MELAYAR BAHTERA
Sememangnya kahwin itu mempunyai tanggungjawab yang amat besar. Bukan sekadar untuk mendapatkan Rosriat sahaja. Ataupun untuk menghindarkan zina daripada terus berleluasa khususnya di kalangan remaja dewasa ini. Alim ulama berpendapat kahwin itu bererti berkongsi bahtera kehidupan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan.
“Kau sudah fikir masak-masak?” soal Haji Taib pagi itu.
Halim mengangguk-anggukkan kepala:
“Sudah, ayah!”
Hajah Saodah lalu menyampuk:
“Kau mesti ingat, Halim. Kahwin bukan untuk pakai sehari dua saja. Untuk selama-lamanya hingga ke akhir hayat.”
“Saya faham, mak.” Dia terhenti seketika. Sambil membetulkan kedudukannya di atas kerusi kusyen yang berwarna daun hijau tua.
“Suratkhabar hari ini lebih banyak menumpukan kegiatan maksiat di kalangan muda mudi di kota yang lama-kelamaan semakin luas.”
Halim mengukuhkan lagi hujah-hujahnya. Seperti seorang peguambela yang mengendalikan kes pembunuhan di mahkmah. Untuk membuktikan yang tertuduh tidak bersalah.
“Jadi sebab itu kau nak kahwin?” soal Hajah Saodah pula.
“Ya!”
“Kau masih muda, Halim. Baru berumur 23 tahun,” ujar Hajah Saodah lagi.
“Itu tidak menjadi soal, mak.”
“Kau tidak boleh memandang ringan dalam soal ini, Halim.” Hajah Saodah mengingatkannya berulangkali.
“Saya ada rencahnya, mak.”
“Apa dia?” Haji Taib bersuara.
“Kau sudah ada pilihan?”
“Norita.”
“Apa kerjanya budak tu?” sambung Hajah Saodah.
“Kerani di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.”
“Macam mana kau boleh kenal dengan dia?” Haji Taib mahu butir-butir yang lebih lanjut lagi tentang bakal menantunya itu.
“Kami sama-sama menuntut sewaktu di bangku sekolah dulu. Waktu tu saya dalam tingkatan lima manakala dia pula dalam tingkatan tiga.”
“Jadi, kau dah lama berkawan dengan dia?” tanya Hajah Saodah bertubi-tubi kali.
“Hampir 7 tahun, mak.”
“Dia berasal dari mana?” tanya Haji Taib.
“Muar, Johor.”
Halim mengangkat mukanya yang berbentuk bulat seperti bujur sirih itu. Dan bersuara:
“Sungguh, ayah!”
Hajah Saodah yang selama ini berdiam diri tiba-tiba lalu mencelah:
“Mak tak mahu kau menyesal, Halim.”
“Kenapa pulak, mak?”
“Kau dah faham dengan hati budinya?” soal Haji Taib tak henti-henti. Dia amat teliti sekali dalam soal memilih jodoh anak-anaknya.
“Sudah, ayah!” Halim membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.
“Itu waktu belum kahwin. Tapi bila dah kahwin nanti belum tahu lagi. Itulah antara sebab mengapa Islam hari ini menggalakkan bakal-bakal pengantin supaya menghadiri kursus perkahwinan,” jawab Haji Taib.
“Betul cakap ayah kau tu, Halim,” Hajah Saodah turut menyokong.
“Tapi saya dah cukup matang, mak.” Dia meluahkan rasa keyakinan yang penuh.
“Kebahagiaan dalam hidup adalah lebih berharga daripada harta kekayaan, Halim.” Haji Taib mengutip semula kata-kata itu.
“Ayah dan mak turut tumpang gembira bila melihat hidup kau suami isteri bahagia, Halim,” ucap Hajah Saodah.
Halim diam. Dia sebaliknya merenung wajah kedua-dua orang tuanya itu dalam-dalam. Bak lautan biru yang luas. Haji Taib memang arif dalam hal-hal agama. Tahun ini sahaja dah masuk lima kali menunaikan fardu Haji di Mekah.
“Jadi ayah dan mak tidak mengizinkan saya untuk berkahwin?”
“Kami akan berdosa jika bertindak demikian.” Haji Taib membetulkan ketayap putih di atas kepalanya.
“Kau mesti memilih wanita yang solehah untuk dijadikan isteri,” sambungnya lagi.
“Norita memang seorang gadis yang baik.”
Haji Taib lantas mengukir senyuman kecil.
“Kau jangan lupa, Halim. Setiap manusia baik lelaki atau perempuan yang dilahirkan di atas muka bumi ini memang pandai berlakon.”
Dia membisu seribu bahasa bila mendengar kata-kata itu.
Haji Taib seboleh-bolehnya tidak mahu Halim mengambil keputusan yang terburu-buru. Soal kahwin bukannya kecil. Tidak boleh dipandang remeh-temeh.
“Tiap kali lepas sembahyang perbanyakkan doa. Mohonlah petunjuk daripada Tuhan agar dikurniakan jodoh yang sepadan.” Haji Taib sentiasa menekankan nilai-nilai agama ke atas dada setiap anak-anaknya. Agama amat penting sekali. Ia menjadi panduan hidup. Tanpanya kita macam orang jahil. Terumbang-ambing. Bagai bahtera yang karam di tengah lautan. Tanpa arah haluan.
Bagi Haji Taib dalam soal mencari jodoh seperti menilai buah juga. Nampak saja kulitnya cantik. Tapi isinya belum tahu lagi. Entah manis atau hambar rasanya.
“Kahwin itu memang penuh dengan nikmat,” Kamal bersuara. Sambil menghabiskan sisa-sisa air teh dalam cawan. Halim pula menyucuhkan api rokok pada bekas yang berbentuk bulat macam bola.
Share this novel