PENA EMAS
Segala-galanya bermula di sini. Bukannya sebuah impian. Seolah-olah suatu dunia yang asing bagi dirinya. Pagi baru saja menguakkan keheningannya. Sang suria menegak di atas kepala. Jalur-jalur cahaya kelihatan lurus menyinari alam semesta.
Rina memesan secawan kopi ‘o’ dan sepinggan nasi lemak. Manakala aku pula memesan teh tarik dan sepinggan roti canai. Sebagai pengalas perut pagi itu. Sarapan amat penting dalam kehidupan. Ia dapat menjadikan kita cergas dan bertenaga dalam melakukan pekerjaan.
Pelayan lalu menghampiri kami berdua sambil membawa makanan dan minuman yang telah dipesan.
Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja dengan penuh tertib.
“Terima kasih,” ucapku.
“Sama-sama,” jawabnya sambil mengukir senyuman ramah. Kemudian pantas beredar berlalu pergi dari situ.
Aku lantas mengangkat muka tinggi sedikit memandang Rina dan berkata:
“Silakan!”
“Terima kasih,” balasnya sambil tersenyum kecil saja.
Senyap.
Dengan rasa penuh bersyukur kami menikmati rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Tingkah sudu dan garpu jelas kedengaran sekali. Suasana di kantin tetap tenang seperti biasa menerima kunjungan pelanggannya.
Selepas makan, kami berdua tidak lupa untuk mengucapkan kalimah Alhamdulillah. Kerana bebas daripada sebarang bencana kebuluran dan kelaparan. Tidak seperti yang sedang berlaku di Ethiopia, Negara Afrika. Yang menjadi mangsa bukan sahaja orang dewasa malahan juga kanak-kanak. Kematian boleh dikatakan sering meningkat dari sehari ke sehari. Walaupun negara-negara maju menghulurkan bantuan makanan dan kewangan namun masalah ini tetap tidak dapat diatasi. Ini amat menghairankanku. Mungkin satu ujian daripada Tuhan.
Rina tanpa berlengah lagi pantas memecahkan kesenyapan.
“Bagaimana dengan kerjaya kau di bidang kewartawanan?” soalnya sambil membetulkan rambutnya yang panjang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu itu mengerbang bila ditiup angin. Yang menyusup masuk melalui jendela yang terbuka luas. Biji mata kami saling berlaga.
“Mencabar sekali,” aku menjawab ringkas. Sambil menghirup air teh yang masih panas itu biarpun tinggal sedikit lagi. Bukankah Islam melarang keras pembaziran? Kemudian perlahan-lahan aku meletakkan gelas itu semula ke bawah.
Mata Rina tunak.
“Maksud kau tu, terlalu luas?”
“Ya!” aku pantas mengangguk.
“Skopnya begitu dalam,” sambungku lagi. Rina kuperhatikan lalu membetulkan tempat duduknya.
“Tentu kau ni, seorang yang kaya idea?” Dia terus mendugaku.
Aku lalu tertawa kecil bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Rina itu. Sebaliknya dia begitu serius sekali memerhatikan gelagatku. Tanpa berlengah lagi aku pantas menjawab:
“Tak semestinya!” aku menggelengkan kepala sebagai tanda membantah.
Rina lantas naik hairan apabila mendengarnya.
“Mengapa pulak?” Matanya liar memerhatikan cawan dan pinggan yang telah kosong. Angin bertiup perlahan nyaman. Pohon-pohon bagai menari-nari inang. Daun-daun hijau meliuk-liuk berguguran ke atas tanah. Udara pagi sungguh segar dan nyaman.
Aku kembali semula menyoroti persoalan yang terhenti buat seketika.
“Kalau cerita tak bermutu alamatnya kena hentamlah!”
“Tentu kau banyak membaca?” soal Rina bertubi-tubi kali. Seperti muntahan peluru daripada muncung senapang.
“Ya! Ia adalah teman yang sejati di kala sunyi,” balasku. Rina tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna biji kundang. Serta bersulamkan bola-bola manik yang kuning keemasan. Kulitnya putih bak sutera. Memang cantik, kena pada si pemakainya.
“Bidang mana yang kau pilih?” ujar Rina pula sambil mengangkat kepalanya. Bibirnya merah bak delima. Rambutnya tersisir rapi.
“Semua termasuk politik, ekonomi dan sosial,” tambahku lagi.
“Membaca juga adalah pelita hidup,” dia cepat memotong.
“Benar!” aku menyokong sambil menganggukkan kepala.
“Tanpanya kita seperti teraba-raba,” ulangku. Diam. Aku telah pun dapat membaca. Rina mempunyai pemikiran yang agresif. Sebelum ini, tak pernah aku temui wanita seperti dia. Getus hati kecilku.
Dari jauh kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Dayabumi menjadi lambang kemegahan Bumiputera. Maybank di Jalan Pudu merupakan menara yang paling tinggi sekali di Kuala Lumpur.
Ini melambangkan kemajuan yang telah berjaya dinikmati setelah negara kita mencapai kemerdekaan selama 36 tahun.
Rina pantas mematikan lamunanku.
“Kau tentu dah banyak berjumpa dengan berbagai-bagai karenah manusia?” dia ternyata tak henti-henti menyoalku.
Aku tidak keberatan untuk menjawab pertanyaan itu.
“Tentu sekali. Terdapat jurang perbezaan yang amat dalam antara golongan bawahan dengan golongan atasan.”
“Jurang perbezaan yang bagaimana maksud kau?” Kedengaran deru kenderaan yang berlibur di atas jalan raya. Ia amat menyesakkan. Asap dan gas beracun menyebabkan pencemaran berlaku dengan berleluasa. Bumi tidak lagi selamat untuk didiami. Kita harus mencegah masalah ini segera sebelum menjadi lebih teruk lagi.
Rina kuperhatikan tetap tenang menanti jawapan.
“Golongan yang kaya mempunyai pengaruh yang luas. Sementara golongan yang miskin adalah terlalu lemah. Dan selalu ditindas,” ujarku.
“Dengan wang mereka boleh membeli segala-galanya falsafah untuk si kaya. Bukan?” Rina menyampuk.
“Bagi si miskin pula tanpa wang hidup mereka akan tambah merana.” Aku serta-merta dibaluti oleh persoalan yang secara tidak langsung itu. Rina amat arif dalam hal-hal yang bersangkutan dengan psikologi manusia. Dari mana dia belajar agaknya? Mungkin daripada media massa seperti buku dan majalah.
Aku terus memberanikan diri.
“Keluarga Rina tentu besar, kan?”
“Ya!” angguk. Sambil membetulkan garis-garis yang timbul pada permukaan bajunya akibat ditiup angin yang masuk melalui celah-celah jendela yang ternganga luas.
“Ayah aku seorang usahawan yang terkenal bergelar Datuk,” terang Rina.
“Tentu hidup kau dipenuhi dengan kemewahan?”
Rina mengukir senyuman berbunga. Aku serius memerhatikan gelagatnya itu. Mataku sempat mencuri pandang ke luar. Rumput-rumput tetap subur menghijau. Biarpun tadi basah akibat disirami embun pagi. Tapi akhirnya kering pabila terbit mentari.
Rina mendongakkan mukanya tepat memandangku. Dan kembali bersuara:
“Kau salah membuat tafsiran.”
Dan aku agak terkejut bila mendengarnya.
“Salah tafsiran?” Aku kehairanan. Dia sebaliknya menganggukkan kepala.
“Benar!” balasnya selamba.
“Mengapa pulak?” Aku inginkan penjelasan.
Kerana itu baru kulitnya saja. Isinya belum tahu lagi. Persoalan yang seperti ini harus dikupas dengan lebih mendalam. Aku pernah terdengar bahawa ada orang berkata mengangguk belum bererti setuju dan menggeleng bukan bererti salah.
Rina lalu menjawab:
“Harta kekayaan yang melimpah-limpah adakalanya menjadikan hidup ini bosan.” Aku serta-merta menjadi terkesima. Ternyata aku belum berpuashati dengan jawapan yang telah diutarakannya itu.
“Jadi?”
“Mengajar kita supaya lebih bersikap sombong dan tamak,” ulang Rina. Aku cuma memilih untuk mengangguk diam. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba sahaja aku enggan meneruskan kata-kata. Mulutku seolah-olah terkunci rapat.
Benar!
Aku sama sekali setuju dengan kata-katanya itu. Ini adalah sebuah kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi. Entah mengapa! Aku amat tertarik dengan sifat-sifatnya.
Kebisuan mengambil tempat dengan tiba-tiba.
Aku dan Rina asyik melayani fikiran masing-masing. Mencari jawapan pada satu permasalahan. Fikiranku enggan berhenti berbicara. Berputar ligat bak kipas.
Kuamati wajahnya dalam-dalam. Cantik! Laksana bulan yang jatuh ke riba cantiknya. Sudah! Cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan jatuh ke hati. Jangan! Satu suara cuba menahanku. Mengapa pulak? Jawapan segera menyusul. Takut nanti bertepuk sebelah tangan. Lagipun kau tak sepadan dengan dia. Mana mungkin keluarganya akan menerima kau? Buat seketika persoalan itu terus berlalu pergi.
Pelayan lalu menghampiri kami semula.
Sambil mengukir senyuman kecil.
“Boleh saya ambil?”
Dan aku mendongakkan muka sedikit ke atas. Orangnya berbadan tegap. Berambut lurus dan berkulit cerah. Agak lama juga aku memerhatikan raut wajahnya. Kemudian aku pantas menganggukkan kepala.
“Ya, silakan!”
“Terima kasih,” balasnya sambil tangannya mengutip semula cawan dan pinggan yang telah kosong. Kemudian dia cepat berlalu pergi dari situ.
“Kenapa pergolakan berlaku di Somalia?” Rina memecahkan ruang kesenyapan yang melanda buat seketika.
Share this novel