SEORANG TUA
Dia melemparkan pandangan yang tajam ke arah desiran ombak yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan. Membasuh pasir dan batu-batu kecil di gigian. Pagi masih muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-benderang. Bayu laut bertiup lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara yang tumbuh di sekitar pantai meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Daun-daun hijau mengeluarkan irama yang sungguh merdu apabila bergeseran di antara satu sama lain.
Pantai Sinar Murni. Sudah seminggu dia berada di sini. Sebuah kawasan peranginan yang terkenal. Dia sebenarnya mencari ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.
Laut yang membiru. Hidup manusia di atas muka bumi ciptaan Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih berganti. Penuh suka dan duka. Dia akur dengan kenyataan itu. Memang sudah ditentukan sejak dari azali lagi. Dia menarik nafas yang panjang sambil membetulkan duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada kayu.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara memberi salam. Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti.
“Waalaikumsalam,” dia menjawab sambil memandang muka orang tua itu.
“Maafkan, pak cik. Kerana mengganggu ketenangan anak.” Nada suara orang tua itu tenggelam bersama deruan suara ombak.
“Oh, tidak mengapa. Pak cik. Silalah duduk,” dia membalas senang sambil memandang tepat wajah orang tua itu dan mengukir senyuman kecil.
“Terima kasih …,” ucap orang tua itu lembut.
“Anak seorang aje ke?” soal orang tua itu lagi.
“Ya, pak cik!” dia mengangguk-anggukkan kepala.
“Maafkan, pak cik. Anak nampaknya sedang memikirkan sesuatu yang amat berat.”
Dia berasa amat terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut orang tua itu. Macam mana dia tahu semua ini? Siapakah dia ini yang sebenarnya? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.
“Benar, pak cik. Apa yang bersarang di kepala saya ini adalah ibarat seketul batu besar,” jelasnya pula.
“Sudah menjadi lumrah hidup manusia. Masalah. Tidak mengenal tua atau muda.”
“Bolehkah pak cik membantu saya?”
“Kalau anak tak keberatan. Ceritakanlah. Pak cik sedia mendengarnya.”
“Saya sebenarnya sedang memikirkan Persatuan Ikhlas. Banyak membantu masyarakat yang tidak berada. Pernah memenangi Anugerah Cemerlang Persatuan. Tapi kini semuanya dah tak bererti lagi bagi saya …,” terangnya dalam nada suara yang lemah.
“Apa puncanya?” tanya orang tua itu dengan penuh minat.
“Kuasa,” ucapnya pendek.
“Maksud, anak?”
“Saya adalah Pengerusi Persatuan. Ada yang nak menjatuhkan saya dalam pemilihan jawatan Pengerusi yang akan diadakan pada bulan depan.”
“Oh, begitu!” orang tua itu sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar penjelasan yang diberikannya. Angin tiba-tiba bertiup lemah. Pohon-pohon dan dedaunan cemara mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun kering berguguran menimpa butiran pasir yang putih dan halus. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya.
“Saya akur, pak cik. Sekiranya ahli-ahli persatuan mahukan perubahan saya sedia berundur. Itu adalah hak mereka. Saya tak boleh memaksa mereka agar terus menyokong saya. Tapi malangnya pencabar saya menggunakan cara yang tak sepatutnya untuk memenangi jawatan itu,” katanya lagi.
“Cara yang bagaimana anak maksudkan itu?”
“Memfitnah dan menuduh saya yang bukan-bukan. Menaburkan wang kepada ahli-ahli persatuan agar mengangkat dirinya sebagai Pengerusi.”
“Sungguh dahsyat. Boleh pak cik tahu siapa pencabar anak itu?” soal orang tua itu.
“Timbalan Pengerusi. Saya kecewa, pak cik. Saya dan dia sama-sama mengasas dan berjuang membangunkan persatuan. Dia pernah berjanji. Tidak akan mencabar saya demi perpaduan parti. Saya menaruh penuh kepercayaan padanya …,” dia bersuara lemah. Suara angin tidak kedengaran seperti hilang ditelan alam. Hampa. Itulah yang membalut wajahnya.
“Anak tahu kenapa dia boleh berubah?”
“Entahlah, pak cik. Saya sendiri pun tak tahu. Saya sebenarnya sayangkan persatuan. Kalau saya gagal mempertahankan jawatan Pengerusi saya akan tetap setia dengan persatuan. Demi membela nasib masyarakat yang kurang berada agar dapat menikmati taraf hidup yang sempurna. Itulah matlamat sebenar saya dan dia menubuhkan persatuan.”
“Mungkin dia mengejar nama selain daripada kuasa. Apabila persatuan berjaya nama anak sebagai Pengerusi yang menjadi sebutan. Itu firasat pak cik saja,” tambah orang tua itu.
“Bagi saya kejayaan yang dikecapi bukan milik saya seorang. Tetapi adalah milik semua ahli persatuan. Tak tahulah saya kalau dia beranggapan begitu.”
“Anak ikhlas dan jujur dalam perjuangan persatuan,” ujar orang tua itu.
“Saya sebenarnya takut pada pujian, pak cik. Walaupun persatuan di bawah pimpinan saya telah mencipta kejayaan. Kerana bagi saya pujian itu silap-silap boleh memakan diri sendiri dan menganggap kita lebih bagus daripada orang lain,” jawabnya.
“Ini adalah kenyataan yang lahir daripada pengamatan pak cik terhadap anak dan bukannya paksaan. Anak bukannya berjuang untuk kepentingan diri sendiri. Tetapi semata-mata untuk persatuan. Bagi pak cik itu adalah sifat pemimpin yang sejati. Pak cik tahu. Anak dah banyak berkorban masa dan tenaga demi persatuan.”
Sekali lagi dia berasa terkejut. Orang tua ini tahu segala-galanya. Memang benar. Persatuan sudah menjadi darah dagingnya. Perjuangannya membela nasib masyarakat yang kurang berada memang ada kaitan dengan latar belakang keluarganya yang lebih banyak mengenal erti kesusahan daripada kemewahan. Semuanya ini yang menyebabkan dia bersungguh-sungguh memastikan persatuan mencapai matlamat penubuhannya.
“Mungkin sudah nasib saya, pak cik. Tak semestinya kebaikan yang dicurahkan akan dibalas orang dengan kebaikan. Adaketikanya saya berfikir lebih baik mengalah. Tapi saya sedar. Itu bukanlah jalan yang terbaik buat seorang pemimpin.”
“Pak cik menyokong keputusan yang anak ambil itu. Dalam hidup ini biar kita mengalah asalkan jangan kalah.”
“Menarik sekali kata-kata pak cik itu.”
“Tuhan sedang menguji anak sebagai seorang pemimpin. Anak berada di pihak yang benar. Berdoalah sentiasa agar diberikan kekuatan dan semangat untuk terus berjuang demi persatuan. Insya-Allah. Tuhan akan memberi anak kemenangan,” nasihat orang tua itu sambil memegang bahunya. Dia sebaliknya diam sambil memandang wajah orang tua itu. Angin yang bertiup dari arah laut tiba-tiba bertukar menjadi kencang. Seperti memberi keazaman kepadanya agar terus hidup dan mati bersama persatuan. Dia akan tetap bertanding dengan cara yang bersih untuk mempertahankan jawatannya. Menang atau kalah biarlah di tangan ahli persatuan.
“Baiklah, nak. Pak cik nak pergi.” Orang tua itu kemudiannya bingkas bangun sambil menghulurkan tangan dan bersalaman dengannya.
“Pak cik ni siapa sebenarnya?” dia menyoal.
“Macam anak jugak. Hamba Allah yang hidup di muka bumi ini,” balas orang tua itu. Sekali lagi dia diam. Wajah orang tua itu direnungnya dalam-dalam.
“Izinkan pak cik pergi. Semoga kita akan berjumpa lagi. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam, pak cik.”
Orang tua itu lalu meninggalkannya dan lama-kelamaan hilang daripada pandangan matanya. Siapakah sebenarnya orang tua ini? Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.
Share this novel