BAB 8

Drama Completed 695

MENARA GADING

Pagi disinari dengan sang suria yang kelihatan memancar terang. Di kaki langit yang membiru bola matahari sudah lama meninggi. Seluruh alam semesta diwarnai jalur-jalur cahaya yang kelihatan lurus. Bersama iringan gumpalan awan tebal yang memutih. Langit jelas nampak terang dan bersih. Dengan langkah perlahan-lahan Maizan lalu menghampiri jendela dan mengalihkan pandangan ke arah luar. Dia menoleh sekejap ke kanan dan kiri. Di pandangan matanya jelas kelihatan tersergam bangunan-bangunan yang menempatkan bilik-bilik kuliah dan asrama pelajar.

Melalui jendela kaca yang terbuka luas angin menyusup masuk. Segar dan dingin mengusapi permukaan kulit. Umpama air terjun di pinggir kali. Mencairkan sedikit kehangatan bahang matahari yang terasa. Sudah lama hujan tidak turun. Maizan kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke bawah pula. Pohon-pohon yang menghijau bergoyangan seperti menari-nari inang. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun hijau yang bergeseran di antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Manakala daun-daun kering yang berwarna perang sehelai-sehelai berguguran di atas tanah.

“Apa awak kata? Maizan nak ambil periksa lagi?” kata ayahnya dengan penuh rasa terperanjat sambil mengangkat muka tinggi memandang ibunya.

“Ya, bang. Eloklah tu. Dia tetap nak teruskan cita-cita masuk ke universiti. Walaupun dah tiga kali gagal dalam peperiksaan,” tambah ibunya pula.

“Tak usah mimpilah masuk ke universiti. Tiga kali ambil peperiksaan tak lulus-lulus juga. Buang masa aje. Suruh dia cari kerja lagi baik,” ayahnya membalas.

“Abang. Sepatutnya abang sebagai seorang ayah harus merasa bangga. Mempunyai seorang anak macam Maizan. Bersemangat tinggi untuk belajar lagi.” Ibunya memberikan sokongan.

“Apa awak kata? Bangga? Maizan tu memang bengap dalam pelajaran. Awak tengok Minhat abang dia. Sekali aje ambil periksa. Terus lulus dan masuk universiti. Sekarang dah tahun akhir. Tak lama lagi jadi pegawai tinggilah dia. Itulah anak saya. Tapi kalau asyik bayar yuran peperiksaan dan hantar ke kelas tambahan tapi masih gagal jugak buat apa. Bukan ke membazir namanya!” Ayahnya melontarkan kata-kata yang pedih.

“Tak baik abang cakap macam tu. Mentang-mentanglah Minhat tu pandai abang sayang pada dia. Walau macam mana buruk pun Maizan tu tetap anak kita, bang,” ucap ibunya pula. Perbualan mereka yang rancak tiba-tiba terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit ayahnya.

“Siapa pulak ni? Minhat rupanya.” Ibu jari tangan kanan ayahnya pantas memicit telefon bimbit untuk menjawab panggilan dan melekapkan di telinga.

“Assalamualaikum ayah,” Minhat memberi salam.

“Waalaikumsalam,” ayahnya menjawab sambil tersenyum apabila mendengar suara anak kesayangannya itu.

“Ayah apa khabar?” soalnya.

“Alhamdulillah. Minhat dah lama tak balik. Kenapa?” balas ayahnya pula.
“Minhat bukannya tak nak balik, ayah. Tapi Minhat sibuk sekarang ni. Tak lama lagi peperiksaan akhir. Kenalah belajar. Kalau tak macam mana nak dapat keputusan cemerlang seperti yang ayah nak,” katanya.

“Ya ke. Baguslah macam tu. Anak ayah la katakan.” Ayahnya menjeling megah ke arah ibunya yang hanya berdiam diri sahaja.

“Ayah. Minhat telefon ni ada hal penting,” ujarnya.

“Apahalnya, Minhat? Cakaplah?” ayahnya pantas mencelah.

“Minhat nak duit belanjalah, ayah.”

“Berapa?”

“RM 500.00. Boleh tak ayah masukkan duit tu hari ni jugak. Minhat betul-betul dah tak ada duit belanja ni.”

“Boleh. Sekarang jugak ayah pergi masukkan.”

“Terima kasih, ayah. Baiklah. Nanti Minhat telefon balik. Kirim salam kat mak, ya.”
“Yalah.” Ayahnya kemudian lalu melepaskan telefon bimbit dari telinga dan menutup butang panggilan yang diterima. Dia kemudiannya bingkas bangun.

“Minhat kirim salam,” ayahnya bersuara sambil memandang tepat wajah ibunya.

“Waalaikumsalam. Dia minta duit lagi ke?” Ibunya sebaliknya menyoal sambil menganggukkan kepala.

“Yalah!” balas ayahnya pendek.

“Kan baru aje abang bagi duit. Tak cukup lagi ke?”

“Duit dia dah habis. Kenalah bagi. Sudahlah. Awak jangan banyak tanya. Saya pergi dulu.”

Ibunya memerhatikan sahaja ayahnya berlalu pergi dari ruang tamu dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian. Sementara itu keriangan jelas terpancar di wajah Minhat setelah menelefon ayahnya.

“Macam mana, Minhat? Tentu dapatkan. Senyum aje aku tengok kau,” kata Ghani.
“Mesti dapat punya. Ayah aku tu kalau ayat baik mesti dia kasi punya,” Minhat menambah.

“Enjoylah kita nampaknya!” sahut Ghani pula.

“Duit banyak. Apalagi. Buat apa kita nak fikir tentang peperiksaan tu. Hidup ni mesti gembira. Betul tak?” Minhat memeluk erat bahu Ghani.

“Betul. Tapi malam ni jangan lupa. Kita rempit. Kalau menang kayalah kita,” ingat Ghani pada rakannya itu.

“Kau jangan bimbang, Ghani. Malam ni kita akan menang lagi. Aku belanja kau dan kawan-kawan,” janjinya.

“Siapa tak kenal Minhat. Jaguh rempit. Tak siapa yang boleh kalahkan,” ampu Ghani pula. Mereka lantas ketawa terbahak-bahak. Maizan sedar siapa dirinya yang sebenar. Namun begitu dia tetap nekad untuk mengambil peperiksaan lagi. Kalau abangnya dan orang lain boleh masuk universiti kenapa dia tidak boleh.

“Kau nak duit bayar yuran peperiksaan?” Ayahnya mengeluarkan nada suara yang tinggi.
“Ya, ayah ….!” Maizan menjawab sambil mengangguk perlahan.

“Jangan nak berangan la, Maizan. Kau memang tak boleh masuk universiti. Lembap. Sejak dari sekolah rendah lagi. Buat malu aku aje ada anak macam kau ni,” rungut ayahnya sambil memandang penuh benci.

“Sudahlah tu, bang. Bagi ajelah dia duit untuk bayar yuran peperiksaan. Mudah-mudahan kali ni dia lulus,” pujuk ibunya.

“Awak selalu sebelahkan dia. Masuk ni dah empat kali ambil peperiksaan. Takkan lulus. Percayalah cakap saya. Lebih baik lupakan sahaja hasrat untuk masuk universiti. Dia ni layak jadi kakitangan bawahan aje dan bukannya pegawai tinggi. Faham tak?” Ayahnya tak henti-henti merendahkan dirinya. Maizan sebaliknya hanya tunduk diam apabila mendengar kata-kata pedih yang dilemparkan oleh ayahnya itu. Seperti ditikam sembilu rasanya.

“Kalau ayah tak nak bagi duit …. Tak apalah …. Biar saya cari sendiri untuk bayar yuran peperiksaan ….” Dia mengalah dengan mengeluarkan nada suara yang lemah dan kemudian bingkas bangun berlalu pergi dari situ.
“Maizan …! Maizan …! Nanti dulu …!” tahan ibunya. Dia berhenti seketika apabila mendengar suara ibunya itu.

“Tak mengapa, mak. Maizan akan cari kerja untuk dapatkan duit bayar yuran peperiksaan. Cuma satu sahaja Maizan minta pada ayah dan mak. Doakanlah agar Maizan berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu nanti,” katanya dan meneruskan langkah menuju ke luar rumah membawa perasaan yang hampa. Namun begitu dia tetap bersabar. Dia menganggap semuanya sebagai cabaran dan menguatkan semangat untuk mencapai kejayaan.

“Abang tengoklah tu. Kecil hati dia. Abang ni memang tidak adil. Kalau Minhat minta semua dapat. Tapi kalau Maizan minta jauh panggang dari api abang nak beri,” tingkah ibunya sebaik-baik sahaja kelibat Maizan hilang daripada pandangan mata.

“Sudah. Awak jangan nak mengajar saya. Sebagai seorang ayah saya tahu apa yang nak buat pada anak-anak saya. Dah berapa kali saya cakap. Tapi awak ni masih tak faham-faham jugak. Minhat tu anak harapan saya. Maizan? Huh ….!” rengus ayahnya dengan panjang lebar dan bingkas bangun dari kerusi sofa yang berwarna biru air laut itu. Ibunya hanya diam dan memerhatikan sahaja ayahnya beredar dari situ menuju ke bilik.
Jauh benar dia mengelamun. Hari ini tidak ada kuliah. Arshad rakan sebiliknya awal-awal lagi sudah keluar. Katanya ke rumah kakak di Taman Keramat. Dia terus melemparkan pandangan jauh ke arah bangunan-bangunan batu sambil menarik nafas yang panjang. Entah mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja segala susah payah dan jerih-perih yang dilaluinya sebelum mencapai puncak menara gading segar bermain di ingatannya.

Dia terpaksa bekerja sebagai pelayan restoran milik Pak Hassan untuk mendapatkan duit bagi membayar yuran peperiksaan dan kelas tambahan. Bekerja dari pagi hingga ke petang. Malam pula dia menghadiri kelas malam. Kalau tidak bekerja dia akan menghabiskan masa dengan membaca buku atau belajar secara kumpulan. Sewaktu di kelas tambahan dia dan rakan-rakan dibimbing oleh Cikgu Firdaus.

“Bagus, Maizan. Saya dapati semua latihan yang diberi awak dapat jawab dengan baik. Bahkan awak seorang saja yang mendapat markah yang tinggi. Saya harap awak kekalkan prestasi ini. Saya yakin awak pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.” Cikgu Firdaus menghamburkan kata-kata pujian kepada Maizan.

“Insya-Allah, cikgu. Semuanya ini pun adalah hasil daripada bimbingan dan tunjuk ajar daripada cikgu jugak. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan memastikan cita-cita saya untuk masuk universiti bukan sekadar mimpi semata-mata,” ikrar Maizan pula. Sementara itu Minhat telah dipanggil oleh pensyarah.

“Awak tahu kenapa saya nak jumpa awak?” soal Encik Aziz. Nada suaranya tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh bilik. Kesejukan jelas terasa menyapu permukaan kulit.

“Ada apa, Encik Aziz?” Minhat membalas sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip sedikit pun memandang Encik Aziz yang segak memakai tali leher berwarna hijau muda dan berkemeja lengan panjang berwarna merah hati.

“Apa nak jadi dengan awak ni? Sekarang dah tahun akhir. Pelajaran awak merosot teruk. Macam mana nak dapat ijazah macam ni?” jelas Encik Aziz pula.

“Saya tahu, Encik Aziz …. Saya bukannya tak belajar …. Tapi …,” dia sebaliknya menjawab dengan teragak-agak.
“Tapi apa? Kalau awak belajar tentu dapat keputusan yang cemerlang dalam setiap semester. Ini tidak. Saya dapat berita yang awak terlibat dengan gejala rempit. Awak mesti ingat, Minhat. Awak tu seorang mahasiswa. Sepatutnya menumpukan sepenuh masa pada pelajaran dan bukannya terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Saya harap mulai dari hari ini awak berubah,” nasihat Encik Aziz dengan panjang lebar. Minhat sebaliknya hanya mampu tunduk diam tanpa bersuara.

Hari peperiksaan pun tiba. Dengan langkah yang tenang dan semangat yang berkobar-kobar seperti api membakar Maizan menduduki peperiksaan. Lain pula halnya dengan Minhat. Dia tetap tidak berubah. Nasihat yang diberikan oleh Encik Aziz kepadanya ibarat kata pepatah mencurah air di daun keladi sahaja. Dia asyik berfoya-foya dan merempit. Dalam erti kata lain leka dengan keseronokan dunia dalam usia yang masih muda.

Beberapa kemudian peperiksaan pun diumumkan. Ternyata segala pengorbanan dan kegigihan Maizan selama ini tidak sia-sia. Dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Doa kesyukuran dan linangan air mata gembira mengiringi kejayaannya.

“Tahniah, Maizan. Berkat kesabaran dan ketekunan awak akhirnya awak berjaya juga. Saya bangga. Punya pelajar macam awak. Tak pernah putus asa dalam memburu cita-cita masuk ke universiti,” ujar Cikgu Firdaus sambil bersalaman erat dengan Maizan.

“Alhamdulillah, cikgu. Saya terhutang budi dengan cikgu. Terima kasih. Di atas segala dorongan dan tunjuk ajar selama ini sehingga membawa kejayaan kepada saya,” Maizan berkata.

“Saya tidak mengharapkan sebarang pujian mahupun ganjaran. Cukuplah dengan berkongsi rasa gembira melihat awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Tugas saya sebagai seorang pendidik ialah memastikan insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” tambah Cikgu Firdaus pula yang berusia dalam lingkungan lewat 30-an. Minhat pula gagal mendapatkan segulung ijazah. Dia juga ditangkap sebaik-baik sahaja selesai menduduki peperiksaan universiti dalam operasi mencegah lumba haram.

“Maafkan ayah, Maizan …. Selama ini ayah memandang rendah pada kau …. Minhat yang ayah harapkan …. Rupa-rupanya ….” Suara ayahnya terputus-putus dan terhenti.

“Sudahlah tu, ayah. Yang lepas tu lepaslah. Ayah dan mak seharusnya berbangga. Maizan lulus dengan cemerlang dan masuk universiti. Ayah percayalah. Apa yang ayah buat selama ini Maizan tak pernah ambil hati. Malahan Maizan jadikannya sebagai cabaran untuk berjaya. Terima kasih ayah, mak.” Dia mencium tangan ayah dan ibunya.

“Betul kata Maizan tu, bang. Dahlah. Macam mana baik dan buruknya Minhat dan Maizan mereka tetap anak kita,” ibunya mencelah. Ayahnya memandang wajah Maizan dengan rasa penuh kasih sayang.

“Maizan …!” Ayahnya terus memeluk erat Maizan sambil menangis.

“Ayah …!” Maizan turut memeluk ayahnya kuat. Tanpa disedari titis-titis air mata menitis membasahi pipinya sambil disaksikan oleh ibunya yang kelihatan menangis sama.

Dengan renungan yang tajam sambil memeluk erat tubuh dia melontarkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bangunan-bangunan batu yang jelas di pandangan mata. Kemudian perlahan-lahan dia menarik nafas panjang dan mengatur langkah berlalu pergi dari jendela kaca yang mengingatkan pada kisah silam yang dilaluinya. Esok adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup Maizan. Dia akan naik ke pentas untuk menerima ijazah dan hadiah sebagai pelajar cemerlang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience