BAB 10

Other Completed 2125

AMANAH AYAH

Amanah arwah Datuk Karim berlegar di fikirannya. Berat. Seperti memikul seketul batu besar. Mahu atau tidak Johari terpaksa menunaikannya. Dia satu-satunya anak tunggal arwah Datuk Karim. Kalau tidak Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. akan berkubur.

“Kaulah satu-satunya harapan ayah … Johari … kau mesti menyelamatkan Syarikat Permata Holdings ….” Nada suara Datuk Karim tersekat-sekat sewaktu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pintu mengejutkannya daripada lamunan.

“Masuk!” Dia memberi arahan. Shanty yang memerangkap setiausaha syarikat muncul bersama sepucuk surat di tangannya.

“Ini ada surat daripada pihak bank,” kata Shanty sambil menghulurkannya kepada Johari. Dia pantas menyambut dan membuka sampul surat itu. Dia membaca isi kandungannya dengan penuh teliti. Hutang Syarikat Permata Holdings dengan pihak bank berjumlah RM800,000.00.

Syarikat Permata Holdingsdiberi tempoh tiga bulan untuk menjelaskannya. Kalau tidak pihak bank akan mengambil tindakan mahkamah dengan mengisytiharkan Syarikat Permata Holdings muflis.

Berat! Getus hati kecilnya.

“Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Encik Johari?” tanya Shanty.

“Tolong bawakan fail projek kondominium di Taman Melati.” Johari mengeluarkan arahan kepada Shanty.

“Baiklah, Encik Johari.” Dia akur dengan arahan tuan muda itu.

Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik yang berbentuk empat segi itu. Tak lama kemudian Shanty muncul sambil membawa fail berwarna hitam yang diminta oleh Johari.

“Ini failnya, Encik Johari.”

“Terima kasih,” Johari lantas membukanya.

“Bagaimana dengan perkembangan projek ni?” Dia melemparkan pertanyaan kepada Shanty.

“Projek ni dah lama terbengkalai, Encik Johari,” jawab Shanty yang sudah lima tahun menjadi Setiausaha Syarikat Permata Holdings.

“Terbengkalai?” Johari terkejut.

“Kita menghadapi masalah kekurangan bekalan simen.”

“Macam mana perkara ni boleh berlaku?” tanya Johari lagi sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang gadis yang berusia awal 20-an itu.

“Datuk Nasir yang handle projek ni.”

“Oh, begitu. Arwah Datuk Karim?”

“Dia cuma keluarkan modal.”

“Bila projek ini dijangka siap?” Johari tak putus-putus mengajukan soalan.

“Akhir tahun ini,” Shanty menjawab ringkas. Johari menarik nafas panjang. Dan bersuara:

“Tak apalah, Shanty. Saya akan cuba settlekan projek ni. Awak boleh pergi sekarang.”

“Baiklah, Encik Johari.”

Johari mengeluh. Hidup ini umpama air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Hidup manusia penuh dengan ujian Tuhan. Siapa yang tak kenal dengan arwah Datuk Karim. Seorang usahawan Melayu yang terkenal. Syarikat Permata Holdings juga mempunyai rangkaian perdagangan di Amerika Syarikat, England, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan. Datuk Nasir ialah rakan kongsi arwah Datuk Karim dalam Syarikat Permata Holdings. Dia telah menggelapkan wang syarikat sebanyak RM 1.8 juta.

Datuk Nasir juga telah menjual semua saham-saham Syarikat Permata Holdings untuk melangsaikan semua hutang-hutangnya dengan pihak bank. Hal ini tidak diketahui oleh arwah Datuk Karim.

Syarikat Permata Holdings menjadi tenat. Arwah Datuk Karim terus jatuh sakit.

“Saya tak sangka, mak. Datuk Nasir sanggup menggelapkan wang syarikat,” Johari bersuara kesal bercampur geram.

“Sudahlah tu, Johari. Kita bersabar sajalah,” Datin Rokiah menenangkan anaknya.

“Saya sedih, mak. Dulu sewaktu syarikatnya hampir-hampir bankrap arwah ayah yang tolong selamatkan. Sampai masanya dia tergamak menganiaya arwah ayah,” luah Johari lagi dalam nada suara yang penuh kecewa.

“Ini semua sudah takdir. Kita harus redha, Johari,” sambung ibunya lagi.

“Memang kita tidak boleh menolak takdir, mak. Tapi bangsa kita tak akan maju selagi tak dikikis perasaan tamak dan irihati,” tingkah Johari pula.

Datin Rokiah diam. Kata-kata anaknya itu memang benar.

“Arwah ayah kau mahu Syarikat Permata Holdingsterus hidup. Walaupun dia sudah tiada lagi.”

Lamunan Johari mati apabila telefon berbunyi.

“Hello.”

“Encik Johari, ada panggilan daripada Cik Rosnah,” jelas Shanty.

“Baiklah. Sambungkan.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

“Apa khabar?”

“Baik.”

“Maaf kerana mengganggu.”

“Tak mengapa. Macam mana kau tahu aku di pejabat?”

“Mak kau yang beritahu,” Rosnah membalas.

“Kita dah lama tak berjumpa. Apa kata tengah hari ini kita lunch sama-sama?” cadang Johari.

“Great. Tapi di mana?”

“Di tempat biasa, Restoran Seri Mawar.”

“OK. Kita jumpa di sana. Bye.”

Dia mencapai fail yang berada di depannya dan menelitinya sekali lagi. Kemudian dia mengangkat telefon dan menekan butang.

“Shanty, tolong panggilkan Encik Tan. Katakan saya nak jumpa dia sekejap.”

“Baiklah, Encik Johari.”

Selang beberapa minit kemudian dia mendengar bunyi orang mengetuk pintu.

“Masuk.” Matanya tajam memandang Encik Tan yang bertugas sebagai Pegawai Pemasaran di Syarikat Permata Holdings.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience