BAB 5

Other Completed 2125

SEORANG TUA DAN FALSAFAHNYA

Selepas menunaikan solat Asar, aku lalu mengambil keputusan untuk bersiar-siar di sekitar kawasan hotel penginapan. Di kiri kanan hotel penginapan terdapat kedai yang menjual barangan antik, restoran dan gedung membeli-belah. Seorang lelaki tua yang wajahnya mirip seniman Henry Fonda yang terkenal dalam filem On The Golden Pond kelihatan sedang duduk di atas salah sebuah bangunan yang terdapat di atas dada aspal jalan.

Kedua-dua belah matanya juga kuperhatikan tidak berkelip-kelip melihat kenderaan yang sibuk lalu-lalang. Dari raut wajahnya aku telah pun dapat membaca bahawa dia sedang memikirkan sesuatu. Entah mengapa aku begitu tertarik untuk berbual dengannya. Kebetulan pula tiada orang yang duduk di sebelahnya. Tanpa membuang masa lagi aku terus menghampiri dirinya.

“Selamat petang,” tegurku.

“Selamat petang,” balas orang tua yang memakai topi serta berkaca mata bulat itu sambil mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang tepat wajahku. Garis-garis kedut jelas kelihatan pada permukaan kulit pipinya. Manakala rambutnya pula dipenuhi dengan uban yang lebat.

“Boleh saya duduk?” kataku lagi.

“Boleh, silakan,” dia menjawab dengan rasa senang sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Aku lalu perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas kerusi yang diperbuat daripada kayu itu.

“Saya Adnan,” ucapku sambil berjabat tangan dengannya.

“Saya Howard.”

“Maafkan saya kerana mengganggu ketenangan Encik Howard.”

“Oh, tidak mengapa!” ujarnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Awak dari mana?” sambungnya lagi.

“Dari Malaysia,” aku membalas ringkas.

“Awak datang ke sini untuk bercuti?” dia tak henti-henti menyoalku.

“Tidak, saya sebenarnya menghadiri kursus penerbitan dan percetakan.”

“Berapa lama?”

“Tiga bulan.”

“Oh, begitu!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Berapa usia awak?” tanyanya sambil memandang tepat wajahku.

“27 tahun.”

“Usia muda seperti sehelai daun hijau yang bertaut pada sebatang ranting. Berbanding dengan saya yang telah tua ini. Tak ubah seperti sehelai daun kering yang menunggu masa sahaja ditiup angin lalu gugur menyembah bumi. Sudah ditakdirkan oleh Tuhan bahawa hidup bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian,” tambah Encik Howard lagi.

“Sebagai manusia kita tidak berdaya untuk menolak kuasa Tuhan. Tetapi bagi saya terdapat dua golongan manusia di atas dunia ini.”

“Maksud Encik Howard?” aku pantas mencelah kerana terlalu berminat untuk mengetahuinya.

“Pertama golongan yang minta mati lambat tetapi mereka mati cepat. Kedua golongan yang minta mati cepat tetapi mereka mati lambat,” terangnya padaku.

“Menarik sungguh falsafah itu,” aku menjawab pendek sambil menganggukkan kepala.

“Tapi bagi saya golongan pertama lebih ramai di atas dunia berbanding dengan golongan kedua,” sambungku lagi.

“Kenapa awak berkata begitu orang muda?” dia sebaliknya menyoalku sambil tersenyum kecil.

“Manusia lazimnya tidak pernah memikirkan tentang soal kematian. Tetapi mereka lebih mementingkan soal keseronokan hidup di atas dunia ini. Bagi mereka kematian akan datang apabila usia mereka mencecah tua nanti.”

“Saya sememangnya bersetuju dengan kata-kata awak itu. Manusia sememangnya takut untuk menghadapi kematian. Seperkara lagi yang awak perlu tahu ialah manusia lebih gemar melakukan perkara yang buruk daripada perkara yang baik.”

“Aneh?” aku sebaliknya menjawab dengan ringkas.

“Hidup manusia memang aneh orang muda. Dalam dunia ini tidak ramai manusia yang akan berasa gembira apabila melihat awak berjaya. Tetapi sebaliknya ramai manusia akan berasa terlalu gembira melihat awak gagal,” ujar Encik Howard pula.

Desiran angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Bola matahari tepat di atas darjah. Kelihatan juga jalur cahayanya yang lurus menyinari seluruh alam semesta. Pohon yang menghijau bagai menari-nari, meliuk-liuk ke kiri kanan. Daun-daun berguguran di atas dada aspal jalan. Udara berasa begitu segar dan nyaman sekali.

“Berapa umur Encik Howard?” soalku.

“70 tahun,” dia menjawab ringkas.

“Tentu Encik Howard mempunyai banyak pengalaman dalam hidup ini,” ujarku lagi.

“Kenapa awak berkata begitu, orang muda?” katanya sambil mengukir sedikit senyuman kecil.

“Usia Encik Howard sudah hampir mencecah setengah abad. Sedangkan saya, masih muda lagi,” aku membalas.

“Kenapa awak berminat untuk bercakap tentang pengalaman, orang muda?” dia menyoalku sambil membetulkan duduk.

“Bagi saya pengalaman adalah guru yang paling berguna dalam hidup ini, Encik Howard,” ucapku pula.

“Saya bersetuju sekali dengan kata-kata awak itu, orang muda. Tapi malangnya tak semua orang suka bercakap tentang pengalaman dalam hidup ini.” Dia sebaliknya bersuara tenang.

“Menarik sekali!” aku menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pengalaman tidak dapat memberi kepuasan kepada kita dalam hidup ini, orang muda. Sebaliknya pengalaman hanya boleh mendewasakan kita melalui himpunan rasa suka dan duka. Itulah sebabnya hidup kita sering diibaratkan seperti air laut,” jelas Encik Howard padaku dengan panjang lebar.

“Ini adalah kenyataan, Encik Howard. Prinsip hidup saya ialah sentiasa mempertahankan keikhlasan dan kejujuran.”

“Saya menghormati orang seperti awak. Kalau kita sentiasa ikhlas dan jujur maka apa yang kita lakukan dalam hidup ini akan berada pada landasan yang betul,” katanya pula.

“Tapi untuk meletakkan diri kita pada landasan yang betul, bukanlah satu perkara yang mudah, Encik Howard,” tambahku sebaliknya dengan perasaan penuh minat.

“Awak tak perlu berasa aneh, orang muda,” balasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience