BAB 2

Other Completed 2125

KASIH SEORANG ANAK

Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit. Deru kenderaan yang berlibur di atas jalan raya umpama semut. Dari jendela kaca kelihatan bola matahari tepat di atas darjah. Bersama jalur-jalur cahaya yang lurus.

Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik mewah itu. Langsir yang berwarna merah jambu tersergam indah. Diserikan lagi dengan permaidani yang berwarna biru laut. Serta perabot yang antik.

Zaharah berdiri tegak di sisi jendela. Sambil melontarkan pandangan ke arah bandaraya. Hari itu, dia tambah ayu. Bila mengenakan baju kurung yang berwarna biji kundang masak. Bersulamkan tompok-tompok manik yang kuning keemasan.

Dari raut wajahnya yang jelita itu nyata sekali dia sedang mengelamun. Hingga sampai ke awangan rasanya.

Tok! Tok! Tok! Lamunannya terhenti dengan serta-merta. Seperti rancangan yang tergendala di kaca televisyen. Dia lalu menarik nafas yang panjang. Kemudian kedua-dua biji matanya lantas menoleh ke arah pintu. Dia pantas bersuara lembut:

“Masuk …!”

Tanpa berlengah lagi jendul pintu segera terkuak. Muncul Azman bersama fail yang berwarna hitam di tangannya. Kemudian perlahan-lahan dia menutup daun pintu semula.

Serentak dengan itu dia mengatur lima tapak menghampiri Zaharah yang memerhatikan gelagatnya itu dengan penuh minat.

“Assalammualaikum,” dia memberi salam sambil mengukir senyuman kecil.

“Waalaikumsalam.” Zaharah mengamati wajahnya dengan penuh tepat sekali. Berbadan tegap serta bermisai. Berambut lurus. Sementara kulitnya berwarna cerah.

“Cik Zaharah ini dia dokumen perjanjian antara syarikat kita dengan Syarikat Melor,” katanya sambil meletakkannya dengan penuh tertib di atas meja yang berbentuk empat segi itu.

“Baiklah!” Zaharah cuma mengangguk.

“Oh ya, Lina mana?”

“Dia cuti hari ini, Cik Zaharah.”

“Cuti?” dia sebaliknya membalas sambil melabuhkan punggung di atas kerusi yang eksekutif. Sambil tangannya ligat menyemak fail itu dan kemudiannya terus menurunkan tandatangan.

“Ya, Cik Zaharah. Katanya ada hal yang penting,” terang Azman lagi.

“Oh, begitu!” dia menjawab sambil menutup semula fail yang berwarna hitam itu dan pantas menghulurkannya pada Azman dan dia menyambut dengan senang sekali.

“Ada apa-apa lagi, Cik Zaharah?”

Zaharah sebaliknya menggelengkan kepala.

“Tak ada! Awak boleh pergi.”

Azman akur dengan arahan itu.

“Baiklah,” katanya sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Secepat kilat bayangan Azman lesap di balik pintu yang terkatup rapat semula.

Zaharah lalu menyandarkan tubuhnya pada kerusi sambil berpusing sedikit ke kiri dan kanan.

Sambil mengingati semula kisah-kisah silam yang pernah dilaluinya. Penuh dengan pahit dan getir. Namun dia terpaksa menelan jua biarpun hakikatnya amat pahit sekali bak hempedu. Walaupun yang ingin dikecapinya ialah manisan madu. Demi suatu perjuangan dalam hidup ini. Dia tetap kuat dan tabah menghadapinya.

“Sudahlah, tu! Orang perempuan kalau setinggi mana pelajarannya pun, akhirnya ke ceruk dapur jugak!” ujar Pak Leman. Air kopi yang masih panas berasap itu dihirupnya perlahan-lahan. Kemudian kembali semula meletakkan cwan itu ke bawah. Ubi rebus yang masih panas itu juga segera disentalnya melepasi kerongkong.

“Tak baik abang cakap macam tu. Bukankah Zaharah tu, anak kita jugak?” balas Mak Ton pula.

Pak Leman naik muak mendengar penjelasan daripada Mak Ton.

“Masa depan konon. Sudahlah! Membazirkan duit aku aje!”

“Membazir abang kata?” Mak Ton naik hairan.

“Dia tu, tak macam anak-anak kita yang lain. Bukannya pandai sangat. Tak akan lulus periksa.”

“Tak baik abang merendah-rendahkan anak sendiri,” Mak Ton tetap membantah.

“Ini adalah kenyataan. Dia layak duduk di rumah aje. Menguruskan hal-hal rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menjahit.”

“Jadi, abang nak kahwinkan dia.”

“Ya!” Pak Leman mengangguk sambil menyucuhkan api pada rokok daun. Kemudian lalu dihembusnya asap keluar. Berkepul-kepul memutih memenuhi ruang. Di luar angin bertiup kencang. Pohon-pohon nyiur yang tinggi mengangguk-angguk. Seperti turut merestukan kata-kata Pak Leman.

“Dengan siapa?”

“Halim.”

“Yang kerjanya memanjat pokok kelapa, tu?” Mak Ton terperanjat.

“Kalau Zaharah tak setuju nanti macam mana?” soal Mak Ton lagi. Wajah Pak Leman pantas berubah.

“Setuju tak setuju lain kira. Pokoknya dia mesti kahwin jugak dengan budak Halim, tu!” Pak Leman meninggikan suara. Mak Ton diam. Dia masak benar dengan perangai Pak Leman. Dari dahulu sampai sekarang tak berubah-ubah. Cakapnya tak boleh dibantah. Baik hitam mahupun putih. Macam dia seorang aje yang betul dalam dunia ni.

Dia terkenal di kalangan orang-orang kampung sebagai seorang yang kuat memegang fahaman kuno.

Benar sekali, Zaharah menolak cadangan ayahnya itu mentah-mentah. Ini memuncakkan lagi api kemarahan Pak Leman.

“Apa? Kau tak setuju?” Kedua-dua biji matanya terjojol keluar. Keningnya yang memutih itu juga turut terangkat.

“Ya, ayah ….”

Mak Ton secepat kilat lalu menyampuk:

“Sudahlah tu, bang. Dia tak mahu. Jangan dipaksa.”

Pak Leman memandang Mak Ton tak ubah seperti seekor singa lapar yang mahu menerkam mangsanya. Dan berkata:

“Awak diam! Awak dengan dia sama saja. Selalu membantah cakap saya!” Suara Pak Leman hampir memecahkan ruang anjung rumah.

“Zaharah, kau dengar sini baik-baik. Kalau kau nak tinggal dalam rumah ni, lebih baik kau kahwin dengan Halim. Tapi kalau kau melawan jugak cakap aku, kau boleh keluar. Faham!” tengking Pak Leman lagi.

“Sedarlah diri kau tu, sikit. Kau tu, seorang perempuan. Yang hanya layak duduk di ceruk dapur. Dan bukannya di bilik yang berhawa dingin!” Pak Leman seolah-olah melepaskan protes yang telah lama bersarang di jiwanya. Zaharah lalu menangis teresak-esak.

Akhirnya dia mengambil keputusan yang nekad dengan melarikan diri daripada rumah. Akibatnya heboh satu kampung akan berita itu.

“Huh, memang dasar anak yang tidak tahu diuntung!” Pak Leman melepaskan perasaan geram yang tak terhingga. Sambil menggertap rapat giginya.

“Itulah awak. Terlalu manjakan dia sangat!”

“Bang, pergilah cari dia. Saya bimbang. Hanya dialah satu-satunya anak perempuan kita …,” ujar Mak Ton sambil menangis teresak-esak menahan tangisan.

“Ah, biarkan dia. Degil. Tak mahu dengar cakap orang tua. Saya yakin, satu hari nanti dia pasti balik dengan rasa penuh menyesal!”

Setibanya di kota, Zaharah mendapat pekerjaan di salah sebuah kilang membuat alat-alat elektronik. Bersama dengan kawan-kawan sekerja dia menyewa rumah di Kampung Pandan. Masyarakat sekeliling selalu memandang serong pada mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience