OPERASI BUKIT MERAH
Bukit Merah memang menggerunkan. Markas gerila komunis yang terbesar sekali di sempadan Malaysia-Thai. Kekuatannya dianggarkan dua kali ganda kira-kira 100 hingga 280 orang anggota termasuk lelaki dan perempuan. Ia diketuai oleh Tuen Yuen. Dipercayai berketurunan Cina-Siam. Berasal dari selatan Haadyai. Bukit Merah telah banyak mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan.
Dari sumber yang aku perolehi pasukan keselamatan telah memenangi dua pertempuran. Selebihnya dimenangi oleh pasukan Tuen Yuen atau dikenali juga sebagai Harimau Bukit Merah.
Seperkara yang perlu diingat. Tuen Yuen dikatakan amat licin macam belut. Pasukan risik percaya Tuen Yuen mempunyai banyak tempat persembunyian dan tak syak lagi dia dibantu oleh penduduk yang tinggal di pinggir kampung yang bekerja sebagai penoreh getah.
Aku percaya serang hendap melalui bom tangan mengorbankan Leftenan Omar dan anak-anak buahnya pada pagi 18 Mei 1985 adalah angkara Tuen Yuen. Cuma Prebet Abu Bakar sahaja yang terselamat. Dia cedera parah. Menurutnya sewaktu trak yang mereka naiki melintasi kawasan ladang getah itu, mereka ternampak seorang lelaki yang berbadan gempal sedang terbongkok-bongkok menyembah pokok getah.
Pada mulanya mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana dia cuma seorang penoreh getah. Malangnya jangkaan mereka silap. Sebutir bom tangan terus dilemparkan ke arah trak mereka. Prebet Abu Bakar sempat menyelamatkan diri dengan melompat keluar sebelum trak itu terbalik. Leftenan Omar dan anak-anak buahnya menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan di situ juga mereka semua gugur sebagai bunga bangsa. Sementara itu, Prebet Abu Bakar diselamatkan oleh penduduk kampung yang berhampiran.
Itulah tragedi yang menyayat hati yang telah menimpa pasukan Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Port Dickson. Tetap segar bersemadi dalam ingatan kami sehingga ke hari ini. Walaupun telah lama berlalu iaitu kira-kira sembilan tahun namun seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam. Setiap kali selepas sembahyang aku tidak lupa menyedekahkan pahala Al-Fatihah semoga roh mereka yang telah terkorban kerana mempertahankan tanah air yang tercinta dicucuri rahmat serta dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.
Pagi itu, aku telah dipanggil oleh Pegawai Pemerintah iaitu Kolonel Abdullah. Aku sudah menduga. Operasi Bukit Merah akan dipikul oleh pasukanku yang berjumlah 30 orang anggota. Dari taklimat yang aku terima kawasan Bukit Merah rata-rata dipenuhi oleh ranjau dan jerangkap samar. Itulah senjata utama Tuen Yuen dan orang-orangnya.
Aku turut difahamkan akan dibantu oleh pasukan Leftenan Saiful dari arah selatan. Selama lima tahun menceburkan diri dalam bidang ketenteraan sudah berpuluh-puluh operasi aku lalui termasuk di Sabah dan Sarawak. Syukur alhamdulillah semuanya mencapai kejayaan yang cemerlang. Namun aku tidak pernah riak dan takbur. Aku harus berhati-hati sewaktu menjalankan tugas. Bahaya sentiasa mengintai sekiranya aku tidak berwaspada.
Operasi Bukit Merah benar-benar mencabar. Inilah kali pertama aku akan bertempur di sempadan. Entahkan menang, entahkan gugur. Aku sendiri tak pasti. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Andainya ditakdirkan aku gugur di medan perjuangan aku tetap merasa bangga kerana mempertahankan bumi yang tercinta daripada jatuh ke tangan musuh.
Tidak kupinta sama sekali pingat keberanian disematkan ke dada ini kerana mengenangkan segala jasa dan pengorbananku. Cukuplah sekadar menjadi inspirasi dan teladan buat generasi yang akan datang supaya rela berkorban mempertahankan negara yang tercinta.
“Semoga awak berdua akan berjaya dalam misi ini.” Kolonel Abdullah mengakhiri taklimat.
Setelah memberi tabik hormat aku pantas beredar keluar daripada pejabatnya dan mendapatkan Sarjan Karim supaya mengumpulkan kesemua anggota-anggota platun.
Dalam perjuangan aku langsung tidak mengenal erti putus asa.
Maruah agama, bangsa dan negara perlu dijaga. Sebagai ketua aku menjadi contoh untuk menyemarakkan lagi semangat anak-anak buahku.
“Berjuanglah hingga ke titisan yang penghabisan. Menyerah jangan sekali!” Kata-kata yang sering kusematkan ke dalam diri mereka. Sebagai azimat dalam pertempuran nanti. Wajah setiap anggota platun kupandang silih berganti. Akhir sekali kualihkan pandangan pula ke arah Sarjan Karim. Masuk ni, sudah lima kali dia bertindak sebagai pembantuku. Seorang yang berdedikasi dan berdisiplin tinggi.
“Kematian rakan-rakan kita mesti dibela!” Aku menggenggam erat tangan kanan. Dendamku terhadap Tuen Yuen semakin membara. Sukar untuk dibendung lagi seperti api yang dicurahkan dengan minyak tanah. Panas! Marak membakar.
Tambah mengapi-apikan lagi semangat anak-anak buahku.
“Seinci pun jangan kita serahkan bumi yang bertuah ini kepada mereka!”
Aku melihat jam di tangan.
“Sarjan!”
“Tuan!” dia membalas pantas macam peluru.
“Kita bergerak sekarang.” Aku mengeluarkan arahan.
“Skot bersiap semua!” Kedengaran suara Sarjan Karim dengan penuh lantang.
Kami dibawa menaiki helikopter. Perjalanan memakan masa hampir kira-kira dua jam. Kuperhatikan setiap wajah anggota platun tetap tenang seperti biasa. Sebagai anggota tentera kita mesti berani, cekal dan tabah dalam mengharungi perjuangan. Soal mati tidak pernah timbul. Kalau sudah ajal di tangan musuh harus diterima. Setelah sekian lama teroleng-oleng di udara akhirnya kami sampai ke destinasi yang dituju.
Dari atas kelihatan kawasan bukit-bukau yang tebal. Sesuai dengan namanya Bukit Merah menyaksikan tumpahan darah perwira-perwira yang gugur kerana mempertahankan tanah air yang tercinta. Sebaik-baik sahaja turun daripada helikopter aku mengarahkan semua anggota platun di satu tempat.
Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas. Aku memandang tepat muka Sarjan Karim dan Koperal Rahman.
“Bila kita akan bergerak, tuan?” soal Sarjan Karim.
“Besok sebaik sahaja terbit matahari.” Aku menarik nafas yang panjang.
“Leftenan Saiful akan membantu kita dari arah selatan,” sambungku lagi.
“Kita akan bergerak dalam berapa kumpulan, tuan?” soal Koperal Rahman pula yang selama ini berdiam diri serentak membetulkan topinya.
“Dua.” Aku mengisyaratkan dengan tangan.
“Koperal dan saya dalam satu kumpulan. Manakala kumpulan yang satu lagi akan dipimpin oleh Sarjan.”
“Baik, tuan!” Dia mengangguk tanpa banyak membantah. Anggota-anggota platun yang lain mendengar peneranganku dengan penuh teliti.
Aku memandang wajah Sarjan Karim sehinggalah anggota platun yang lain silih berganti. Kemudian aku lalu berkata:
“Menurut maklumat yang diterima daripada pasukan risik jejak-jejak Tuen Yuen dan orang-orangnya amat sukar untuk dikesan. Tapi saya yakin sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.” Aku menanamkan keyakinan ke dalam diri setiap anggota platun.
“Sarjan.”
“Tuan.”
“Kita bermalam di sini.” Aku melipat semula peta dan memasukkannya ke dalam beg galas.
“Baik, tuan!” angguknya.
“Dirikan khemah segera.” Sarjan Karim mengeluarkan arahan. Anggota-anggota platun bersurai untuk menjalankan tugas masing-masing. Ada yang mencari kayu untuk dijadikan tiang khemah, ada yang mencari air di sungai untuk memasak dan ada yang menghidupkan api.
Setelah siap mendirikan khemah aku pun menikmati hidangan tengah hari bersama-sama dengan anggota-anggota platun yang lain.
Kemudian aku ke sungai yang berhampiran untuk mengambil wuduk. Dalam sembahyang aku tak henti-henti berdoa semoga Tuhan mengurniakan kemenangan yang gemilang ke atas platunku. Selepas selesai menunaikan solat Zuhur aku berehat di bawah pokok ketapang yang rendang. Cuaca kelihatan baik. Matahari memancar dengan terik sekali. Kicauan burung-burung sungguh merdu memecah kesunyian hutan belantara yang menghijau. Aku menyandarkan senjata M16 pada pangkal pokok. Sarjan Karim dan Koperal Razak sedang rancak berbual.
Hashim yang menjaga bahagian wireless sedang cuba untuk mendapatkan maklumat daripada Leftenan Saiful dari arah selatan.
Sementara itu, Prebet Mokhtar dan Prebet Ismail sedang berkawal. Kedua-dua biji mata mereka ligat memerhatikan kawasan sekeliling. Sambil senjata siap sedia di tangan. Selalunya kawalan dilakukan bergilir-gilir sampailah ke waktu malam. Manalah tahu kalau pihak musuh yang lebih awal menghidu pergerakan kami untuk membuat serang hendap.
Aku terus melayani fikiran. Tumpuanku semakin tajam terhadap Operasi Bukit Merah.
Dalam benakku tertanya-tanya bagaimana rupa Tuen Yuen agaknya. Pengkhianat negara itu daripada sumber maklumat yang aku terima melalui pasukan risik sungguh zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bak kata orang nama sahaja muka manusia tapi berhati binatang.
Dia tidak teragak-agak membunuh anggotanya yang cuba belot atau berpaling tadah.
Dia juga telah membunuh penduduk yang tinggal di pinggir kampung sekiranya enggan memberikan kerjasama kepada pasukannya. Ini mengakibatkan mereka semua tinggal dalam ketakutan.
Kali ini kau akan bertemu buku dengan ruas Tuen Yuen! Aku akan tentang kau habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir! Negara tidak akan aman dan damai selagi orang-orang seperti kau masih hidup! Aku melepaskan perasaan geram dalam hati kecil. Aku berpaling ke arah senjata M16.
Aku memandang ke atas. Langit membiru seperti air laut. Gumpalan awan putih begitu tebal sekali. Bersih dan terang-benderang.
Daun-daun hijau berguguran. Pohon-pohon bergoyangan mengeluarkan nada bunyi yang sungguh gemersik. Angin dari arah pergunungan bertiup lembut. Sungguh segar bila menyapu permukaan kulit. Ditambah pula dengan keindahan hutan belantara yang menghijau.
Aku mengutip semula salahsilah keturunanku. Sememangnya aku berdarah pendekar. Menurut cerita arwah datuk moyangku dulu pernah berjuang bersama-sama dengan Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah menentang British di Pahang. Ayahku juga seorang anggota tentera. Tapi kini dia telah pun bersara. Dia menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Pegawai Waran 1. Terkenal dengan sifat-sifat berani dan tegas sewaktu zaman darurat. Jadi ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
“Darus dah besar nanti nak jadi apa?” tanya ayah sambil memegang lembut bahu kananku. Dia merenung dalam-dalam wajahku. Aku dapat membaca maksudnya itu. Penuh dengan makna dan harapan.
“Nak jadi askar macam ayah!” aku lantas menjawab dengan penuh semangat.
“Kenapa?” Ayah mengangkat kepala tinggi sedikit.
“Dapat berbakti pada negara.” Semangatku semakin meluap-luap. Seolah-olah dibakar menerusi peperangan dalam siri Combat yang ditayangkan di kaca televisyen ketika itu.
“Bagus anak ayah kerana mempunyai semangat yang waja.” Dia mengusap-usap lembut rambutku sambil tersenyum kecil.
Aku pun tumpang gembira kerana ayah merestui cita-citaku.
“Tapi …!” Ayah mengangkat jari telunjuk tangan kanannya.
“Darus mesti berjanji dengan ayah supaya belajar rajin-rajin.” Dia memberi ingatan.
“Baiklah, ayah!” aku cuma mengangguk-anggukkan kepala.
Ibu adalah orang yang paling kecewa sekali apabila aku menolak tawaran mengikuti latihan perguruan di Tanjung Malim.
“Tiada hinanya menjadi seorang guru, Darus …,” ibu bersuara lemah melambangkan kekecewaan.
“Apa boleh buat, mak.” Aku lantas memujuk kekecewaan yang membalut hatinya.
“Saya lebih terpanggil untuk menceburi bidang ketenteraan,” sambungku lagi.
Ayah berdiri teguh di belakangku.
“Kalau itulah keputusannya apa kita boleh buat, Mah ….” Ayah terhenti seketika untuk membetulkan duduknya di atas kerusi kusyen yang berwarna daun hijau muda.
“Biarkanlah.” Dia memberi sokongan yang padu.
Ibu tetap juga membantah.
“Tapi ….” Dia pantas berpaling ke arah ayah.
“Dialah satu-satunya anak lelaki kita.” Ternyata ibu amat berat untuk menerima keputusanku.
“Kita harus berbangga, Mah.” Ayah cuba memujuk ibu.
“Kerana punya anak yang bersemangat waja. Rela berkorban demi nusa dan bangsa.” Lagak ayah seperti seorang peguambela terus menguatkan hujah-hujahnya. Ibu diam. Dia benar-benar termampan dengan kata-kata ayah itu. Perlahan-lahan dia merenungku dan berkata:
“Kalau begitu keputusan kau, pergilah. Mak izinkan. Mak doakan semoga kau berjaya menjadi seorang pegawai tentera yang berhemah tinggi seperti ayah kau.” Akhirnya dia mengalah jua.
“Terima kasih, mak,” ujarku penuh gembira bercampur lega. Aku kemudian mengalihkan pandangan ke arah ayah pula orang yang banyak memberi dorongan dan rangsangan supaya aku menceburi bidang ketenteraan. Dia kelihatan tumpang gembira. Senyumannya semakin melebar. Dalam pada itu ayah tetap menammpakkan sifat-sifat ketegasannya dalam menangani tanggungjawab sebagai ketua keluarga biarpun telah lama bersara meninggalkan bidang ketenteraan yang diceburinya hampir 40 tahun.
Kak Long tidak melarangku menceburi bidang ketenteraan seperti ayah juga dia terus memberi galakan dan semangat kepadaku. Tambahan pula suaminya seorang anggota Pasukan Polis Hutan berpangkat Sarjan di Ulu Kinta. Dia telah dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan.
Kak Ngah pula mula-mula seperti ibu melarang keras keputusanku. Dia mendesak aku supaya menerima tawaran latihan perguruan. Tapi lama-kelamaan dia mengalah juga. Apabila melihat ayah dan ibu menghulurkan sokongan yang kuat kepadaku. Dia mahu aku buktikan bahawa aku boleh mengikut jejak ayah menjadi seorang pegawai tentera yang berjaya dan disegani ramai.
Dia bertugas sebagai seorang guru sekolah rendah di Kota Bharu, Kelantan. Manakala suaminya pula baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Dia kini sedang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Pangkalan Cepa.
Mereka berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Hasil perkahwinannya telah dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Sebelum menjadi Pegawai Waran 1 ayah berpangkat Sarjan. Sebut sahaja Sarjan Yahaya semua pengganas akan kecut perut. Ayah sangat terkenal dengan ketangkasan dan keberaniannya merempuh kubu musuh tanpa mengira keselamatan diri. Menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat kepada pasukan Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja.
Dia berpegang teguh pada prinsip gugur kerana mempertahankan bumi yang tercinta daripada mengikut telunjuk musuh.
Ayah juga pernah cedera parah sewaktu bertempur dengan pihak musuh di Grik, Perak kerana menyelamatkan nyawa tuannya. Sebulan lamanya ayah berada di wad kecemasan. Di atas keberaniannya itulah maka ayah telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) sbelum dia bersara iaitu pada tahun 1980.
Kini ayah mampu mengulum sejuta senyuman. Bangganya hati ayah tidak terkira. Perjuangannya dalam mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh tidak berkubur sebaik-baik sahaja dia bersara. Aku terus mewarnai perjuangannya. Kalau boleh biarlah sehingga anak cucu-cicit kami. Walaupun ayah telah lama bersara daripada bidang ketenteraan namun semangatnya masih lagi terus menyala macam api yang membakar. Dia sentiasa memberi aku dorongan dan galakan.
Katanya disiplin serta keazaman yang tinggi adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan.
Kata-kata ayah menjadi azimat yang paling berguna buat diriku.
Hasilnya aku telah menjadi pegawai yang berdisiplin dan berhemah tinggi. Aku sering kali mendapat pujian daripada pegawai-pegawai atasan kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam operasi.
Kejayaanku yang paling cemerlang ialah menumpaskan gerombolan komunis ketiga terbesar di Ulu Kinta, Perak yang mempunyai kekuatan anggota kira-kira 90 orang. Termasuk lelaki dan perempuan. Aku juga telah berjaya membunuh ketuanya yang dikenali sebagai Ah Chee. Platunku telah berjaya membunuh 80 pengganas komunis dan menawan 10 orang termasuk lelaki dan perempuan. Aku juga merasa bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa di pihakku. Cuma dua orang sahaja platunku yang cedera ringan.
Senjata seperti senapang, pistol, pisau dan bom buatan sendiri turut dirampas.
Berita kejayaan platunku telah mendapat liputan meluas dalam akhbar tempatan. Orang yang paling bangga di atas kejayaanku tak lain tak bukan ialah ayah.
“Ayah harap platun kau akan berjaya lagi dalam operasi-operasi yang seterusnya.” Ayah tak henti-henti memberi galakan.
“Insya-Allah, ayah,” janjiku lagi.
“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ayah kerana dengan doa dan dorongan ayah selama inilah maka saya telah berjaya mengecapi kejayaan yang gemilang.”
“Berhati-hatilah Darus semasa menjalankan tugas. Ingatlah kepada Tuhan selalu. Sembahyang apabila tiba waktunya.”
“Syabas, Darus! Awak memang hebat. Saya harap awak meneruskan lagi kecemerlangan ini di masa-masa akan datang,” puji Kolonel Abdullah sambil menjabat erat tanganku. Tapi aku tidak mudah kembang dengan pujian itu.
“Terima kasih, tuan. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama juga. Saya juga sentiasa berdoa agar Batalion ke-10 akan mendapat kejayaan yang lebih cemerlang lagi di masa akan datang,” balasku pula.
Begitu cepat waktu berlalu. Tanpa disedari senja perlahan-lahan merangkak tiba melabuhkan tirainya menyambut malam. Bola matahari yang berwarna seperti buah pinang masak sudah tidak kelihatan lagi.
Malam begitu pekat sekali. Awal-awal lagi aku sudah masuk ke dalam khemah. Senjata M16 sentiasa sahaja setia berada di sisi. Bulan dan bintang tetap indah bersinar. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan. Bayu malam terasa dingin merembes seluruh tubuh. Hutan belantara sudah menjadi rumah kedua buatku. Sepanjang menceburkan diri dalam bidang ketenteraan sudah tiga kali aku tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan keluarga yang tersayang kerana terpaksa bertugas di perbatasan. Dua kali aku terpaksa beraya di hutan dan sekali di kem.
Hati mana yang tak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga di hari yang mulia.
Tambahan memilukan lagi apabila terkenangkan takbir yang bergema di pagi raya serta menikmati juadah ketupat, lemang dan rending bersama-sama dengan keluarga tersayang. Tetapi demi mempertahankan negara yang tercinta kesyahduan dan kepiluan terpaksa diketepikan.
Sebenarnya aku baru sahaja mendirikan rumah tangga kira-kira tiga bulan yang lalu dengan gadis pilihanku sendiri. Aida namanya. Kami berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban. Waktu itu aku menuntut dalam tingkatan lima manakala Aida pula menuntut dalam tingkatan tiga.
“Aida tidak rasa menyesal memilih abang?” soalku sambil merenung wajahnya yang jelita itu dalam-dalam.
“Menyesal?” Dia memandangku tepat.
“Apa maksud, abang?” Dia menagih kepastian.
“Memilih seorang tentera sebagai suami,” jawabku.
“Jadi?”
“Aida akan selalu ditinggalkan,” jelasku lagi.
“Aida lebih bangga bersuamikan seorang satria negara.” Kata-kata yang keluar daripada mulutnya.
“Betul?” Aku cuba menduga.
“Apa abang masih lagi meragui kejujuran dan kesetiaan hati Aida terhadap abang?” dia membalas.
“Tidak sama sekali, Aida!” aku menggeleng-gelengkan kepala.
“Habis?” dia pantas memotong bagaikan peluru.
“Cuma mahukan kepastian.” Aku mengukir senyuman lebar. Begitu juga dengan Aida. Wajahnya tambah bening dan manis. Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu kuurut perlahan-lahan seperti bayi kecil yang minta dimanja.
Itulah saat-saat indah malam perkahwinan yang dilalui oleh aku dan Aida.
Badanku mula terasa letih. Mataku pula lantas diserang ngantuk. Mungkin kerana perjalanan jauh yang kulalui bersama-sama dengan anggota platun yang lain. Aku terus terlena dibuai oleh mimpi-mimpi yang indah.
Keheningan pagi diserikan lagi dengan kicauan unggas. Bola matahari semakin meninggi dengan jalur-jalur cahayanya mencecah ubun-ubun pergunungan. Selepas sarapan pagi, aku telah menerima arahan daripada pihak markas supaya bergerak ke arah selatan menjejak kesan-kesan Tuen Yuen dan orang-orangnya. Pihak perisik mendapati mereka telah berada di kawasan selatan Bukit Merah sudah hampir sebulan.
Aku pun pantas mendapatkan Sarjan Karim supaya mengarahkan anggota platun bersiap sedia bergerak ke arah selatan. Segala kayu-kayu khemah hendaklah dibuang jauh-jauh dan asap dikambus agar tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.
Setelah segalanya berjalan lancar kami pun bergerak mengikut seperti yang dirancangkan.
Aku mengetuai kumpulan satu berada di sepan. Kumpulan dua berada di belakang di bawah pimpinan Sarjan Karim. Hampir tiga jam perjalanan kami ke arah selatan. Mengharungi hutan rimba yang tebal, sungai dan lurah. Naik bukit turun bukit. Akhirnya aku memutuskan supaya berehat di sebuah kawasan yang lapang.
Bola matahari makin tegak di atas kepala. Bahangnya terasa pedih menggigit-gigit permukaan kulit. Aku mengesat peluh yang membintik di atas permukaan dahi dengan tangan kanan. Kemudian aku mengarahkan semua anggota platun agar membuat satu bulatan. Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas.
“Kita sudah semakin hampir dengan markas musuh.” Aku memberi penerangan.
“Berapa jaraknya, tuan?” soal Sarjan Karim. Aku meneliti semula peta dan memandang wajah Sarjan Karim.
“Tak sampai satu batu.” Aku memandang wajah anggota-anggota platun silih berganti dan bersuara:
“Berehatlah. Selepas makan nanti kita bergerak semula.” Lipatan peta kumasukkan semula ke dalam beg galas.
Sebaik-baik sahaja selesai makan tengah hari, kami meneruskan semula gerakan setelah menerima isyarat daripada Leftenan Saiful yang mengatakan bahawa kedudukan kami tepat dengan markas musuh.
Aku sudah tak sabar-sabar lagi untuk berhadapan dengan Tuen Yuen dan orang-orangnya. Aku akan pastikan dia rebah menyembah bumi atau ditangkap hidup-hidup untuk dibawa ke muka pengadilan. Tak semua manusia yang hidup. Ada juga kelemahannya. Hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa di dunia dan akhirat.
Aku menggenggam erat senjata M16.
Share this novel