DIA RELA MENGUNDURKAN DIRI
Pagi masih muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-benderang. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Sang camar putih berkicau riang. Bebas berterbangan ke sana sini. Bayu laut bertiup lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Daun-daun hijau dan kering berguguran.
Ombak tak putus-putus memukul pantai. Buih-buih memutih. Membasuh pasir dan batu-batu kecil.
Sudah seminggu Azmi berada di sini. Port Dickson. Sebuah kawasan peranginan yang terkenal di Malaysia. Dia sebenarnya mencari ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.
Azmi memandang laut yang membiru. Hidup manusia di atas muka bumi ciptaan Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih berganti. Penuh suka dan duka.
“Aku terang-terang tidak setuju dengan cara kau tu,” kata Azmi kepada Karim, rakan kongsinya dalam Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd.
“Kenapa?” soal Karim yang berwajah bulat macam bujur sirih.
“Kau menggunakan cara yang salah.”
“Maksud kau?” Dia pura-pura tidak mengerti sambil membetulkan tali lehernya yang berwarna hitam. Dia kelihatan enak bersandar di atas kerusi pusing. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik besar dan berbentuk empat segi itu.
“Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang!” tentang Azmi habis-habisan. Dia memandang serius wajah Karim. Yang dua tahun lebih muda darinya. Karim sebaliknya tertawa. Menyirap darah Azmi. Apabila melihat gelagat Karim itu. Yang mempersendakan nasihatnya.
Karim membuka kotak rokok dan menghulurkannya kepada Azmi.
“Terima kasih!” dia menolak.
Karim terkejut.
“Dah berhenti merokok?”
“Ya,” jawab Azmi ringkas. Karim menjepit rokok di bibir dan menyucuhkan api. Dia menyedut dan menghembuskan keluar asap perlahan-lahan. Putih berkepul-kepul. Menari-nari. Itulah yang diperhatikan oleh Azmi.
Karim mengangkat kepala tinggi sedikit memandang Azmi. Dan berkata:
“Agama dan undang-undang lain. Kau masih belum faham lagi tentang konsep bisnes.” Dia membuang habuk rokok ke dalam bekas kaca yang berbentuk bulat macam bola.
“Aku faham!” Azmi menganggukkan kepala.
“Bisnes untuk mendapatkan untung,” sambungnya lagi.
“Dah tu. Apa kaitannya agama dan undang-undang dengan bisnes?” sanggah Karim.
“Rasuah adalah perbuatan kotor.” Azmi mengingatkan rakan kongsinya itu.
“Azmi, Azmi!” Karim menggeleng-gelengkan kepala. Dia kemudiannya menyucuhkan puntung rokok ke dalam bekas yang bulat itu.
“Kau hairan?” Dia dapat membaca reaksi Karim.
Kedua-dua biji mata Karim tepat memandang wajah Azmi. Yang berkulit cerah. Berambut lurus serta bermisai tebal. Badannya agak kurus sedikit.
“Kau masih mentah lagi,” ucap Karim.
“Mentah?”
Karim mengangguk sambil membetulkan duduknya.
“Ya! Macam budak hingusan.”
Sekali lagi darah Azmi menyirap. Namun begitu dia tetap bersabar. Walaupun hati kecilnya merasa sakit apabila Karim mengecapnya sebagai budak hingusan.
Tok! Tok! Tok!
Perbualan mereka terhenti seketika. Apabila kedengaran bunyi pintu diketuk orang.
“Masuk!” kata Karim sambil meninggikan kepala. Sarina, setiausaha syarikat muncul bersama fail.
“Ini dia fail-fail yang Encik Karim minta.” Dia menyerahkannya kepada Karim.
Karim lalu mengambil pen dan menandatangani kesemua fail tersebut. Kemudian dia menyerahkannya semula kepada Sarina.
“Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu, Encik Karim?” tanya Sarina lagi. Orangnya manis dan cantik. Usianya awal 20-an.
“Tak ada!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Encik Azmi?” Dia kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah Azmi.
“Baiklah. Saya pergi dulu,” ujarnya sambil mengukir senyuman manis. Karim mengangguk. Dia menguak daun pintu dan menutupnya kembali perlahan-lahan.
“Maafkan aku, Azmi. Aku harap kau tak kecil hati. Aku lakukan semua ini untuk kesenangan kita bersama jugak,” Karim bersuara setelah bayangan Sarina hilang daripada pandangan mata.
“Itu aku tidak tahu, Karim. Tapi ….” Dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata. Karim lebih pantas memotong.
“Projek tu bernilai RM 1.8 juta. Kalau terlepas rugi besar kita.”
Demikianlah sikap Karim. Tegas orangnya. Setiap keputusan yang diambilnya tidak boleh diubah. Kalau hitam katanya maka hitamlah. Kalau putih katanya maka putihlah. Tetapi ketegasannya tidak bertempat. Azmi diam. Dia serba salah. Keuntungan yang bakal diperolehi oleh Syarikat Setia Corporation Sdn Bhd akan menambahkan lagi rezeki kepada keluarganya. Tetapi dengan cara memberi rasuah semata-mata untuk mendapatkan projek itu adalah tidak berkat. Dia mahu mencari rezeki dengan cara yang halal. Cara yang diredai oleh Allah SWT. Agar selamat isteri dan anak-anaknya.
Azmi kembali menyorot muka Karim. Dia memakai baju berlengan panjang yang berwarna daun hijau muda.
“Tak adakah cara lain untuk kita mendapatkan projek tu?” Azmi bersuara lembut. Dia cuba menggunakan psikologi untuk memujuk rakan kongsinya itu. Karim sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala. Pendiriannya tetap. Tidak boleh diubah lagi. Dia tidak menghiraukan nasihat Azmi.
“Tak ada, Azmi. Itu saja jalan yang terbaik buat kita,” ujar Karim pula.
Dia mengeluh dengan tindakan Karim itu.
“Aku tetap tak setuju, Karim!”
“Come on man. Dunia kita bisnes. Kita perlukan duit. Mereka sanggup tolong kita. Asalkan kita memberikan mereka habuan yang lumayan,” terang Karim dengan penuh panjang lebar.
Sekali lagi Azmi diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Tidak dapat berkata-kata. Dia memerhatikan wajah Karim dalam-dalam. Dia berdoa dalam hati kecilnya. Semoga dia dilindungi oleh Allah SWT daripada melakukan kerja yang terkutuk ini.
Karim memancung lamunannya.
“Minggu depan kita perlu sediakan wang berjumlah RM 800,000,” katanya sambil membetulkan duduk.
“RM 800,000?” Azmi terkejut mendengarnya.
“Ya. Banyak itu yang mereka minta.”
“Kerja gila.”
“Kerja gila? Kenapa kau kata begitu?” soal Karim sambil mendongakkan kepala.
“Karim, aku takut nanti yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran. Silap-silap kita tak boleh bayar gaji pekerja.” Dia tidak jemu-jemu menasihatkan Karim.
Karim ketawa apabila mendengar kata-kata Azmi itu. Azmi berwajah serius. Hatinya geram. Terbakar. Panas. Seperti api yang disimbahkan minyak. Dia kecewa dengan sikap Karim. Yang langsung tidak ambil peduli nasihatnya.
“Aku pelik betul dengan kau ni. Bergurau tak kena tempat,” balas Karim pula.
Hati Azmi bertambah sakit. Kemarahannya semakin meluap-luap. Dia tetap bersabar. Sabar itu separuh daripada iman.
“Aku tak suka bergurau, Karim.” Nada suara Azmi serius.
“Okey, aku minta maaf. Aku tahu. Kau tak suka bergurau. Setiap kerja yang dilakukan perlu bersungguh-sungguh. Itu prinsip hidup kau.”
“Dah tu.” Wajah Azmi semakin serius.
“Itu perkara kecil. Mudah. Mereka perlu berkorban.”
“Berkorban?”
“Ya. Kita tahan gaji mereka,” kata Karim.
“Melampau. Kita tidak boleh menzalimi mereka. Berdosa.” Azmi bertambah geram. Tindakan rakan kongsinya itu tidak berperikemanusiaan.
“Itu aku tahu,” balas Karim sambil menjepit rokok di bibirnya. Dia mengambil pemetik api dan menyucuhkannya pada rokok. Dia menghembuskan asap keluar perlahan-lahan.
“Kita bayar gaji mereka lewat,” ujarnya lagi.
“Mereka semua kan ada keluarga. Kita sebagai majikan patut bertimbang rasa,” kata Azmi lagi.
Share this novel