SANG OMBAK DAN LAUT
Pagi. Cuaca baik. Sinar matahari di kaki langit indah. Ombak menggulung pantai. Buih-buih memutih. Bayu laut bertiup segar. Pohon-pohon cemara meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Setiap kali ombak memecah pantai, batu-batu kecil dan pasir akan basah oleh buih-buih memutih. Atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa maka lahirlah fenomena itu. Kita yang bernama manusia tidak punya kuasa untuk mencipta laut biru.
“Penyair memang pandai bermain kata-kata,” Adi bersuara dalam deruan alat penghawa dingin.
“Itulah dunia permainan mereka. Dengan berkarya mereka akan menemui kepuasan,” jawab Khairul yang berambut lurus sambil membetulkan duduk.
“Sumbangan penyair dalam kehidupan manusia amat besar,” celahku pula.
“Saya bersetuju dengan kata-kata saudara Azman itu. Penyair selalunya menginsafkan manusia melalui tema ketuhanan, kemanusiaan dan alam semula jadi,” tingkah Adi.
Perbualan kami terhenti. Pelayan Restoran Seri Mutiara datang membawa makanan dan minuman yang kami pesan.
“Silakan,” ujar pelayan yang bermuka bulat macam bujur sirih.
“Terima kasih,” balas Adi sambil menganggukkan kepala. Kemudian pelayan yang memakai baju berwarna merah jambu dan seluar putih itu pun pantas beredar meninggalkan kami. Sebelum makan kami menadah tangan membaca doa yang dipimpin oleh Adi.
“Silakan,” ucap Adi sebaik-baik sahaja doa selesai dibaca. Kami memilih makanan dan minuman yang sama. Nasi lemak dan air teh panas.
“Saudara Adi selalu datang ke Port Dickson?” soal Khairul sambil menyuap nasi lemak ke mulut.
“Jarang,” jawabnya pendek sambil menghirup air teh yang masih panas.
“Saudara Azman selalu menghadiri pertemuan penulis-penulis seluruh tanah air?” tanya Khairul bertubi-tubi kali.
“Selalu jugak. Bagi saya peluang sebegini rugi besar kalau dilepaskan. Kita boleh bertukar-tukar pendapat dan memperbaiki mutu penulisan,” kataku sambil menghabiskan saki baki nasi lemak.
“Betul kata saudara Azman tu. Penulis bukan sahaja perlu banyak membaca. Tetapi dia juga boleh mengasingkan diri kalau dia mahu membentuk pemikiran yang tajam,” sampuk Adi.
“Menarik,” kata Khairul sambil menghabiskan air teh. Melalui jendela kaca matahari kelihatan masih lagi bersinar indah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang restoran.
Lagu berirama sentimental yang berkumandang sungguh mengasyikkan jiwa. Sebuah lukisan yang menggambarkan pemandangan air terjun di pinggir kali kelihatan tergantung di dinding.
Pelanggan semakin ramai memenuhi restoran untuk bersarapan pagi.
Tidak jauh dari tempat kami duduk kelihatan sepasang remaja begitu mesra sekali. Wajah mereka nampak ceria. Saling mengukir senyuman manis. Mereka sedang dilamun cinta.
Cinta sememangnya indah. Cinta ibarat bunga-bunga yang mekar mewangi di taman. Cinta tidak mengenal usia. Tua dan muda pasti akan dilamar cinta. Setiap manusia yang hidup di atas bumi ini, tidak kira daripada kaum Adam atau Hawa pasti akan merasai cinta.
Ketika bercinta tiada dikenali erti duka. Warna-warna indah terasa menyinari hidup ini, menaburkan berbagai-bagai janji manis. Sehati sejiwa. Rela sehidup semati.
Entah bermacam-macam lagi janji manis yang ditaburkan. Dengan harapan semoga hidup bahagia hingga ke anak cucu.
Tetapi bila cinta terluka pedihnya sukar untuk dipadamkan. Tidak hairanlah ada kaum Adam dan Hawa yang serik untuk bercinta lagi. Kesimpulannya cinta mengajar manusia erti keindahan dan keperitan.
“Sejak bila saudara Azman menceburi bidang penulisan?” tanya Adi memancung lamunanku yang jauh.
“Sejak dari bangku sekolah lagi.”
“Cerpen?” Adi bertanya sambil kedua-dua biji matanya tepat memandangku.
“Cerpen saya yang pertama bertajuk “Operasi Bukit Merah” telah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia. Ia mengisahkan keperwiraan askar Melayu menentang pengganas komunis. Dan cerpen ini juga telah berjaya meraih Hadiah Utama dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank pada tahun 1991.”
“Apakah saudara Azman menulis kerana wang?” Khairul menyoalku sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip memandang.
“Tidak. Saya mahu pembaca sama-sama menghayati apa yang saya luahkan. Supaya yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.”
“Hebat saudara Azman,” ujar Adi selamba mengujiku.
“Saya cuma seorang insan biasa, yang diciptakan oleh Tuhan di atas muka bumi yang bulat ini. Tiada apa yang istimewa dalam diri saya.” Aku sebaliknya merendah diri.
“Saya pun begitu jugak. Tiada gunanya kita meninggi diri. Mendongak ke langit tanpa memandang ke bawah. Manusia tidak kira kaya atau miskin semuanya sama di sisi Tuhan. Cuma yang membezakannya ialah takwa dan iman,” celah Khairul pula.
“Ke mana kita?” soal Khairul sebaik-baik sahaja kami keluar dari Restoran Seri Mutiara.
“Kita ke sana.” Dengan penuh hormat Adi menudingkan ibu jarinya ke arah kerusi yang terletak di bawah pohon cemara yang rendang.
Kami pun berjalan menuju ke arah kerusi yang tertulis MAJLIS DAERAH PORT DICKSON. Adi duduk di sebelah kanan, aku di tengah manakala Khairul di kiri.
Daun-daun cemara yang bergeseran mengeluarkan irama yang merdu. Mendayu-dayu. Ini menjadikan suasana pagi ini bertambah ceria.
Jam di tangan tepat menunjukkan pukul 9:30 pagi. Orang ramai sudah mula memenuhi pantai Port Dickson. Maklumlah hari Ahad. Nun di sana kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain ombak.
“Bila masanya saudara Azman menulis?” Suara Khairul tenggelam bersama deruan ombak yang menggulung pantai.
“Bila ada waktu lapang.”
“Malam atau siang?” soalnya lagi.
“Malam,” aku menjawab ringkas.
“Jadi, kesunyian memberikan saudara Azman ilham untuk berkarya?” Adi yang selama ini berdiam diri tiba-tiba mencelah.
“Tepat sekali.”
“Saudara Azman ada menghasilkan novel?” tanya Adi yang berambut lurus serta berkulit cerah.
“Belum lagi. Menghasilkan novel bukanlah seperti merebus telur. Ia menuntut daya kreativiti yang tinggi dan bermutu,” jelasku.
“Jadi, saudara Azman tidak mahu menghasilkan novel kerana ia adalah satu kerja yang rumit. Bukan begitu?” sanggah Khairul tiba-tiba seperti mahu mengujiku.
“Penulis seperti laut biru juga. Adakalanya ilham pasang dan adakalanya surut. Insya-Allah, kalau diizinkan Tuhan saya akan menghasilkan novel remaja.”
“Adakah tema cinta yang menjadi pilihan?” Adi menyoal pantas.
“Benar. Cinta pada agama, bangsa dan negara.”
“Nampaknya saudara Azman mempunyai semangat patriotik yang tinggi,” kata Khairul sambil menjeling ke arah Adi.
“Siapa lagi yang harus mempertahankan tanah air ini kalau bukan kita sebagai anak watan. Perjuangan yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain mesti diteruskan.”
“Kita dah pun dengar dunia penulisan saudara Azman. Bagaimana pulak dengan saudara Khairul?” Kedua-dua biji mata Adi tepat memandang wajah Khairul.
“Saya lebih banyak menulis puisi yang bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan.”
“Adakah saudara Khairul membuat kajian sebelum menulis?” aku bertanya dengan penuh minat.
“Ya. Bagi saya hubungan antara manusia dengan Tuhan sangat erat. Tuhan adalah pencipta. Manusia adalah hamba.”
“Apakah bentuk yang saudara Khairul gunakan?”
“Saya menggunakan bentuk kesedaran. Tuhan yang menciptakan manusia dan bumi yang bulat ini lebih berkuasa. Manusia adalah kerdil di sisi-Nya. Apabila kita sujud dalam sembahyang.”
Aku tertarik sekali dengan kata-kata Khairul itu. Tuhan menciptakan manusia di atas muka bumi yang bulat ini hanya sebagai pinjaman.
(MINGGUAN TEMPO, 21 – 27 SEPTEMBER 1997)
Share this novel