BAB 15

Drama Completed 695

TERJEBAK

Angin dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di kaki langit bola matahari belum kelihatan lagi. Pagi masih muda lagi. Kesejukan terasa membungkus seluruh suasana. Kesan dari hujan lebat yang turun malam tadi. Sampai subuh baru berhenti. Dedaunan hijau dan rumput kelihatan basah.

Selepas bersarapan pagi Rosdin menghidupkan enjin motosikal menuju ke kebun pisang. Setibanya di kebun pisang dia memulakan kerja-kerja seperti biasa. Sedang dia asyik bekerja dengan tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi orang memberi salam. Dia lantas berhenti dan menoleh ke arah suara itu. Pak Majid rupanya dan dia lalu menjawab salam sambil berjabat tangan.

“Macam mana dengan hasil tanaman pisang kau, Rosdin?” soal Pak Majid yang bersongkok berbaju kemeja lengan pendek berwarna biru tua dan berseluar hitam.

“Alhamdulillah, Pak Majid. Berbuah lebat nampaknya,” Rosdin menjawab sambil mengesat peluh di dahi. Bola matahari perlahan-lahan menampakkan sinarnya. Pokok-pokok pisang seperti terbuai-buai bersama pelepah ditiup angin yang berentak perlahan.

“Baguslah, Rosdin. Kalau berbudi pada tanah inilah habuan yang dapat. Aku datang ni pun pasal nak beli buah pisang kau tu. Kau pun tahu bukan. Aku ni pengusaha kerepek,” dia menyatakan hajatnya pada Rosdin.

“Saya tak ada masalah untuk membekalkan bekalan pisang pada Pak Majid. Cakap aje berapa tandan nak. Tapi minggu depan barulah pisang tu masak,” jelas Rosdin pula.

“Tak apalah macam tu. Aku bukannya nak sekarang. Tentang harga macam mana pulak?” tanya Pak Majid lagi.

“Pasal harga saya tak dapat nak putuskan sekarang. Macam ni ajelah, Pak Majid. Apa kata kalau kita ikut harga timbang. Macam yang kita selalu beli di kedai tu,” cadang Rosdin sebaliknya.

“Eloklah tu, Rosdin. Aku setuju sangat. Kalau macam tu aku minta diri dulu. Aku sebenarnya nak ke pekan. Kebetulan lalu depan kebun pisang kau ni. Aku pun singgahlah. Aku pergi dulu ya. Assalamualaikum,” mohon Pak Majid sambil berjabat tangan.
“Waalaikumsalam,” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Rosdin meneruskan semula kerja-kerja yang terhenti buat seketika. Menyangkul pangkal pokok pisang dan membubuh baja. Memangkas pelepah pisang yang kering dan melonggokkannya setempat. Bola matahari terasa tegak di atas kepala. Sedar-sedar sudah tengah hari. Dia berhenti seketika dan menarik nafas panjang sambil memandang sekeliling kebun pisang. Tekaknya terasa haus dan kering. Maklumlah banyak peluh yang keluar. Bekerja di tengah panas.

Dia lalu menuju ke pondok kecil yang terdapat di kebun pisang. Bertiangkan dan berlantaikan papan. Beratapkan zink yang telah berkarat. Tetapi masih kukuh dan kuat lagi. Diteguknya perlahan-lahan air suam yang dibawanya dari rumah. Terasa nyaman dan dingin. Seperti air terjun di pinggir kali. Bila membasahi tekak yang basah. Dia lalu duduk untuk melepaskan penat. Dengan renungan yang tajam dan penuh bermakna dia melemparkan pandangan ke arah pokok-pokok pisang.

“Apa abang nak tinggalkan kampung ni?” kata Salmah.

“Ya, Salmah. Abang sedar siapa diri ni. Sebab itulah ayah Salmah menolak pinangan abang,” Rosdin membalas.

“Bang. Bawalah Salmah bersama. Salmah rela mengikut abang walau ke mana sahaja …,” rayu Salmah pula.

“Tak boleh, Salmah!” bantah Rosdin sebaliknya.

“Kenapa, bang? Salmah benar-benar cintakan abang. Lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidup Salmah hanya abang seorang sahaja,” ucap Salmah lagi.

“Abang juga begitu, Salmah. Terimalah ketentuan dari Tuhan. Jodoh Salmah bukan dengan abang. Jodoh Salmah dengan Hashim,” Rosdin menambah.

“Salmah tak cintakan Hashim. Salmah cintakan abang,” ujar Salmah.

“Maafkan abang, Salmah. Abang doakan semoga Salmah hidup bahagia dengan Hashim. Selamat tinggal,” Rosdin bersuara.

“Abang …!” Salmah lalu menangis teresak-esak.
Setibanya di rumah Rosdin lalu mengemaskan pakaian. Dia sudah nekad. Membawa hatinya yang luka ke Kuala Lumpur.

“Kau berkemas pakaian ni nak ke mana, Rosdin?” tegur Mak Limah.

“Ke Kuala Lumpur, mak,” dia menjawab sambil melipat kain dan baju ke dalam beg.

“Ke Kuala Lumpur? Kau nak buat apa kat sana, Rosdin? Kuala Lumpur tu besar. Kita bukannya ada saudara mara kat sana. Kalau kau susah nanti siapa nak tolong kau.” Mak Limah cuba menahan anaknya.

“Rosdin nak berjaya dalam hidup, mak. Kat Kuala Lumpur banyak kerja boleh buat. Duit pun senang dapat. Lainlah kerja kebun kat kampung. Siapa nak buat menantu,” terang Rosdin pula.

“Sabarlah, Rosdin. Ramai lagi gadis di kampung ni yang boleh kau jadikan isteri. Bukan Salmah seorang saja,” Mak Limah memujuk Rosdin agar tidak meninggalkan kampung.

“Rosdin dah buat keputusan, mak. Walaupun tak ada kelulusan tinggi Rosdin tetap akan ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Rosdin pergi dulu, mak,” dia memohon izin sambil mencium tangan ibunya.

“Rosdin …. Rosdin …. Nanti dulu …,” Mak Limah cuba menahan anaknya. Ternyata dia amat berat untuk melepaskan Rosdin pergi ke Kuala Lumpur.

Setibanya di Kuala Lumpur sewaktu di perhentian bas dia berjumpa dengan Ludin.

“Awak nak ke mana? Nampak macam baru sampai di Kuala Lumpur,” tegur Ludin dengan penuh ramah.

“Ya. Saya Rosdin. Dari kampung hajat datang ke Kuala Lumpur ni nak cari kerja,” akuinya.

“Oh begitu. Saya Ludin!” dia memperkenalkan diri sambil menganggukkan kepala dan berjabat salam dengan Ludin.

“Saya tak tahu ke mana nak pergi. Saya tak ada kawan dan saudara-mara di Kuala Lumpur ini.” Rosdin sebaliknya berterus terang pada Ludin yang baru dikenalinya.
“Tinggal saja di rumah aku,” ajak Ludin dengan bersungguh-sungguh.

“Betul ke ni? Tak menyusahkan kau ke?” soal Rosdin pula yang berasa amat terkejut dengan pelawaan Ludin itu.

“Sungguh. Kau tak percaya dengan aku. Sudahlah. Mari ikut aku ke rumah,” ucap Ludin lagi. Rosdin hanya mendiamkan diri dan menurut saja ajakan Ludin itu.

“Kau kerja apa Ludin. Tinggal dalam rumah besar macam ni. Pakai kereta besar,” Rosdin bersuara sebaik-baik sahaja duduk di atas kerusi sofa yang berwarna hitam.

“Aku kerja sendiri,” Ludin membalas.

“Kerja sendiri?” ujar Rosdin dengan cepat.

“Ya! Apa sebenarnya tujuan kau datang ke Kuala Lumpur ni selain daripada mencari kerja. Boleh aku tahu?” tambah Ludin sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang tepat wajah Rosdin.

“Aku sebenarnya nak menghilangkan rasa luka di hati,” terang Rosdin.

“Tentang kerja tu kau jangan risau. Kebetulan boss aku tengah cari pekerja baru. Besok aku bawa kau jumpa dia. Aku yakin. Dia mesti terima kau,” ujar Ludin.

“Ya ke ni, Ludin? Aku baru aje sampai di Kuala Lumpur ni. Takkan terus dapat kerja?” Dia seakan-akan tidak percaya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Ludin itu.

“Kau ni. Masih tak percaya dengan aku. Pandailah aku ayat boss aku tu nanti,” yakin Ludin lagi. Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Ludin.

“Sekejap ya. Hello. Ya, Rony. Ada stok tu ada kau jangan bimbang. Takkan aku nak tipu pulak. Besok aku beri. Kau percayalah. Tempat macam biasa. OK!” Ludin menjawab panggilan itu.

“Baru aku tahu. Kau berniaga rupanya,” Rosdin berkata.

“Pelanggan aku yang telefon. Biasalah banyak kerenah. Kenalah bersabar. Janji duit masuk,” tambah Ludin pula.
“Barang apa yang kau meniaga, Ludin?” soal Rosdin sebaliknya dengan penuh minat.

“Nanti kau tahulah bila dah kerja nanti. Buat masa ni kau tak perlu tahu. Oh ya! Terlupa pulak aku. Tadi kau kata datang ke Kuala Lumpur ni selain daripada mencari kerja ialah untuk mengubat hati yang luka. Kenapa? Kau putus cinta ke dengan gadis sekampung kau. Aku minta maaflah kerana bertanyakan hal ni. Maklumlah hal peribadi yang sepatutnya aku tak perlu tahu,” teka Ludin.

“Tak mengapa, Ludin. Memang benar. Ayahnya terlalu memandang pada harta kekayaan. Pinangan aku ditolaknya mentah-mentah. Minggu depan dia akan berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya. Aku tak sanggup melihat hari persandingan mereka …,” Rosdin cepat membalas dengan panjang lebar dalam nada suara yang lemah dan tidak bermaya.

Rasa pedih seperti ditikam sembilu yang tajam menyiat-nyiat di hatinya. Dia menundukkan kepala apabila mengenangkan kisah cintanya dengan Salmah yang telah musnah berderai umpama kaca yang terhempas ke batu.

“Sudahlah tu, Rosdin. Kau lupakanlah semua tu. Kau bina hidup baru di Kuala Lumpur ni. Bukan dia seorang saja gadis dalam dunia ni. Ramai lagi. Lebih cantik daripada dia pun ramai di Kuala Lumpur. Kau pilih aje mana yang kau hendak. Janji ada duit,” tambah Ludin lagi. Rosdin yang tadinya tunduk lalu perlahan-lahan mendongakkan muka memandang wajah Ludin yang duduk berhadapan dengannya.

“Tapi, Ludin …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.

“Dahlah tu. Kau pun penat kan. Hah, mari aku tunjukkan bilik. Kau mandi dan berehatlah dulu. Malam nanti kita keluar makan. Aku belanja. Lepas makan aku bawa kau meronda seluruh bandar Kuala Lumpur yang besar ni,” Ludin cepat memotong.

“Yalah!” angguk Rosdin.

“Macam tulah. Mari aku tunjukkan bilik kau.” Ludin mengajak kawan yang baru dikenalinya itu.

Keesokan paginya seperti yang dijanjikan Ludin membawa Rosdin berjumpa dengan bossnya yang bernama Sani.

“Siapa yang kau bawa ni, Ludin?” tanya Sani dalam nada suara yang garau dan keras. Wajahnya bengis dan bermisai tebal. Berkepala botak dan berbadan gempal. Perasaan kecut dan takut menyelubungi Rosdin apabila bertemu dengan Sani.

“Dia ni Rosdin, boss. Kawan sekampung saya. Dia datang ke sini untuk cari kerja boss ….” Percakapan Ludin yang tersusun memujuk Sani serta-merta terputus.

“Kau nak suruh aku ambil dia kerja?” Sani pantas menyampuk.

“Ya, boss!” Ludin mengangguk-anggukkan kepala. Rosdin hanya mendiamkan diri.

“Boleh percaya ke dengan dia ni?” dia tak henti-henti menyoal Ludin sambil memandang Rosdin dari atas ke bawah dengan rasa penuh curiga.

“Saya gerenti, boss. Saya dah lama kenal dengan dia ni. Kat kampung dia memang rajin bekerja. Cakap apa saja. Semua dia boleh buat. Rugi kalau boss tak ambil dia kerja,” yakin Ludin lagi.

“Baiklah. Tapi ingat, Ludin. Kalau dia buat hal nahas akibatnya. Kau pun sama. Faham!” Sani memberi amaran keras.

“Saya faham, boss!” Ludin sebaliknya hanya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Sani itu.

“Sudah. Pergi bawa dia buat kerja!” arah Sani pada Ludin. Tanpa membuang masa lagi Ludin dan Rosdin pantas meninggalkan bilik Sani untuk membuat apa yang telah diarahkan oleh Sani.

“Terima kasih, Ludin. Kerana kau aku dapat kerja. Tapi aku pelik tengok boss kita tu. Keras dan kasar aje aku tengok,” kata Rosdin.

“Kau jangan takutlah. Boss memang macam tu. Hal kerja dia memang tegas. Tapi hati dia baik. Sudahlah. Hari ni kau dah mula kerja. Mari ikut aku,” Ludin menambah.

Dengan menaiki kereta Ludin dan Rosdin menuju ke belakang bangunan.

“Apa kita nak buat kat sini, Ludin?” Rosdin bertanya sambil memandang ke kiri dan kanan.
“Buat apalagi kerjalah.” Nada suara Ludin seperti berbunyi bosan dengan pertanyaan Rosdin itu. Tak lama kemudian muncul seorang lelaki dari lorong bangunan sambil matanya memandang sekeliling.

“Kerja apa kita nak buat di lorong ni?” kata Rosdin lagi.

“Kau ni banyak tanyalah. Sudah. Kau nampak tak lelaki tu. Sekarang kau ambil bungkusan ni dan beri pada dia. Pergi!” suruh Ludin.

“Bungkusan apa ni?” ujar Rosdin pula sambil memandang muka Ludin.

“Janganlah banyak tanya. Pergilah cepat!” ulang Ludin lagi.

“Yalah!” Rosdin tidak membantah dan turun dari kereta sambil membawa bungkusan yang tidak diketahui isinya itu menuju ke arah lelaki yang sedang tercegat berdiri seperti menanti seseorang.

“Jangan bergerak. Polis!” Tiba-tiba kedengaran suara dari arah belakang bangunan. Rosdin dan lelaki itu telah dapat ditangkap oleh tiga orang polis yang berpakaian biasa. Ludin pantas menghidupkan enjin kereta dan memecut dengan laju.
“Ludin! Ludin! Tunggu aku. Tunggu aku. Apa ni, encik? Apa salah saya?” Rosdin terpinga-pinga dengan apa yang telah terjadi. Tangannya telah digari dan bungkusan yang dipegangnya telah dirampas oleh polis.

“Awak ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah. Sudah. Bawa mereka berdua ke balai!” arah anggota polis yang berpangkat inspektor itu.

“Baik, tuan!” jawab salah seorang daripada anggotanya.

“Tapi, encik. Saya tak tahu apa-apa. Percayalah. Saya telah diperalatkan …!” rayu Rosdin untuk mempertahankan dirinya.

“Sudah! Awak ikut saya ke balai!” tegas inspektor polis itu lagi.

Rosdin telah dijatuhkan hukuman penjara di atas kesalahan itu. Mujurlah tidak sampai ke tali gantung. Selepas keluar daripada penjara dia terus pulang ke kampung. Timbul rasa penyesalan di hatinya kerana telah memalukan nama baik keluarga. Barulah dia mengerti kini akibat terlalu mengejar kesenangan hidup di bandar besar dia terjerat dalam kancah hitam sebagai mangsa Sani dan Ludin untuk mengedarkan dadah yang menjadi musuh utama negara.
Dia berasa serik dan takut untuk mencari kerja di bandar akibat daripada peristiwa hitam yang melanda dirinya itu. Rosdin membulatkan tekad dalam dirinya. Biarlah dia mengerjakan kebun pisang di kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehingga ke nafas yang terakhir.

Rosdin menarik nafas yang panjang. Penat telah pun hilang. Umpama air sungai yang mengalir kisah silam yang penuh dengan warna-warna hitam biarkanlah berlalu. Tak guna dikenangkan apa yang telah terjadi dan jadikanlah ia sebagai pengalaman yang paling berharga dalam hidup ini. Dia lalu bingkas bangun untuk menyambung semula kerja-kerja yang dilakukannya setiap hari di kebun pisang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience