalau menengking, memang dua hari akan berdesing dalam telinga siapa yang mendengar tengkingannya itu. Takutnya… mesti dia datang sini nanti, berasaplah telinga kau kena marah dengan dia, Seri!

Selang lima minit, telinganya mendengar derap kasut yang menghampiri mejanya. Dadanya sudah berdetak tidak menentu. Sungguh, dia sudah dapat agak siapa yang berdiri secara senyap itu. Perlahan mukanya diangkat memandang seraut wajah itu. Alamak! Mamat singa cekeding ni dah datang la! Yang dia datang kat meja aku ni apahal? Encik Zaf yang nak jumpa dia, bukan aku! Bukan biasanya mamat ni asal aci redah aje?

Seri menumpukan sepenuh perhatiannya kepada seraut wajah itu. Sepasang anak mata garang milik lelaki itu sedang menikam tajam sepasang anak matanya. Sekali lagi dia meneguk liur sendiri. Singa keding macam nak makan aku aje? Marah lagi pasal aku menjawab dengan dia tadi?

Seri mengukirkan senyuman manis. Harap-harap dia akan lembut hati bila nampak aku senyum macam ni.

“Assalamualaikum, Encik Zaim.”

“Weh, kau tahu tak yang aku baru je turun bawah? Tak sampai seminit pun aku duduk, kau dah panggil aku naik atas semula. Apesal tadi kau tak suruh aje aku tunggu kat sini? Kau ni kan memang…”

Mendengar daun pintu bilik Zafril terbuka, kedua-dua mereka mengalihkan pandangan. Seri mengukirkan senyuman sambil melepaskan nafas kelegaan. Zaim turut tersenyum apabila memandang seraut wajah itu.

“Along… ada apa nak jumpa Zaim?”

Seri mencebik sambil tersenyum. Haih, mamat singa cekeding ni boleh pulak tersenyum? Tadi bukan main garang lagi. Sikit lagi nak jadi singa jadian! Sekarang bila nampak muka abang dia, tahu pulak takutnya? Bukan main lembut lagi bercakap!

Zaim menjeling sekilas ke arah PA abangnya. Dia nampak dengan jelas senyuman yang Seri ukirkan. Pantas sahaja anak matanya dikecilkan ke arah gadis itu memberikan silent warning! Takpe! Hari ni hari kau! Tunggulah! Aku dah tak sabar-sabar nak jerkah kau lagi, tahu tak?!

Cepat sahaja Seri mematikan senyumannya. Dia terdiam sekejap sebaik sahaja terpandangkan pandangan yang cukup tajam itu. Mengalahkan mata burung helang!

“Kenapa Zaim tak datang tadi lagi? Lama dah along tunggu Zaim.”

“What?” Pantas anak matanya singgah pada seraut wajah Seri. Anak matanya dikecilkan ke arah wanita itu. Kalau bukan kerana perempuan ini yang menghalangnya tadi, mungkin persoalan seperti ini tidak akan muncul daripada seulas bibir abangnya.

“Along… ni, PA along ni! Dia yang tak kasi Zaim masuk. Kau ni kan…”

“Tapi Encik Zaf yang cakap…” Cepat sahaja dia memintas sebelum lelaki itu terus menyalahkan dirinya. Namun, ayatnya pula dipintas oleh bosnya.

“Oh, sorry Seri. Saya lupa nak bagitahu awak tadi. Sorry, Zaim… Along yang tak bagitahu Seri awal-awal. Lupa pulak.” Gelakan kecil tercetus daripada seulas bibirnya. Entah bagaimanalah reaksi Zaim sewaktu Seri menghalangnya tadi. Bukannya dia tak tahu perangai dua beradik di hadapannya ini. Sehari kalau tak bergaduh, memang tak sah! Macam anjing bertemu dengan kucing!

“So… Zaim dah datang sinilah tadi?” Dia berpura-pura menyoal.

“Ha’ah… Dah datang. Tapi kena halau. Zaim turunlah balik. Baru aje nak letak punggung kat kerusi empuk tu, PA along yang terlebih cute ni call Zaim suruh naik balik. Huh, berasap betul hati Zaim ni!” Dia berterus terang sambil melemparkan jelingan maut kepada wanita yang bergelar PA abangnya itu.

“Sorry, Zaim… Salah abang. Dahlah, Jom! Dah dekat pukul empat ni. Karang lambat pulak kita balik. Seri… nanti kalau saya lambat habis perbincangan ni, awak tunggu dulu ya?”

“Hah? Tapi saya kena…”

“Bos dah bagi arahan tu, kau ikut ajelah! Kau nak makan gaji buta ke apa?” Sinis senyuman dihulurkan kepada gadis itu. Padan muka! Tadi kau kenakan aku, kan? Jap lagi aku pulak yang akan kenakan kau! Biar kau balik lambat!

“Dia ni memang selalu macam ni ke, Long? Malang betul Along dapat PA macam dia ni.”

Zafril tersenyum. Anak matanya silih berganti pada dua raut wajah itu. Wajah keruh Zaim… Muka cuak Seri…

“Along untung sebenarnya… Seri ni baik sangat. Rajin pulak tu. Dahlah, jom masuk. Seri… jangan lupa buatkan air untuk saya dan Zaim.”

Seri hampir sahaja terngadah sendiri. Apa kenalah dengan bos dua beradik ni? Macam pelik aje aku tengok! Lambat-lambat dia mengangguk.

Zafril terus melangkah meninggalkan meja PAnya itu. Zaim masih tegak di situ. Sempat dia menjeling pada Seri.

“Weh, dengar sini baik-baik… Kau ada hutang dengan aku! Suatu hari nanti aku akan tuntut balik hutang tu! Ingat tu!” Selesai mengucapkan kata-kata amaran, dia terus melangkahkan meninggalkan Seri yang terkebil-kebil sendiri itu.

“Tapi saya tak…” Belum habis dia menjawab, lelaki itu sudah pergi meninggalkan dia seperti tadi juga.

Sempat Zaim berpaling ke belakang sambil mengenyitkan matanya kepada wanita yang masih memandangnya itu.

Seri mencebik. Nak muntah pulak aku tengok perangai mamat sengal ni! Punggungnya kembali dilabuhkan ke kerusi. Baik buat kerja daripada melayan kerenah lelaki yang langsung tak mendatangkan faedah tu! Sekejap sahaja, dia teringatkan sesuatu. Eh, bukan bos aku suruh buat air ke tadi? Keluhan kecil dilepaskan. Punggung diangkat semula dan kaki dilangkahkan ke pantry.

Pintu bilik diketuk perlahan.

“Assalamualaikum, Encik Zaf.”

“Waalaikumussalam. Masuklah, Seri.” Senyuman diukirkan. Dah kenal benar dengan suara yang memberi salam itu. Siapa lagi kalau bukan PA nya yang cantik itu.

Seri melangkah masuk sambil mendulang dua cawan air. Berhati-hati dia meletakkan cawan di atas meja. Senyuman dihulurkan kepada bosnya itu. Kemudian, satu lagi cawan diletakkan penuh cermat di hadapan adik bosnya itu. Senyumannya automatik mati. Langsung anak matanya tidak memandang lelaki itu. Huh, tak kuasa!

Zaim mencebik. Ek, eleh… sombonglah sangat!

“Thanks, Seri.”

“Sama-sama.” Seri menghulurkan senyuman sambil meminta diri.

Zaim mengetap bibir perlahan. Anak matanya tidak lepas daripada memandang seraut wajah Seri yang masih tidak memandangnya itu. Sungguh, ada kalanya terdetik perasaan cemburu dengan layanan Seri kepada abangnya itu. Bila dengannya, Seri macam endah tidak endah sahaja. Kenapa, Seri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience