Entahlah! Dia sendiri tak pasti. Bilakah ia akan menjelma? Tuhan amat berkuasa dalam mengatur arah perjalanan hidup manusia.
Nyata sekali dia adalah seorang wanita yang lemah.
Seringkali memunajatkan doa dan berserah. Serta sentiasa berusaha untuk menguatkan diri. Dalam mengharungi liku-liku hidup ini.
Perjalanannya masih jauh lagi.
Di mana perhentiannya? Selagi kita masih bernafas kita akan terus menitinya. Ada ketikanya hidup ini terlalu rapuh. Ibarat ranting yang patah mudah jatuh bila ditiup angin.
Zaharah terasa seperti menapak titian-titian kerikil.
Memeritkan! Dia tetap cekal dan sabar mengharunginya. Itulah hakikatnya yang sebenar dalam meniti pentas hidup ini. Bumi tak putus-putus berputar di atas paksinya. Siang dan malam silih berganti. Tahun demi tahun dan bulan demi bulan. Langit yang tanpa bertiang menjulang tinggi dan lautan yang luas terbentang.
Dunia ini hanya persinggahan sementara sahaja. Akhirat jualah sebenar-benarnya tempat yang kekal lagi abadi. Manusia harus menghambakan diri pada Tuhan. Sentiasa menyeru akan kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.
Zaharah lantas menarik nafas yang panjang.
Namun tak siapa yang tahu. Meskipun bibirnya tersenyum tetapi hatinya menahan derita.
Namun dia tetap sedar.
Impian! Tak selalunya indah. Seperti debu-debu yang berterbangan ditiup angin lalu pergi. Harapannya musnah berderai. Umpama kaca yang terhempas ke batu. Kesabaran. Akar umbi dalam percintaan.
Khalid! Seorang lelaki yang pernah hadir dalam hidup Zaharah bersama cinta. Dia banyak membantu Zaharah dalam bidang perniagaan. Dari segi tunjuk ajar, nasihat malah kewangan.
Dengan tiba-tiba sahaja wajahnya terdampar di ruang mata.
Kacak dan tampan. Lebih daripada itu berada pula. Menjadi lelaki idaman setiap wanita di zaman yang serba materialistik ini.
“Zaharah, sampai hati kau mengecewakan perasaanku.” Suaranya penuh harapan.
Dengan rasa lemah, Zaharah mengangkat muka dan berkata:
“Maafkan aku, Khalid ….” Nada suaranya tak bermaya.
Wajah Khalid lantas disapa bungkam. Kerut jelas terbayang pada wajahnya. Namun dia tetap mengeluarkan suara:
“Zaharah ….”
“Aku tak sanggup hendak melukakan isteri kau,” Zaharah pantas mencelah.
Khalid merenung wajah Zaharah dengan amat tajam sekali.
Pengertiannya sungguh dalam. Bak lautan nan luas.
“Kau tahu bukan bahawa aku telah lama dibelit kerinduan untuk menimang seorang cahayamata.” Khalid menagih simpati daripada Zaharah. Diam. Zaharah menoleh ke kiri dan kanan. Alam sepi. Malam begitu pekat. Bulan dan bintang tetap bersinar indah di langit yang tinggi. Kedinginan terasa membalut seluruh tubuh. Angin malam bertiup lembut.
Fikiran mereka berputar ligat. Bagai kipas angin yang sedang berpusing mengeluarkan hawa dingin. Enggan berhenti. Walau sedetik pun.
Zaharah kini benar-benar terperangkap.
Antara harapan dan budi. Sama ada memenuhi kehendak Khalid atau menolaknya sahaja. Hakikat penyudahnya dia harus memilih satu jalan sahaja.
Dan Zaharah mempunyai pendirian yang tegas. Hatinya keras umpama batu yang pejal. Sukar untuk dicairkan. Dia bukannya manusia yang hidup seperti lalang yang mudah meliuk-liuk ke tengah dan ke tepi bila ditiup angin. Di mana segala keputusannya mudah dipengaruhi oleh orang lain.
Sementara itu, Khalid yang telah sekian lama memerhatikan gelagat Zaharah itu lalu mencelah:
“Kita boleh merahsiakan perkahwinan ini.” Dia terus mendesak. Suaranya tenggelam bersama kelembutan angin malam yang berhembus.
Khalid tetap tenang menanti jawapan itu. Suara angin malam tak putus-putus berbisik. Perlahan-lahan Zaharah mengangkat muka sedikit. Dia kemudiannya lantas bersuara:
“Maaf, aku tak dapat menunaikan permintaan kau itu. Ini adalah keputusan aku yang muktamad. Khalid aku harap kau akan mengerti,” ulangnya lagi.
“Zaharah!” Khalid mengeluh kerana berputus asa.
“Bersabarlah, Khalid. Mohonlah doa selalu pada Tuhan. Sambil terus berikhtiar. Dan moga suatu hari nanti segala yang kau dan isteri kau impikan akan termakbul.” Zaharah meyakinkan Khalid.
Dia sama sekali tidak rela dimadu dan dituduh sebagai perampas suami orang. Khalid sebaliknya enggan berbicara lagi walau sepatah perkataan pun. Diam membisu seribu bahasa. Ibarat bala tentera yang telah kecundang di medan perang. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Zaharah itu.
Malam berengsot pergi.
Dia lalu memejamkan matanya. Oh, Tuhan berilah aku kekuatan dalam menempuhi hidup ini! Doa hati kecilnya.
Tiba-tiba Zaharah teringatkan ayah dan ibunya yang kini sedang berada di kampung. Adakah ini yang dinamakan rindu kian memuncak? Apa khabar agaknya mereka berdua sekarang? Persoalan yang tak putus-putus menendang benaknya.
Adakah mereka masih ingat lagi padaku? Atau sebaliknya melupakan terus diriku? Sudah lama Zaharah tidak bertemu dengan kedua-dua orang tuanya. Bertahun-tahun. Tentu sudah banyak perubahan yang melanda diri mereka berdua. Rambut ayahnya sudah tentu banyak dipenuhi dengan uban yang memutih dan berbadan bongkok. Entahlah! Dia sendiri tak pasti.
Dan yang pasti, dia tidak mahu menjadi anak yang derhaka.
Lantas dia mengambil keputusan yang nekad. Walau apa pun yang terjadi dia akan tetap pulang juga. Menyembah dan mencium tangan kedua-dua ayah dan ibunya yang telah melahirkannya ke dunia untuk meminta ampun.
Sudah pasti ayahnya akan melemparkan pelbagai tohmahan ke atas dirinya namun Zaharah tetap akan menabahkan hati untuk menerimanya. Sedangkan kerak nasi boleh lembut oleh air. Ayah dan ibu mana yang tak sayangkan anak? Sedangkan binatang amat menyayangi anaknya. Inikan pula manusia. Zaharah akan berusaha memujuk Pak Leman dan Mak Ton agar tinggal di bandar. Sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membentuk dirinya menjadi manusia yang berguna.
Dia mengukir senyuman yang penuh berbunga di hatinya.
(PENTAS DUNIA, AHAD 9 OKTOBER 1994)
Share this novel