Chapter 17

Romance Completed 5604

TETAP SEORANG HAMBA (17)

USAI menunaikan solat sunat dhuha, aku mengambil mushaf al-Quran di rak. Farid hanya memandang. Tapi, pandangannya bukan pandangan biasa. Pandangan sayu penuh haru. Entah mengapa, tak dapat aku meneka.

Aku memulakan pembacaan pada surah al-Furqan. Lenggok cara bacaan para masyaikh aku tiru. Ada cara Syeikh Sudais, ada kala aku meniru cara Syeikh Saad al-Ghamidi, dan bermacam-macam cara yang aku pernah dengar dan sukakannya. Jujurnya, aku belajar tarannum dengan youtube sahaja. Tetapi, kuasa Allah yang mempertemukan aku dengan seorang sahabat yang sudi membantuku dan mengajarkanku tarannum. Sungguh, aku bersyukur. Tiba-tiba hatiku digamit rasa rindu terhadap sahabat yang banyak berjasa padaku itu. Sudah agak lama kami tak bertemu.

Sehabis membaca surah al-Furqan, aku menutup mushaf dan menciumnya. Tatkala itu, entah mengapa hatiku terasa sebak. Air mata perlahan-lahan jatuh ke pipi dan akhirnya berubah menjadi satu esakan. Seketika kemudian, aku cuba menenangkan diri. Setelah reda dari tangisan, aku bangkit dan meletakkan kembali mushaf itu ke rak.

Saat aku berpaling ingin melipat sejadah, sesuatu yang luar biasa dan luar dugaan, satu fenomena menyapa mata mengganti kesedihan di hati. Ada Farha di situ. Ada Abang Fahmi di sebelahnya. Ada Kak Farisah di belakang bersama ibu ayah. Duduk dengan wajah yang sukar dimengertikan.

"Abang Fir....," aku terdengar lirih suara Farha. Aku memandang dia. Menanti sambungan luahan katanya.

"Ajar kami baca al-Quran...." dan empangan kesedihan aku pecah. Deras air mata mengalir.

Aku terus bangun menghadap kiblat dan melakukan sujud syukur. Sungguhlah, Allah benar-benar Maha Mendengar. Sekelip mata, Dia mengetuk pintu hati keluargaku dengan ketukan lembut hidayah. Subhanallah! Subhanallah! Mercup tasbih di bibir dan hati.

"InshaaAllah, boleh....," ujarku dengan senyuman setelah selesai melakukan sujud syukur.

"Lagi satu...." ibu bersuara namun menggantung ayatnya.

"Ya, ibu? Apa yang ingin ibu perkatakan?" Soalku agak tidak sabar.

"Ajar ibu solat. Dah lama ibu tak solat. Selama ni, ibu tertanya-tanya apa yang buat Fir setenang ini. Dan hari ini, Allah tunjukkan jawapannya, solat dan al-Quran..." suara ibu kendur. Tidak bersemangat seperti selalu.

"InshaaAllah, nanti Fir akan ajar semua satu persatu. Dari ABC sampai Z." Aku mengucap janji.

"ABC buat apa... Semua dah pandai...." seloroh abang Fahmi disambut tawa kami sekeluarga.

Ruang solat ini menjadi saksi titik pemula. Sinar cahaya agama sudah mulai terbuka walau sedikit cuma. Akulah yang harus menjadikannya terus bersinar hingga cahaya iman dari tiap-tiap hati yang berada di ruang solat ini bersatu membentuk satu kekuatan.

"Okey... Dah... Sekarang ni...." sengaja aku menimbulkan tanda tanya di benak mereka. Semua mata tertumpu buatku.

"Sekarang ni jomlah kita pi sarapan dulu. Perutku sudah menyanyi...." mendengar bicaraku, mereka tertawa lagi. Aku bangkit melipat sejadah. Dalam hati tak henti memuji Allah. Segalanya dengan kuasa Allah.

Alhamdulillah!
Alhamdulillah!
Allahuakbar!

Moga Allah memberkati dan terus melimpahkan cahaya dan hidayah buat seluruh umat muslimin dan muslimat di dunia ini. Allahumma Aamiin...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience