RESOLUSI KERIS
“Apa pandangan awak tentang kertas kerja yang telah dibentangkan tadi?” tanya Encik Talib yang berumur dalam lingkungan lewat 40-an sambil membetulkan cermin matanya yang berbentuk empat segi itu. Beliau merupakan salah seorang daripada peserta yang turut bersama-samaku menyertai seminar yang bertajuk “Senjata-senjata Melayu Tradisional” anjuran Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.
“Menarik!” aku menjawab pendek.
“Menarik dari segi apa?” soalnya lagi.
“Kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Profesor Rahim dari Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia tadi telah memberikan kesempatan kepada saya untuk mengenali dengan secara lebih dekat lagi tentang senjata-senjata warisan bangsa Melayu yang unggul,” aku membalas dengan panjang lebar.
“Itu saja!” katanya sambil tersenyum sinis.
“Bagi saya itu adalah rumusan yang dapat saya berikan hasil daripada seminar tadi. Saya rasa Encik Talib tentu mempunyai pandangan yang bernas. Sebagai orang muda, saya ingin mencapai resolusi dengan orang yang lebih berpengalaman dalam bidang Kebudayaan.” Aku berterus terang. Dia lalu membetulkan duduknya dan berkata:
“Saya bersetuju sekali dengan kata-kata awak tu, Amir. Generasi muda seperti awak perlu diberikan kesedaran serta kefahaman tentang kekayaan dan keunikan ciptaan seni bangsa Melayu yang dijelmakan selama ini dan kekal menjadi identiti budaya yang dibanggakan.”
“Menarik sekali pandangan Encik Talib tu. Lagi?”
“Ia juga memberi ilham serta menimbulkan minat para karyawan menghasilkan ciptaan seni yang baru dan lebih bermutu berasaskan kepada unsur-unsur tradisi yang sudah diterima umum.” Aku benar-benar tertarik dengan kata-kata Encik Talib itu. Ini jelas membuktikan bahawa bangsa Melayu mempunyai identiti tersendiri serta sifat-sifat keperwiraan yang perlu dibanggakan oleh generasi kini dan yang akan datang.
“Teori ini memang tidak dapat dinafikan lagi, Encik Talib. Tapi, secara praktikalnya masyarakat Melayu lebih mengenali keris sebagai kumpulan senjata tikam yang utama berbanding dengan senjata-senjata yang lain.” Aku merancakkan lagi perbualan.
“Saya ada membuat kajian tentang keris.”
“Apa yang Encik Talib dapat?” aku menyoalnya dengan penuh minat sambil membetulkan duduk.
“Banyak. Keris memainkan peranan yang khusus dan penting dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan sebagai senjata semata-mata. Hakikat ini jelas dapat dibuktikan kerana terdapat banyak senjata yang dianggap mempunyai kuasa magik dan keramat yang harusnya dihormati di kawasan Nusantara terutamanya di Indonesia. Misalnya Rencong di Aceh, Mandau di Kalimantan dan Badik di Sulawesi Selatan. Fenomena ini akan menjadikan seseorang akan berasa selamat apabila membawa senjata seumpama ini dalam hidup atau perjalanannya.” Dia memberikan penerangan dengan panjang lebar.
Hebat! Senjata-senjata ini pada asalnya merupakan sesuatu yang disebut sebagai senjata menikam. Tetapi lama-kelamaan dalam perkembangan mutakhir akibat daripada berbagai-bagai faktor seperti keadaan geografi serta pengaruh lingkungan, maka timbullah perbezaan bentuk dan fungsinya seperti sekarang ini serta seirama dengan perkembangan kebudayaan secara keseluruhan.
“Saya ada membaca buku yang bertajuk Keris dan Asal-usulnya. Dalam buku itu ada menyentuh bahawa keris dalam penggunaannya merangkumi aspek kehidupan yang amat luas. Ia sudah dianggap sebagai gejala umum sejagat di mana sesuatu yang dianggap penting selalunya berhubungan rapat dengan tatacara kehidupan, khususnya kehidupan spiritual seperti dapat menjaga keselamatan dan kebahagiaan hidup.”
Dia kelihatan mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-kataku itu.
“Itulah kelebihannya kalau kita banyak membaca. Awak meletakkan fakta pada landasan yang tepat. Seperkara lagi yang penting apabila kita membicarakan tentang keris ialah ia juga merupakan hasil karya cipta seni masyarakat Melayu dari segi rupa, bentuk serta mempunyai kelengkapan-kelengkapan yang sangat tinggi. Ini menjadikan keris terdiri daripada berbagai jenis dan sesuai dengan perkembangan seni serantau.”
“Apakah yang telah mendorong Encik Talib sehingga begitu berminat sekali untuk membuat kajian tentang keris?” Aku mengalih tajuk perbualan.
Dia sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu. Dengan wajah yang tenang dia lalu menjawab:
“Menurut penelitian para penyelidik yang bijaksana, keris hanya terdapat di Asia Tenggara khususnya di Kepulauan Nusantara. Ia mengalami perkembangan yang berbeza-beza dari segi bentuk, nama dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat Melayu kerana keadaan geografis Kepulauan Nusantara yang terpisah di antara satu sama lain. Seperti yang telah saya katakana tadi di Aceh dikenali dengan nama Rencong, di Sulawesi Selatan Badik, di Jawa Barat Kujang, di Jawa Tengah dan Jawa Timur Keris. Namun begitu keris sendiri akhirnya tersebar ke berbagai daerah di Tanah Melayu serta Indonesia. Misalnya di Jawa Barat, Madura, Bali, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan.”
“Jadi, selaras dengan perkembangan kebudayaan dan sistem sosial, maka fungsi keris mengalami perkembangan dan perubahan.”
“Benar kata awak tu, Amir!” dia menjawab sambil menganggukkan kepala.
“Perubahan ini dapat diperhatikan misalnya pada keris yang pada mulanya merupakan senjata telah bertukar menjadi barang keramat yang dihormati, dipuja, lambing ikatan keluarga, tanda jasa, tanda pangkat atau kuasa, barang mewah serta lama-kelamaan dianggap sebagai karya seni,” sambungnya lagi penuh perasaan.
“Bagaimana pula dengan peranan seorang Pandai Besi atau Empu yang ditugaskan membuat keris?” soalku lagi.
“Biasanya seorang Empu terdiri daripada keluarga diraja atau Penggawa dalam lingkungan istana. Oleh yang demikian pada zaman dahulu pusat-pusat pembuatan keris berpindah-pindah mengikut jatuh bangunnya sesuatu kerajaan. Keris biasanya dibuat atas titah Raja. Hasil daripada fenomena inilah yang telah menggolongkan keris sebagai kebudayaan istana. Namun begitu ada juga keris dibuat di luar istana tetapi ia masih lagi dalam pengawasan istana,” ujarnya pula.
Baharu aku tahu kini. Keris yang merupakan sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu turun-temurun yang digunakan sejak lebih daripada 600 tahun yang lalu bukan sahaja digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan serangan musuh tetapi juga dijadikan sebagai alat kebesaran Diraja serta disanjung tinggi dan sering dikaitkan dengan kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa. Buktinya keris boleh terbang sendiri mencari musuh atau boleh membunuhnya dengan menikam bekas tapak kaki orang berkenaan.
“Saya sebenarnya sekarang sedang membuat kajian tentang keris.” Aku akhirnya berterus-terang pada Encik Talib.
“Patutlah awak beria-ia benar berbincang mengenai keris dengan saya. Apa yang awak kaji?” tanya Encik Talib yang berkulit cerah serta tidak pernah lekang dengan senyuman itu.
“Saya membuat kajian pada bahagian keris iaitu mata, hulu dan sarung,” aku menjawab pantas.
“Apa yang awak faham tentang ketiga-tiganya?” Dia cuba mendugaku.
“Mata keris diperbuat daripada beberapa lapisan besi yang berlainan jenis dan mempunyai bilangan luk yang tertentu atau lurus sahaja. Ciri-ciri inilah yang membezakan di antara keris-keris tersebut serta mempunyai nama-namanya tertentu seperti Keris Majapahit, Pekaka, Bugis, Jawa, Madura dan lain-lain lagi.”
“Hulu dan sarungnya?” dia pantas mencelah dengan tiba-tiba sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang wajahku.
“Hulu keris lazimnya mempunyai ukiran yang berbagai rupa menggunakan logam yang sama ada daripada kayu atau gading dan adakalanya menggunakan logam yang sama dengan yang digunakan pada mata keris. Manakala sarung keris pula mempunyai bahagian tertentu iaitu sampir, batang serta punggung yang diperbuat daripada kayu atau gading dan ada di antaranya bersalut perak atau emas, berukir indah tertakluk kepada darjat dan kemampuan pemakainya,” aku menjawab soalannya dengan panjang lebar.
“Awak tidak mengkaji asal usulnya?” dia sebaliknya tidak henti-henti menyoalku.
“Para penyelidik berpendapat mungkin ia berasal dari Jawa. Akan tetapi rupa dan perhiasan keris Melayu adalah berlainan daripada keris yang diperbuat di Indonesia. Keris biasanya digunakan untuk menikam musuh di hadapan dengan tikaman secara mendatar serta hulunya terletak di tapak tangan dengan digenggam oleh empat batang jari dari bawah. Ibu jari diletakkan di atas hulu dan menghala ke hadapan.”
Aku tidak pasti sama ada dia bersetuju atau tidak dengan jawapan yang telah aku berikan. Tetapi dari raut wajahnya yang tenang itu telah pun dapat kubaca. Dia ingin menambah lagi fakta daripada huraian yang telah kuberikan tadi. Dan jangkaanku memang tepat sekali. Tanpa membuang masa dia lalu bersuara:
“Masyarakat Melayu menggunakan keris hampir dalam seluruh kegiatan. Umpamanya pada upacara-upacara rasmi seperti perkahwinan, kelahiran dan berkhatan. Di samping itu juga, masih ada lagi upacara lain yang menggunakan keris misalnya kenduri doa selamat sebelum turun ke laut menangkap ikan, berlayar dan bercucuk tanam. Dalam upacara-upacara kumpulan pertama, keris berfungsi sebagai penolak bala. Sementara dalam upacara-upacara kumpulan kedua, keris benar-benar berfungsi sebagai alat menolak bala agar semua usaha berjaya tanpa sebarang gangguan. Dalam upacara perkahwinan pula, keris yang dipakai oleh pengantin dihias dengan bunga untuk membedakan di antara pengantin dengan pengapitnya. Masyarakat Melayu yang tinggal di kampung juga turut membuat keris tiruan yang dibuat daripada bambu dan diletakkan di atas pintu sebagai alat penolak bala.”
Sungguh hebat Encik Talib ni! desis hati kecilku. Dia benar-benar seorang ahli penyelidik yang pakar dalam bidang senjata Melayu tradisional terutamanya keris. Sesungguhnya keris mempunyai pengaruh psikologis yang sangat kuat dalam kehidupan masyarakat Melayu walaupun diketahui umum bahawa pada mulanya ia dijadikan sebagai senjata. Kemudian ia bertukar menjadi barang keramat yang dihormati. Kepercayaan demikian masih meresap sampai sekarang.
“Saya masih kabur dengan fakta yang terdapat di dalam buku “Keris dan Asal Usulnya” di mana ia mengatakan bahawa pada zaman kerajaan Islam khususnya di Tanah Melayu dan masyarakat Melayu amnya,” ujarku pula dengan panjang lebar untuk meminta penjelasan daripada Encik Talib.
Dia nampaknya tidak keberatan untuk menjawab soalanku itu.
“Dalam lingkungan istana, keris merupakan tanda kebesaran atau darjat serta tanda pangkat dan kelengkapan pakaian untuk upacara-upacara rasmi. Dalam kehidupan masyarakat Melayu pula, ia merupakan kelengkapan pakaian rasmi dan barang pusaka yang amat dihargai serta dimuliakan. Tetapi lama-kelamaan keris tidak lagi dianggap sebagai kelengkapan pakaian, bahkan ia menjadi ukuran harta seseorang yakni apabila sarung keris diperbuat daripada logam yang mahal. Keris turut berfungsi sebagai kelengkapan pakaian, dipakai dalam upacara rasmi di istana, upacara-upacara beradat dan juga dalam pertunjukan yang bersifat kesenian. Tidak hairanlah mengapa dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, seseorang peria itu dapat dikatakan berpakaian lengkap apabila sudah berpakaian adat dengan memakai keris di pinggang.”
Satu lagi pengetahuan baru mengenai keris yang telah berjaya aku perolehi daripada Encik Talib! Aku membuat kesimpulan dalam diam.
“Dalam pertunjukan kebudayaan Melayu, keris juga turut memainkan peranan yang penting. Buktinya ada persembahan yang menggunakan keris hanya sebagai pelengkap pakaian dan ada juga yang menggunakan nama keris dalam persembahan taridera seperti Tari Keris,” tambahku lagi.
“Sesuai dengan fungsi sebagai senjata, maka tidak hairanlah mengapa ia sering digunakan dalam persembahan teater untuk membunuh musuh apabila musuh berkenaan tidak dapat ditewaskan tanpa menggunakan senjata. Adegan-adegan seumpama ini banyak kita dapati dalam pertunjukan bangsawan, wayang kulit, wayang golek dan sebagainya,” balasnya pula.
“Saya rasa kita juga harus mengupas keris dari sudut seni.” Aku memberikan cadangan untuk merancakkan lagi perbualan.
“Apa yang awak dapat apabila memerhatikan mata keris sama ada keris berluk ataupun keris lurus?” dia sebaliknya menyoalku sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.
“Terdapat bentuk seperti nyalaan api atau lidah api,” aku menjawab lancar tanpa nada suara yang tersekat-sekat.
“Dari segi manifestasinya?”
“Ia merupakan suatu karya imaginatif yang sangat tinggi nilai seninya. Sekiranya keris itu dilihat pula secara keseluruhan dengan sampirnya, maka tampaklah satu jalinan yang harmonis. Selain daripada itu, dengan adanya berbagai-bagai bentuk tarian yang ada kaitannya dengan keris bermakna seni itu sudah lahir berilhamkan keris. Demikian juga terhadap aspek-aspek seni yang lain yang sangat penting seperti seni ukir serta seni patung.”
“Dari mana awak dapat semua fakta-fakta ini?” dia menyoalku dengan penuh minat sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip memandang wajahku.
“Saya memperolehinya daripada Kurator Unit Ethnologi di Jabatan Muzium dan Antikuiti.” Aku tidak teragak-agak untuk membuat pengakuan.
“Nampaknya awak lebih bijak daripada saya!” Dia sebaliknya menghamburkan kata-kata pujian kepadaku sambil mengukir senyuman yang lebar. Tetapi aku tidak mudah kembang dengan pujian yang telah diberikannya itu. Aku terus menumpukan perhatian untuk mendengar kata-kata yang akan keluar daripada bibir mulutnya.
“Memang tidak dapat dinafikan lagi semuanya ini telah memberikan ilham kepada bahan yang sama di mana terdapat hiasan-hiasan pada keris itu baik pada hulu, rangka mahupun pada bilah serta sarungnya adalah merupakan hasil seni tersebut. Semuanya ini dihasilkan menerusi karya seni yang tinggi mutunya dan keahlian yang sempurna,” ucap Encik Talib pula.
Apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib tadi mengingatkan aku pada bahagian-bahagian sebilah keris Melayu yang terdiri daripada hulu, mata dan sarung. Bagiku ketiga-tiga bahagian ini begitu unik sekali dari segi pembuatannya. Hulu diperbuat daripada kayu, tulang, gading dan juga daripada perak atau emas. Mata diperbuat daripada besi waja. Sarung keris pula diperbuat daripada kayu dan adakalanya dihias dengan perak atau emas. Ganja yang merupakan sekeping besi waja akan menjadikan mata keris bertambah lebar dari bawah ke atas apabila dipasang di kepala mata. Ia bertujuan untuk menyelamatkan buku lali tangan daripada mata keris musuh daripada bertikam. Keris juga mempunyai Pendongkok iaitu benda perhiasan yang biasanya dipasang di bawah hulu keris. Bentuknya seperti cawan kecil yang rapat dengan hujung hulu. Ia dipasang di antara hulu keris dengan mata yang biasanya dibuat daripada tembaga atau emas celup.
Seperkara lagi yang menarik tentang Pendongkok keris ialah ia direka bentuk menyerupai sebentuk cincin yang dipasang di bahagian pangkal hulu keris sebagai perhiasan dan juga pembahagi di antara hulu serta mata keris. Biasanya Pendongkok diperbuat daripada perak atau tembaga dan dihiasi dengan motif-motif bunga dan juga tumbuh-tumbuhan. Ia biasanya dihasilkan melalui teknik-teknik filigree, repouse dan juga tebuk iaitu mengikut kebiasaan pertukangan emas, perak dan tembaga. Sungguhpun jelas kelihatan Pendongkok mempunyai bentuk yang stereotaip namun ia dapat dibezakan melalui reka corak serta teknik-teknik ia dihasilkan dalam membentuk hiasan tersebut.
Namun begitu ada juga Pendongkok yang dilengkapkan dengan hiasan tatahan batu permata yang dicengkam kukuh oleh gandar-gandar. Secara amnya Pendongkok bolehlah ditafsirkan sebagai satu hiasan seni yang menarik yang terdapat pada keris.
“Mata keris mempunyai dua jenis. Satu yang lurus atau juga dikenali sebagai Keris Sapukal dan satu lagi Keris Sempana di mana matanya berlok. Kedua-dua jenis mata ini digunakan untuk bertikam,” kata Encik Talib.
“Seperkara lagi yang menarik tentang mata Keris Sapukal yang panjang ialah lazimnya digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh,” aku menambah.
“Kedua-dua belah tepi mata keris adalah sama tajam.”
“Encik Talib ingat tak berapa ukurannya?” aku tiba-tiba pantas memotong.
“Ukuran sebilah mata keris biasanya kira-kira 15 inci atau 38 cm panjang,” balasnya.
“Bagaimana pula dengan mata keris berlok?” aku menyoalnya lagi dengan penuh minat.
“Bagi mata keris berlok pula, ukurannya kadang-kadang sehingga 20 inci atau 50 cm panjang. Bilangan lok pada mata keris mesti ganjil.”
“Ganjil macam mana, Encik Talib?” tanyaku dengan penuh minat.
“Lazimnya mata keris yang berlok ada tujuh. Akan tetapi ada juga yang sebanyak 15 lok. Mata keris dibuat dari beberapa lapisan besi waja. Sepertimana yang telah kita ketahui, pada zaman dahulu seorang tukang keris yang mahir dan dihormati iaitu Empu atau Pandai Besi bekerja di Istana Raja,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.
Sebelum kedatangan agama Islam ke Semenanjung Tanah Melayu, kebanyakan hulu keris mempunyai bentuk seperti kepala Dewa-dewa Hindu. Bentuk yang biasa merupakan kepala burung Garuda yang dikatkan kenderaan Dewa Vishnu. Di kawasan-kawasan pengaruh agama Hindu seperti di Indonesia terutama di Pulau Bali, bentuk hulu keris seperti kepala Dewa Hindu sehingga sekarang ini.
“Apabila agama Islam tersebar di Tanah Melayu, bentuk hulu yang asal sudah diubah dan diberi nama Jawa Demam yang merujuk kepada cerita Hang Tuah di Melaka atau Ayam Patah Tekak,” ujarku.
“Tetapi walaupun demikian hulu keris Tajon atau kadang-kadang yang dinamakan sebagai Keris Hulu Pekakak di mana ia dibuat di Negeri Patani yang mempunyai bentuk seperti kepala Garuda dengan mata dan paruh yang tajam,” balas Encik Talib pula.
“Bagaimana pula dengan pamor?”
“Pamor ialah corak atau tanda yang terdapat pada bilah keris. Apa yang menarik tentang pamor pada bilah keris ialah ada yang timbul kerana disengajakan dan ada pula yang timbul secara kebetulan.”
“Sungguh menarik sekali!” aku pantas mencelah dengan tiba-tiba kerana tertarik dengan apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib itu.
“Tentu awak nak tahu sebabnya, bukan?” katanya sambil mendongakkan kepala tinggi sedikit dan tepat memandang wajahku.
“Itu sudah semestinya, Encik Talib. Bagi saya, dalam soal menambah ilmu pengetahuan, kita seharusnya tidak segan silu untuk bertanya apabila mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup ini.” Dia sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutku itu.
“Pamor yang timbul secara kebetulan disebabkan oleh proses percampuran besi setelah dibentuk menjadi bilah. Manakala pamor yang timbul secara kebetulan pula berlaku melalui dua cara. Cara pertama ialah dengan mencampurkan logam bilah dengan bahan pamor agar dalam membentuk bilah sekali gus akan timbul pamor yang diinginkan sementara cara kedua ialah dengan membentuk bilah keris tanpa campuran besi yang lain. Kemudian barulah dititik logam sesuai dengan pamor yang dikehendaki,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.
“Nampaknya pamor juga merupakan bahagian keris yang terpenting.”
“Bukan setakat itu saja, Amir. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu lagi, pamor mempunyai kuasa luar biasa yang sangat besar serta dapat mempengaruhi kehidupan si pemiliknya. Pengaruh tersebut tidak sama di antara satu dengan yang lain. Terdapat beratus-ratus nama pamor yang mempunyai magis atau daya keramat yang serba berlainan,” tambahnya lagi.
Sesungguhnya keris mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam kehidupan masyarakat Melayu. Hakikat ini jelas terserlah kerana ramai lagi yang mempercayai bahawa keris mempunyai kuasa luar biasa sehingga dapat mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat Melayu di mana kuasa luar biasa itu berbeda-beda pada setiap keris. Ini jelas membuktikan kepada kita bahawa ada keris yang memiliki daya magis kerana jenisnya dan ada pula keris yang mempunyai daya magis kerana pamornya. Secara keseluruhannya setiap pamor mempunyai daya magis yang tersendiri.
Manakala keris yang melambangkan sebagai senjata untuk membunuh musuh dalam sesuatu pertunjukan banyak digunakan dalam adegan yang menonjolkan fungsi keris kerana seni bermain keris dalam sesuatu adegan merupakan sesuatu yang dipentingkan.
Itulah resolusi yang kami buat berkenaan keris sebelum bersurai.
Share this novel