BAB 8

Other Completed 2125

“Apa tidaknya. Makan, minum dan pakai kita terurus. Betul tak?” dia segera mencelah.

“Kita sebagai manusia ciptaan Tuhan zahirnya memang bersifat lemah.”

“Maksud kau?” Halim melekatkan straw minuman ke bibir untuk menyedut teh ais.

Kamal menarik nafas yang panjang.

“Terlalu memandang pada kecantikan hingga sanggup mengenepikan kejujuran hati,” dia berkata agak malas. Halim dapat menangkap maksud kata-katanya itu.

“Nampaknya kau bercakap dari segi pengalaman lalu.”

Suasana di kantin pada pagi itu macam biasa riuh-rendah.

Pelanggan-pelanggan yang lain mengeluarkan suara lebah. Begitu juga dengan tingkah sudu dan garpu.

Kamal berpaling ke arah meja sebelah yang kosong. Irama muzik yang sentimental sungguh menggetarkan jiwa. Halim memerhatikan gelagatnya itu dengan penuh minat. Perlahan-lahan Kamal mengangkat muka. Dan mengeluarkan suara:

“Kata orang yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.” Lagaknya macam seorang ahli falsafah.

“Aku faham.”

“Sudah lima tahun aku menjadi duda.” Pengakuan yang keluar sendiri daripada mulutnya. Pohon-pohon yang menghijau bergoyangan ditiup angin timur. Daun-daun berguguran.

Halim menghulurkan rasa simpati.

“Bersabarlah, Kamal. Ini semua sudah suratan takdir.”

Kamal kembali semula memalingkan muka.

“Aku tak sangka jadi begini,” dia merengus. Rasa penyesalan pasti timbul bila mengenangkan kisah-kisah lalu. Halim semakin berminat untuk mengetahui punca-punca perceraian Kamal dengan isterinya dengan lebih lanjut lagi. Dia menarik kerusi ke depan.

“Kau berkahwin atas pilihan siapa?” soal Halim lagi bertubi-tubi kali. Umpama muntahan peluru daripada muncung mesin-gun.

Dia nampaknya amat berat untuk menjawab.

“Pilihan sendiri. Atas dasar cinta sama cinta.”

“Maafkan aku, Kamal. Kerana menyentuh hal peribadi kau.”

“Oh, tak mengapa. Lagipun bukankah kau sahabat karib aku.”

“Apa puncanya kau boleh bercerai dengan isteri kau?”

Kamal mendongakkan kepala tinggi sedikit.

“Kami tak sehaluan.” Dia berterus terang. Halim berdiam diri. Dia sengaja enggan menyampuk. Untuk memberi kesempatan kepada Kamal untuk membongkar semula kisah-kisah silamnya yang pahit bak hempedu itu.

“Cinta itu memang indah.” Kamal mengutip semula nostalgia silam yang amat manis bak madu.

“Kau tentu banyak membaca buku yang bertemakan kisah-kisah cinta,” balas Halim.

“Kenyataan!” Kamal mengangguk-anggukkan kepala.

Halim was-was untuk mempercayai kata-kata Kamal.

“Adakah itu semua benar?”

“Ya!” Kamal terus mengakui kebenaran itu. Bola matahari semakin meninggi di kaki langit yang membiru. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam semesta.

Kedua-dua bola mata Halim tertumpu ke arah meja-meja yang lain. Yang nampaknya tersusun rapi dan kemas. Dari kaca jendela kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi menjulang hingga hampir mencakar langit. Ia menjadi lambang pembangunan di negara ini. Setelah mencapai kemerdekaan hampir 37 tahun.

Halim menyoroti semula persoalan yang terhenti buat seketika.

“Kahwin ibarat melayarkan sebuah bahtera di tengah lautan. Suami sebagai nakhoda harus cekap melambung ombak yang ganas agar tidak mudah tenggelam bila dipukul ribut.” Halim memahami hakikat itu.

“Suami sebagai nakhoda harus cekap melambung ombak yang ganas agar tidak mudah tenggelam bila dipukul ribut.”

“Kau tentu arif bukan?” Kamal memberikan sokongan yang kuat.

Halim menengadah ke siling. Sambil berfikir sesuatu. Dia sedar.

Hidup sebagai suami isteri penuh dengan pelbagai halangan dan rintangan yang mesti ditempuhi.

Kamal mematikan lamunan Halim.

“Aku harap kau akan menjadikan kisah yang aku alami ini sebagai contoh dalam mengharungi kehidupan rumah tangga yang bakal kau tempuhi,” dia bersuara perlahan. Macam lemah dan tak bertenaga.

Halim menoleh semula ke arah Kamal. Dan berkata:

“Aku akan menjadikannya sebagai iktibar, Kamal. Agar rumah tangga yang bakal aku bina tidak hanya seketika dan terus tersisih.” Kamal sebaliknya tersenyum lebar apabila mendengar kata-kata Halim. Tingkahlakunya itu hanya sekadar diperhatikan sahaja oleh Halim. Dia benar-benar mengerti kini. Kehidupan dalam rumah tangga penuh dengan asam garam yang harus dilalui. Pertengkaran suami isteri memang tidak dapat dielakkan lagi. Bak kata orang bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Pinggan mana yang tak retak.

“Berapa orang anak kau, Kamal?”

Halim sempat memandang cawan dan gelas yang telah kosong. Pinggan yang tadinya berisi dua ketul kuih karipap kini hanya tinggal habuk saja.

“Dua orang. Sepasang, maksud aku seorang lelaki dan seorang perempuan,” dia menjawab sambil menarik nafas lega.

“Berapa umur mereka?”

“Yang tua berumur 3 tahun manakala yang tengah berumur 1 tahun.”

“Siapa yang menjaga anak-anak kau kini?”

“Bekas isteri aku.”

“Kau?” Dia mendongakkan muka tepat ke arah Kamal.

“Sekali-sekala aku menengok dan menjaga mereka berdua.”

“Maksud kau sebulan sekali?”

“Ya!”

“Kau tak kasihankan mereka berdua?”

“Apa nak buat, Halim ….” Dia seperti enggan mengulas dengan lebih lanjut lagi. Macam ada kuasa yang menutup mulutnya daripada terus mengeluarkan kata-kata. Kamal memandang ke kiri kanan. Pelanggan-pelanggan semakin kurang.

Kemudian dia bersuara lesu:

“Sungguh malang nasib mereka berdua. Terpaksa menjadi mangsa perceraian ….” Perlahan-lahan Kamal tunduk ke bawah. Macam memandang bunga yang layu kekeringan air.

“Bagaimana pula dengan isteri kau?”

“Dia telah pun berkahwin dengan seorang ahli perniagaan.” Halim memandang sayu muka Kamal. Rasa pilu benar-benar menyentuh kalbunya.

Keinsafan mula timbul di hati Halim. Manusia dikurniakan akal dan fikiran oleh Tuhan. Setiap keputusan yang hendak dibuat perlu ditimbang dengan semasak-masaknya terlebih dahulu. Bukannya secara tergesa-gesa. Agar tidak mudah keluar daripada ssaran. Dalam erti kata lain gagal memberi kepuasan. Contohnya Kamal. Dia terpaksa menggenggam bara yang amat perit apabila melayari bahtera rumahtangganya.

“Kau tidak berniat hendak mencari pengganti, Kamal?” Pertanyaan yang secara tiba-tiba terkeluar daripada mulut Halim. Perasaan Kamal kian dibalut rasa hiba.

“Aku masih lagi sayangkan bekas isteri aku. Tapi ….”

“Tapi apa?” Halim cepat memotong.

Dia berdiam diri. Persoalan itu ibarat seketul batu besar yang menghempap kepalanya. Halim tetap sabar menanti jawapan.

“Aku amat sukar untuk melupakannya,” kata Kamal lagi.

“Jadi kau tak kahwin lagi?” Halim ingin meraih kepastian.

“Begitulah …,” dia membalas sambil mengangguk lemah.

“Hingga ke akhir hayat aku?”

“Kalau sudah ditakdirkan. Aku tetap redha untuk menerimanya, Halim.”

“Kau mesti memerlukan seorang isteri, Kamal.”

“Tapi tak serupa macam Rohani!” dia pantas menyanggah.

Halim mengangkat muka tinggi.

“Bekas isteri kau?”

“Ya!”

“Patah tumbuh hilang berganti, Kamal.” Halim tak putus-putus memujuk.

Kamal lantas menarik nafas yang panjang.

“Dia tetap satu dalam hidup ini.”

“Jadi hati kau telah tertutup rapat untuk menyintai gadis lain selain daripada Rohani.”

“Benar sekali!” angguk Kamal. Halim diam. Kamal amat setia dalam percintaan.

Halim melihat jam di tangan. Waktu minum pagi telah pun tamat. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Dia memandang Kamal dan bersuara:

“Sudahlah tu, Kamal. Mari kita pergi.”

“Baiklah!”

Mereka berdua bingkas bangun.

(PENTAS DUNIA, AHAD 30 OKTOBER 1994)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience