BAB 1

Others Completed 2125

SEBUAH PELABUHAN SEPI

Dia sudah lama terdampar di sini. Sepi …. Saban hari membelit diri. Musim silih berganti. Dan daun-daun pasrah berguguran menyembah bumi.

Usianya sudah berlalu. Kulitnya berkedut dan rambut beruban. Dulu badannya tegap. Kini sudah bongkok tiga. Akhir-akhir ini dia selalu sakit. Terbatuk-batuk! Tongkat adalah teman sejati. Tanpanya dia akan rebah.

Dia toleh ke kanan dan kiri. Hampa! Sebuah pelabuhan yang sepi dan karam.

Dahulu dia hidup di hutan batu. Di celah-celah bangunan konkrit. Kemewahan dan kekayaan yang melimpah membelit dirinya. Dia asyik menikmati kelazatan dunia dan meninggalkan akhirat.

Tiba-tiba dia ternampak sebuah bahtera besar berlabuh.

Turun seorang lelaki berserban, berjubah putih dan tangannya membilang tasbih. Dagunya dipenuhi janggut dan mukanya bersih bersinar-sinar.

Dia menghampiri lelaki itu.

“Saudara tumpang tanya?”

Lelaki itu merenungnya. Tidak menjawab pertanyaan itu. Tapi terus berlalu.

Haruman kasturi menyucuk lubang hidungnya. Dia tidak berputus asa. Terus mengekori lelaki itu.

“Saudara tumpang tanya?” ulangnya lagi. Lelaki itu berhenti dan menoleh ke belakang. Tapi kemudiannya berlalu semula.

Tanpa rasa jemu, dia terus mengekorinya.

“Saudara tumpang tanya?”

Lelaki itu tidak mengendahkannya. Dia terfikir sesuatu.

Bukankah orang Islam wajib memberi salam apabila bertemu saudaranya? Matanya tunak merenung wajah lelaki berjubah putih itu.

“Assalammualaikum,” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam,” jawab lelaki yang memakai jubah putih itu sambil mengukir senyuman kecil.

“Di mana saya?” soalnya terpinga-pinga seperti kehilangan anak.

“Pelabuhan,” jawab lelaki berjubah putih tenang.

“Pelabuhan? Tapi mengapa sepi. Bak dilanda garuda. Jarang sekali kapal dan bahtera berlabuh.”

“Pelabuhan ini hanya untuk yang tidak cukup bekalan.”

Dia termangu.

“Siapa nama saudara?” soalnya lagi.

“Saya hanya hamba Allah,” lelaki yang memakai jubah putih itu menjawab.

“Maksud saya, nama saudara?” Dia terus menagih kepastian.

“Bukankah kita bersaudara.”

“Bersaudara?”

“Ya!” lelaki berjubah putih itu mengangguk.

“Bukankah Allah SWT menjadikan semua makhluknya di muka bumi ini sama taraf tanpa mengira miskin atau kaya. Cuma yang membezakannya ialah ketakwaan kepada-Nya. Sudahlah. Panggil saja saya saudara. Dan siapa nama saudara?” dia kemudiannya menyambung.

“Arshad,” jawabnya.

“Sedap nama saudara,” puji lelaki itu.

“Saudara saya ingin mengikut saudara walau ke mana sahaja. Bolehkan?” dia lalu berkata.

Lelaki berjubah putih mengukir senyuman.

“Betul?” soalnya.

“Betul!”

“Ikhlas?”

“Ya!”

“Alhamdulillah!”

Mata lelaki itu tidak berkedip melihat dirinya yang tidak sempurna.

“Mengapa pakaian saudara Karim koyak-rabak dan compang-camping?” soalnya.

“Entahlah …,” jawabnya lemah.

“Adakah saudara seorang pengemis?”

“Tidak! Saya salah seorang ahli lembaga pengarah Syarikat Daya Maju,” terangnya.

“Mana kot, tali leher dan briefcase saudara?”

Dia terpegun.

Lelaki berjubah putih itu tahu segala-gala mengenai dirinya. Itu adalah pakaian rasminya apabila ke pejabat.

“Macam mana saudara tahu semua ini?” soalnya kehairanan.

“Bukankah kita bersaudara, sedarah sedaging.”

“Jadi, saudara sentiasa mengikuti perkembangan saya?” tanyanya lagi.

“Malahan syarikat juga,” celah lelaki berjubah putih pantas membuatnya tambah hairan.

“Siapa sebenarnya saudara ni?”

“Seorang hamba Allah.”

Lelaki berjubah putih kembali menyoroti wajahnya.

“Apakah bekalan saudara bawa ke sini?”

“Sebatang tongkat.”

“Bukan harta kekayaan?” Dia menggeleng kepala.

“Tidak! Hanya ini sahaja …,” jawabnya lemah sambil menunjuk sebatang tongkat kepada lelaki berjubah putih.

“Apakah yang membawa saudara ke sini?”

Dia merenung sayu wajah lelaki berjubah putih. Kemudian berkata:

“Sebuah bahtera kecil dan sarat muatan.”

“Mana perginya Mercedez Benz dan BMW saudara?”

“Entahlah ….”

“Dapat makanan enak?”

Diam. Wajah lelaki berjubah putih direnungnya dalam.

“Cuma dapat sisa-sisa makanan basi.” Dia bagaikan tak berdaya lagi.

“Siapa beri?”

“Mereka yang senasib dengan saya …,” balasnya.

“Saudara Arshad kenal mereka?”

“Ya!” angguk.

“Mereka mengamalkan gaya hidup seperti saya. Suka berpoya-poya di pub dan kelab malam hingga dinihari.”

“Pernahkah mereka semua berembahyang?”

Dia terdiam sebentar.

“Tidak!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Pernahkah mereka semua ke masjid atau surau mendengar syarahan agama.”

“Tidak!” Dia memberikan jawapan sama.

“Bila tiba bulan Ramadhan pernah mereka semua berpuasa?”

Diam. Dia mengangkat kepala memandang wajah lelaki berjubah putih itu.

“Tidak! Malah mereka tidak menghormati langsung bulan mulia itu. Mereka makan sewenang-wenangnya di khalayak ramai,” jawabnya.

Lelaki berjubah putih menggelengkan kepala.

“Siapa beri makanan itu kepada mereka?”

Geleng.

“Entahlah …. Ada yang tamak. Dan kerana makanan, kami sanggup bergaduh supaya tidak mati kebuluran,” ujarnya.

“Apakah tujuan sebenar mereka hidup di dunia?” soal lelaki berjubah putih bertubi-tubi.

“Untuk bersukaria dan memperolehi kenikmatan.”

Lelaki berjubah putih pantas mencelah:

“Hingga melupakan perintah agama. Bukankah Allah menjadikan umat manusia untuk beribadat kepada-Nya.”

Dia terus membisu.

“Di mana mereka semua sekarang?”

Matanya tunak memandang wajah lelaki itu. Dia sekadar dapat menggeleng-gelengkan kepala gagal memberi jawapan sebenar.

“Entahlah …. Ke mana mereka menghilang, saya pun tak pasti.”

“Adakah mereka membawa bekalan.”

“Ya!” angguk.

“Apa?”

“Seperti saya sebatang tongkat.”

“Apakah kenderaan yang mereka naiki?”

“Sebuah bahtera kecil mereka turun bersesak-sesak sehingga ada yang jatuh tersungkur.”

Lelaki berjubah putih terdiam lalu menarik nafas panjang.

Tangannya sejak tadi terus membilang butiran tasbih. Kemudian dia berkata:

“Sudahlah, mari ikut saya.”

“Ke mana?” Dia bagaikan tidak sabar.

“Ke sebuah pelabuhan.”

“Pelabuhan?” Kehairanan kian membelit diri.

“Ya, pelabuhan damai!” balas lelaki berjubah putih lagi.

“Damai?”

“Ya!”

Dia lalu diam. Tanpa banyak bicara, dia terus mengekori lelaki berjubah putih itu.

Apabila menjejakkan kaki di pelabuhan damai nyata sekali perbezaannya dengan pelabuhan sepi.

Banyak sekali bahtera berlabuh di situ.

Penghuninya berpakaian bersih dan muka mereka bersinar-sinar. Sebuah mahligai berkilauan tersergam indah di pelabuhan. Ia dikawal rapi oleh pengawal berbadan tegap serta lengkap bersenjata.

Seumur hidupnya tak pernah dia melihat mahligai secantik itu. Bau kasturi mengepung seluruh ruang mahligai. Walaupu dia berpakaian koyak-rabak dan compang-camping dia tetap disambut penuh hormat.

Ajaib sungguh! Dia semakin terpinga-pinga. Rasa ingin tahu menendang-nendang benaknya. Ternyata dia gagal mengawalnya.

“Saudara mahligai apa ini?”

Lelaki itu berhenti dan menoleh ke arahnya.

“Mahligai syahdu.”

“Mahligai syahdu?”

“Ya!” Dia mengangguk-angguk.

“Untuk mereka yang mempunyai bekalan yang cukup saja!” sambung lelaki berjubah putih itu.

“Apa maksud saudara? Saya benar-benar tak faham!” Dia meminta penjelasan.

Lelaki berjubah putih membisu seribu bahasa. Dan dia tetap tenang menanti jawapannya.

“Saudara akan lihat sendiri nanti,” ujarnya.

Mereka terus melangkah masuk ke dalam mahligai itu. Indah! Perhiasannya bertatahkan emas berkilauan. Nyata sekali banglonya di Ukay Height gagal menandinginya. Bidadari yang cantik jelita menyambut kedatangannya dengan senyuman manis menawan.

Dia benar-benar terpegun! Dunia apakah ini? Alangkah bertuahnya kalau aku dapat memiliki ini semua, getusnya tak henti-henti.

Lamunannya terhenti seketika.

Dia tersentak. Terasa bahunya dicuit. Pantas dia memalingkan muka.

“Mahu tinggal di sini?” tanya lelaki berjubah putih itu.

“Tentu sekali!” tanpa berlengah dia terus mengangguk.

“Baiklah. Pergi bersihkan diri kamu dulu agar segar semula.”

Lelaki berjubah putih mengarahkan bidadari memandikannya dengan air bunga yang wangi. Dia menerima layanan istimewa seperti bayi baru lahir. Tubuhnya terasa segar kembali. Dia seolah-olah memperolehi semangat baru untuk terus hidup.

“Macam mana keadaan saudara Arshad sekarang?” lelaki berjubah putih bertanya.

“Saya rasa seperti mati hidup semula.”

“Mari ikut saya.”

“Ke mana?”

“Mengitari seluruh sudut mahligai,” kata lelaki berjubah putih.

“Baiklah!”

Setiap sudut mahligai mereka kitari. Tiba di suatu sudut dia terpandang Salleh. Dia berhenti seketika. Bagaimana dia boleh berada di sini?

“Saudara Arshad kenal orang tu?” soal lelaki berjubah putih.

“Ya! Dia salah seorang kakitangan Syarikat Daya Maju.”

“Saudara tahu mengapa dia ditempatkan di situ?”

“Tidak!” gelengnya.

“Dia kuat beribadat dan sentiasa bertakwa pada Allah.” Lelaki berjubah putih memberi penjelasan.

Entah mengapa, kebisuan lalu melandanya. Yang nyata dia tidak pernah menunaikan sembahyang lima waktu. Dia mempunyai sifat cemburu dan iri hati. Malah sentiasa mencari jalan menjatuhkan orang lain. Lebih dahsyat lagi dia langsung tidak mengenal isi al-Quran dan hadis.

Perlahan-lahan dia tunduk menginsafi kekurangan diri.

Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosaku! Dia bermunajat memohon doa.

Tanpa disedari pipinya basah oleh air mata. Kekesalan benar-benar membalut hatinya. Akulah manusia paling kejam di dunia ini! Sanggup menzalimi orang lain demi kepentingan diri sendiri. Asyik mengejar dunia dan mengabaikan akhirat. Aku menipu, minum arak dan menggelapkan duit syarikat. Ya Allah! Akulah manusia paling hina, getus hati kecilnya.

Lelaki berjubah putih menepuk bahunya. Dia lalu mengangkat muka.

“Saya bertaubat …,” ucapnya lemah.

“Adakah Allah akan mengampunkan dosa-dosa saya?”

Lelaki berjubah putih tersenyum.

“Syukurlah! Pintu taubat sentiasa terbuka. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”

Air matanya terus mengalir umpama butiran hujan yang turun dari langit.

“Sudahlah! Apabila saudara balik nanti serulah akan kebaikan dan tinggalkan kejahatan.” Lelaki berjubah putih menghantar dia balik dengan sebuah bahtera khas.

Bahtera berlayar ke tengah lautan. Selepas melambaikan tangan, dia menoleh ke belakang. Lelaki berjubah putih sudah hilang entah ke mana!

Dan tiba-tiba dia tersedar dari mimpi!

(BACARIA, EDISI SABTU 27 JULAI 1996)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience