“Syarikat Encik Habib dalam bahaya. Pihak bank akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya Encik Habib gagal menyelesaikan segala hutang,” kata Encik Ali iaitu Pegawai Bank Bungaraya.
“Saya faham, Encik Ali. Tapi, berilah saya tempoh dalam sedikit masa lagi,” rayunya.
“Saya minta maaf, Encik Habib . Saya tak boleh berbuat apa-apa. Ini adalah arahan pengurus saya. Saya harap Encik Habib faham,” balas Encik Ali pula.
Dia sebaliknya hanya mampu terkedu apabila mendengar kata-kata Encik Ali itu. Dia sayangkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Dia tak sanggup melihat syarikat ini hanyut. Dia menubuhkan syarikat ini dengan modal puluhan ribu.
“Baiklah, Encik Habib . Saya minta diri dulu,” ucap Encik Ali sambil bingkas bangun.
“Baiklah …!” dia mengangguk lemah sambil berjabat salam dengan Encik Ali.
Encik Ali kemudiannya lalu mengatur langkah ke arah pintu. Daun pintu pantas ditariknya dan terus berlalu pergi dari situ. Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik.
Tak lama kemudian kedengaran bunyi pintu diketuk orang.
“Masuk!”
Pintu segera terbuka. Fareeda iaitu Setiausaha Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. muncul dan terus berdiri memandang tepat wajahnya.
“Ada apa, Fareeda?”
“Saya apa perkara mustahak nak beritahu Encik Habib .”
“Mustahak? Apa dia?”
“Dah cukup bulan ni. Semua kakitangan merungut. Sebab Encik Habib masih lagi tak keluarkan gaji.”
Dia merasa lemah seluruh badan apabila mendengar kata-kata Fareeda itu. Benar. Mereka memang berhak bersuara. Dah cukup bulan. Gaji mereka mesti dibayar.
“Minta mereka semua supaya bersabar. Saya akan selesaikan perkara ini dengan secepat mungkin.”
“Baiklah, Encik Habib !” Fareeda menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Ada apalagi?” dia menyoal Fareeda sambil meninggikan kepala sedikit.
“Tak ada apa-apa, Encik Habib . Saya pergi dulu.”
Dia sebaliknya hanya mengangguk diam dan memerhatikan sahaja bayangan Fareeda hilang dari pandangan mata. Dia kemudiannya lalu melepaskan keluhan yang panjang sambil menyandarkan badannya di atas kerusi pusing yang berwarna merah hati. Habib merasa tidak senang duduk. Resah-gelisah. Kepanasan. Walaupun berada dalam bilik yang berhawa dingin. Dia kemudiannya bingkas bangun dan perlahan-lahan menuju ke arah jendela kaca. Dia lalu melontarkan pandangan ke arah bangunan-bangunan yang menjulang tinggi hingga mencakar langit.
“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Encik Redzuan iaitu Pengurus Besar Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd. sebaik-baik sahaja selesai membaca surat perletakan jawatan Habib .
“Sudah, Encik Redzuan. Saya harap Encik Redzuan akan meluluskan permohonan saya ini.”
“Awak nak buka syarikat sendiri?”
“Ya, Encik Redzuan. Saya nak ikut jejak langkah Encik Redzuan. Berjaya menjadikan syarikat ini hingga bertaraf korporat.”
“Saya bangga dengan semangat awak. Tapi, saya tetap bimbang. Dunia perniagaan ni banyak cabarannya. Kalau awak tak pandai menanganinya, awak akan gagal.”
“Encik Redzuan jangan bimbang. Saya yakin. Pengalaman saya sewaktu bekerja dengan syarikat ini akan membantu saya untuk maju dalam bidang perniagaan.”
“Baiklah. Kalau begitu keputusan awak, saya tak boleh berbuat apa-apa. Saya luluskan permohonan awak ni. Saya berdoa semoga cita-cita awak akan tercapai.”
“Terima kasih, Encik Redzuan.”
Tindakannya meninggalkan Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd. mendapat tentangan keras daripada isterinya iaitu Rahimah.
“Apa? Abang dah berhenti kerja?” ujarnya dengan penuh rasa terkejut.
“Ya, Mah. Abang nak buka syarikat sendiri,” dia menjawab sambil menghirup air teh yang masih panas itu. Kemudian perlahan-lahan diletakkannya semula cawan itu ke bawah. Asap nipis yang keluar daripada air teh itu kelihatan teroleng-oleng naik ke atas.
“Nak buka syarikat perlukan duit yang banyak, bang. Mana abang nak cari?”
“Abang akan buat pinjaman bank.”
“Betul. Tapi, mampu ke abang bayar balik?”
“Abang mampu, Mah. Kalau orang lain boleh bayar balik kenapa abang tak boleh. Kalau orang lain boleh berjaya dalam perniagaan kenapa abang tak boleh.”
“Mah takut, bang.”
“Takut apa?”
“Abang baru kerja 5 tahun. Dah nak buka syarikat sendiri.”
Dia hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Ketiga-tiga orang anaknya iaitu Shahril, Suzana dan Syazwan kelihatan sedang asyik menonton rancangan kartun yang disiarkan di televisyen. Sekali-sekala kedengan hilai tawa mereka yang hampir memecahkan ruang tamu rumah teres berkembar dua tingkat itu. Dia kemudiannya mengukir senyuman kecil sambil memandang tepat wajah isterinya. Gelagatnya itu nyata sekali tidak menyenangkan isterinya.
“Sebagai isteri Mah sepatutnya beri semangat pada abang. Bukannya matikan semangat, abang.”
“Itu Mah tahu, bang.”
“Dah tu?”
“Mah takut syarikat abang tak akan bertahan lama.”
“Kenapa Mah cakap macam tu?”
“Berniaga ni bukannya senang, bang.”
“Mah jangan bimbang. Yang nak berniaga, abang. Bukannya, Mah. Keuntungan yang dapat bukan milik abang seorang. Mah dan anak-anak akan dapat jugak nanti.”
“Entahlah, bang. Susah Mah nak cakap dengan abang ni. Mah cuma ingatkan abang aje. Mah tak mahu abang menyesal di kemudian hari.”
“Abang tak akan menyesal, Mah. Abang yakin. Syarikat abang akan maju.”
Keesokan harinya dia keluar makan tengah hari bersama dengan sahabat karibnya iaitu Afian.
“Apa? Kau nak buka syarikat? Kau jangan nak olok-olok dengan aku, Ki?” soal Afian sambil membetulkan duduk.
“Betul, Pian. Aku tak olok-olok,” dia menjawab.
Afian sebaliknya ketawa kecil apabila mendengar kata-katanya itu. Gelagat yang ditunjukkan oleh sahabat karibnya itu benar-benar menghairankannya.
“Kenapa kau ketawa? Apa? Kau tak yakin yang aku boleh berjaya dalam bidang perniagaan?”
“Aku tak bermaksud begitu.”
“Habis?”
Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Pelayan lalu menghampiri mereka berdua sambil membawa makanan dan minuman yang dipesan iaitu 2 pinggan nasi beriani dan 2 gelas air sirap limau.
“Terima kasih,” ucap Habib .
“Sama-sama!” dia membalas sambil menganggukkan kepala dan pantas berlalu pergi dari situ.
Tanpa membuang masa lagi, mereka lalu menikmati makanan dan minuman yang dipesan. Selepas selesai menikmati makanan dan minuman, mereka berdua menyambung semula perbualan.
“Aku bukannya apa, Ki. Sebagai seorang kawan, aku tak mahu kau menyesal di kemudian hari. Berniaga ni bukan senang, Ki. Ibarat kapal di tengah lautan. Kalau kau tak pandai menghadapi gelombang, kau akan tenggelam,” nasihat Afian dengan panjang lebar.
“Kau sama dengan isteri aku. Bukan nak bagi semangat. Nak patahkan semangat.” Dia langsung tidak menghiraukan nasihat sahabat karibnya itu.
“Ini bukan soal beri semangat atau patahkan semangat, Ki. Aku bercakap ni adalah berdasarkan kenyataan.”
“Kenyataan apa?”
“Kau jangan ikut rentak orang, Ki. Bila kau tengok orang lain buka syarikat, kau pun nak buka syarikat. Dia orang tu mungkin dah berpuluh-puluh tahun menceburi bidang perniagaan. Sedangkan kau baru 5 tahun bekerja dengan Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd.”
“Terima kasih, Pian. Kerana menasihatkan aku. Tapi, kau tak akan dapat mengubah keputusan aku. Kita dah lama berkawan. Kau tentu arif dengan prinsip hidup aku, bukan? Apa yang aku kata mesti aku kota,” Habib membalas dengan panjang lebar.
Selang beberapa bulan kemudian dia pun menubuhkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Ternyata syarikatnya berjaya memperolehi keuntungan yang banyak. Syarikatnya banyak mendapat projek mewah. Duit keuntungan syarikat lebih banyak dilaburkannya dengan melancong ke luar negara bersama keluarga serta membeli beberapa buah banglo dan kereta mewah. Tindakannya berbelanja boros ini telah ditegur oleh Zamri iaitu Pegawai Akaun di syarikatnya. Namun begitu tidak diendahkannya.
“Jangan berbelanja boros, Encik Habib . Syarikat kita akan menerima padah nanti.”
“Itu hak saya, Zamri. Saya pengurus besar di syarikat ni. Bukannya awak. Saya boleh buat apa aja yang saya suka. Awak tu makan gaji dengan saya. Faham!”
“Saya faham, Encik Habib …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Dah tu? Awak jangan nak pandai-pandai nasihatkan saya. Awak pergi buat kerja awak.” Habib sebaliknya pantas memotong dengan penuh rasa bongkak dan sombong.
Dia juga telah menjalankan perniagaan dengan cara yang salah. Dia sanggup memberi rasuah kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan projek mewah. Ini tidak disenangi oleh Musa iaitu Pegawai Pemasaran di syarikatnya.
“Encik Habib menjalankan perniagaan dengan cara yang salah.”
“Salah kata awak?”
“Ya. Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang.”
“Awak sebagai pekerja ikut arahan saya. Awak jangan cuba nak nasihatkan saya. Dengar sini baik-baik. Tender tu lumayan. Kalau kita tak umpan mereka, kita akan terlepas. Faham!”
“Tapi, Encik Habib ….”
“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat, berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”
“Encik Habib jangan cuba cabar saya.”
“Saya bukan cabar awak, Musa. Ini adalah kenyataan. Kalau awak dah bosan bekerja dengan syarikat ni, silakan keluar. Awak carilah kerja lain.
“Baiklah, Encik Habib . Saya akan tinggalkan syarikat ini. Saya tak mahu bersubahat melakukan perkara yang terkutuk.”
“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat, berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”
Musa pun mengambil keputusan nekad meninggalkan Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Dia lebih senang melihat Musa berhenti kerja. Sebagai “boss” dia adalah raja. Segala perintahnya mesti diturut. Tanpa mengira sama ada ia baik ataupun buruk. Dia lupa pada ajaran agama Islam. Dalam perniagaan ada batasnya. Halal dan haram. Namun begitu itu semua diketepikannya. Baginya untuk maju dalam bidang perniagaan soal halal dan haram tidak perlu wujud. Yang penting ialah memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda.
Habib juga bersifat zalim terhadap pekerja. Dia membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya.
“Apa salah saya, Encik Habib ?” soal Mansur yang bertugas sebagai budak pejabat sebaik-baik sahaja menerima surat notis berhenti kerja daripada Habib .
“Saya tak perlu jawab soalan awak. Awak sepatutnya tanya diri awak sendiri.”
“Awak memang jenis bengap. Semua kerja yang diberikan awak tak boleh buat. Dahlah tu awak selalu saja ambil cuti sakit. Saya mahu orang yang berguna dalam syarikat ni. Bukannya orang yang tak berguna macam awak. Faham!!!” herdik Habib .
“Saya bukannya suka-suka ambil cuti sakit. Kan saya dah beritahu Encik Habib . Saya memang ada masalah kesihatan.” Mansur sebaliknya cuba membela diri.
Namun begitu tidak diendahkan sama sekali oleh Habib . Dia tetap dengan egonya yang tinggi melangit.
“Ah! Itu semua alasan awak. Dah saya katakana tadi. Orang macam awak memang tak layak bekerja dengan syarikat ni. Ramai lagi orang yang saya boleh ambil!”
“Encik Habib tak kasihan ke dengan saya. Saya ada isteri dan anak-anak. Macam mana saya nak sara hidup mereka.” Mansur terus merayu.
“Kasihan! Itu bukan urusan saya. Awak carilah kerja lain!”
Mansur diam. Dia sedar siapa dirinya. Encik Habib selaku Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang kini berada jelas di depan matanya adalah ibarat durian. Manakala dia pula adalah ibarat mentimun.
Isterinya dan Afian telah beberapa kali menasihatkannya agar membuang sikapnya yang buruk itu. Namun begitu tidak diendahkannya langsung. Tetapi dia lupa. Dia hidup di atas dunia ini hanya sebagai manusia biasa. Walaupun hakikatnya dia dikenali sebagai Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa.
Habib menarik nafas yang panjang. Baru dia sedar kini. Inilah padahnya bila terlalu menurutkan kata hati, bongkak, menzalimi orang dan melakukan kemungkaran.
Sepanjang hari dia asyik termenung memikirkan untung nasibnya bersama Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang semakin malap.
Share this novel