TEGUH
Sayup-sayup kedengaran bunyi burung punai. Pak Hamid terhenti seketika. Dia mendongakkan kepala ke atas memandang bola matahari yang kian meninggi di kaki langit. Bahangnya terasa pedih bila menggigit permukaan kulitnya yang hitam manis itu. Kemudian dia toleh ke kanan dan kiri sambil menarik nafas panjang.
Cuma tinggal satu relung lagi yang perlu ditajak. Dia mengatur langkah lima tapak ke arah taliair untuk membasuh lumpur yang melekat di kakinya. Kemudian perlahan-lahan dia menuju ke arah pondok usang yang terletak tidak jauh dari situ. Tajak pantas disandarkannya pada tiang pondok itu. Pak Hamid lalu melabuhkan punggung di atas pangkin kayu sambil mengesat peluh yang mengalir dengan kain putih yang melilit kepalanya.
Angin bertiup perlahan terasa segar menyapu tubuhnya apabila dia membuka baju. Mengibas-ngibas ke kanan dan kiri untuk mendapatkan hawa dingin.
Kopi yang telah sejuk itu lantas diteguknya untuk menghilangkan dahaga. Ubi rebus yang sejuk juga melepasi kerongkongnya. Bekalan daripada isterinya yang setia iaitu Mak Limah sebagai buat perut.
Kemudian dia menyucuhkan api pada rokok daun.
Dihembusnya asap yang memutih berkepul-kepul memenuhi ruang udara.
Kedua-dua biji matanya yang tua itu sayu memandang sawah padi yang terbentang luas. Dia teringat semula. Buah padi yang menguning melambai-lambai bila ditiup angin. Alangkah damainya.
Jiwanya dibalut pilu. Bila wajah Seman terdampar di ruang matanya. Lintah darat yang menghisap darah orang-orang Kampung Batu Lebar.
“Pak Hamid dah tua.”
“Jadi?”
“Jualkan saja tanah tu!” desaknya.
“Jual?” Pak Hamid terperanjat.
“Ya!” angguk Seman.
Mata Pak Hamid tunak memandang Seman. Manusia yang tidak berhati perut.
Seman mengangkat muka.
“Pak Hamid cakap berapa harganya? Kami boleh bayar!” ujarnya dengan penuh angkuh.
Pohon-pohon nyiur mengeluarkan bunyi yang gemersik bila ditiup angin. Tanah merah berlumpur akibat hujan lebat malam tadi.
Pak Hamid menghela nafas panjang.
Kesayuan terpancar jelas di wajah tuanya itu.
“Mengapa pula?” Dia meminta penjelasan daripada Seman.
“Demi untuk pembangunan.”
Pak Hamid lantas berasa hairan. Dia benar-benar tidak mengerti.
“Pembangunan apa?” soalnya bertubi-tubi kali. Seperti muntahan peluru daripada muncung mesin-gun.
“Sebuah kilang simen akan dibina di sana,” Seman pantas menjawab sambil menudingkan jari telunjuknya tepat ke arah hamparan sawah padi yang menghijau bak permaidani yang terbentang luas.
Sebaliknya Pak Hamid tidak berpuashati dengan kenyataan itu.
“Kenapa pula kampung ini dijadikan sasaran dan bukannya di bandar?” Lagak Pak Hamid tak ubah seperti seorang senator yang membentangkan usul perbahasan di Dewan Negara.
“Sebab kampung ini mempunyai potensi besar untuk maju. Tambahan pula ia dapat membekalkan tenaga buruh yang ramai terutama sekali daripada anak-anak muda,” jelas Seman lagi.
Diam.
Dia memandang tajam tubuh Seman yang gempal itu. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Sementara itu Seman berasa bosan melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Pak Hamid itu sambil berkata:
“Sudahlah! Jangan dikir-fikirkan lagi. Orang-orang kampung yang lain sudah pun setuju menjual tanah sawah mereka. Cuma Pak Hamid seorang aje yang belum memberi kata putus!” Seman ternyata belum berputus asa terus mempengaruhi Pak Hamid agar mengubah pendiriannya.
Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Kemudian bersuara:
“Aku tak setuju, Seman!” dia bersuara sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Serta-merta sahaja wajah Seman diselaputi rasa hampa bila mendengar jawapan itu.
Umpama bala tentera yang kecundang di medan perang.
“Apalagi yang Pak Hamid mahu?” Seman mengeluh.
“Ini tanah pusaka aku,” jawab Pak Hamid mempertahankan haknya. Perdebatan antara mereka berdua makin hebat.
“Jadi, Pak Hamid tak suka pembangunan?”
Geleng
“Bukan aku tak suka.”
“Habis?” Seman bagaikan tak sabar-sabar lagi pantas memotong.
“Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini memang berhak menikmati kemajuan ….” Dia tak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Hah, faham pun!” balas Seman megah.
Pak Hamid enggan mengalah.
“Tapi ….
“Tapi apa?” Seman meninggikan suara. Pak Hamid merenung wajahnya dengan penuh dalam seperti lautan biru nan luas.
“Tempatnya tak sesuai.” Pak Hamid memberi penerangan.
Reaksi Seman pula umpama orang yang tak berdaya lagi untuk meneruskan hidup bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Pak Hamid.
“Tak sesuai macam mana lagi, Pak Hamid?”
“Seman, kau tahu bukan bahawa sisa-sisa bahan buangan kilang itu akan mencemarkan seluruh kampung ini termasuk sekali air sungai. Asapnya pula mendatangkan penyakit kepada orang kampung,” ujar Pak Hamid pantas membantah projek tersebut.
“Pak Hamid jangan menolak tuah!” Seman mengutarakan alasan yang kukuh. Agar dapat melembutkan hati Pak Hamid yang keras seperti seketul batu pejal.
“Tidak, Seman!” Pak Hamid menggelengkan kepala.
Dia tetap berdegil. Walau apa pun yang bakal terjadi dia tetap tidak akan menjualkan tanah sawahnya yang luas cuma sekangkang kera itu.
“Seman, sampai mati pun aku tak akan jual,” ikrarnya lagi dengan berkobar-kobar. Seman memandang tepat wajah orang tua yang bersemangat besi waja itu.
“Baiklah!” Seman bersuara sambil mengangguk.
Share this novel