Chapter 14

Romance Completed 5604

TETAP SEORANG HAMBA (14)

"MANA abang Fahmi?" Tanya adikku, Farid. Ayah aku dan abah Kak Mira turut memandangku menanti jawapan.

"Kat luar. Biarlah dia. Bagi ruang dia redakan marah dia. Fir yakin, Allah akan berikan yang terbaik. Semua yang akan kita dengar nanti, inshaaAllah, itulah keputusan terbaik. Jadi, segala kemungkinan, kita perlu bersedia dan berlapang dada." Dalam berbicara, ada getar di hati. Jujur, aku sendiri tertanya-tanya apa jawapannya nanti.

Tiba-tiba, abang Fahmi masuk ke dalam rumah dengan menundukkan kepala. Ketegangan di wajahnya sudah hilang. Debaran di dada semakin kuat. Detak jantung semakin laju. Eh, macam aku yang nak kahwin. Tapi, memang itulah kenyataannya. Cuma, aku yakin dan pasti, debaran yang dirasai Kak Mira lebih hebat dariku. Abang Fahmi mengangkat kepalanya memandang kembali kami yang dari seminit lepas memandangnya tanpa berkelip dan dia... tersenyum? Adakah ini petanda baik?

Abang Fahmi mengambil tempat duduk bersebelahan denganku. Betul-betul tempatnya bertentangan dengan abah Kak Mira. Abang Fahmi mengeluarkan telefon dan membuka aplikasi whatsapp. Aku cuba mengintai. Cepat-cepat dia menjauhkan. Seketika kemudian, ibu, Kak Mira, kakak aku dan adikku bangun. Eh, nak ke mana? Aku memerhati. Adikku baru menyimpan telefon. Oh, pasti permintaan abang Fahmi. Apalah yang nak dirahsiakan.

"Pak cik, saya mintak maaf sebab terlalu beremosi tadi. Saya mintak maaf juga, semua ini terpaksa dibatalkan..." ayat yang keluar dari bibir abang Fahmi sungguh memeranjatkan. Abah Kak Mira terus tersandar di sofa. Kecewa.

"Tapi, jangan bimbang. Saya terima Mira..." kali ini, ayatnya mengundang tanda-tanya. Apa yang dimaksudkan di balik semua ini?

"Macam ni maksud saya ....", abang Fahmi menjelaskan satu persatu. Akhirnya, abah Kak Mira setuju dan faham.

Abah Kak Mira bingkas bangun dan pergi ke bilik Kak Mira. Ibu, kakak dan adik aku keluar dari bilik. Ibu mencubit lengan abang Fahmi yang sedang tersengih-sengih. Faham dengan kenakalan anak sulungnya itu.

Tak lama kemudian, Kak Mira keluar bersama abahnya. Wajahnya kelihatan sugul. Abang Fahmi membuat wajah serius. Tegang juga. Pandai berlakon. Kak Mira memandang abang Fahmi. Tampak sayu pandangannya. Perlahan-lahan, air jernih mengalir dari tubir matanya. Aku tahu, abang Fahmi sedang menahan tawa memandangkan dia berdehem beberapa kali.

"Saya faham kenapa awak tolak saya. Moga awak berjumpa dengan wanita yang lebih baik dan layak untuk awak." Lirih suara Kak Mira. Diselangi sendu tak tertahan.

"Bila masa saya kata saya tolak? Saya cuma kata, saya batalkan semua ni." Abang Fahmi bersuara mendatar.

"Bukan batal maksudnya semua ni tak jadi ke?" Tanya Kak Mira masih dalam tangisan.

"Ini je batal, tapi saya terima awak..." balas abang Fahmi dengan senyuman. Sengaja membelitkan fakta.

"Mira tak faham..." katanya penuh tanda tanya.

"Macam ni. Awak kenal saya kan? Kenal kan yang saya ni punya daya ingatan yang boleh kata agak kuat? Faham dah?" Kerutan di dahi Kak Mira mula hilang.

Kak Mira memandang abang Fahmi dengan pandangan tidak percaya. Abahnya mengangguk. Semua menyaksikan, di situ juga Kak Mira melakukan sujud syukur. Abang Fahmi memang jenis yang kuat ingatannya. Jadi, majlis risikan ini kalau diteruskan hanya akan mengundang kesedihan kerana kenyataan yang baru diterimanya tentang Kak Mira tadi. Jadi, membatalkan dan mengulang semula di hari lain adalah lebih efektif mengikut prinsipnya.

"Kalau nak tahulah kan.... Kalau tak kerana nasihat Fir, saya dah batalkan semua sekali. Dalam erti kata lain, takkan berlaku semua ni. Tapi, bila dia nasihat, saya pun fikir-fikir balik... dan akhirnya, inilah ilham yang Allah beri. Terima awak dan kenakan awak sikit. Buat awak nangis sikit. Sorry. Happy birthday!" Ucap abang Fahmi. Kak Mira nampak tersenyum. Memang masa kami berbincang tadi abang Fahmi sudah beritahu yang dia baru teringat hari ini adalah birthday Kak Mira.

"Fir ni, yang nasihat kamu? Eh, dia pun dah boleh kahwin la kalau gitu..." bicara abah Kak Mira yang tiba-tiba membuatkan aku tersedak. Tawa bergema.

"Saya rasa betullah Pak Cik... Tapi, saya tak jumpa calon pulak." Aku membalas selorohnya. Tawa semakin kuat

"Saya ni ada impian sebelum nak kahwin. Selagi tak tercapai, tak kahwinlah saya..." aku bicara lagi. Senyum dan minum.

Tanpa sempat sesiapa menyoal tentang impianku, dan azan maghrib pun berkumandang. Wah, baru sedar. Lama juga urusan ni. Sungguhlah, kita merancang, Allah juga merancang dan sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah serta ketentuan-Nya. Moga sinar kebahagiaan terus memancar dalam kehidupan abang Fahmi dan Kak Mira nantinya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience