Aku lantas membalas renungannya yang tajam itu dan berkata:
“Semata-mata kerana ingin merebut kuasa,” jawabku ringkas tetapi padat. Wajah Rina yang ceria sebaliknya menjadi kerut. Mungkin kerana memikirkan masalah itu.
“Hingga sanggup berbunuhan sesama sendiri!”
Dia amat peka dengan isu semasa. Sungguh hebat wanita ini. Bisik hati kecilku.
Aku terus menggagahinya jua.
“Itu sajalah jalan yang singkat untuk memenuhi cita-cita tersebut.”
“Yang menjadi mangsa ialah kanak-kanak dan rakyat yang tidak berdosa,” sokong Rina pula.
“Secara realitinya begitulah!” aku mengangguk pantas.
Aku mengutip semula kata-kata itu dalam diam. Sampai bilakah ini semua akan berakhir? Kedamaian! Itulah yang dirindui oleh mereka semua. Ia tak ubah seperti sebuah mimpi ngeri yang amat menakutkan. Ledakan bom dan peluru bergegar di mana-mana. Dunia menyaksikan mayat-mayat yang bergelimpangan bersama darah merah yang mengalir. Tangis hiba bergema mengiringi akan kehilangan nyawa.
Terharu! Pilu terasa menyiat-nyiat di jiwaku bila menyaksikan peristiwa yang amat menyedihkan itu di kaca televisyen. Dan membacanya di dada akhbar. Isu ini sering aku ketengahkan sebagai bahan artikel utama di media massa. Sekaligus mendapat perhatian daripada orang ramai. Aku sama sekali tidak berniat hendak memburu nama. Tapi demi sifat kasih sesama manusia.
Jauh benar aku mengelamun. Hingga sampai ke awangan rasanya.
Rina mengangkat mukanya sedikit. Aku sempat mencuri pandang pada meja yang telah kosong. Kemudian aku lalu berkata:
“Aneh!” Aku mengerutkan muka. Memikirkan masalah yang amat berat umpama memikul seketul batu yang besar.
“Hidup manusia memang aneh sekali!” sambungku lagi.
“Dari segi apa?” Rina memandang wajahku dengan penuh tepat. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip walau sekejap pun.
“Manusia tak pernah puas,” ulangku. Persoalan itu amat dalam seperti lautan.
“Hidup manusia tak ubah bak lautan. Di mana pasang surut silih berganti,” balasku. Rina sebaliknya kuperhatikan hanya diam sahaja. Entahlah aku sendiri tak pasti. Mengapa dia enggan menyampuk? Mungkin dia sengaja memberi peluang kepada aku untuk meluahkan pendapat. Aku terus berfikir dulu sebelum menggulung bahas. Eh, macam pertandingan pidato pula. Dan aku enggan membiarkan kebisuan terus berlarutan.
“Sungguhpun kita sebagai manusia dikurniakan oleh Tuhan akal dan fikiran namun ia masih belum dapat mengatasi sesuatu masalah yang datang menimpa. Bila iman terlalu tipis.”
“Akibatnya timbullah golongan yang jahil dari segi agama,” sokong Rina pula.
Aku sekali lagi tidak membantah pendapat yang telah diajukan oleh Rina itu.
“Tepat sekali!” aku mengangguk tanda setuju.
Adakalanya manusia terlalu lalai dengan dunia hingga sanggup melupakan akhirat. Akhirnya Tuhan menimbulkan pahala dan dosa.
“Adakah mereka semua benar-benar Islam?” Rina semakin tertarik pada persoalan itu. Sementara itu, angin terus menyusup masuk melalui jendela yang ternganga luas. Hingga terasa segar menyapu permukaan kulit.
“Menarik sekali,” ucapku ringkas.
“Mungkin kau ada pandangan yang jauh.”
“Benar! Kebanyakan mereka hanya menganut Islam tradisi saja. Tak pernah sembahyang, berpuasa malah mengeluarkan zakat.”
“Mengapa ini semua boleh timbul?”
“Kerana bagi mereka agama bukanlah satu panduan hidup.”
Rina mengangguk diam. Mengakui kebenaran kata-kata itu.
Kita sebagai manusia adalah lemah. Hanya mampu berserah pada Tuhan. Sentiasa berdoa untuk memohon pertolongan. Bertawakal mengajar kita supaya lebih berusaha. Dan harus menginsafi diri bahawa kerdil di sisinya.
“Dunia ini tak ubah seperti sebuah panggung sandiwara. Di mana kita adalah pelakonnya. Dengan pelbagai watak,” terangku lagi.
Kemudian aku lantas menengadah ke siling. Rina hanya memerhatikan sahaja gelagatku itu dengan penuh minat. Setelah puas, aku perlahan-lahan kembali semula memalingkan muka ke arahnya. Dan bersuara:
“Penyair pernah berkata bahawa pabila fajar menyingsing maka bermulalah sebuah penghidupan baru.” Aku mengutip semula kata-kata itu.
Terhenti seketika. Aku tak sempat menghabiskan kata-kata. Rina begitu pantas sekali memotong:
“Dan yang nyata hidup ini diwarnai dengan penuh suka dan duka,” katanya sambil mengangkat kepala tinggi.
“Ia menjadi pengalaman dalam mendewasakan kita!” aku membalas sambil menganggukkan kepala.
“Tapi adakalanya hidup ini tak ubah seperti dahan yang rapuh. Mudah jatuh bila ditiup angin.” Rina nampaknya ingin mencari kepastian. Dia tidak jemu mendugaku. Konsep kehidupan terlalu luas maknanya. Dunia ini adalah suatu perjuangan untuk sampai ke perhentian bersama bekalan yang cukup.
“Kita harus kuat dan tabah menghadapinya. Dan anggaplah setiap kegagalan itu sebagai satu anugerah.”
“Maksud kau daripadanya kita harus membina semula kekuatan?”
“Nampaknya kau lebih arif dalam hal ini,” celahku pantas.
Dari raut wajahnya aku telah pun dapat membaca. Dia seperti pernah dikecewakan. Cinta? Sudah menjadi lumrah setiap remaja. Tidak dapat lari daripada bayangan itu. Hatiku berbelah bagi untuk mendapatkan kata pasti daripada Rina sendiri. Akhirnya aku gagahi juga.
“Rina, maafkan aku kalau bertanya?” aku bersuara tenang. Rina tanpa berlengah lagi pantas mengangkat kepala dan berkata:
“Kenapa?” Wajahnya tetap ceria seperi tadi.
“Tapi, ini bersangkutan dengan hal peribadi.” Aku berterus terang. Namun dia tidak keberatan.
“Boleh, apa salahnya! Silakan!” dia menjawab sambil menganggukkan kepala.
“Pernahkah kau jatuh cinta? Maksud aku sekadar ingin tahu saja.”
Diam. Serta-merta wajahnya lantas berubah.
Jelas, dia pernah mengalami peristiwa yang amat menyakitkan dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia menundukkan kepala. Lemah dan tak bermaya. Kemudian dia lalu melontarkan pandangan jauh ke luar. Sebaliknya aku memerhatikan sahaja reaksinya itu dengan penuh tajam.
Agak lama juga dia merenung wajahku. Bola mata kami saling berlaga.
Rina kembali semula menyimpulkan persoalan yang terhenti buat seketika.
“Pernah …,” dia bersuara lemah. Sangkaanku memang tepat sekali. Dan aku lebih senang untuk memilih berdiam diri untuk mendengar penjelasan yang lebih lanjut lagi daripadanya.
“Kerana dia tak setia ….” Ternyata Rina sudah lama menanggung penderitaan yang amat berat. Apakah hatinya sudah tertutup rapat untuk bercinta lagi? Sudah! Sampai ke situ pulak.
Aku cuba menenangkan perasaan Rina yang bergelora. Agar melupakan kisah silam yang amat pahit bak hempedu.
“Cinta itu memang indah sekali.”
“Ya! Aku tidak dapat menafikannya.”
“Hadirnya ibarat embun pagi tapi akan kering pabila terbit mentari.”
“Adakah ini semua hanya mimpi semata-mata atau sedang berpijak di bumi nyata?” Rina tak putus-putus mencari jawapan itu.
“Kenyataan!” ulangku. Secara realitinya impian itu tak semuanya indah. Umpama debu-debu yang berterbangan ditiup angin lalu pergi.
“Bagaimana dengan janji setia?” Rina semakin mendalami bunga-bunga cinta. Terasa seolah-olah kembang mekar dan mewangi. Seperti kasturi dari alam syurga. Tanpa berlengah lagi aku lalu menjawab:
“Ia memang mudah sekali dilafazkan di bibir ini tapi adakalanya entah mengapa tidak dapat ditunaikan.”
Rina diam membisu seribu bahasa. Dia enggan meneruskan kata-kata. Mulutnya seperti terkunci erat. Sinar matanya umpama emas permata yang berkilauan. Mungkin dia pernah terpedaya sebelum ini. Tekaku dalam diam. Lelaki zahirnya selalu mengibaratkan wanita seperti kelopak-kelopak bunga yang kekeringan layu.
Cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Dari mata lalu perlahan-lahan turun ke hati. Indahnya! Tak tergambar oleh lukisan ataupun kata-kata. Sehari tak bertemu jiwa terasa karam. Terasa tak berdaya untuk meneruskan hidup ini. Pertemuan dapat meleraikan rindu yang membara. Menganyam bicara buat penghibur hati yang lara.
Tika itu tiada dikenali erti kamus duka dalam hidup ini.
Dunia berseri dipenuhi dengan warna-warna. Bara yang digenggam tak terasa hangat sebaliknya dingin. Cinta memang menagih seribu pengorbanan. Rela sehidup semati. Sehati dan sejiwa walau ke mana sahaja. Lautan api pun sanggup direnangi. Andainya karam basah berdua. Kalau boleh bintang di langit tinggi pun ingin dipetik. Begitulah tafsirannya cinta yang suci.
Sementara itu bola matahari semakin meninggi.
(PENTAS DUNIA, AHAD 4 SEPTEMBER 1994)
Share this novel