PEJUANG
Perjuangan. Apakah memaksa seseorang itu melupakan tanggungjawab kepada keluarga, isteri dan anak-anak? Perjuangan diwarnai dengan deraian air mata hinggalah ke titisan darah yang penghabisan mengusir penjajah daripada bumi yang bertuah bagi mencapai sebuah impian. Kemerdekaan! Untuk anak cucu cicit hidup bebas daripada belenggu penjajah yang sudah lama bertapak daripada zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Perasaan ini sukar dibendung dalam dirinya umpama gelora di lautan.
Pagi. Bola matahari semakin meninggi di ufuk langit dengan jalur-jalur cahaya kelihatan begitu lurus dengan diiringi kicauan burung-burung memecahkan alam semesta. Angin dari arah pergunungan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon seperti menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran umpama mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa.
Demikianlah Indahnya ciptaan Tuhan untuk makhluknya yang menjadi khalifah di atas bumi ini.
Keheningan pagi tambah diserikan lagi dengan udara yang begitu nyaman berhembus. Kabus memutih yang memayungi permukaan banjaran gunung setiap kali pagi menjelma sudah lama menghilang daripada pandangan mata. Langit tetap membiru dengan gumpalan tebal awan memutih.
Dia melahirkan penuh rasa kesyukuran dengan saujana mata memandang tanah kelahirannya.
Inilah anugerah Tuhan untuk anak bangsa yang bernaung di bawahnya. Tetapi mengapa anak bangsa tidak dapat menikmati kebebasan di tanah tumpah darah sendiri? Persoalan yang hangat menendang-nendang di benaknya.
British. Dia tidak boleh mendengar nama itu. Semangatnya berkobar-kobar seperti api yang panas membakar.
Ini pusaka warisan bangsa datuk nenek moyang kita yang telah diperturunkan sejak dari zaman berzaman lagi. Untuk siapa? Untuk siapa lagi kalau bukan kita. Bukannya untuk British orang asing yang datang menjajah kita di tanah air sendiri. Di sini kita hidup di sini juga kita berani mati! Suara itu bergema dengan sekuat-kuatnya dalam hatinya.
Melalui jendela yang terbuka luas Hussin melontarkan pandangan ke arah banjaran gunung yang di bawahnya terbentang hamparan sawah padi yang menghijau bersama dengan pohon-pohon kelapa. Dia terus melayan fikirannya sambil menarik nafas yang panjang.
Kita tak boleh berdiam diri. Takkan selama-lamanya kita harus begini? Tanah Melayu adalah milik bangsa yang bernama Melayu. Tak seharusnya kita duduk di bawah telunjuk British sehingga nafas yang terakhir. Seberkas pertanyaan yang terus menendang-nendang benaknya tanpa henti.
Angin dari arah pergunungan menembus masuk melalui jendela yang terbuka luas. Segar. Jelas terasa menyapu permukaan kulitnya.
Perjuangan Hussin menentang British sudah lama tersemai sejak dari menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim Perak lagi. Dia rela meninggalkan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) demi tidak mahu melihat nasib bangsa Melayu terus-menerus dalam kemunduran dan ditindas oleh British.
Penjajah British penuh dengan tipu helah. Anak-anak Melayu dari golongan bawahan tidak mendapat pendidikan sepenuhnya. British sebaliknya lebih mengutamakan anak-anak Melayu golongan bangsawan. Mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negeri. Harapan British apabila mereka balik nanti akan menjadi konsul iaitu pegawai dalam tanah jajahan Kerajaan British di Tanah Melayu.
Golongan miskin dibiarkan terus menderita tanpa mendapat pembelaan. Memang ternyata British mempunyai cita-cita untuk terus menjajah orang-orang Melayu. British sengaja membiarkan kadar buta huruf di kalangan anak-anak Melayu meningkat demi memastikan matlamat untuk terus menguasai Tanah Melayu tercapai sepenuhnya tanpa halangan.
Siapa yang menjadi tentera dan polis? Anak-anak Melayu dipaksa menjaga ladang-ladang dan kediaman mereka agar dapat hidup aman dan malam tidur nyenyak. Tak cukup dengan itu anak-anak Melayu dikerah ke hutan untuk menggadai nyawa menentang komunis dan akibatnya ramai yang terkorban. Menjaga keamanan Tanah Melayu. Itulah yang ditanamkan oleh British ke dalam jiwa anak-anak Melayu. Tetapi malangnya gaji yang diterima oleh anak-anak Melayu yang menyertai tentera dan polis adalah amat rendah. Tidak setimpal langsung dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan.
Anak-anak Melayu tidak diberi peluang untuk menerima pendidikan tinggi. British bimbang apabila mereka cerdik nanti akan bangkit memberontak menuntut kemerdekaan. Sungguh licin fikirannya! Getus Hussin dalam diam.
Keadilan? Di mana letaknya? Jiwa Hussin menjerit-jerit melepaskan marah dan geram. Perjuangan perlu diteruskan sehingga bangsa yang bernama British mengangkat kaki keluar daripada Tanah Melayu bumi yang bertuah ini.
Ranjau yang dihadapinya sewaktu berjuang menentang penjajah British dikutipnya semula. Tak semua rakan-rakannya di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) menyokong perjuangannya untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah British.
“Apa yang kau cakap ni, Hussin? Apa kau dah gila ke?” Musa bersuara. Dia sebaliknya menggelengkan kepala tanda membantah kata-kata yang keluar daripada mulut Musa itu.
“Aku belum lagi gila, Musa. Aku masih lagi waras,” jawab Hussin pula.
Di kalangan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Musa terkenal sebagai seorang bangsawan yang menyokong kuat British. Tambahan pula ayahnya memegang jawatan konsul Melayu yang mengamalkan gaya hidup barat hingga melupakan adat resam Melayu dan jarang bercakap dalam bahasa Melayu. Terlalu mengagung-agungkan British dan sering menyalahkan bangsa sendiri sudah tertanam erat dalam dirinya sejak dari kecil lagi.
“Ini soal bangsa Melayu, Musa,” dia bersuara tenang dengan diiringi semangat yang berkobar-kobar.
Musa pantas mengerutkan mukanya apabila Hussin membangkitkan persoalan itu.
“Kau bercakap tentang bangsa Melayu?” tanya Musa sambil memandang tepat wajahnya.
“Ya! Bangsa kau jugak!” Hussin membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Apa kaitannya dengan aku, Hussin?”
“Dah tiba masanya kita memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.”
“Apa kau kata, Hussin? Memperjuangkan nasib orang-orang Melayu.” Berdekah-dekah ketawa Musa apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh Hussin. Dia jelas menghina aku. Sabar! Luah hati kecilnya menahan kemarahan sambil matanya tajam memperhatikan gelagat Musa itu.
Dalam perjuangan memang banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi.
“Aku nak nasihatkan kau, Hussin,” kata Musa setelah ketawanya reda.
“Aku rasa apa yang aku buat ni tak salah. Bukan untuk aku seorang. Tapi untuk bangsa Melayu termasuk kau.” Dia mempertahankan pendirian dan tak mahu mengalah.
“Hussin …. Hussin …. Kau jangan jadi macam Mat Jenin. Akhirnya mati terjatuh daripada pokok kelapa akibat banyak berangan!” sindir Musa sambil ketawa berdekah-dekah. Dia berasa amat lucu dengan apa yang diperkatakan oleh Hussin itu.
Musa, orang seperti kau tak seharusnya hidup di Tanah Melayu. Aku benar-benar kesal melihat masih ada bangsa sendiri seperti kau yang tidak cintakan tanah air sendiri! Bentaknya dalam diam.
“Aku yakin. British akan terus berkuasa dan tidak akan tunduk pada orang Melayu. Mereka bijak dan banyak membawa perubahan semenjak menguasai Tanah Melayu. Tak usah mimpilah, Hussin. Apa yang kau buat ni sia-sia aje.” Musa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi. Dia benar-benar merasa dicabar oleh Musa. Namun begitu Hussin bukanlah seorang yang cepat mengaku kalah.
“Kau silap, Musa. Aku tidak berangan atau bermimpi. Tapi adalah kenyataan. Bangsa kita merempat di negara sendiri!”
“Aku pelik betullah dengan kau ni. Beritahu aku. Bagaimana caranya orang Melayu boleh menundukkan British?” Dia inginkan penjelasan daripada Hussin.
“British boleh tunduk melalui kesedaran yang tinggi di kalangan orang-orang Melayu.”
“Apa maksud kau? Aku benar-benar tak faham,” ucap Musa pula sambil tertawa kecil.
Kedua-dua bola mata Hussin tidak berkelip-kelip memandang bentuk badan Musa yang kurus melidi, rambutnya keriting serta dipenuhi dengan minyak, bermisai nipis serta berkulit cerah itu.
“Cuba kau lihat betul-betul. Pemikiran bangsa Melayu masih di takuk lama. British hanya tahu menjajah saja,” Hussin bersuara dengan penuh berani pada orang yang pro-British.
Dia kemudiannya tenang menunggu tindakbalas yang akan dilemparkan oleh Musa.
“Kau mesti ingat. Pembaruan tidak akan wujud dalam bangsa Melayu tanpa kehadiran British.” Keangkuhan Musa terserlah seolah-olah dia bukan dilahirkan di Tanah Melayu. Pepatah Melayu yang menyebut di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung sudah dilupakannya terus. Ternyata lekat bertapak di jiwanya pengaruh British malahan sudah sebati menjadi darah daging.
Cara percakapan yang dilemparkan oleh Musa itu tidak putus-putus mengingatkan Hussin akan kehebatan bangsa yang bernama British.
Dengan pantas darah Hussin menyirap. Dia benar-benar terasa tercabar dengan kenyataan yang telah dilemparkan oleh Musa itu yang tak ubah seperti cuba memperbodoh-bodohkannya. Musa menganggap perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman British adalah sia-sia saja. Hussin tidak patah semangat. Dia menanamkan tekad untuk mencari kebenaran dan tiada siapa yang dapat menghalang. Dia berkeyakinan tinggi yang impian itu akan tercapai suatu hari nanti. Pasti! Bisik hatinya.
“Aku ada permintaan. Itu pun kalau kau tak keberatan untuk menunaikannya sebagai kawan yang sama-sama menuntut di maktab ini,” pinta Hussin pula.
“Hah, apa dia?” Musa sebaliknya menyoal sambil mendongakkan kepala memandang wajah Hussin.
“Aku mahu diberikan peluang,” dia menjawab.
“Kau nak peluang? Peluang apa?” tanya Musa sambil mengerutkan muka sebagai tanda berasa amat pelik dengan apa yang diperkatakan oleh Hussin itu.
“Aku nak buktikan bahawa segala kata-kata kau itu adalah salah. Orang Melayu akan mencapai kemerdekaan dan boleh mentadbir kerajaan sendiri,” jelas Hussin lagi.
“Oh, begitu!” Musa membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya lantas ketawa berdekah-dekah hinggakan matanya tertutup rapat. Bahunya juga terangkat. Gelagatnya itu membuatkan Hussin berasa amat berang. Namun begitu dia tetap bersabar.
“Musa, kenapa kau ketawa?”
“Aku geli hati.” Tanpa berlengah lagi Musa bersuara. Gaya percakapannya itu tak henti-henti mempersendakan Hussin.
Hussin mendongakkan muka tinggi sedikit memandang wajah Musa.
“Kenapa?” Panas seperti dibakar api rasanya! Menyinga di telinga apabila mendengarnya. Hakikatnya ini bukan satu gurauan. Tapi adalah kenyataan! Tidak boleh dipandang remeh-temeh dalam konsep perjuangan yang sebenarnya. Apakah akar umbinya? Hanya dengan berjuang habis-habisan atau dalam erti kata lain bermati-matian. Ya! Ucap hatinya dengan penuh lantang.
Musa kembali semula menyimpulkan persoalan itu setelah ketawanya reda.
“Kau buat macam mana pun orang Melayu tidak akan dapat mengecapi kemajuan walau sedikit pun.” Pedas sungguh kata-kata Musa itu.
“Maksud kau negeri ini akan selama-lamanya dijajah oleh British?” Dia bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.
“Ya!” Musa mengangguk-anggukkan kepala dengan sikap sombongnya terserlah.
Aku benar-benar kesal dengan kau, Musa. Mengapa kau sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara, hah? Sampai sanggup bertuankan orang putih? Ungkapan yang terbuku dalam jiwanya.
Kau mesti ingat, Musa. Ini negeri kita! Satu-satunya. Tanah Melayu tidak ada dua. Kalau hilang sukar dicari ganti.
Walau apa pun yang terjadi hidup mati kita tetap di sini. Kita harus sama-sama mempertahankan daripada sebarang pencerobohan dan penjajahan. Biarpun nyawa menjadi pertaruhan sekalipun. Tanpa meminta jasa untuk dikenang atau lebih daripada itu mengharapkan sebutir pingat tersemat di dada.
Dia sebaliknya memilih untuk berdiam diri buat seketika. Wajah Musa ditenungnya dengan penuh perasaan marah bercampur geram dengan darah panasnya yang kian mendidih. Sekali lagi dia menahan bersabar. Ini semua adalah dugaan yang perlu dihadapi. Dalam perjuangan memang penuh dengan pelbagai onak dan duri yang menyakitkan.
Musa lalu mengadu kepada Tuan Gordon iaitu pengetua maktab perihal Hussin mengajak pelatih-pelatih menentang British.
“Betul apa yang awak cakap ni, Musa? Perkara ini tak boleh dibiarkan!” katanya dalam nada suara yang tegas.
“Betul, tuan. Ini bukan main-main. Memang merbahaya kalau dia dibiarkan berada di maktab ini. Silap-silap semua pelatih akan terpengaruh dengan dia. Tuan mesti cepat bertindak. Kalau tidak susah nanti.” Dia mengapi-apikan Tuan Gordon.
“Cakap awak memang betul, Musa,” sokong Tuan Gordon pula.
“Lebih baik tuan panggil dia!” dia mencelah pantas.
“Ya! Saya akan panggil dia dan beri kata dua pada dia. Kalau dia berdegil jugak saya tidak akan teragak-agak untuk memecat dia dari maktab ini!” ucap Tuan Gordon dengan mengeluarkan nada suara yang keras sedikit.
“Saya setuju sekali dengan tindakan tuan itu. Sebenarnya saya ada hajat besar yang nak disampaikan pada tuan. Saya harap tuan tidak menghampakan,” Musa membalas.
“Apa dia? Katakanlah. Saya sedia mendengarnya,” ujar Tuan Gordon.
“Saya dah tolong tuan dengan memberitahu rancangan Hussin menghasut pelatih-pelatih di maktab ni untuk melawan British. Jadi, tuan sokonglah saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Apabila balik nanti dapatlah saya menjadi konsul macam ayah saya.” Musa rupanya ada udang di sebalik batu.
“Oh, begitu. Awak jangan bimbang. Saya tidak akan lupa jasa awak. Saya akan sokong awak belajar ke luar negeri,” janji Tuan Gordon pada Musa.
“Terima kasih, tuan. Saya jugak berjanji. Tidak akan menjadi seperti Hussin. Saya akan sokong British,” ikrar Musa pula dengan penuh gembira apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut pengetuanya itu.
“Bagus!” angguk Tuan Gordon.
Keesokan harinya Hussin pun dipanggil oleh Tuan Gordon. Dia tahu mengapa disuruh berjumpa dengan pengetua Mat Salih itu. Dia sedikit pun tidak gentar.
“Hussin! Awak tahu tak apa akibatnya kalau menentang British?” soal Tuan Gordon sambil meninggikan suara.
“Saya tahu, tuan!” dia pantas menjawab.
“Dah tu?” tanya Tuan Gordon lagi.
“Saya berjuang untuk membela bangsa saya. Salah ke?” Hussin membalas dengan berani.
“Memang salah. Saya dapat aduan yang awak mengapi-apikan semua pelatih di maktab ini agar bencikan British. Saya beri awak amaran terakhir. Kalau awak teruskan juga saya akan buang awak dari maktab ini. Faham!” jerkah Tuan Gordon.
“Silakan, tuan. Saya dah fikir masak-masak. Saya tak menyesal keluar dari maktab ini,” kata Hussin.
“Awak jangan cabar saya, Hussin!” Kemarahan Tuan Gordon kian memuncak.
“Memang saya cabar, tuan. Kalau tuan berani lakukanlah sekarang!” Hussin menjawab.
“Baiklah! Saya akan keluarkan surat sekarang jugak. Mulai dari hari ini awak bukan lagi pelatih di maktab ini!” tegas Tuan Gordon.
Selepas dipecat dari Maktab Perguruan Sultan Idris dia lebih banyak menghabiskan masa dengan menulis puisi dan cerpen yang bertemakan perjuangan dan meniupkan semangat untuk menuntut kemerdekaan dalam akhbar Melayu. Tulisannya telah diharamkan dan dia juga pernah ditahan atas dakwaan menghasut pembaca supaya bangkit menentang British. Namun begitu dia telah dibebaskan. Semangat perjuangannya tak pernah padam malah menjadi azimat untuk menyemarakkan lagi cita-cita untuk melihat Tanah Melayu merdeka.
Dia juga pernah dipengaruhi agar menyokong perjuangan komunis menentang British.
“Macam mana, Hussin? Kau setuju tak?” soal Leman.
“Aku tak setuju!” Dia sebaliknya membantah dengan sekeras-kerasnya.
“Komunis ada senjata. Setakat semangat aje mana cukup, Hussin. Dah tiba masanya kita menggunakan kekerasan menghapuskan orang putih,” tambah Leman lagi.
“Aku tak boleh terima perjuangan itu. Bukan setakat orang putih tapi orang Melayu yang tidak berdosa juga menjadi mangsa. Sebagai kawan aku nasihatkan kau marilah kita sama-sama berjuang dengan mengikut jalan yang diredhai Allah. Insya-Allah. Kita akan beroleh kejayaan,” dia membalas.
“Kau menggunakan kelembutan dalam perjuangan. Aku percaya kau tak akan dapat mengalahkan orang putih. Sudahlah, Hussin. Aku tetap memilih komunis dan sama-samalah kita tengok nanti siapa yang akan berjaya.” Leman melemparkan cabaran pada Hussin.
Jauh benar Hussin mengelamun.
Sehingga sampai ke awangan rasanya. Angin dari arah pergunungan bertukar rentak menjadi lembut. Pohon-pohon nyiur kelihatan lemah apabila ditiup angin. Melambai-lambai seperti turut meniup semangat ke dalam dirinya agar terus berjuang menuntut kemerdekaan.
Merdeka!
Hari merdeka. Sudah terlalu lama dia bersabar untuk menanti detik-detik yang bersejarah itu. Dia dan seluruh rakyat Tanah Melayu akan menyaksikan British pulang meninggalkan tanah air yang tercinta ini.
Serentak dengan itu juga bahasa Melayu akan diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bukan bahasa Inggeris yang dibawa oleh British. Rakyat Tanah Melayu tidak akan melihat Bendera Union Jack berkibaran. Nyanyian lagu God Save The Queen juga hilang. Kenyataan! Bukan lagi mimpi. Hussin memandang ke arah Ali dan Sidik yang menjadi rakan seperjuangannya. Mereka mempunyai impian dan cita-cita yang sama. Tak lain tak bukan iaitu kemerdekaan. Bergema dan berkumandang di mana-mana sahaja dan ternyata perjuangan selama ini telah mencapai puncak kejayaan.
Tiba-tiba dia teringatkan Musa dan Leman pada hari yang bersejarah ini. Musa telah menjadi gila kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri akibat ditipu oleh Tuan Gordon manakala Leman pula menyerah diri kepada pihak berkuasa apabila menyedari perjuangannya bersama komunis adalah sia-sia sahaja.
Sayang sekali. Sepatutnya kau berdua bersama-sama dengan aku dan seluruh rakyat Tanah Melayu meraikan hari yang keramat ini walaupun kita tak sehaluan! Cetus hati Hussin.
Dia kemudiannya merenung pula wajah Ali dan Sidik yang kelihatan terpancar ketulusan dan keikhlasan bersama sinar pengharapan. Kawan yang jujur diperlukan dalam perjuangan dan bukannya musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Ciri-ciri itu ada pada Ali dan Sidik. Moyang Ali pernah berjuang bersama dengan Dato’ Dol Said menentang British di Naning. Manakala datuk Sidik pula pernah berjuang bersama dengan Dato’ Maharajalela menentang British di Perak. Begitu juga dengan Hussin. Ayahnya pernah berjuang bersama dengan Datuk Onn dan orang-orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British selepas Jepun menyerah kalah.
Darah pahlawan mengalir segar ke dalam tubuh Hussin, Ali dan Sidik.
Hussin mengutip semula kisah perjuangan pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan dan lain-lain lagi. Mereka telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi menghalau penjajah dan musuh yang cuba menodai tanah air yang bertuah ini. Kini mereka semua telah tiada. Jasa dan pengorbanan mereka sewajarnyalah dikenang bersama semangat yang ditinggalkan harus hidup subur dalam jiwa generasi hari ini untuk meneruskan perjuangan yang tidak akan ada penghujungnya.
Dia lalu mengatur langkah lima tapak ke arah Ali dan Sidik kemudian dengan perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang yang kelihatan agak usang itu.
Hussin pantas menghela nafas panjang sambil memandang wajah kedua-dua rakan seperjuangannya dengan penuh rasa gembira di atas kemenangan yang telah dicapai. Di luar desiran angin mengalunkan irama gemersik sekali.
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” pekik Hussin, Ali dan Sidik.
Share this novel