BAB 9

Drama Completed 695

PERMATA

Keheningan pagi diwarnai dengan cuaca cerah. Bola matahari kelihatan kian meninggi di kaki langit. Sinarnya memancar terang-benderang ke seluruh alam. Bersama tompok awan putih dan biru. Kicauan unggas riang bernyanyi-nyanyi dengan penuh keriangan jelas kedengaran memecah kesenyapan.

Angin dari arah bukit bertiup perlahan. Pokok nangka, jambu, manggis, kelapa dan lain-lain lagi di luar halaman rumah meliuk-liuk ke kanan dan kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Sekali-sekala angin yang berhembus terbabas lalu menyapu permukaan kulit Adnan yang lembut. Kegelisahan. Benar-benar terasa membelit dirinya di kala ini.

Kemanusiaan, kedamaian, ketenangan dan keamanan yang selama ini dimiliki telah hilang. Hati kecil Adnan berbisik.

Dengan langkah perlahan-lahan Adnan menuju ke jendela yang terbuka luas. Dia melontarkan pandangan jauh di balik bukit-bukau subur yang menghijau.
“Orang kaya dari bandar tu nak buat pembangunan di kampung ni. Minggu lepas dia ada buat perjumpaan dengan orang-orang kampung. Katanya orang-orang kampung akan dipindahkan ke tempat yang baru …,” Pak Sudin bersuara lemah dan tak bermaya. Nada suara yang dikeluarkannya itu jelas menagih simpati daripada anaknya yang masih lagi belajar di universiti dalam tahun akhir.

Adnan pantas mengalihkan pandangannya ke arah ayahnya yang telah tua itu. Rambut dipenuhi uban dan kedut jelas kelihatan pada kulitnya. Pak Sudin terbatuk-batuk kecil sambil menghisap rokok daun. Adnan kemudiannya perlahan-lahan beredar dari jendela dan melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang duduk berhadapan dengan ayah dan ibunya.

“Bila dia suruh kita pindah, bang?” sampuk Mak Bedah tiba-tiba sambil memandang tepat wajah suaminya. Pak Sudin sebaliknya hanya tunduk menggeleng-gelengkan kepala dan menyedut rokok daun. Asap memutih kelihatan berkepul-kepul naik ke atas.

“Tak tahulah. Tapi dia kata siap aje rumah di tempat baru tu nanti barulah orang-orang kampung pindah,” Pak Sudin menjawab.

“Tempat baru tu kat mana, ayah?” soal Adnan pula.
“Katanya dekat dengan kawasan bandar,” balas Pak Sudin.

“Dia nak bangunkan apa di kampung ni, ayah?” tanya Adnan lagi dengan penuh minat sambil mengangkat kepala tinggi sedikit melihat wajah ayahnya.

“Nak buat kawasan pelancongan,” ucap Pak Sudin yang duduk bersela. Dia kemudiannya lalu menyucuhkan puntung rokok daun ke dalam bekas yang dibuat daripada tempurung kelapa. Air kopi ‘o’ yang suam itu pantas diteguknya habis.

“Orang kampung semua dah setuju ke pindah, bang?” Mak Bedah yang duduk di sebelah Pak Sudin lalu mencelah.

“Ini yang timbul masalah sekarang ni. Orang kampung dah pecah dua. Ada yang setuju pindah dan ada yang berkeras tidak mahu pindah,” jelas Pak Sudin.

“Sampai begitu sekali, ayah!” Adnan berasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ayahnya itu.

“Kampung ni dah tak macam dulu lagi, Adnan. Sejak orang kaya dari bandar tu datang nak buat pembangunan di kampung ni …,” Pak Sudin menunjukkan rasa kecewa dan hampa dengan mengeluarkan nada suara yang lemah.

“Kita tak boleh berdiam diri, ayah. Kita mesti bersatu semula. Walau apa pun yang terjadi kita tak akan pindah. Kita akan tinggal di kampung ini sehingga ke akhir hayat!” ujar Adnan dengan penuh semangat.

“Kau nak buat apa, Adnan?” Mak Bedah menambah pula.

“Saya nak kumpulkan semua orang kampung. Kita mesti tentang habis-habisan orang kaya dari bandar tu daripada mengambil milik yang telah kita pusakai dari datuk nenek moyang kita dulu yang telah bersusah payah meneroka kampung ni. Kita sebagai anak cucu dan cicit mesti mempertahankannya menyerahkan kepada orang kaya dari bandar tu namanya tidak sekali-kali!” Semangat Adnan semakin berkobar-kobar seperti seorang pejuang tanah air menentang penjajah.

Perbualan rancak Pak Sudin, Mak Bedah dan Adnan lantas terhenti. Kedengaran suara Bilal Usop melaungkan azan Asar dari surau yang tidak jauh dari rumah mereka.

“Waktu asar pun dah masuk. Adnan marilah kita ke surau,” ajak Pak Sudin sambil bingkas bangun.

“Yalah, ayah!” angguk Adnan pula.

Selepas menunaikan solat Asar Pak Sudin, Tok Ketua, Tok Imam dan Adnan tidak pulang ke rumah. Mereka duduk di surau sambil berbual-bual.

“Berapa lama kau cuti, Adnan?” soal Tok Ketua yang berketayap putih, berbaju Melayu biru air laut dan berkain pelekat.

Di luar angin bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon hijau bagai menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Sekejap meliuk ke kiri dan sekejap meliuk ke kanan. Dedaunan yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa bersama ketenangan dan kedamaian desa permai. Cuaca yang dari awal pagi kelihatan cerah telah bertukar menjadi redup.

“Tiga bulan, tok,” dia sebaliknya menjawab pendek pertanyaan yang diajukan oleh Tok Ketua itu.

“Apa kau buat masa cuti ni?” Tok Imam mencelah.
“Membantu ayah mengerjakan kebun. Tok Imam saya minta maaf kalau bertanya. Kenapa orang kampung tak ramai sembahyang jemaah di surau? Selalunya saya tengok penuh surau ni,” kata Adnan.

“Inilah yang menjadi masalah kampung ni sekarang. Berpecah belah. Tak lagi hidup bersatu padu sepertimana yang dituntut dalam agama,” jelas Pak Imam pula.

“Semuanya ini berpunca daripada orang kaya dari bandar tu, kan? Demi kekayaan dan kepentingan diri sendiri kita berpecah belah dan diusir,” Adnan cepat menambah.

“Memang betul kata kau, Adnan. Tok sebagai ketua merasa sangat sedih apabila melihat perkara ini berlaku. Kampung ni dah tak macam dulu lagi …,” sokong Tok Ketua dalam nada suara yang berbunyi mengeluh.

“Kita mesti buat sesuatu untuk menjernihkan semula suasana keruh yang telah berlaku sekarang ni. Demi kebaikan kita bersama sebagai penduduk kampung.” Pak Sudin yang selama ini berdiam diri tiba-tiba bersuara memberi cadangan.
“Memang betul kata ayah tu. Untuk perpaduan kita semua saya cadangkan kita adakan pertemuan di balai raya. Macam mana, tok?” kata Adnan sambil memandang tepat wajah Tok Ketua.

“Bagus tu, Adnan. Tok memang setuju sekali dengan cadangan kau tu,” jawab Tok Ketua.

“Bila kita nak adakan pertemuan tu?” Tok Imam mencelah.

“Perkara yang baik tak elok kita lengahkan. Takut nanti datang pulak perkara buruk. Kita mesti adakan pertemuan esok,” ujar Adnan lagi.

“Apa kata kalau kita adakan pertemuan tu selepas waktu Zuhur, tok?” tambah Pak Sudin pula.

“Saya setuju!” Tok Ketua mengangguk-anggukkan kepala.

Keesokan paginya Adnan ke warung Pak Salleh untuk membeli sarapan.

“Abang Adnan. Bila balik?” tanya Suraya anak Pak Salleh.

“Dah seminggu. Pak Salleh mana?” soal Adnan pula.

“Ayah ke bandar. Dengar petang ni ada pertemuan penduduk kampung di balai raya. Betul ke, bang?” ujar Suraya.

“Betul, Suraya. Nak membincangkan masalah yang melanda penduduk kampung sekarang ni. Pak Salleh dah tahu ke hal ni?” Adnan berkata.

“Dah. Tok Ketua yang beritahu dia sewaktu sarapan di warung ni pagi tadi,” Suraya sebaliknya membalas.

“Kalau Suraya nak dengar luahan penduduk kampung tentang pembangunan yang hendak dibuat oleh orang kaya dari bandar tu sehingga membawa kepada perpecahan datanglah ke balai raya petang ni,” pelawa Adnan.

“Insya-Allah, bang. Kalau tak ada apa-apa nanti Suraya datang. Oh ya. Asyik bercerita terlupa pulak. Abang nak apa?” dia bersuara.

“Beri abang nasi lemak tiga, kuih kaswi tiga dan kuih karipap tiga,” pinta Adnan.

“Yalah, bang,” Suraya menjawab.

Seperti yang dirancang oleh Tok Ketua, Tok Imam, Pak Sudin dan Adnan pertemuan diadakan di balai raya. Namun begitu tidak semua penduduk kampung yang hadir. Hasrat untuk menyatukan semula penduduk kampung yang berpecah belah dan mendapatkan keputusan agar tidak berpindah tidak tercapai.

“Nampaknya apa yang kita harapkan gagal. Tapi kita tak boleh berputus asa. Kita mesti aturkan lagi pertemuan. Kalau tidak masalah ini tak akan selesai,” ucap Adnan pula sebaik-baik sahaja pertemuan pada petang itu selesai.

“Kita kena bersabar, Adnan. Banyakkanlah berdoa. Insya-Allah. Hajat kita yang baik ini akan dimakbulkan,” Tok Ketua menyokong sepenuhnya kata-kata Adnan itu.

Adnan menggandakan usaha mengumpulkan penduduk kampung untuk mengatasi kemelut yang melanda. Ada yang bersetuju untuk bertemu dan ada yang tidak mahu bertemu. Namun begitu dia tidak berputus asa. Siang dan malam dia bekerja keras untuk memujuk penduduk kampung agar bersatu semula dan tidak berpindah ke tempat yang baru.
“Esok kita mesti adakan pertemuan, tok. Kita mesti berusaha jugak untuk mengatasi masalah yang melanda penduduk kampung ni,” Adnan berkata.

“Tapi tak ramai penduduk kampung yang setuju datang. Macam mana kita nak selesaikan masalah ni …,” rengus Tok Ketua sebaliknya.

“Tak mengapa, tok. Yang penting saya nak tekankan kepada penduduk kampung yang hadir betapa perlunya kita bersatu dan mempertahankan kampung ni. Tok jangan risau. Serahkan saja pada saya,” balas Adnan.

Pada keesokan harinya pertemuan kedua diadakan di balai raya kampung. Amat menyedihkan sekali sama seperti pertemuan pertama dulu tidak ramai penduduk kampung yang hadir. Sedangkan usaha yang dilakukan oleh Adnan adalah untuk kebaikan bersama penduduk kampung.

Dengan tiba-tiba Adnan teringat akan ungkapan dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah. Dia sendiri tidak pasti dari buku mana dia membaca ungkapan itu dan yang pasti ia ditulis oleh seorang ahli falsafah yang terkenal. Adnan lupa nama ahli falsafah itu. Dia menjadikan kata-kata itu sebagai pedoman dalam perjuangannya menyatukan semula penduduk kampung dan kekal di tempat yang bertuah dan permai anugerah Tuhan Yang Esa.

Selang beberapa hari pertemuan ketiga diadakan di tempat yang sama. Kali ini sambutannya adalah di luar jangkaan. Tidak seperti pertemuan pertama dan kedua lalu. Seluruh balai raya dipenuhi dengan penduduk kampung. Kalau pertemuan pertama dan kedua dahulu banyak kerusi yang kosong tapi hari ini tak cukup kerusi sehinggakan ada penduduk kampung yang terpaksa berdiri dan ada yang terpaksa mendengar dari celah tingkap balairaya.

Tiada apa yang mampu diluahkan oleh Adnan selain daripada rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana impiannya telah dimakbulkan. Tidak sia-sia kerja keras siang dan malam yang dilakukannya selama ini demi kebaikan bersama penduduk kampung dan bukannya untuk kepentingan dirinya sendiri. Inilah namanya berkat sentiasa berdoa dan bersabar untuk mencapai kejayaan.

“Tiada gunanya kita bersengketa sesama sendiri. Kita jugak akan merasa rugi. Bukankah Islam melarang perbuatan buruk itu. Marilah kita bersatu semula demi kesejahteraan kita bersama sebagai penduduk kampung ini. Mulai dari hari ini marilah kita buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Hidup mati kita biarlah di sini. Pertahankanlah kampung ini ibarat permata yang tinggi nilainya. Sukar dicari ganti. Saya merayu pada semua penduduk kampung.” Kata-kata yang diluahkan oleh Adnan itu benar-benar memukau penduduk kampung. Sehinggakan ada yang menitiskan air mata kerana timbul penyesalan bersengketa semata-mata terpedaya dengan tempat baru yang dijanjikan oleh orang kaya dari bandar itu.

Semua penduduk kampung lalu bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan di antara satu sama lain. Suasana di balai raya pada petang ini bercampur gembira dan terharu.

“Terima kasih, Adnan. Kau telah berjaya menyatukan semula penduduk kampung,” Tok Ketua bersuara sambil bersalaman dengan Adnan.

“Sama-sama, tok. Cuma satu lagi yang perlu kita selesaikan,” Adnan menjawab.

“Apa dia?” Tok Ketua cepat memotong sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Adnan.

“Besok kita beramai-ramai ke pejabat orang kaya tu untuk menyatakan bantahan tidak mahu berpindah dari kampung ni,” ucap Adnan pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience