Moral mereka dianggap rendah kerana adakalanya terpaksa pulang jauh malam. Dia tidak lupa untuk mengirim surat dan wang pada ayah dan ibunya di kampung setiap bulan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Pulangkan duit hasil titik peluh dia, tu. Satu sen pun saya tak nak. Sebab saya tak ada anak yang bernama Zaharah!”
“Kenapa abang benci sangat pada Zaharah?”
“Anak-anak saya tak ada perangai macam dia. Keras kepala. Awak faham tak!” bentak Pak Leman.
Zaharah juga nyaris-nyaris dinodai oleh penyelia kilang. Mujurlah Adi seorang pembantu penyelia yang telah menyelamatkannya. Semenjak dari hari itu, persahabatan mereka berdua semakin akrab bak isi dengan kuku. Adi sentiasa memberi perangsang kepada dia agar belajar semula. Akhirnya mereka berdua telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
Setelah keluar daripada universiti, Zaharah tidak mahu bekerja dengan kerajaan. Sebaliknya menceburkan diri dalam bidang usahawan. Sementara Adi pula melanjutkan pelajaran ke luar negeri.
“Zaharah …. Aku pergi tak lama. Bila dah tamat pengajian nanti, aku kembali semula ke pangkuan kau. Relakah kau menanti kepulanganku …,” Adi bersuara perlahan.
Gulungan ombak setia menerjah pantai. Bayu berhembus perlahan nyaman. Hingga mengerbangkan rambut Zaharah yang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu.
“Adi, hanya kaulah sahaja lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidupku.” Suara Zaharah tenggelam dalam deruan ombak. Adi memegang erat jari-jemarinya yang lembut bak sutera itu. Seolah-olah sukar untuk melepaskan dia pergi dari sisi.
“Aku juga begitu, Zaharah!” ikrar Adi pula. Bola mata mereka saling berlaga. Kilauan pasir jelas kelihatan bila disinari oleh cahaya matahari yang panas terik. Buih-buih yang memutih berapungan di gigian pantai. Laut tetap membiru.
Buuurrrrr! Buuurrrrr! Desiran ombak dan pantai menjadi saksi cinta Adi dan Zaharah.
“Kau tak takut, Adi?” Dia dilanda kebimbangan.
“Tentang janji setia, kan?” Adi pantas memotong.
“Ya! Janji manis memang mudah dilafazkan di bibir. Tapi adakalanya ia tidak dapat ditunaikan.” Zaharah cuba mengingatkan Adi semula melalui kata-kata itu.
“Aku rasa kau terlupa sesuatu.”
“Sesuatu?” Zaharah disapa kehairanan.
Pohon-pohon cemara bergoyangan antara satu sama lain ditiup angin. Daun-daun hijau berguguran. Adi lalu mencapai sebatang ranting mati dan mengais-ngais butiran pasir yang halus. Zaharah hanya memerhatikan sahaja gelagatnya itu. Kemudian Adi lalu melontarkan pandangan ke arah laut. Setelah puas, dia kembali semula memalingkan muka ke arah Zaharah.
Sebaliknya Zaharah tak henti-henti menduga Adi.
“Bagaimana kalau kau ditakdirkan jatuh cinta dengan gadis di sana?” Mata Adi tunak. Dia merenung wajah Zaharah sedalam tasik.
Adi pantas menarik nafas yang panjang. Dan berkata:
“Biarpun beribu bah atau ribut yang datang melanda aku akan tetap menolaknya kerana aku amat menyintai dirimu!”
Zaharah mengangkat mukanya sedikit.
“Sungguh?” Mereka saling berpandangan. Asmara terasa kian bergelora. Umpama gelombang yang menghempas ganas di lautan.
“Haruskah aku buktikan?” soal Adi secara spontan.
Zaharah diam membisu seribu bahasa. Entah mengapa! Dia enggan mengeluarkan kata-kata walau sepatah pun. Mulutnya seperti terkunci rapat. Suara ombak tak putus-putus kedengaran bergema membelah suasana.
Sekumpulan camar putih bebas berterbangan ke sana sini di angkasa nan luas. Gema suaranya hampir memecah alam. Kemudian hinggap di atas pohon yang rendang untuk membuat sarang.
Zaharah dengan penuh minat memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain di gigian pantai. Hilai tawa mereka yang berkumandang hampir memecahkan gegendang telinga. Sambil membina kota daripada timbunan pasir.
Adi mendongakkan kepala ke atas memandang langit yang membiru. Bola matahari tepat di atas darjah. Bahangnya terasa amat ketara sekali menggigit permukaan kulit. Kesepian. Memenuhi ruang buat seketika. Namun Zaharah tidak mahu situasi ini terus berlarutan. Dia lalu bersuara:
“Adi, aku mahu menjadi seperti kanak-kanak itu. Dipenuhi dengan warna-warna keriangan dalam meniti hidup ini.”
Ungkapan Zaharah itu dalam maknanya. Mencerminkan sinar pengharapan pada Adi.
Adi mengangguk diam.
Dia mengerti dengan kata-kata Zaharah itu. Sebenarnya bukan sekali Zaharah jatuh cinta. Malahan beratus kali. Malangnya semua berakhir dengan kekecewaan. Kesetiaan! Mengatasi segala-galanya dalam percintaan.
Adi mengangkat muka merenung Zaharah. Empat biji mata saling berpandangan. Tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Adi kembali semula menyimpulkan persoalan itu.
“Zaharah, bukankah sang duyung dan karang menjadi lambang setia percintaan di dasar lautan nan luas?” Serentak melunjurkan kakinya agar rapat dan lurus.
“Bahagia atau derita kita akan tetap bersama-sama menempuhinya,” sambung Adi lagi.
Dengan serta-merta tangan Zaharah dipegang erat oleh Adi.
Degupan jantungnya kian berlari kencang. Seperti pukulan tong drum. Adakah ini yang dinamakan cinta sedang membara? Amat mengasyikkan sekali.
Tika ini tiada dikenali erti kamus duka dalam kehidupan. Dunia dipenuhi dengan warna-warna yang berseri. Bunga-bunga di taman kembang segar mewangi. Yang menjadi realiti, cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan turun ke hati. Bara yang digenggam tak terasa hangat sebaliknya dingin.
Peristiwa itu amat indah sekali dikenangkan oleh Zaharah. Seolah-olah baru berlaku sebentar tadi. Sukar untuk dilupakannya sepanjang hayat. Hati kecilnya tak henti-henti meronta agar kembali semula mengulangi saat-saat yang manis itu. Tapi apakan daya …. Cinta Adi ibarat embunan pagi. Akan kering apabila terbit mentari dari arah timur.
Benar!
Memang tidak dapat dinafikan lagi. Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Kebenaran kata-kata itu adalah tepat sekali.
Apa yang tidak dipinta oleh Zaharah akhirnya terjadi juga.
Adi tergamak hati memungkiri janji setia. Dia telah berkahwin dengan anak Mat Salleh yang sama-sama menuntut dengannya. Dan telah dikurniakan dua orang anak. Dia terus menetap di sana.
Pasrah!
Membungkus seluruh jiwa Zaharah. Namun dia tetap redha. Semuanya ini bukan kehendak dia mahupun Adi. Tapi adalah suratan takdir. Penentu segala-galanya dalam alam percintaan.
Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian.
Tak ubah umpama lautan. Di mana pasang surut silih berganti.
Pedih! Bak tikaman sembilu yang tajam …. Titis-titis jernih yang berkilauan akan setia mengalir bila dia teringatkan peristiwa yang amat pahit seperti hempedu itu.
Hingga kini dia masih lagi menjadi anak dara. Walaupun ramai usahawan yang muda cuba menambat hatinya namun Zaharah tetap menolaknya. Entahlah! Hatinya telah tertutup untuk lelaki lain. Hanya lelaki yang bernama Adi sahaja satu dalam hidupnya. Seperti mutiara yang berkilauan di dasar lautan. Terlalu indah dan berharga buat dirinya.
Air mata Zaharah jatuh menitis membasahi meja.
Kemudian lalu dikesatnya dengan sehelai tisu. Selepas itu, kedua-dua biji matanya mengamati tepat sebuah lukisan pemandangan air terjun di pinggir kali yang melekap di dinding.
Alangkah damainya! Kalau aku dapat memiliki kehidupan seperti itu.
Share this novel