Chapter 7

Romance Completed 5604

TETAP SEORANG HAMBA (7)

SEPERTI biasa, setelah solat akan ada sedikit tazkirah. Namun, kali ini aku ingin membuat sedikit kelainan. Bukan aku yang memberi tazkirah, tetapi seorang pekerja yang aku pilih secara rawak.

"Bismillahirrahmanirrahiim... Assalamu'alaikum... InshaaAllah, hari ini saya akan memilih salah seorang jemaah untuk memberikan sedikit tazkirah. Saya pilih Pak Hamid. Silakan, Pak Hamid..." aku memilih pekerja paling senior di syarikat ini.

Pak Hamid tampak sedikit gusar saat mengambil tempat di sebelahku. Aku menepuk bahunya dan memberikan senyuman sebagai sokongan dan semangat. Dia membalas senyumanku. Nampak sedikit yakin.

"Bismillahirrahmanirrahiim... Saya rasa tak layak sangat untuk bercakap di sini. Tapi, atas permintaan Tuan Fir, saya cuba tunaikan." Pak Hamid berhenti seketika. Mengambil nafas.

"Pertama sekali, apa yang saya nak sampaikan ini, bukan untuk membuka aib atau menjatuhkan maruah diri. Cuma, harapnya dapat memberi sedikit keinsafan di hati semua yang mendengar. Lebih-lebih lagi buat yang bergelar bapa. Dan juga yang bernama anak." Jeda lagi. Semua yang ada menanti sambungan bicara.

"Jujur dari hati saya yang paling dalam, semalam adalah pertama kali saya tunaikan solat sunat dhuha. Pertama kali dalam hidup saya. Walaupun saya pernah belajar tentang solat dhuha, tetapi saya dah lama lupa. Benarlah kata hikmah, 'Ilmu tanpa amal bagai pohon tidak berbuah.' Namun, bukan itu yang ingin saya perkatakan. Tapi, arah perbicaraan ini adalah tentang apa yang saya kecapi semalam yang saya rasakan, sangat luar biasa. Setelah menunaikan solat sunat dhuha semalam, saya dapat satu perasaan yang sangat-sangat menenangkan. Satu keajaiban juga baru berlaku semalam." Bicara Pak Hamid menggamit rasa ingin tahu di hati aku dan semua yang hadir mendengar.

"Saya ada dua orang anak. Kedua-duanya lelaki. Dari kecil, saya selalu pentingkan harta dan kesenangan buat mereka. Tak pernah saya ajar mereka mengaji bahkan saya sendiri tak tahu mengaji. Tapi, apa yang Allah tunjukkan semalam, benar-benar membuat saya terpukul. Malu di hadapan Allah. Anak saya kedua-duanya telah berjaya. Kerja hebat, gaji besar. Jarang balik. Saya faham, mereka sibuk. Tapi, ayah mana tak rindukan anak? Ada juga beberapa kali saya menyuruh mereka pulang. Tapi, alasan tetap sama. Sibuk." Pak Hamid mulai sebak. Aku juga merasa sebak. Teringat ibu dan ayah du rumah.

"Alhamdulillah... Bila Tuan Fir ajak solat dhuha dan kata solat ni pembuka pintu rezeki, saya doa sungguh-sungguh semalam, nak jumpa anak saya. Rindu pada mereka. Dan, tak saya sangka, saya hamba yang penuh dosa ini, Allah kabulkan doa secepatnya. Malam tadi... malam tadi anak saya kedua-duanya pulang. Terus sujud di kaki saya mohon maaf abaikan saya. Masa tu juga, saya sujud syukur. Kembali menguatkan pengharapan hanya pada Allah. Anak saya ambil keputusan tinggal bersama saya. Subhanallah. Saya ajak mereka belajar mengaji dan solat, terus mereka setuju. Terus dicari ustaz yang boleh membantu. MashaaAllah. Alhamdulillah... Alhamdulillah..." Pak Hamid menangis.

Pak Hamid sujud syukur disaksikan semua yang hadir. Aku turut menangis. Selesai melaksanakan sujud syukur, Pak Hamid menggenggam tanganku. Dengan pandangan sayu dan genggaman yang kuat. Aku hairan.

"Kenapa ni, Pak Hamid..." tanyaku lembut.

"Tuan, terima kasih buat Tuan yang telah menyedarkan saya. Terima kasih sangat. Kalau tak sebab Tuan, pasti hari ini saya tak segembira ini." Ucapnya dengan suara yang lirih.

"Ya Allah... Pak Hamid, yang buka hati Pak Hamid itu, Allah. Yang buka hati anak-anak Pak Hamid juga, Allah. Saya ni cuma hamba yang memberi peringatan. Hidup kita ni, saling ingat-mengingati." Ucapku. Malu. Aku cuma hamba yang juga tak lepas dari melakukan dosa.

"Alhamdulillah. Tazkirah yang penuh ibrah dari Pak Hamid. Moga hati-hati kita akan kembali kuat. Yakin kepada Allah. Allah lah sebaik-baik tempat bergantung harap. Siapa pun kamu, jangan pernah berhenti mengharap pada Allah. Sampai di sini sahaja. InshaaAlah, kita jumpa pada waktu zohor nanti." Aku menyudahkan sesi tazkirah dan kami bersalaman seperti biasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience