ANAK NELAYAN DAN ANAK KORPORAT
Di kaki langit biru matahari kian meninggi. Bersama gumpalan awan tebal memutih. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam semesta. Bayu laut bertiup lembut. Dingin dan nyaman membungkus suasana. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi pantai bagai menari-nari. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut rentak tiupan angin.
Daun-daun hijau kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Apabila bergeseran di antara satu sama lain. Jiwa yang dibaluti dengan kesepian dan kekosongan akan menjadi terhibur apabila mendengarnya. Desiran ombak tidak putus-putus menghempas gigian pantai. Buih-buih memutih berapungan membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil.
Wahid menarik nafas panjang. Dia melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru melalui pondok kecil yang bertiangkan dan berlantaikan kayu. Deretan rumah-rumah peranginan jelas kelihatan. Fikiran Wahid menerawang jauh bersama gulungan ombak yang setia menghempas pantai. Wahid sebenarnya sedang mencari ilham untuk melukis. Setiap yang tergambar dalam perasaannya dan dilaluinya dalam kehidupan ini dicurahkannya dalam lukisan.
Bagi Wahid lukisan adalah segala-galanya dalam mewarnai perjalanan hidupnya. Tanpa lukisan dia merasakan seolah-olah tidak bermaya dan gelap dalam hidup ini. Kanvas dan berus adalah teman sejatinya. Minat Wahid melukis sejak dari kecil lagi. Bermula dengan menconteng di atas butiran pasir dengan menggunakan ranting kayu atau lidi penyapu. Kemudian apabila bersekolah rendah dia menconteng di atas kertas.
Dia masih ingat lagi. Sewaktu di sekolah rendah dia sering dimarahi oleh guru. Asyik melukis sahaja. Tidak pandai dalam mata pelajaran lain. Apabila di sekolah menengah dia sering mendapat kepujian dalam mata pelajaran lukisan. Lamunannya yang jauh benar melayang sehingga ke awangan itu lantas terhenti. Kedengaran suara wanita memberi salam. Dia lantas menoleh ke arah suara yang lembut itu dan menjawab salam.
“Jauh mengelamun nampak. Maafkan saya. Mengganggu awak ke?” tanya Rosnani dengan lembut dan penuh sopan.
“Oh tidak. Jemputlah duduk. Saja-saja aje tenangkan fikiran pagi ni. Awak pulak dari mana. Dah sarapan ke belum?” Wahid sebaliknya menjawab sambil memandang wajah Rosnani yang sungguh ayu dan jelita apabila disapu oleh angin yang bertiup dari arah laut. Seperti rembulan yang jatuh ke riba diibaratkan. Dia kemudiannya lalu duduk bersebelahan dengan Wahid.
“Macam awak jugak. Saja-saja aje mengambil angin laut. Saya dah sarapan. Sedap betul nasi lemak di warung Mak Limah. Yang awak tu dah sarapan ke belum?” balas Rosnani.
“Sudah!” Wahid mengangguk pantas. Rosnani kemudiannya memandang kawasan sekeliling. Wahid hanya memerhatikan sahaja gelagat Rosnani itu. Dia kemudiannya memandang semula Wahid.
“Saya suka tempat ni. Tenang dan damai. Tak silap saya memilih tempat bercuti,” Rosnani menambah.
“Macam mana dengan rumah peranginan yang awak duduk tu? Bagus ke?” soal Wahid pula sambil mengangkat kepala tinggi sedikit. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa teroleng-oleng hinggap di atas pondok yang beratapkan nipah.
“Memang bagus sekali. Dah banyak tempat peranginan saya pergi. Termasuk luar negara. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan tempat yang paling bagus sekali.” Rosnani menghamburkan kata-kata pujian. Wahid sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata gadis manis dari kota besar itu.
“Kenapa awak ketawa? Ada yang tak kena ke dengan apa yang saya cakapkan tadi?” Dia lalu berasa hairan apabila melihat senyuman terukir jelas di wajah Wahid.
“Tak ada apa-apa?” dia menggeleng-gelengkan kepala apabila menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Rosnani itu.
“Habis tu? Tentu ada sesuatu yang lucu awak rasakan. Masa kan tidak dengan tiba-tiba saja awak tertawa kecil,” Rosnani pantas memotong.
“Kan saya dah kata tadi. Tak ada apa-apa yang melucukan. Cuma timbul di hati saya sama ada awak ikhlas memuji tempat ini atau terpaksa. Kerana awak berhadapan dengan saya. Itu saja. Saya minta maaf kalau penjelasan saya ini benar-benar keterlaluan bagi awak,” pinta Wahid dalam nada suara sayup-sayup tenggelam bersama desiran ombak yang gagah perkasa menghempas pantai.
“Tak perlu awak minta maaf pada saya. Lagipun awak tak ada buat salah apa-apa. Memang betul kata awak tu. Saya memang ikhlas. Saya jatuh cinta pada tempat ni. Tak macam di bandar. Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Dari pagi sampai malam. Orang yang hidup di bandar besar berlumba-lumba termasuk saya. Sibuk dengan macam-macam urusan dalam kehidupan,” terang Rosnani pula dengan panjang lebar.
“Jadi awak suka dengan perkampungan nelayan seperti ni?” Wahid menambah. Dia terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Wahid itu.
“Perkampungan nelayan?” Rosnani mengangkat muka tinggi sedikit. Seolah-olah tidak faham akan maksud Wahid itu. Dia dapat membaca apa yang tergambar di fikiran Rosnani.
“Mungkin awak tak faham. Tak mengapalah. Awak tengok kawasan sekeliling ini tidak ada rumah-rumah nelayan. Tapi suatu masa dahulu ada. Sekarang digantikan dengan rumah-rumah peranginan,” jelas Wahid pada Rosnani.
“Baru saya mengerti sekarang!” angguk Rosnani dengan cepat.
“Saya dapat bayangkan pada waktu itu. Kawasan pantai ini penuh dengan pokok-pokok kelapa dan perahu-perahu nelayan,” ucap Wahid lagi sambil mendongakkan kepala ke arah laut yang tenang membiru. Dengan serta-merta ingatan masa lalu yang penuh kenangan indah segar menjelma di ingatannya.
“Memang dapat saya bayangkan apa yang awak cakapkan tu. Tapi sayangnya saya tak mengalaminya. Dari kecil hingga sekarang saya hidup di bandar,” akui Rosnani.
“Saya suka pada laut. Tenang walaupun berombak dengan airnya yang masin. Laut menjadi punca rezeki nelayan. Saya dibesarkan dengan laut. Sebahagian daripada hidup saya adalah laut,” kata Wahid.
“Menarik sekali kata-kata awak itu. Awak anak nelayan rupanya. Patutlah awak rapat dengan laut. Karya lukisan awak lebih kepada laut. Baru saya mengerti sekarang. Kenapa awak selalu berada di tepi pantai,” Rosnani mencelah. Wahid lantas terkejut. Rosnani tahu segala-galanya mengenai dirinya.
“Macam mana awak tahu ni?” dia pura-pura bertanya sambil memandang dalam-dalam wajah gadis dari kota itu yang datang bercuti ke kawasan peranginan yang dahulunya perkampungan nelayan.
“Saya dengar cerita orang di sini,” Rosnani bersuara. Angin laut seakan-akan menyanyi-nyanyi riang menghiburkan suasana. Bersama rentak tari irama pepohonan dan dedaunan. Bisikan desiran ombak tenang membelai mengiringi cuaca yang cerah. Damai jiwa terasa bersama alunan dingin biarpun terik matahari memayungi seluruh alam yang terang-benderang. Berkilauan putih berseri butiran pasir halus di sepanjang pantai.
Sedar-sedar senja telah melabuhkan tirainya menyambut malam. Matahari yang tadinya cerah bertukar warna seperti buah pinang masak. Langit bertukar menjadi kelabu. Burung-burung telah pulang ke sarang semula. Dia teringatkan kata-kata pujangga. Segala suka duka yang dialami hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman untuk mendewasakan kita. Pengalaman adalah ibarat guru dalam hidup ini. Kita belajar daripadanya. Wahid tidak pasti dari mana datangnya kata-kata hikmah itu.
Dia cuma mendengar sahaja dan melekat kuat di ingatannya. Malam itu selepas pulang dari surau dengan tiba-tiba sahaja dia mendapat ilham untuk melukis. Selalunya dia akan menjadikan anjung rumah sebagai tempat untuk menghasilkan lukisan. Menghadap ke arah laut bersama sayup-sayup bunyi desiran ombak membelai pantai dalam kepekatan malam. Dibelai hembusan dingin angin bersama lagu merdu dendangan pohon-pohon dan daun-daun. Sinar rembulan dan kerlipan bintang di kaki langit hitam amat indah dan benar-benar membangkitkan ilham kepada Wahid untuk menghasilkan karya seni.
“Kau dah balik, Wahid?” tegur ibunya yang tiba-tiba muncul dari bilik.
“Dah, mak!” Wahid membalas sambil berhenti dari melukis dan memandang ke arah wajah ibunya yang telah tua itu.
“Mak dengar kau rapat dengan seorang budak perempuan dari bandar yang datang bercuti ke kampung ni. Betul ke?” ibunya bersuara. Angin malam yang lembut menerobos masuk melalui anjung. Segar menyapu permukaan kulit ibunya yang telah tua dan kulit Wahid yang masih muda itu. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan memecah kesunyian malam.
“Wahid dengan dia cuma kawan aje. Rosnani namanya,” dia menjawab pertanyaan yang diajukan oleh ibunya itu.
“Mak bukannya apa. Mak bimbang dia tu perempuan. Jangan sampai perkara yang tak elok berlaku. Malu kita, Wahid,” pesan ibunya dalam nada suara yang risau.
“Jangan bimbang, Mak. Wahid tahu batas agama dan adat dalam berkawan. Mak percayalah.” Dia meyakinkan ibunya yang duduk di atas tikar mengkuang. Tak lama kemudian adiknya Azri muncul. Dia berkelulusan universiti. Tapi sampai sekarang masih tidak dapat pekerjaan.
“Mak besok saya akan ke bandar. Ada temu duga kerja,” katanya yang bersongkok memakai baju Melayu berwarna perang dan berkain pelekat. Sama macam abangnya dari surau.
“Pergilah, Azri. Mak doakan mudah-mudahan kau dapat kerja,” ujar ibunya pula. Wahid yang sedang asyik melukis lalu terhenti dan memandang tepat ke arah adiknya yang masih tercegat berdiri di sisi ibunya.
“Betul kata mak tu. Kau ada kelulusan. Carilah pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan kau tu,” celah Wahid.
“Terima kasih mak, abang. Insya-Allah dengan berkat doa dan dorongan mak dan abang moga-moga dapatlah saya kerja. Dapat jugaklah saya bantu keluarga kita,” Azri berjanji. Dia kemudiannya memohon diri untuk masuk ke dalam bilik. Wahid dan ibunya yang masih lagi di anjung rumah rancak berbual-bual. Sudah menjadi kebiasaan. Ketika Wahid melukis dia akan ditemani oleh ibunya.
“Mak …. Penatlah, Wahid …. Mak masuk tidur dulu …,” ibunya bersuara perlahan.
“Yalah, mak. Pergilah mak berehat. Saya nak siapkan lukisan ni dulu,” Wahid menjawab. Ibunya lalu bangun dan mengatur langkah menuju ke bilik.
Tinggallah Wahid seorang diri di anjung rumah. Dia amat tekun dalam menyiapkan lukisan. Selagi tidak siap dia tidak akan berhenti. Kadangkala sampai pagi dia baru masuk tidur. Wahid berasa penat. Dia lalu berhenti seketika. Dengan renungan yang kudus dan penuh bermakna dia melontarkan pandangan ke luar rumah. Dia masih ingat lagi. Ketika zaman kanak-kanak dahulu pada waktu malam begini dia dan Azri akan menyiapkan kerja sekolah sambil ditemani dengan api pelita.
Sementara arwah ayahnya pula akan menjahit jala sambil menghisap rokok daun. Ibunya pula akan menyediakan kopi ‘o’ pekat minuman kegemaran ayahnya. Keesokan paginya selepas solat Subuh arwah ayahnya akan turun ke laut mencari rezeki. Dia dan Azri berjalan kaki ke sekolah. Pada waktu petang Wahid dan kawan-kawan akan bermain di tepi pantai. Bila musim angin kuat layang-layang adalah permainan utama dia dan kawan-kawan.
Alangkah indahnya masa itu ketika diingatkan. Namun begitu dia tetap akur. Semuanya kini tinggal menjadi kenangan indah sahaja. Tambahan pula ayahnya telah tiada. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Apa yang dilalui masa lalu tak akan kembali lagi. Sama seperti kata-kata sekali ombak melanda pantai berubah segala-galanya. Perubahan tetap akan berlaku juga dalam mengharungi arus kehidupan.
Melalui kaca jendela rumah peranginan Rosnani memeluk tubuh sambil memandang laut yang diselubungi kegelapan dan hanya kedengaran sayup-ayup desiran ombak membelai pantai. Kemudian dia menoleh pula ke arah rumah-rumah kampung yang terdapat di kawasan persekitaran pantai. Ada yang masih lagi terang-benderang dan ada yang telah gelap.
Mungkin ada yang masih belum tidur lagi dan ada yang telah tidur. Tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkannya di atas meja berbunyi. Lamunannya yang asyik memerhatikan laut dan rumah-rumah kampung itu pantas terhenti. Siapa pulak telefon malam-malam ni? Getus hati kecilnya. Tanpa berlengah lagi dia lalu mengangkat telefon. Tertera nombor telefon orang yang telah menyakiti hatinya.
Dia malas untuk menjawab panggilan ini. Dipaksanya juga dirinya untuk menjawab panggilan orang yang disayanginya tetapi telah melukakan hatinya. Pedih seperti ditikam sembilu rasanya. Dia lalu menekan butang panggilan. Kebosanan jelas terpancar di wajahnya yang jelita.
“Hello, Rosnani. Maafkan saya. Awak dah tidur ke?” Zaki bersuara.
“Belum. Ada apa awak telefon saya malam-malam ni?” Bunyi nada suara Rosnani macam nak tak nak sahaja bercakap dengan lelaki bernama Zaki itu.
“Kenapa dengan awak ni? Seperti tak suka aje bercakap dengan saya. Kan saya dah kata. Saya cuma sayang awak seorang saja. Saya dengan Azurah yang awak jumpa tempoh hari tak ada apa-apa. Dia tu tergila-gilakan saya. Mentang-mentanglah saya ni berada ….” Dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Sudahlah, Zaki. Walau apa pun alasan yang awak berikan saya tetap tak nak dengar. Tak usahlah awak nak berbohong dengan saya. Terang-terang depan mata saya awak berpegang tangan dan begitu mesra dengan dia. Awak memang dasar lelaki yang tak boleh dipercayai!” bantah Rosnani dengan cepat sambil menggertap giginya yang putih berseri. Menahan marah dan geram yang teramat sangat.
“Rosnani. Tunggu dulu. Dengar saya cakap ….” Suara Zaki terputus lagi.
“Dahlah, Zaki. Cukuplah tu. Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kalau dia tu dah pilihan awak saya doakan semoga awak dan dia bahagia. Selamat tinggal, Zaki …,” Rosnani berkata lemah dan terus menutup telefon bimbitnya. Dia enggan bercakap lagi dengan lelaki itu.
Serta-merta rasa kesedihan menyelubungi wajahnya yang ayu dan jelita itu. Dengan tiba-tiba juga air matanya mengalir membasahi pipinya yang gebu dan halus itu bersama kepekatan malam. Umpama titisan hujan yang turun membasahi bumi. Rasa pilu terasa menyiat-nyiat di jiwanya. Hakikatnya Zaki adalah lelaki pertama dan terakhir yang dicintainya dalam dunia ini. Rosnani amat menyayangi lelaki itu. Dia tidak boleh melupakan lelaki itu walaupun cuma seketika.
Hidupnya terasa lemah dan tidak bermaya. Kalau sehari tidak bertemu dan menatap wajah lelaki itu. Dia ingin sehidup semati dengan Zaki dengan membina mahligai kehidupan bersama. Musnah berkecai impian yang disemai. Bagai kaca yang terhempas ke batu dan tak mungkin akan dapat bercantum kembali. Bahtera yang diidamkannya dilayarkan bersama dengan Zaki ke pulau impian tidak kesampaian. Tenggelam di lautan dihempas gelora dan gelombang ganas.
Disangkanya panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari. Musnah berderai impian yang disemainya selama ini. Bagai kaca yang terhempas ke batu. Tak mungkin akan dapat bercantum kembali. Dia amat setia dalam percintaan tapi malangnya Zaki berpura cuma. Kesepian dan kekosongan kini menyelubungi warna-warna hidupnya. Dalam dunia percintaan Rosnani berpegang teguh pada kata-kata kalau dia dah sayang seseorang itu dia akan sayang selama-lamanya.
Kenangan indah sewaktu memadu cinta dan kasih sayang sewaktu bersama dengan Zaki dahulu sukar untuk dilupakannya. Lelaki yang dikenalinya sewaktu berada di luar negara dahulu sama-sama menuntut dalam bidang perniagaan. Rasa sebak terus menusuk jiwa Rosnani yang dilanda pasrah. Apabila mengenangkan semua itu semula. Benar kata orang. Cinta itu memang indah. Dunia dipenuhi dengan bunga-bunga berseri siang dan malam. Tapi bila terluka pedihnya terasa seluruh hayat.
Mungkin bagi orang yang gagal dalam percintaan pengalaman yang dilalui sungguh pahit. Seperti hempedu rasanya dan mengambil keputusan nekad tidak mahu bercinta lagi. Bagi lelaki rela membujang manakala bagi perempuan pula rela menjadi dara sehingga ke akhir hayat. Bagi Rosnani kehadiran lelaki yang bernama Zaki cuma seketika sahaja. Kemudian berlalu pergi meninggalkan dirinya dalam sendiri dibayangi derita.
Dalam erti kata lain Zaki adalah ibarat setitis embun pagi yang membasahi dedaunan dan rumput. Hilang dan kering apabila terbit matahari. Namun begitu Rosnani tetap redha. Dia adalah insan yang lemah di dunia. Semua ini adalah suratan takdir dari Tuhan Yang Esa untuk menguji hidupnya. Sebagai manusia apa yang telah ditentukannya dia tidak mampu menolaknya. Harus diterima dengan sabar dan tabah. Selagi masih melihat matahari di siang hari dan rembulan di malam hari. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran. Perlu dihadapi dengan kekuatan dan ketenangan.
Lantaran itu dia lalu mengambil keputusan. Mengubati kekecewaan di hati dengan bercuti di kawasan peranginan yang dahulunya adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan. Dia memunajatkan doa ke hadrat Allah SWT. Semoga diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup dan tetap menaruh harapan agar ditemukan dengan lelaki yang lebih baik daripada Zaki. Dia akur bahawa setiap yang dikurniakan oleh Pencipta itu sama baik atau buruk tersembunyi hikmah di sebaliknya. Di sebalik kesedihan yang melanda dirinya sepanjang malam dengan tiba-tiba sahaja dia teringat ungkap yang berbunyi kalau kita tidak merasa bahagia pada hari ini usah kecewa mungkin esok Tuhan sudah sediakan hari bahagia untuk kita. Rosnani lalu mengesat dengan tangan titis-titis air mata yang membasahi pipinya apabila teringat kata-kata yang penuh bermakna dan semangat itu.
Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik itu. Hawanya termampan pada dinding batu pejal yang dicat dengan warna biru tua. Manakala permaidaninya berwarna merah hati. Zaki lalu berjumpa dengan Datuk Baharuddin ayah Rosnani. Dia duduk tersandar di atas kerusi pusing berwarna hitam sambil memakai kot dan bertali leher.
“Macam mana ni, Datuk? Rosnani ni betul-betul keras hatilah. Dah berkali-kali saya telefon sejak semalam. Ditutupnya,” luah Zaki dalam nada suara hampa.
“Kenapa Zaki beria-ia sangat nak hubungi dia? Kan dia tengah bercuti. Biarkanlah. Tak usah diganggu,” tambah Datuk Baharuddin pula. Dia sudah tahu perkara yang sebenarnya berlaku. Tapi dia buat pura-pura tidak tahu. Zaki berasa amat tidak senang sekali apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Datuk Baharuddin itu.
“Saya nak tahu dia bercuti di mana. Saya nak jumpa dia. Bincangkan pertunangan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” jelas Zaki pula.
“Bincangkan pasal pertunangan?” Sekali lagi Datuk Baharuddin buat pura-pura tidak mengerti akan kata-kata Zaki itu sambil menarik badan ke depan dan mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang Zaki yang memakai kot dan bertali leher.
“Ya!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Takkan Datuk tak tahu lagi. Kan ayah dah bincang perkara ini dengan Datuk. Pujuklah dia Datuk. Sebagai anak dia pasti akan mendengar cakap Datuk sebagai ayah,” Zaki menambah lagi dengan lembut. Dia berharap dengan menggunakan Datuk Baharuddin hubungannya dengan Rosnani akan kembali bertaut.
“Zaki …! Zaki …!” Datuk Baharuddin hanya menggeleng-gelengkan kepala dan mengukir senyuman kecil apabila mendengar penjelasan yang tidak benar sama sekali daripada anak Datuk Abdullah itu. Dia tidak mudah lembut dan terpedaya dengan cakap Zaki itu. Setahu dia tak pernah pun dibincangkan perkara ini dengan rakan seperniagaannya. Cuma yang dia dan Datuk Abdullah tahu Rosnani dan Zaki hanya berkawan sahaja. Belum lagi sampai ke tahap untuk disatukan dahulu dengan pertunangan dan kemudiannya dengan perkahwinan.
“Kenapa ni, Datuk? Tak betul ke apa yang saya cakapkan ini?” tanya Zaki.
“Saya nak nasihatkan Zaki. Jangan beritahu saya keputusan yang telah dibuat tanpa perundingan dengan ayah Zaki terlebih dahulu. Begini ajelah, Zaki. Saya nasihatkan Zaki akan belajar menghormati perasaan wanita yang mengasihi kita sebagai lelaki dan bukannya mempermainkan perasaannya,” terang Datuk Baharuddin dalam nada suara yang tegas tapi lembut.
“Apa ni, Datuk? Saya betul-betul tak faham dengan maksud Datuk ni. Tolonglah, Datuk. Janganlah kusutkan lagi fikiran saya ni,” pinta Zaki sebaliknya sambil kerut jelas terpancar pada wajahnya.
“Jangan buat tak faham, Zaki. Saya tahu kenapa Rosnani bertindak menjauhkan diri daripada Zaki. Bukan saja Rosnani nampak Zaki keluar dengan perempuan lain tetapi saya juga nampak semalam. Sudahlah, Zaki. Saya ada mesyuarat. Sampaikan salam saya pada ayah Zaki,” ucap Datuk Baharuddin. Zaki lantas menjadi terkedu. Memang benar dan tidak dapat dinafikan lagi. Semalam dia keluar dengan perempuan lain. Tapi bukan dengan Azurah. Kali ini dengan Rohayati pula. Dia kemudiannya lalu meninggalkan bilik Datuk Baharuddin dengan penuh perasaan hampa dan kecewa.
Hari-hari yang berlalu terasa dengan begitu pantas sekali. Sudah seminggu Rosnani berada di sini. Petang itu cuaca kelihatan redup sahaja. Matahari tidak kelihatan langsung di kaki langit. Namun begitu tiada tanda-tanda hujan akan turun membasahi kawasan peranginan dan kampung yang berhampiran dengannya. Angin dari arah laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Membelai seluruh alam semesta.
Sang camar putih bebas berterbangan berpasangan ke sana sini. Membelah angkasa yang luas sambil bernyanyi-nyanyi riang. Sesekali hinggap di dahan membuat sarang dan kemudian terbang semula. Desiran ombak tetap tenang menghempas pantai. Buih-buih memutih bermain dengan penuh keriangan di gigian. Sekejap timbul dan sekejap hilang. Seperti biasa butiran pasir halus dan batu-batu kecil akan basah dengan kejadian ciptaan Tuhan itu. Pepohonan dan dedaunan hijau bagai menari-nari. Mengikut tarian angin yang berhembus dingin dan nyaman. Rasa segar dan nikmat yang tak terhingga jelas terasa apabila menyapu permukaan kulit.
“Cantik lukisan awak,” kata Rosnani sambil membelek satu persatu lukisan yang dibawa oleh Wahid. Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu mengerbang apabila ditiup angin laut.
“Yang ini saya hadiahkan istimewa untuk awak. Semalaman saya tak tidur untuk menyiapkannya,” Wahid bersuara sambil menghulurkan lukisan yang menggambarkan sebuah perkampungan nelayan.
“Ya ke. Cantik sungguh lukisan awak. Terima kasih. Memang awak berbakat. Kalau awak jual dengan harga yang mahal pun saya sanggup beli lukisan ini,” jawab Rosnani sambil melihat dalam-dalam lukisan itu.
“Saya tak fikirkan soal bayaran. Yang penting kepuasan dalam berkarya. Agar insan seperti awak faham apa yang tergambar dalam perasaan saya. Mensyukuri kehidupan yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bermula dari kita dilahirkan sehinggalah kematian menjemput kita nanti,” dia menambah sebaliknya sambil membetulkan duduk di lantai pondok.
“Dalam sekali kata-kata awak tu. Apa yang saya lihat awak ni selain daripada seorang pelukis juga seorang penyair rupanya,” ujar Rosnani pula.
“Melukis sudah menjadi darah daging dalam hidup saya. Dunia penyair tidak pernah saya ceburi. Cuma membaca buku-buku penyair terkenal bertemakan ketuhanan, kemanusiaan dan alam semula jadi. Saya tak boleh ketepikan karya puisi kerana ia berkait rapat dengan lukisan yang saya hasilkan. Walaupun bertemakan kehidupan laut,” terang Wahid.
“Apa yang awak cakapkan itu memang saya akui kebenarannya. Ada yang bernasib baik dan ada yang tak bernasib baik. Ada yang bahagia dan ada yang tak bahagia. Ada yang berjaya dalam hidup dan ada yang tak berjaya dalam hidup. Tapi bagi saya kita harus bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan,” Rosnani menambah.
“Maafkan saya kalau bertanya. Itu pun kalau awak tak keberatan dan menyentuh perasaan awak untuk menjawabnya.” Dia memandang tepat wajah Rosnani yang duduk bersebelahan dengannya.
“Apa dia?” soal Rosnani berkulit putih dan halus sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.
“Apa sebenarnya pekerjaan awak dan kenapa awak datang bercuti ke sini?” Pertanyaan yang diajukan oleh Wahid.
“Saya bekerja dengan ayah saya seorang ahli perniagaan. Saya datang bercuti ke sini saja untuk merehatkan fikiran setelah penat bekerja,” dia cepat menjawab soalan Wahid itu.
“Awak sungguh bertuah memiliki keluarga yang mewah dan berada. Berbanding dengan saya. Kehidupan keluarga saya lebih mengenal erti kesusahan daripada kesenangan. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang,” jelas Wahid.
“Tentu awak selalu mengikut ayah awak turun ke laut.” Rosnani semakin berminat untuk mengetahui liku-liku kehidupan yang dilalui oleh Wahid sebagai anak nelayan. Dia sebaliknya tidak pantas menjawab pertanyaan Rosnani itu. Ditariknya nafas dalam-dalam. Bersama alunan ombak yang tak henti-henti membelai pantai maka terbayanglah kejadian di laut yang dilalui olehnya bersama dengan arwah ayahnya. Wahid kemudiannya mengalihkan pandangan yang melekat di laut yang tenang membiru dan memandang wajah Rosnani.
“Saya dan arwah ayah saya pernah dipukul gelombang ganas di lautan. Syukur alhamdulillah. Umur saya dan arwah ayah saya masih lagi dipanjangkan oleh Tuhan. Kami dapat menyelamatkan diri …,” dia bersuara perlahan. Rosnani hanya berdiam diri apabila mendengar cerita Wahid itu. Rasa keinsafan benar-benar terbit di hatinya. Kehidupan yang dilaluinya jauh berbeza dengan kehidupan yang dilalui oleh Wahid. Umpama langit dan bumi. Mungkin sudah ketentuan Tuhan. Dia ditemukan dengan orang seni macam Wahid sewaktu bercuti.
“Wahid …. Awak anak nelayan …. Saya anak korporat …. Di sini kita bertemu ….” Nada suara Rosnani berbunyi perlahan dan tenggelam bersama gulungan ombak yang terus menghempas pantai.
Share this novel