“Aneh?” aku menyoalnya dengan penuh minat.
“Ya!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Itulah sebabnya maka kita tak perlu berasa hairan apabila mendengar ada orang yang sanggup berpura-pura dalam hidup ini,” sambung Encik Howard lagi.
“Orang yang tiada pendirian dalam hidup adalah diibaratkan lalang yang ditiup angin,” tambahku pula.
“Tentu awak ini seorang yang banyak membaca, orang muda.”
“Membaca adalah jambatan ilmu.”
“Awak ada menulis?”
“Ada jugak.”
“Apa yang awak tulis?”
“Puisi dan cerpen.”
“Novel?”
“Belum lagi.”
“Kenapa?”
“Menulis novel bukanlah satu perkara yang mudah seperti merebus sebiji telur, Encik Howard. Ia menuntut kreativiti yang tinggi. Yang ingin kita ketengahkan sampai kepada pembaca,” jelasku pula dengan panjang lebar.
“Selalunya apa yang awak tulis dalam puisi dan cerpen?” dia tak henti-henti menyoalku.
“Mengenai ketuhanan, kemanusiaan dan alam semula jadi,” aku menjawab.
“Adakah awak berasa puas apabila menulis?”
“Ya!”
“Bagaimana pula dengan soal bayaran?”
“Saya tak fikir sampai ke situ, Encik Howard kerana saya memang minat menulis.”
“Bidang yang awak pilih ini memang tepat sekali,” ujar Encik Howard.
“Tapi, saya tetap merasakan diri ini seperti seorang bayi yang baru belajar merangkak,” aku sebaliknya menjawab.
“Kenapa awak berkata begitu, orang muda?” tanyanya pula.
“Ilmu penulisan saya memang cetek lagi. Jadi, banyak lagi yang perlu saya pelajari dari orang yang telah berjaya dalam penulisan.” Aku berterus terang.
“Macam mana awak boleh terangsang untuk menulis, orang muda?”
“Saya gemar membaca puisi dan cerpen yang tersiar di dada akhbar. Dari situlah saya mula belajar menulis.”
“Bagaimana dengan kursus penerbitan dan percetakan yang awak jalani di sini?” Encik Howard nampaknya semakin berminat untuk melanjutkan perbualan.
“Seronok. Saya dapat berhubung dengan dunia luar secara lebih dekat lagi. Sebagai penulis, saya harus bertukar-tukar fikiran dan tidak mengasingkan diri daripada orang lain,” aku sebaliknya menjawab.
“Saya bersetuju sekali dengan teori awak itu, orang muda. Awak tidak boleh mengasingkan diri dalam batas-batas yang tertentu,” balasnya pula.
“Bagi saya ia mencerminkan peribadi seseorang. Sejak dari kecil lagi saya telah diasuh oleh keluarga agar menjadi manusia yang berakhlak mulia. Dengan mengenali Tuhan dan menghormati yang tua, menerima perkara yang baik dan membuang perkara yang buruk,” aku berkata dengan nada yang lancar.
“Benar kata-kata awak, orang muda. Antara Tuhan dengan manusia memang sukar untuk dipisahkan,” ucapnya lagi.
“Tuhan maha mencipta ke atas umat manusia dan seluruh alam fana ini.” Tanpa berlengah lagi aku pantas mencelah.
“Manusia hanya mengagungkan Tuhan sahaja, orang muda tetapi tidak menghampirinya.”
Aku amat mengkagumi Encik Howard. Dia begitu arif sekali dalam hal agama. Mungkin dengan didikan keluarganya yang sempurna.
Aku kembali menyoal persoalan yang terhenti buat sementara waktu itu.
“Memang tidak dapat dinafikan lagi kata-kata Encik Howard itu. Dunia ini hanya sementara waktu sahaja. Apabila kita mati, maka tinggallah segala-galanya.”
Encik Howard lalu menarik nafas panjang dan berkata:
“Kita sebagai manusia sememangnya bersifat lemah. Biarpun kita dikurniakan dengan akal serta fikiran. Hingga tidak tahu membezakan yang baik dan yang buruk.”
“Itulah sebabnya mengapa Tuhan menciptakan syurga yang penuh dengan nikmat. Manakala neraka pula yang penuh dengan azab yang pedih,” aku menambah.
Suasana begitu dingin apabila berteduh di bawah pohon yang rendang. Bak air terjun di pinggir kali rasanya. Bahang mentari yang panas terik hingga boleh mencairkan otak dapat ditepis.
“Agama sebenarnya adalah pedoman hidup, orang muda. Tapi yang sedihnya ada golongan sanggup mempersendakan agama,” kata Encik Howard lagi.
“Mereka adalah golongan yang jahil, Encik Howard,” aku sebaliknya menambah.
Encik Howard diam. Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Matanya tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Dia kemudiannya memandang langit biru. Setelah agak lama kemudian, baharulah dia menoleh semula ke arahku dan bersuara:
“Awak meminati bidang politik dan ekonomi?”
“Minat jugak!” aku mengangguk-anggukkan kepala.
“Kerana gilakan kuasa, manusia di atas muka bumi ini sanggup berperang. Akhirnya mereka tidak dapat menikmati kemajuan, kesannya pula terhadap alam sekitar,” balasnya pula.
“Encik Howard nampaknya lebih arif dalam bidang ini. Apakah cita-cita ulama ahli politik?” ujarku lagi dengan penuh minat.
“Keadilan dan kebenaran. Yang berjuang untuk membasmi kemiskinan tumbuh macam cendawan lepas hujan, malangnya manusia mudah lupa pada janji. Akibatnya pembangunan tidak tercapai,” jelasnya dengan panjang lebar.
“Kita sebenarnya sependapat, Encik Howard,” aku menjawab.
(BACARIA, EDISI SABTU 5 JUN 1999)
Share this novel