JALAN PULANG
Selepas mandi Amri turun bersarapan. Selesai bersarapan dia terus ke kolej dengan menaiki motosikal.
“Macam mana dengan malam ni? Jadi ke?” kata Rashid pada Amri sebaik-baik sahaja tiba di kolej.
“Jadi!” Amri menjawab dengan cepat.
“Aku yakin. Kita pasti menang malam ni,” sokong Rashid pula.
Tiba-tiba lalu seorang pelajar perempuan ayu bertudung. Jalan tunduk dan penuh sopan.
“Siapa tu? Boleh tahan. Cantik,” ucap Amri tidak berkelip-kelip memandang pelajar perempuan itu.
“Pelajar baru agaknya. Kenapa? Kau dah jatuh hati ke?” Rashid sebaliknya bersuara.
“Taklah sampai ke situ. Tapi …. Lawa,” ulang Amri lagi.
“Hah. Kan aku dah kata. Itu tandanya kau dah terpikat dengan dia, kan,” Rashid menambah.
“Dahlah. Gadis pakai tudung mana boleh jadi awek aku,” dalih Amri pula.
“Habis tu. Kau asyik kata cantiklah lawalah. Bukan dah jatuh hati namanya, Amri. Terus terang ajelah,” desak Rashid.
“Sudahlah. Kau jangan nak merepek. Kelas pun dah nak mula. Mari kita pergi. Nanti membebel lagi Encik Zulkarnain. Lambat masuk kelas,” ajak Amri.
Selepas tamat kelas Amri dan Rashid tidak terus pulang ke rumah. Kedua sahabat baik itu sebaliknya rancak berbual-bual di tempat letak motosikal. Tajuk perbualan Amri dan Rashid lebih kepada perlumbaan malam ini.
“Malam ni pukul berapa, Amri?” soal Rashid.
“Macam biasalah. Kau ni buat-buat lupa pulak. Macamlah pertama kali join race,” Amri menjawab dalam nada suara yang tidak senang dengan pertanyaan Rashid itu.
“Tempat pun macam biasa jugaklah,” celah Rashid pula.
“Yalah!” Amri mengangguk-anggukkan kepala.
“Siapa taja?” tanya Rashid lagi sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang muka Amri.
“Siapa lagi kalau bukan Abang Bidin kita,” balas Amri.
Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti seketika. Kedengaran bunyi telefon bimbit Amri.
“Hah. Panjang pun umur. Abang Bidin,” kata Amri apabila melihat nombor orang yang menaja perlumbaan tertera di telefon bimbitnya.
Dia pantas menjawab panggilan itu.
“Hello, bang. Ya. Malam ni jadi. Apa? Lumayan. OK. Kita jumpa di sana nanti,” ujar Amri.
“Apa kata Abang Bidin?” Rashid bagaikan tidak sabar-sabar lagi ingin mengetahui apa yang dibualkan Amri dengan orang yang menaja perlumbaan malam ini.
“Dia dah aturkan semua untuk race malam ni. Termasuk jalan untuk kita melarikan diri sekiranya dikejar polis nanti. Hadiahnya sungguh lumayan,” terang Amri.
“Lumayan? Berapa?” Rashid sebaliknya bertanya apabila tertarik mendengar kata-kata Amri itu.
“Ah. Dah menang nanti kau tahulah. Kau ni banyak soal pulak. Oh ya! Baru aku teringat. Nora nama budak baru tu. Dengan tiba-tiba sahaja Amri mengalih tajuk perbualan.
“Amri …! Amri …!” Rashid menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa kecil.
“Eh, apa yang kau ketawa ni. Lucu sangat ke bila aku sebut nama dia.” Amri berasa sangat hairan apabila melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Rashid itu apabila menyebut nama Nora.
“Begini ajelah kawan. Aku tak nak cakap banyak. Lebih baik kau berterus terang pada dia. Yang kau sukakan dia. Habis cerita,” cadang Rashid.
“Apalah kau ni, Rashid? Tak habis-habis merepek. Jangan-jangan kau yang suka kat dia tak?” Amri membantah.
“Dah aku suka kat dia pulak. Habis tu yang kau asyik sebut nama dia apahal. Kan aku dah cakap. Itu tandanya yang kau suka kat dia,” ingat Rashid.
“Habis? Sebut aje nama aku syok kat dia. Hei. Kan aku dah cakap. Dia tu pakai tudung. Mana aku minat. Citarasa aku pada gadis yang tak pakai tudung. Senang bawa ke sana kemari. Kau sendiri pun selalu tengokkan gadis yang aku jadikan pasangan. Macam Nora tu. Tengok pun aku dah tahu. Agama kuat susah nak ajak keluar,” jelas Amri dengan panjang lebar.
“Selalunya kata orang apa yang kita tak suka itulah akhirnya yang kita dapat. Aku rasa macam ini ajelah. Aku cabar kau pikat dia. Kalau berjaya aku berjanji aku belanja kau makan. Kalau kau betul-betul anak jantan kau terimalah cabaran aku ni. Apa macam, boleh?” Rashid bersuara.
“Baik! Aku terima cabaran kau sahabat yang bernama Rashid. Tapi aku tak akan jadikan dia sebagai teman istimewa. Tapi semata-mata tak nak malu sebagai anak jantan dan nak merasa kau belanja makan. Setuju?” Amri menyatakan persetujuan untuk menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Rashid itu.
“Setuju. Aku memang setuju sangat. Tapi kau jangan lupa. Itu kalau aku kalah dalam pertaruhan. Macam mana pulak kalau aku menang dalam pertaruhan. Baru nampak adil, kan,” ujar Rashid.
“Oh, ya! Betul jugak cakap kau. Hah. Tak usah cerita banyak. Aku pun macam kau jugaklah. Belanja makan sudahlah. OK?” Amri pantas menambah.
“Cantik! Aku ikut aje. Tak ada bantahan!” Rashid menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan Amri itu.
Malam itu seperti yang dijanjikan Amri, Rashid dan kawan-kawannya pun berlumba motosikal secara haram yang ditaja oleh Bidin. Ternyata malam itu adalah milik Amri. Dia menang dalam perlumbaan itu.
Keesokan harinya Amri dan Rashid datang lewat ke kolej. Encik Zulkarnain telah memberitahu perkara ini pada ayahnya.
“Awak tahu. Tadi Encik Zulkarnain pensyarah Amri tempat kolej dia belajar telefon. Dia kata Amri selalu datang lambat ke kolej. Kadang-kadang tak datang langsung. Pelajaran tak usah cakaplah. Teruk. Silap-silap dia boleh kena buang kalau tak berubah,” kata ayahnya pada ibunya.
“Awak nasihatkanlah dia. Awak kan ayah dia. Takkanlah nak biarkan,” ibunya membalas.
“Amboi. Sedapnya awak bercakap. Yang awak tu selalu tak duduk di rumah siang malam sibuk dengan butik dan persatuan. Sebab itulah dia jadi macam tu. Tahu tak!” bentak ayahnya.
“Jadi, abang nak salahkan sayalah, ya? Yang abang tu siang malam sibuk dengan perniagaan tak nampak!” tingkah ibunya.
“Saya sibuk siang malam untuk kesenangan keluarga kita jugak. Awak tu sebagai ibu sepatutnya lebih banyak masa di rumah. Beri sepenuh perhatian pada Amri!” ayahnya membantah sekeras-kerasnya kata-kata yang keluar daripada mulut ibunya.
Kedengaran bunyi enjin motosikal. Ayah dan ibunya berhenti seketika daripada bertengkar.
“Hah, itu pun dia dah balik,” ujar ayahnya.
Amri melangkah masuk ke dalam rumah.
“Kau dari mana ni, Amri?” ayahnya menyoal.
“Dari mana lagi dari kolejlah,” dia menjawab dengan cepat pertanyaan ayahnya itu.
“Oh, dari kolej. Kau jangan nak cakap bohong. Tadi Encik Zulkarnain pensyarah kolej kau telefon. Ayah dah tahu. Apa nak jadi dengan kau ni hah, Amri!” ayahnya melepaskan kemarahan dengan meninggikan suara.
“Sudahlah. Saya bosan duduk dalam rumah ni. Keluar lagi baiklah,” Amri membalas sambil meninggalkan ruang tamu rumah tanpa memandang wajah ayah dan ibunya.
“Amri! Amri! Nanti dulu. Ayah tak habis cakap lagi ni. Hah. Degil. Macam awak jugak!” rungut ayahnya pada ibunya.
Restoran yang tidak jauh dari kolej menjadi pilihan Amri dan Nora untuk berjumpa. Mereka memilih makanan yang sama iaitu mi goreng manakala minuman Amri memilih limau ais manakala Nora pula memilih teh ‘o’ ais limau.
“Kenapa awak beria-ia sangat nak jumpa saya?” tanya Nora yang memakai tudung berwarna biji kundang dan berbaju kurung berwarna merah jambu.
“Saja. Nak berkenalan dengan awak lebih dekat lagi,” jelas Amri sambil menyedut air limau ais.
“Betul ke awak dan Rashid mat rempit? Saya harap awak tak marah dengan soalan saya ni,” Nora bersuara.
“Pasal Encik Zulkarnain tegur saya dengan Rashid datang lambat tempoh hari,” Amri sebaliknya pantas memotong.
“Kenapa awak dengan Rashid terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ni?” soal Nora sambil memandang tepat wajah Amri.
“Jadi, awak percayalah yang saya dengan Rashid selalu datang lewat sebab malam-malam asyik merempit,” dia cuba berdalih.
“Kalau Encik Zulkarnain seorang sahaja yang bercakap susah nak saya percaya. Lagipun tak nampak depan mata saya. Tapi semua pelajar di kolej tu kata awak dan Rashid terlibat dengan lumba haram,” tekan Nora lagi.
“Sudahlah. Awak jangan percaya semua tu. Kita cerita lainlah,” Amri mengelak.
“Awak ada masalah ke? Dari raut muka awak tu saya dapat baca. Awak cuba menyembunyikan sesuatu daripada saya, bukan?” ucap Nora pula.
Dia benar-benar terpukau dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Nora itu. Nora tahu yang dia berbohong dengan mengatakan tidak terlibat dengan lumba haram. Gejala tidak sihat yang sering melanda di kalangan remaja pada hari ini.
“Berterus teranglah. Apa sebenarnya masalah awak ni. Saya ni kan kawan awak. Manalah tahu kalau boleh saya tolong ….” Nora mengeluarkan nada suara yang lembut.
Amri terus mendiamkan diri. Entah mengapa. Gadis yang kini berada di depannya lain daripada gadis-gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini. Nora memerhatikan sahaja gelagat Amri itu yang sedang seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang.
“Kalau awak tak nak cakap tak apalah. Setakat ni ajelah kita berkawan …,” gertak Nora pula.
“Nanti dulu …. Nanti dulu, Nora …. Baiklah. Saya akan beritahu awak. Apa sebenarnya masalah saya ….” Dia akhirnya mengalah dengan desakan Nora itu sambil mengeluarkan suara yang tersekat-sekat.
“Hah, macam tulah. Ceritakanlah. Saya nak dengar,” Nora berkata dengan senang dan mengukir senyuman manis.
“Sejak dari kecil saya tak pernah merasa kasih sayang dari ayah dan ibu. Mereka sibuk dengan urusan masing-masing. Saya tak dipedulikan. Saya bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan saya terlibat dengan lumba haram. Bila menang hati saya benar-benar gembira,” terang Amri pada Nora.
“Saya simpati dengan awak, Amri. Tapi jalan yang awak pilih tu bukanlah jawapan penyelesaian pada masalah yang awak hadapi. Tiada faedahnya melibatkan diri dengan lumba haram malah membahayakan nyawa. Amri. Saya merayu pada awak. Mulai hari ni tinggalkanlah lumba haram sebelum terlambat,” nasihat Nora.
“Itu saya tahu, Nora. Tapi …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Tapi apa? Saya tahu. Sukar bagi awak untuk meninggalkan tabiat buruk itu, kan? Menang bukan sahaja gembira. Hilang rasa bosan, dapat duit dan pasangan. Hari ini awak menang dalam perlumbaan. Tapi esok lusa belum tahu lagi. Mungkin awak akan ditangkap atau ditimpa kecelakaan. Siapa tahu. Maafkan saya Amri kerana tak sepatutnya saya cakap begitu pada awak. Tapi saya sebagai kawan awak saya berhak untuk cakap begitu. Kalau awak nak marah terpulanglah. Tapi fikirkanlah demi kebaikan awak,” Nora menambah dengan panjang lebar.
Amri lantas tunduk dan mendiamkan diri. Barulah dia tahu kini. Selama ini dia banyak menghabiskan usia muda dengan perkara yang sia-sia.
“Banyak cara yang awak boleh lakukan untuk menghilangkan rasa bosan. Dekatkanlah diri dengan Tuhan. Setiap kali lepas solat mohonlah doa. Moga awak diberi petunjuk dan kekuatan untuk keluar dari masalah yang membelenggu awak selama ini. Insya-Allah. Tuhan tidak akan mensia-siakan permintaan hambanya yang mahu berubah macam awak,” kata Nora lagi.
Tanpa disedari titis-titis air mata mengalir membasahi pipi Amri.
Rasa penyesalan benar-benar terbit di hatinya. Gadis bernama Nora yang cuba dipikatnya umpama cahaya yang menerangi hidupnya yang selama ini diselubungi dengan kegelapan.
Dengan perlahan-lahan Amri mengangkat muka bersama air mata yang mengalir memandang wajah Nora.
“Terima kasih, Nora …. Kerana telah menyedarkan saya …,” ucap Amri dalam nada suara yang terputus-putus kerana sebak menahan tangisan.
“Syukur alhamdulillah …,” Nora sebaliknya membalas lembut.
Sekembalinya ke rumah petang itu Amri lalu duduk di atas kerusi sofa berhadapan dengan ayah dan ibunya.
“Mak …. Ayah …. Amri minta maaf sekiranya apa yang Amri cakapkan ini mengguris hati ayah dan mak,” dia bersuara.
Rasa terkejut jelas terpancar di wajah ayah dan ibunya sambil saling berpandangan.
“Apa dia, Amri? Cakaplah. Ayah dan mak sedia mendengarnya,” ayahnya bersuara. Memberi peluang kepada Amri untuk meluahkan apa yang terbuka di hatinya.
Bukan setakat terperanjat sahaja rasa hairan turun dirasakan oleh ibunya. Tak pernah Amri bercakap lembut begini. Setahunya Amri seorang anak yang degil dan memberontak sejak dari kecil lagi apabila ditegur melakukan kesalahan.
“Ya, Amri! Apa yang kau nak beritahu mak dan ayah,” ibunya menambah pula.
“Amri selama ni sesat. Amri banyak membuang masa dengan kawan-kawan menyertai lumba haram. Semuanya ini kerana Amri rasa bosan dan dahaga kasih sayang ayah dan mak. Amri tahu. Ayah dan mak selalu sibuk dengan perniagaan. Sehingga tak ada masa dengan Amri. Tak macam orang lain. Anak dapat bersama dengan ayah dan ibu walaupun sibuk,” luah Amri pada ayah dan ibunya.
Kata-kata Amri itu membuatkan ayah dan ibunya terdiam. Benar apa yang diperkatakan oleh Amri itu. Kesibukan mereka menjadikan Amri dahagakan kasih sayang daripada seorang ayah dan ibu. Namun begitu mereka tetap bersyukur diberikan hidayat oleh Tuhan dengan Amri menyedarkan mereka akan kesilapan yang telah dilakukan.
“Mulai dari sekarang Amri berjanji tidak akan terlibat lagi dengan lumba haram. Amri akan tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Amri sedar. Usia masih muda lagi dan diperlukan oleh negara untuk menyumbang bakti,” janji Amri.
Ayahnya lalu menarik nafas yang panjang.
“Kau tak bersalah, Amri. Apa yang kau cakapkan tu memang benar. Selama ini ayah dan mak tak pedulikan kau akibat sibuk dengan mengejar kemewahan dunia. Sedangkan kaulah satu-satunya harta yang paling berharga kurniaan Tuhan untuk ayah dan mak …,” ayahnya bersuara perlahan.
“Syukurlah Amri kerana kau dah sedar akan kesilapan yang telah kau lakukan. Mulai hari ini mak dan ayah akan beri sepenuh perhatian pada kau,” ibunya berkata.
“Ayah! Mak!” Amri lantas bangun dari kerusi sofa dan memeluk ayah dan ibunya dengan penuh rasa kasih dan sayang.
Share this novel