BAB 14

Romance Completed 40557

MAJLIS perkahwinan itu diadakan sungguh meriah. Anak matanya dihalakan ke arah bakal pengantin perempuan. Seri… dia cantik sangat! Beruntung sangat siapa yang memiliki dia. Dan dia… adalah anugerah yang terindah.

Zafril melangkahkan kakinya ke arah bakal pengantin perempuan.

“Assalamualaikum, Seri.”

Seri mendongakkan kepala. Senyuman dihulurkan. Anak matanya singgah pada pakaian lelaki itu. Hmm… memang diakui, dia memang segak. Di pejabat pun dia adalah bos yang paling segak. Dan di saat ini… berpakaian baju melayu pun dia kelihatan segak.

“Waalaikumussalam. Bila awak sampai?”

“Baru aje. Sekali dengan keluarga saya. Awak okey?”

Seri menganggukkan kepalanya perlahan. Pastinya saya okey. Kerana hari ini adalah hari bahagia saya. Dan… bagaimana pula dengan awak? Seraut wajah itu dipandangnya lama.

“Awak…”

“Hmm?”

“Zaim tak…” Ayatnya terhenti di situ. Tidak sampai hati untuk bertanyakan bait kata yang seterusnya. Bimbang hati lelaki ini akan terusik. Bimbang hati lelaki ini akan tersakiti.

Zafril senyum. Dia tahu… Seri pastinya serba salah untuk menuturkan patah kata. Seraut wajah Seri dipandangnya lama.

“You look so beautiful, Seri. Sesuai dengan nama awak.”

“Maksud awak?”

“Seri… Ya, muka awak berseri-seri sangat saat ini.”

Seri senyum. Ya, memang ramai yang cakap macam tu. Bukan sahaja hari ini, tetapi juga hari-hari sebelumnya. Benarkah? Seri mengangkat muka memandang seraut wajah itu. Ada sesuatu yang ingin dipersoalkan kepada lelaki itu sebelum majlisnya berlangsung.

“Awak…”

Zafril menoleh, memandang seraut wajah yang kelihatan berkaca-kaca pandangannya. Seri… please… jangan sedih. Hati saya akan bertambah sedih kalau tengok awak sedih.

“Hm?” Soalnya sepatah bersama senyuman di bibir.

Seraut wajah itu dipandangnya lama. Saat ini, air matanya sudah jatuh ke pipi. Seraut wajah tenang bersahaja itu, membuahkan perasaan bersalah di dalam hatinya. Mampukah aku bahagia di atas penderitaan orang lain? Inikah yang dinamakan bahagiamu deritaku? Ya Allah… kuatkanlah semangat aku.

“Awak tak marah?”

“Untuk?”

“Untuk perkahwinan ini?”

Senyuman manis dihulurkan.

“Saya gembira. Sangat gembira! Lagipun… tak ada apa yang perlu dimarahkan. Jodoh… pertemuan… ajal… maut… semuanya di tangan Allah, kan? Bila Allah kata ‘ku fayakun’, jadilah! Maka jadilah sesuatu itu. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita tak akan mampu menghalang, kan? Am I right?”

Seri mengangguk perlahan. Sebak sungguh hatinya saat ini. Maafkan saya, Zaf… Saya tak boleh mencintai awak. Hanya seorang lelaki yang saya cinta seumur hidup saya. Dan lelaki itu… hanya dia seorang! Zaim… hanya dia!

“Seri… please, jangan nangis. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak. Dan saya harap… awak pun sama. Akan mendoakan kebahagiaan saya. Boleh, kan?”

Dia mengangguk lagi. Air matanya disapu perlahan. Senyuman cuba dihulurkan.

“Tok kadi dah sampai. Saya pergi depan dulu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience