BAB 10

Drama Completed 695

CABARAN

Pagi. Bola matahari kian meninggi di kaki langit biru bersama gumpalan awan putih. Sinarnya jelas kelihatan menyinari seluruh Kampung Sena. Kicauan burung-burung jelas kedengaran memecah alam nan menghijau.

Di halaman rumah pokok cempedak, manggis, kelapa, rambutan dan lain-lain lagi mengangguk-angguk perlahan ditiup angin dari arah pergunungan. Melalui jendela yang terbuka luas angin berhembus nyaman menyapu permukaan kulit Munir yang lembut itu. Seorang graduan universiti. Sehingga kini masih lagi tidak mempunyai pekerjaan.

“Belajar tinggi-tinggi takkan kerja kampung, Munir,” kata Adnan.

“Apa nak buat, Nan? Dah puas aku cari kerja. Tapi tak dapat,” dia sebaliknya menjawab.

“Kalau nak banding dengan aku ni kelulusan bukannya tinggi. Dapat kerja mewah di Kuala Lumpur,” Adnan membalas dengan penuh angkuh.

“Dah rezeki kau,” ujar Munir dalam nada suara yang tenang.

Tercabar juga dia dengan kata-kata rakan sekampung dan sekolahnya itu. Namun begitu dia tetap bersabar. Dugaan Tuhan. Ada hikmahnya dan dia berkeyakinan tinggi. Siswazah menganggur seperti dia boleh menabur bakti kepada masyarakat.

Dengan langkah yang perlahan-lahan Munir menuju ke jendela yang terbuka luas. Fikirannya dilontarkan ke arah banjaran gunung yang subur menghijau.

Banyak tanah terbiar di kampung ini. Lebih baik diusahakan. Berjaya atau tidak itu bukan soalnya. Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata pensyarahnya sewaktu di universiti dahulu. Sesuatu yang dilakukan dalam hidup ini adalah percubaan. Dia yakin dengan ungkapan itu.

Keesokan harinya dia pun ke rumah Tok Ketua. Menyatakan hasrat murninya itu.
“Aku tak ada halangan, Munir. Memang baik cadangan kau itu. Tapi siapa yang nak usahakannya? Orang-orang kampung ni ramai yang dah tua. Takkan larat nak buat kerja-kerja tu semua,” ucap Tok Ketua sebaliknya.

“Kan kita ramai anak-anak muda yang tak bekerja seperti saya di kampung ni. Kita gunakan tenaga mereka,” balas Munir.

“Betul. Soalnya mahu ke mereka mengusahakan tanah terbiar tu. Setahu aku. Usia muda macam mereka tu mana sanggup menebas dan mencangkul tengah panas,” ujar Tok Ketua lagi.

“Itulah silapnya orang kita ni, tok. Macam mana nak maju. Belum apa-apa lagi dah menyerah. Itu tak jangan bimbang. Serahkan pada saya. Tahulah saya nanti macam mana nak tarik mereka.” Munir memberi jaminan pada Tok Ketua.

“Baiklah, Munir. Aku mengikut saja apa yang kau fikirkan baik untuk kampung ni. Aku doakan semoga rancangan kau ni berjaya,” Tok Ketua menambah.

“Insya-Allah, tok. Berkat doa dan sokongan tok saya yakin tanah yang terbiar itu akan membawa hasil,” jawab Munir.
“Hah, jemputlah minum, Munir. Nanti sejuk pulak air ni,” pelawa Tok Ketua.

“Terima kasih, tok!” Munir membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Berikutnya Munir berjumpa dengan Sidik Pengerusi Persatuan Belia Kampung Sena.

“Bagus sekali cadangan kau tu, Munir. Sekurang-kurangnya anak-anak muda di kampung ini tidaklah mmebuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Seperti terlibat dengan dadah.”

“Kalau kita yang tidak mulakan siapa lagi, Sidik.”

“Memang betul kata kau tu, Munir. Aku sokong. Orang terpelajar macam kau ni memang diperlukan buah fikirannya untuk memajukan kampung ni.”

“Sudahlah tu, Sidik. Jangan nak memuji-muji aku. Tak ada bezanya terpelajar atau tidak. Kita manusia kan semuanya sama di sisi Tuhan. Oh, ya! Sebelum aku terlupa. Kau ada kawan tak di Jabatan Pertanian. Kita perlu dapatkan bantuan dan khidmat nasihat dulu.”

“Itu kau jangan bimbang. Aku memang ada kawan di Jabatan Pertanian. Besok kita ke sana. Jumpa dia.”

Ternyata Jabatan Pertanian menyokong penuh usaha murni Munir itu. Namun begitu sudah menjadi lumrah manusia. Sesuatu yang baik itu adaketikanya sukar diterima.

“Apa? Munir mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran di tanah terbiar tu?” kata Adnan dengan penuh rasa terperanjat.

“Ya! Tengah rancak berjalan sekarang ni. Aku betul-betul kagum dengan dia. Lulusan universiti yang tak memilih kerja. Sekurang-kurangnya tanah tu ada jugak hasilnya. Daripada terbiar begitu saja,” Tok Ketua sebaliknya menjawab.

“Itu kerja sia-sia namanya, tok. Langsung tak ada faedah. Tanah yang terbiar tu boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada kampung ni. Kalau kena dengan caranya.” Dia terang-terang menentang projek yang diusahakan oleh Munir itu.
“Sia-sia apa pulak ni, Nan. Aku tak nampak usaha Munir tu akan gagal. Lagipun anak-anak muda melalui Persatuan Belia kampung ni turut sama mengusahakannya.” Tok Ketua menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Itulah, tok. Mudah percaya sangat dengan kata-kata Munir. Saya dah lama kenal dengan dia tu. Cakap saja lebih. Kata orang tak ubah macam tong kosong. Bunyi aje lebih. Tapi hasil tak ada!” Adnan membalas.

“Apa pasal kau marah sangat dengan Munir ni? Salah ke apa yang dia buat tu. Sepatutnya kau turut sama memberikan sokongan dan bukannya merosakkan rancangan dia,” ujar Tok Ketua pula.

Kebosanan. Jelas terpancar di riak wajah Adnan. Jarumnya untuk mempengaruhi Tok Ketua agar tidak menyokong projek Munir itu nampaknya tidak berjaya. Sebenarnya ada udang di sebalik batu.

“Begini ajelah, tok. Biar saya berterus terang ajelah. Saya berjanji. Nak jualkan tanah tu pada tuan syarikat saya bekerja. Berapa saja harganya dia sanggup beli,” jelas Adnan dalam nada suara yang lembut memujuk Tok Ketua.
“Nan …. Nan …!” Tok Ketua sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala dan sedikit mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-kata Adnan itu.

“Untungnya sangat lumayan, tok. Kita pun dapat bahagian,” tambah Adnan lagi.

Di luar cuaca begitu panas sekali. Sudah hampir sebulan hujan tidak turun. Angin dari arah pergunungan bertiup perlahan. Pohon kelapa yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua meliuk-liuk ke kanan dan kiri. Dedaunan hijau yang bergeseran mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Mengikut rentak tiupan angin. Sebagai seorang pemimpin yang masak dengan asam garam kehidupan dia cukup faham dengan maksud Adnan itu.

“Dia nak buat apa dengan tanah tu?” dia menyoal sambil memandang tepat wajah Adnan.

“Kalau tok nak tahu dia nak buat rumah peranginan berkonsepkan kampung. Macam mana? Tok setuju tak?” dia cepat menjawab serentak membalas pandangan Tok Ketua.

Diam. Tok Ketua sebaliknya menyucuhkan api paip yang melekat di bibirnya. Adnan memerhatikan sahaja gelagatnya itu.

Angin dari arah pergunungan tiba-tiba bertiup kencang dan menerobos masuk ke dalam rumah papan itu. Bunyi ayam, itik dan kambing peliharaan Tok Ketua jelas kedengaran memecah suasana. Tok Ketua kemudiannya lalu menghembus keluar asap paip. Nampak berkepul-kepul memutih memenuhi ruang tamu rumah itu.

“Nan, aku berpegang pada pepatah kerbau berpegang pada tali manusia berpegang pada janji. Aku dah beri sepenuh kepercayaan pada Munir untuk mengusahakan tanah tu. Dia baru mula. Takkan aku nak suruh dia berhenti.”

“Jangan tolak tuah, tok. Ini untuk kesenangan tok dan penduduk kampung ni jugak.”

“Dalam dunia ni tak ada manusia yang hendak hidup susah. Semua nak hidup senang. Kau silap, Nan. Aku bukan jenis pemimpin yang mementingkan kemewahan dan diri sendiri. Biar susah senang bersama dengan anak-anak buah.”

Tersentak Adnan apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Tok Ketua itu. Pedas dan tajam bunyinya. Namun begitu dia tetap tidak berputus asa. Memujuk Tok Ketua supaya memenuhi impiannya memperolehi habuan lumayan hasil daripada jualan tanah itu.

“Tok, projek rumah peranginan yang dicadangkan oleh tuan syarikat saya tu bukan kecil. Belanjanya besar. Dengan bermacam-macam kemudahan yang disediakan tentu akan menarik pelancong dating ke kampung ni dan bertambah maju. Setanding dengan kampung-kampung lain. Hah, tok jugak nanti dapat nama,” ucap Adnan.

“Sekali lagi kau silap, Nan. Orang tua yang sekarang berada di depan kau ni tidak mengejar nama walaupun berkuasa. Begini ajelah. Bidang pertanian juga boleh menyumbang kemajuan pada kampung tanah kelahiran kau ni. Projek rumah peranginan tuan syarikat kau bekerja tu belum tentu dapat mendatangkan hasil untuk dinikmati oleh penduduk kampung ni. Takut nanti lebih banyak pembaziran aje,” Tok Ketua sebaliknya menjawab dengan panjang lebar.

“Dahlah, tok. Saya buat benda yang baik untuk kampung ni tok tak setuju. Benda yang tak berfaedah langsung dibuat oleh Munir tu tok sokong pulak. Saya balik dululah!” Dia pantas beredar dari rumah Tok Ketua dengan penuh rasa hampa.

“Eh, kalau ya pun tunggulah minum dulu. Nan …! Nan …!” tahan Tok Ketua pula.

“Kenapa dengan Nan tu, bang? Lain macam aje saya tengok,” ujar Mak Timah yang muncul dari dapur sambil membawa dulang yang berisi minuman.

“Entahlah, Mah …!” keluh Tok Ketua sambil menyucuhkan semula api paip yang telah padam.

Projek tanaman semula yang diilhamkan oleh Munir nyata membuahkan hasil.

“Aku betul-betul kagum dengan kau ni, Munir,” kata Sidik.

“Kagum apa?” tanya Munir sambil mengesat peluh di dahi.

“Tak ramai orang terpelajar macam kau ni nak menceburi bidang pertanian. Yalah tempat kau sepatutnya di bilik yang besar dan berhawa dingin. Dan bukannya berpanas terik macam ni,” Sidik membalas.
“Ijazah tidak boleh dijadikan ukuran untuk berjaya dalam hidup. Bagi aku bidang pertanian juga merupakan satu kerjaya. Jauh di sudut hati aku menyesal memilih bidang ini walaupun tidak setimpal dengan kelulusan yang aku miliki,” jelas Munir.

Bola matahari jelas kelihatan menegak di kaki langit. Cahaya yang dipancarkannya menyimbah ke seluruh alam. Bahangnya pula terasa pedih menggigit permukaan kulit.

Sementara itu angin dari arah pergunungan bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon yang menghijau mengangguk-angguk. Seolah-olah menyokong dengan kata-kata yang dilafazkan oleh Munir itu. Bunyi daun-daun bergeseran ibarat irama lagu yang sungguh menghiburkan jiwa apabila didengar. Begitu juga dengan bunyi daun-daun kering dan ranting patah jatuh berguguran di atas tanah juga jelas kedengaran memecah suasana yang dibalut dengan ketenangan.

Munir dan Sidik sama-sama meneguk minuman. Dingin. Umpama air terjun di pinggir kali. Jelas terasa apabila air membasahi tekak yang kering.

“Kau lihat tu, Munir. Anak-anak muda begitu bersemangat sekali. Mengerjakan tanah yang dulunya terbiar. Kini dipenuhi dengan sayur-sayuran dan pokok buah-buahan,” ucap Sidik sebaik-baik sahaja selesai meneguk minuman.

Munir lalu menarik nafas panjang.

“Itulah yang kita mahu. Anak-anak muda di kampung ni dapat menyumbang sesuatu yang berguna dalam usia ibarat sehelai daun hijau,” balas Munir.

“Aku setuju sekali dengan kata-kata kau tu. Sejak projek tanaman semula ni bermula aku sebagai Pengerusi Persatuan Belia kampung ni tengok mereka jauh dah berubah. Tak macam dulu. Lebih banyak melakukan perkara yang tak berfaedah,” Sidik menambah.

“Mereka memang mudah terpengaruh dengan perkara begitu. Siapa lagi yang nak mengubahnya. Kalau bukan kita. Oh, ya! Sebelum aku terlupa. Sayur-sayuran kita tu dah ada pemborong. Harga yang ditawarkan pun berpatutan,” ucap Munir pula.

“Ya ke? Baguslah macam tu!” Sidik sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kita dah lama berehat ni. Mari kita sambung kerja balik,” ajak Munir.

“Yalah!” kata Sidik.

Mereka berdua bingkas bangun sambil membawa cangkul menuju ke tapak projek tanaman semula.

Keesokan paginya Adnan bertemu dengan Tuan Sharif.

“Susah, tuan …!” keluh Adnan pendek.

“Apa yang susah ni, Nan?” soal Tuan Sharif.

“Tanah tu dah dijadikan projek tanaman semula.” Adnan memberi penjelasan.

“Projek tanaman semula?” Tuan Sharif merasa sungguh terperanjat apabila mendengar kata-kata itu.

“Ya, tuan!” angguk Adnan dengan pantas.

“Siapa yang usahakan?” Tuan Sharif bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.

“Munir. Seorang lulusan universiti. Bersama dengan anak-anak muda kampung melalui Persatuan Belia,” Adnan menjawab.

“Awak mesti ingat. Dah ada pelabur luar yang bersetuju usahasama dengan kita melaksanakan projek tu. Kita tak boleh lepaskan peluang ini begitu sahaja. Walau apa cara sekalipun awak mesti dapatkan tanah tu. Ingat, Nan. Saya beri awak amaran. Kalau awak gagal. Awak akan dipecat. Faham!” Dia mengeluarkan nada suara yang tinggi.

Adnan kemudiannya pantas berlalu pergi dari bilik Tuan Sharif. Tak dapat cara halus cara kasar aku gunakan. Janji tanah tu dapat. Habuan pun dapat dan aku tidak dibuang kerja. Getus hati kecilnya.

Tanpa berlengah lagi dia lalu memicit nombor telefon bimbitnya dan menghubungi Murad.

“Hello, Murad. Aku nak jumpa kau. Sekarang. Tempat biasa. OK!”

Seperti yang dijanjikan Adnan dan Murad lalu berjumpa.
“Aku ada kerja untuk kau.”

“Kerja apa, Nan?”

“Ini RM 500.00. Aku nak kau bawa kawan-kawan kau rosakkan satu projek tanaman semula.”

“Di mana?”

“Kampung aku. Malam ni tepat pukul 8.00 kau tunggu di sini. Aku bawa kau ke sana.”

“Baiklah!”

Munir, Sidik dan Tok Ketua memandang sayu tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dirosakkan. Cuaca pada hari ini nampak suram. Angin dari arah pergunungan bertiup lemah. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang menimpa Munir, Sidik dan anak-anak muda kampung yang mengusahakan projek tanaman semula.

“Sabar, Munir. Ini semua ujian Allah. Mungkin ada rahmat di sebaliknya.” Tok Ketua menenangkan Munir sambil menepuk-nepuk bahunya.
Munir sebaliknya hanya berdiam diri sambil tunduk memegang daun-daun sayur yang telah hancur.

“Kita tak boleh berdiam diri, tok. Kita mesti cari sampai dapat mereka yang melakukan angkara ini. Kalau saya dapat nanti tahulah saya mengajarnya cukup-cukup!” kata Sidik dengan perasaan yang penuh geram.

“Jangan bertindak terburu-buru, Sidik. Kita kan ada undang-undang. Lebih baik kita laporkan saja perkara ini pada pihak berkuasa,” ujar Tok Ketua pula.

Munir lalu bangun dan mendongakkan kepala tinggi sedikit.

“Kita mesti bangkit semula. Sekali kita ke depan. Tidak sesekali kita akan ke belakang bila gagal. Kita mesti bina semula projek tanaman semula yang telah musnah ini. Insya-Allah. Kita di pihak yang benar. Kejayaan akan bersama kita.” Munir membakar kata-kata semangat.

Ternyata rancangan jahat Adnan tidak melemahkan semangat Munir, Sidik dan anak-anak muda kampung. Malahan hasil tanaman mereka amat menggalakkan berbanding dengan yang terdahulu. Jabatan Pertanian telah menganugerahkan Pertanian Cemerlang. Bagi Munir selaku Ketua Projek kejayaan ini bukan miliknya seorang. Malahan semua yang telah berusaha keras dan bertungkus-lumus memerah keringat di bumi bertuah menjayakannya.

Benar kata pepatah. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Adnan dan rakan-rakannya telah ditahan oleh polis.

Di kaki langit fajar kian menyingsing melabuhkan tirainya menyambut malam. Esok hari baru akan bermula. Segala suka dan duka yang dilayari hari ini dihimpunkan menjadi kekuatan pengalaman selagi masih bernafas di atas muka bumi ini. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran. Perlu ditempuhi dengan kuat dan tabah. Demikianlah yang bersarang dalam jiwa seorang siswazah yang bernama Munir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience