HULUBALANG JIWA
Kisah Hulubalang Jiwa. Gagah perkasa orangnya. Sangat setia kepada raja. Suatu hari mendapat perintah. Meminang Puteri Bunga. Kecantikannya tidak terperi. Serata negeri tiada tandingan.
“Segeralah berangkat, anakanda. Jalankanlah titah raja. Berapa ramai pengiring yang anakanda perlukan?” kata Datuk Paduka Bendahara.
“Tak usahlah dikirim ramai utusan, ayahanda. Biarlah anakanda seorang sahaja melaksanakan titah raja ini,” katanya.
“Anakanda. Untuk sampai ke Negeri Taman Seri bukannya mudah. Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi. Ayahanda khuatir. Hajat raja tak sampai,” nasihat Datuk Paduka Bendahara. Dia sudah menganggap Hulubalang Jiwa seperti anak sendiri.
“Usahlah ayahanda bimbang. Ayahanda doakanlah anakanda dapat membawa pulang Puteri Bunga. Untuk dipersembahkan kepada raja,” dia sebaliknya membalas.
Setelah semuanya siap maka Hulubalang Jiwa pun berangkatlah ke Negeri Taman Seri. Seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa menempuhi pelbagai halangan dan rintangan. Ancaman perompak.
Hulubalang Jiwa bukan calang-calang orangnya. Memiliki ilmu persilatan tinggi. Handal bermain senjata. Kesemua perompak dapat ditewaskannya.
Rupanya semua ini telah diatur oleh Datuk Gagak. Cemburu dan irihati dengan Hulubalang Jiwa. Dipilih oleh raja untuk meminang Puteri Bunga yang cantik rupawan.
“Cis! Dia seorang pun tak boleh dikalahkan!” bentaknya dalam suara yang lantang dan berwajah bengis.
“Dia memang hebat ….”
“Ah! Tambah lagi orang-orang kita. Hulubalang Jiwa mesti dihapuskan!”
“Baik, Datuk!”
Demikianlah jahatnya Datuk Gagak. Apabila Hulubalang Jiwa mati nanti sudah tentu raja akan memerintahkan dia untuk pergi meminang Puteri Bunga. Sudah tentu dia akan mendapat kurnia apabila raja berjaya memperisterikan Puteri Bunga.
Hulubalang Jiwa selamat tiba di Negeri Taman Seri. Peminangan raja telah diterima. Raja Negeri Taman Seri pun mengadakan majlis keramaian untuk meraikan Hulubalang Jiwa.
“Siapa nama hulubalang dari Negeri Kembang Hayat tu, mak inang?” tanya Puteri Bunga.
“Jiwa, tuan puteri,” dia menjawab.
“Jiwa! Sedap namanya. Kena dengan orangnya. Tampan dan gagah,” Puteri Bunga sebaliknya membalas.
Mak Inang tertawa kecil apabila mendengar kata-kata Puteri Bunga itu. Keasyikan. Melanda jiwa Puteri Bunga. Apabila terpandang paras wajah Hulubalang Jiwa. Dalam majlis keramaian yang turut dihadiri oleh pembesar dan rakyat jelata.
Raja turut mempelawa Hulubalang Jiwa tinggal beberapa hari di Negeri Taman Seri sebagai tetamu. Hulubalang Jiwa menerima pelawaan raja itu dengan senang hati. Namun begitu kehadirannya sebagai tetamu raja itu tidak disenangi oleh Datuk Lang Hitam. Salah seorang pembesar istana.
Datuk Lang Hitam lalu mempengaruhi raja. Dengan mengatakan kedatangan Hulubalang Jiwa bukan semata-mata untuk meminang Puteri Bunga. Tetapi sebenarnya adalah berniat jahat. Raja tidak termakan dengan fitnah Datuk Lang Hitam itu. Raja sebaliknya menasihatkan Datuk Lang Hitam agar tidak membuat tuduhan melulu. Buruk padahnya nanti. Datuk Lang Hitam benar-benar merasa kecewa dan marah. Rancangannya tidak menjadi.
“Aku betul-betul benci dengan hulubalang dari Negeri Kembang Hayat tu!” luah Datuk Lang Hitam. Dengan rasa penuh geram.
“Hamba pun begitu, datuk. Baru sekali datang kemari. Senang-senang sahaja dia diterima sebagai tetamu negeri. Kita mesti cari jalan. Kita mesti usir dia!” sokong Bara. Orang kanan Datuk Lang Hitam.
“Tak semudah itu, Bara. Dia telah menjadi orang kesayangan raja. Padahal dia orang luar. Aku dah atur rancangan!” katanya.
“Rancangan apa, Datuk?” soal Bara pula dengan penuh minat.
“Begini. Kita mesti hapuskan hulubalang tu dalam perjalanan pulang membawa Puteri Bunga ke Negeri Kembang Hayat. Kita mesti culik Puteri Bunga dan jadikan tebusan. Kita paksa raja serahkan takhta. Kalau tidak kita akan bunuh Puteri Bunga. Aku yakin. Raja akan tunduk pada kemahuan kita. Kerana sayang akan puteri tunggalnya itu.” Dia menerangkan panjang lebar akan rancangan jahatnya itu.
“Datuk akan jadi Raja Negeri Taman Seri,” Bara menambah.
“Ya!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia kemudiannya lalu ketawa terbahak-bahak. Penuh yakin. Rancangan jahat yang diaturnya itu akan berjaya.
Hulubalang Jiwa dapat merasakan cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapinya nanti apabila membawa pulang Puteri Bunga ke Negeri Kembang Hayat. Setelah beberapa hari tinggal di Negeri Taman Seri maka tibalah masanya Hulubalang Jiwa berangkat balik. Bersama dengan Puteri Bunga. Raja telah memerintahkan beberapa orang pahlawan untuk mengiringi Puteri Bunga dan Hulubalang Jiwa. Namun begitu Hulubalang Jiwa mengatakan tidak perlu pahlawan pengiring. Dia memberi jaminan kepada raja akan melindungi Puteri Bunga dan selamat sampai ke Negeri Kembang Hayat.
Dalam perjalanan seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga telah menerima ancaman daripada Datuk Lang Hitam dan orang-orangnya.
“Datuk Lang Hitam?” Puteri Bunga merasa sungguh terkejut.
“Ya! Apa khabar, tuan puteri? Dan kau hulubalang dari Negeri Kembang Hayat. Serahkan Puteri Bunga. Jangan mengundang maut!” Datuk Lang Hitam mengugut sambil meninggikan suara.
“Ah! Tidak, datuk. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!” dia sebaliknya membalas dengan berani. Kedua-dua biji matanya tajam memandang Datuk Lang Hitam yang bermisai lentik dan berwajah garang itu.
“Sungguh tak disangka. Tergamak datuk buat begini. Apa salah hamba?” kata Puteri Bunga pula dalam nada suara yang cemas. Dia benar-benar ketakutan sambil memegang erat tangan Hulubalang Jiwa.
“Ah! Tamatkan riwayat hulubalang ini!” arah Datuk Lang Hitam pada orang-orangnya.
“Tenang, tuan puteri. Kalau orang dah menjual. Hamba sedia membeli,” ucap Hulubalang Jiwa sambil menghunus senjata. Dengan pantas Puteri Bunga melepaskan pegangan tangan dan berundur ke belakang. Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan orang-orang Datuk Lang Hitam pun berlaku. Kesemua mereka tewas dengan mudah di tangan Hulubalang Jiwa. Termasuk Bara. Kemarahan Datuk Lang Hitam kian memuncak.
“Cis! Kau akan bertemu buku dengan ruas. Ini Datuk Lang Hitam. Bersedialah. Ajal kau dah tiba!” katanya dengan rasa penuh bongkak.
Ternyata Datuk Lang Hitam memiliki ilmu kependekaran yang tinggi. Namun begitu Hulubalang Jiwa dapat membaca gerak-gerinya. Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan Datuk Lang Hitam berlaku dengan amat sengit. Akhirnya Datuk Lang Hitam menemui ajal juga di tangan Hulubalang Jiwa. Demikianlah balasannya buat si penderhaka.
“Syukurlah, tuan puteri. Musuh-musuh ini dapat ditewaskan. Ada lagi cubaan yang perlu kita tempuhi. Berdoalah. Semoga kita selamat sampai ke Negeri Kembang Hayat,” ucapnya.
Puteri Bunga hanya mengangguk-angguk diam apabila mendengar kata-kata Hulubalang Jiwa itu. Mereka pun meneruskan semula perjalanan. Tekaan Hulubalang Jiwa memang tepat sekali. Kali ini rintangan datang daripada orang-orang Datuk Gagak pula. Mereka menerima nasib yang sama seperti Datuk Lang Hitam dan orang-orangnya.
“Sungguh hebat, tuan hamba. Seumur hidup hamba. Tak pernah hamba temui. Orang segagah tuan hamba,” puji Puteri Bunga.
“Hamba tak minta pujian. Sudah menjadi kewajipan hamba. Untuk memastikan tuan puteri selamat. Dan seterusnya dipersembahkan kepada raja,” dia menjawab.
Setelah penat berjalan Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga pun berhenti rehat. Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit bola matahari kian meninggi. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam semesta. Angin bertiup lembut. Dedaun hijau dan pohon-pohon bagai menari-nari. Mengikut rentak alunan angin.
Sayup-sayup kedengaran bunyi air sungai mengalir. Iramanya sungguh mengasyikkan jiwa pabila didengar. Kicauan burung dan unggas jelas kedengaran. Menjadi nyanyian alam semesta. Dari jauh kelihatan banjaran gunung berdiri megah.
Puteri Bunga memandang wajah Hulubalang Jiwa. Pandangannya itu sudah cukup menggambarkan anak raja Negeri Taman Seri itu ada maksud tersirat yang hendak disampaikan. Ayu wajahnya. Laksana rembulan yang menyinari di malam hari. Kulit putih berseri. Ditambah kejelitaan dengan rambut yang bersanggul bersama kain selendang yang menutupi kepala. Hati mana yang tak tertawan. Apakah ini dugaan? Bisik hati kecil hulubalang Negeri Kembang Hayat itu.
“Tuan hamba. Maafkan hamba sekiranya bertanya. Itu pun kalau tidak keberatan tuan hamba menjawabnya.” Dia memulakan bicara. Lembut suaranya ditelan alunan desiran angin yang bertiup lemah gemalai.
Hulubalang Jiwa sebaliknya tidak pantas menjawab pertanyaan yang dilontarkan oleh Puteri Bunga itu. Ditariknya nafas dalam-dalam.
“Silakan, tuan puteri. Walau seberat batu pun. Hamba tidak akan hampakan,” dia bersuara tenang.
“Tuan hamba sudah punya kekasih hati?” soal Puteri Bunga.
Hamba tak punya kekasih hati,” dia menjawab.
“Berkata benarlah wahai tuan hamba. Orang yang tampan dan gagah seperti tuan hamba ini. Sentiasa mendapat tempat di hati setiap dara seperti hamba,” dia mendesak.
“Namanya untuk berdusta. Tidak sekali-kali. Ada dalam diri hamba, tuan puteri!” dia membalas sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Hamba tak percaya. Sebagai seorang teruna. Takkan tuan hamba tak punya perasaan. Jatuh hati pada seorang dara.” Ternyata dia masih lagi belum berpuashati. Dengan jawapan yang diberikan oleh Hulubalang Jiwa itu.
Angin yang tadinya bertiup lembut tiba-tiba bertukar rentak. Menjadi kencang dari arah pergunungan. Kelihatan cantik mengusapi wajah Puteri Bunga.
“Cinta hamba hanya pada raja, agama, bangsa dan negeri saja,” ujar Hulubalang Jiwa pula.
“Sebenarnya hamba ingin berterus terang pada tuan hamba,” kata Puteri Bunga.
“Berterus terang? Apa maksud, tuan puteri? Tak sabar rasa hamba untuk mendengarnya,” dia sebaliknya membalas.
“Sebenarnya …. Hamba ….” Nada suara Puteri Bunga terputus-putus sambil tertunduk malu.
“Katakanlah wahai tuan puteri. Akan hajat hati yang hendak disampaikan,” ulangnya lagi.
Perlahan-lahan Puteri Bunga mengangkat muka. Hulubalang Jiwa nampak tenang menanti apa yang bakal diluahkan oleh anak Raja Negeri Taman Seri itu. Mereka pun bertentang mata. Sebagai teruna dan dara masing-masing dapat merasakan getaran yang hebat menggoncang perasaan.
“Hamba jatuh hati pada tuan hamba …,” lafaz Puteri Bunga bersama lembut tiupan angin dan bunyi air sungai mengalir.
Kata-kata yang diucapkan oleh Puteri Bunga itu benar-benar memeranjatkan Hulubalang Jiwa.
Memang benar sangkaannya. Perkara ini akan berlaku. Oh, Tuhan! Apakah ini dugaan yang harus aku lalui? Puteri Bunga bukan milikku. Dia adalah milik raja. Aku tak tergamak untuk mengkhianati raja. Seluruh kesetiaanku hanyalah untuk dia sahaja. Kalau raja berkehendakkan aku hidup. Maka hiduplah aku. Sebaliknya kalau raja berkehendakkan aku mati. Maka matilah aku. Getus hati kecil Hulubalang Jiwa.
“Maafkan hamba. Hamba tak boleh menerima cinta tuan puteri,” dia menjawab.
“Hamba sungguh cintakan tuan hamba. Bawalah hamba pergi ke mana sahaja. Hamba rela,” Puteri Bunga merayu.
“Tak boleh, tuan puteri!” dia membantah sekeras-kerasnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Tuan hamba …!” Puteri Bunga pantas mencelah. Kekecewaan. Jelas terpancar di wajahnya yang ayu itu. Serentak dengan itu juga bola matanya digenangi titis-titis air jernih. Umpama hujan yang turun dari langit. Membasahi bumi.
Alam tiba-tiba bertukar menjadi sepi. Seolah-olah meratapi sebuah kematian. Suara angin dan desiran air sungai mengalir berbunyi lemah. Tak bermaya untuk meneruskan hidup. Dedaunan hijau berguguran di atas tanah. Pepohonan meliuk-liuk ke kiri dan kanan dalam rentak lemah-gemalai. Kicauan burung dan unggas tidak kedengaran.
Cuaca yang tadinya cerah lalu bertukar menjadi redup. Mendung hitam perlahan-lahan berarak di kaki langit. Menutupi bola matahari. Seperti turut bersimpati dengan Puteri Bunga. Rupanya dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.
“Tergamak, tuan hamba …. Melukakan hati hamba ….” Puteri Bunga menangis teresak-esak.
“Sekali lagi hamba minta maaf, tuan puteri. Tugas hamba ialah untuk mempersembahkan tuan puteri kepada raja. Bukannya berkasih dengan tuan puteri. Berkasih dengan tuan puteri. Bererti hamba telah menderhaka,” jelas Hulubalang Jiwa pula.
Puteri Bunga lalu tertunduk diam. Titis-titis air matanya umpama kilauan mutiara di dasar lautan. Semakin banyak berguguran membasahi pipinya yang lembut itu. Kemudian perlahan-lahan jatuh membasahi tanah. Kesedihan. Benar-benar membalut jiwanya.
Setelah beberapa hari dalam perjalanan maka Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga pun selamat tiba di Negeri Kembang Hayat. Raja berasa amat gembira kerana peminangannya telah diterima. Niat jahat Datuk Gagak telah diketahui oleh raja. Dia telah diperintahkan ditangkap dan dipenjara seumur hidup. Pembesar dan rakyat jelata sekalian lalu membuat persiapan melangsungkan perkahwinan raja dengan Puteri Bunga. Di atas jasa Hulubalang Jiwa itu raja telah berkenan mengurniakannya gelaran Datuk.
Share this novel