“Ada perkara mustahak ke Encik Johari nak bincangkan dengan saya?” tanya Encik Tan sebaik-baik sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi. Dia kelihatan segak memakai baju kemeja berwarna putih serta bertali leher warna biru tua.
“Ya! Tentang projek kondominium di Taman Melati.”
“Dah hampir sepuluh bulan projek tu tergendala,” jawab Encik Tan ikhlas.
“Selain daripada masalah kekurangan bekalan simen, apalagi masalah yang timbul?” dia pantas memotong.
“Gaji pekerja tidak dibayar.”
“Sampai begitu sekali? Itu zalim namanya. Salah di sisi undang-undang.” Dia terkejut apabila mendengar cerita daripada mulut Encik Tan.
“Hanya Datuk Nasir saja yang boleh menjawabnya,” kata Encik Tan pula.
“Dia sekarang senang-lenang di luar negeri. Dia tipu arwah datuk hidup-hidup,” Johari sebaliknya membalas.
“Jadi, apa tindakan Encik Johari sekarang?”
“Kita tak boleh patah semangat. Kita mesti settlekan projek ni. Awak siapkan laporannya secepat mungkin dan serahkan kepada saya.”
“Baiklah, Encik Johari!” jawab Encik Tan.
“Besok kita melawat ke tapak projek.”
“Itu saja, Encik Johari?”
“Ya. Awak boleh pergi sekarang,” ujar Johari lagi.
“Bila dah besar nanti Johari nak jadi apa?” arwah Datuk Karim mengusap-usap manja rambut anaknya.
“Nak jadi peguam.”
“Johari tak nak ikut jejak ayah jadi ahli perniagaan?”
“Tak!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa?”
“Johari nak membela orang yang tak bersalah.”
“Nampaknya Johari tak berminat untuk mewarisi perniagaan abang,” Datin Rokiah tiba-tiba mencelah.
“Dia masih kecil lagi, Kiah. Dia belum mengerti apa-apa. Mungkin satu hari nanti dia akan berubah fikiran.” Kata-kata arwah Datuk Karim itu akhirnya terkabul juga.
Johari kini telah pun mengambil alih perniagaannya. Kalau dia masih hidup tentu di akan berasa bangga. Perniagaannya tidak jatuh ke tangan orang lain. Diwarisi oleh Rosriatnya sendiri.
Johari melihat jam di tangannya. Tepat menunjukkan pukul 11:30 pagi. Dia bingkas bangun dan menuju ke jendela kaca. Dia melemparkan pandangan yang jauh ke arah bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Fikirannya ligat mencari ilham untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. Sedang dia asyik memerah otak, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pintu diketuk orang.
Dia berpaling ke arah pintu itu dan bersuara:
“Masuk!”
Roslkifli, juruaudit syarikat muncul sambil memegang sampul surat berwarna putih.
“Saya minta maaf kerana mengganggu Encik Johari,” katanya dengan penuh hormat.
“Oh, tak mengapa. Duduklah,” kata Johari.
Roslkifli lalu menyerahkan sampul surat itu kepada Johari.
“Apa ni?” ujar Johari menyambut sampul surat itu dan membukanya. Roslkifli sebaliknya tidak bersuara.
Johari membaca isi kandungan surat itu. Dia memandang wajah Roslkifli yang berkulit cerah itu.
“Adakah kerana kedudukan syarikat ini goyah maka awak mengambil keputusan untuk berhenti?”
“Tidak, Encik Johari. Saya sebenarnya sayangkan syarikat ini. Tapi demi masa depan, saya menyahut tawaran Syarikat Intan Holdings Sdn. Bhd.”
“Oh, begitu. Awak sudah fikir masak-masak?”
“Ya, Encik Johari.”
“Saya faham, Rosl. Itu hak awak. Saya tak boleh menahan awak pergi,” Johari menjawab.
“Terima kasih, Encik Johari.” Roslkifli bangun dan berjabat salam dengan Johari.
“Saya harap awak akan bekerja dengan penuh dedikasi,” pesan Johari.
Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 1:00 tengah hari.
Seperti yang dijanjikan Johari dan Rosnah bertemu di Restoran Seri Mawar.
“Aku rasa tempat ini tak sesuai bagi kau.” Rosnah memulakan perbualan sambil memandang ke seluruh restoran.
“Tak sesuai? Kenapa pulak?” soal Johari.
“Anak datuk macam kau ni selalunya makan di hotel,” kata Rosnah selamba.
Johari sebaliknya tersenyum mendengar kata-kata Rosnah itu. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip memandang Rosnah yang ayu bertudung dan memakai baju kurung.
“Kita manusia kan semuanya sama di sisi Tuhan. Jadi, soal di mana kita nak makan tak timbul.”
“Aku sekadar ingin menduga kau saja,” Rosnah membalas.
“Kau memang begitu. Sudahlah. Macam mana dengan perniagaan kedai jahit kau?”
“Macam air laut. Sekejap pasang sekejap surut.”
“Berniaga memang macam tu, Rosnah.”
Perbualan mereka terhenti seketika. Pelayan datang membawa makanan dan minuman yang mereka pesan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja.
“Silakan,” pelawa Johari sebaik-baik sahaja dia selesai membaca doa. Mereka menikmati hidangan tengah hari dengan penuh selera sekali.
“Macam mana pula dengan perniagaan kau?” Rosnah menyambung semula perbualan yang terputus tadi.
“Ibarat telur di hujung tanduk.”
“Kau harus tabah, Johari.” Dia memberi kata-kata semangat kepada temannya yang tua setahun daripadanya. Mereka menjalinkan hubungan persahabatan sejak dari bangku sekolah lagi.
“Aku runsing memikirkannya,” tingkah Johari sambil menyedut sisa-sisa air fresh orange.
“Dan kau juga merasa kecewa kerana cita-cita kau untuk menjadi seorang peguam tidak tercapai, bukan begitu?” Dengan tiba-tiba sahaja pertanyaan itu terkeluar daripada mulut Rosnah.
“Tidak, Ros. Bagi aku amanah yang ditinggalkan oleh arwah ayah aku mesti ditunaikan.”
“Aku kagum dengan semangat kau, Johari. Kau mesti buktikan. Walaupun kau berkelulusan dalam bidang Undang-undang tetapi kau juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.” Rosnah terus menyemarakkan lagi semangat Johari.
“Aku harap kau bukan hanya sekadar sumber inspirasiku. Kau doakanlah semoga aku berjaya meletakkan Syarikat Permata Holdings Sdn. Bhd. terus unggul serta menjadi contoh dalam dunia perniagaan orang Melayu.”
“Insya-Allah, Johari. Semoga Tuhan akan memberkati usaha kau. Kau perlu cekal dan tabah mengharungi apa jua halangan serta rintangan yang datang sebelum sampai ke puncak.
Kata-kata Rosnah itu seperti api semangat yang membakar dirinya. Di ruang matanya sudah terbayang wajah arwah ayah dan ibunya.
(MINGGUAN TEMPO, 12 – 22 MAC 1997)
Share this novel