BAB 16

Romance Completed 6832

“Kau nak mana satu sebenarnya ni?” Soalan Ray menimbulkan kerutan di dahi Zariff.

“Maksud kau?” Zariff menyoal semula.

“Kau nak Ika lupakan Hakimi atau cintakan kau?” Soal Ray masih dengan nada mendatar. Zariff diam membatu namun matanya masih tidak lepas memandang wajah serius rakannya itu.

“Kau tamak, Zariff. Kau sepatutnya tahu betapa Ika cintakan arwah Hakimi.” Ray menyandarkan tubuhnya di kerusi restoran itu. Dia menghela nafas dalam-dalam.

“Masa kau kahwin dengan dia kau dah tahu semua tu. Tak adil bagi Ika kalau kau suruh dia lupakan arwah Hakimi. Arwah Hakimi tu suami dia juga. Ni baru dua bulan, Riff. Kalau setahun lebih kau boleh tunggu dia, takkan kau tak boleh terus bersabar. Aku yakin suatu hari nanti Ika akan cintakan kau tapi kau tak boleh terus bandingkan diri kau dengan arwah Hakimi. Cinta dia pada arwah, kau tiada hak untuk masuk campur.” Terang Ray panjang lebar. Melihatkan Zariff yang masih diam, Ray menyambung.

“Jangan seksa hati kau atas sebab yang tak sepatutnya.” Nasihatnya lagi.

Lama Zariff terdiam memikirkan kata-kata Ray. Dia tersenyum hambar.

“Betul cakap kau. Tapi aku tak boleh kawal hati aku. Aku cemburu. Aku rasa aku kalah pada yang dah tiada.” Luah Zariff.

“Riff…” Ray bangun lalu menarik kerusi di sebelah Zariff. Dia menepuk lembut bahu rakannya itu.

“Hakimi masa silam Ika. Cemburu macam mana pun kau tak boleh nak padam memori dia. Macam yang aku cakap tadi, tak adil buat dia. Tapi masa kini dan hadapan Ika adalah bersama kau.” Zariff merenung wajah Ray di sebelahnya sebelum mengangguk perlahan mengakui kebenaran kata-kata Ray.

“Ika… Kenapa menangis ni?” Soal Zalila dari hujung talian. Tujuannya menelefon untuk bertanya khabar alih-alih esakan anaknya yang menyambut salamnya. Ika masih dengan sendunya. Zalila menghela nafas.

“Ni tentang Zariff, ya?” Zalila tahu pergolakan rumah tangga anaknya. Dia pernah bertanya dengan Zariff.

“I… Ika cin… cintakan Kimi. Ika tak bo… boleh lupakan Kimi.” Adu ika. Suaranya tersekat-sekat menahan sebak.

Zalila mengeluh.

“Dah tu? Ika nak suruh Zariff ceraikan Ika?” Soalan Zalila berjaya menghentikan esakan Ika. Terasa mahu pecah pembuluh darahnya mendengar kata-kata ibunya. Cerai? Pantas Ika menggeleng laju walaupun dia tahu ibunya tidak dapat melihat.

“Ika?” Panggil Zalila lagi apabila tiada jawapan dari anaknya itu.

“Tak…” Jawab Ika perlahan. Sejujurnya, dia tidak mahu kehilangan Zariff. Zariff terlalu baik dengannya. Lelaki itu telah banyak bersabar dengannya. Kata-kata cinta tidak pernah lekang dari bibir merah lelaki itu. Tapi dia takut. Takut untuk menyintai Zariff. Kehilangan Hakimi sudah merobek separuh nyawanya. Bagaimana jika saat dia menyintai Zariff, lelaki itu turut meninggalkan dirinya.

“Ika… Kalau dulu Ika kahwin tanpa rasa cinta dengan Hakimi akhirnya ika tetap menyintai dia. Kenapa tidak dengan Zariff?” Soal ibunya lagi.

“Ika takut… Kalau dia tinggalkan Ika macam Hakimi, macam mana Ika nak teruskan hidup…” Ika meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Abang takkan tinggalkan ika.” Suara Zariff mengejutkan Ika. Ika berpaling. Entah bila Zariff muncul di muka pintu rumah. Lelaki itu melangkah mendekatinya. Pipi lelaki itu turut basah dengan air mata.

Ika dapat mendengar talian diputuskan ibunya. Mungkin ibunya juga mendengar suara Zariff makanya Zalila memberi ruang kepada pasangan itu untuk berbicara dari hati ke hati. Ika meletakkan telefon bimbitnya di atas sofa. Dia turut berdiri saat Zariff benar-benar di hadapannya.

Zariff memegang tengkuk Ika dengan kedua-dua belah tangannya. Wajahnya dirapatkan dengan wajah Ika sehingga dahi mereka bersentuhan. Zariff memejamkan matanya. Ika juga.

“Abang cintakan Ika. Seandainya abang pergi atas jemputan Allah, cinta abang akan tetap bersama sayang. Jangan takut menyintai abang hanya kerana itu.” Sayu suara Zariff.

Ika meleraikan pegangan Zariff di tengkuknya. Tubuh sasa itu dipeluknya.

“Maafkan Ika, bang.”

Zariff membalas pelukan isterinya.

“Abang pun minta maaf. Abang janji abang takkan suruh Ika lupakan Hakimi. Itu hak Ika.” Zariff meleraikan pelukan. Bahu isterinya dipegang kejap. Anak mata bundar itu dia renung sedalamnya seperti cuba menyelami apa yang ada di sebalik mata itu.

“Abang harap sangat Ika beri sedikit ruang untuk abang meletakkan kasih abang pada Ika. Sedikit sahaja ruang dalam hati itu. Sampai bila abang perlu bawa cinta ini sendiri.” Rayu Zariff. Ika mengangguk laju.

“Hati Ika buat abang. Cinta yang abang bawa untuk Ika, dah sampai masanya Ika terima. Ika kan destinasi cinta abang.” Ika tersenyum manis. Zariff yang pada awalnya terpana turut membalas senyuman. Hatinya memanjatkan sejuta kesyukuran.

“Ika cintakan abang.” Bisik Ika di telinga Zariff. Ya, dia cintakan tiga lelaki. Hakimi, Zariff dan Haikal. Nama-nama itulah yang akan menemani setiap helaan nafasnya.

Zariff terus memeluk tubuh langsing isterinya. Seketika kemudian Ika dan Zariff merasakan sesuatu menempel di kaki mereka. Mereka meleraikan pelukan. Serta-merta senyuman di wajah mereka melebar.

“Haikal, anak papa.” Zariff menggendong Haikal yang menghulurkan tangan. Tubuh itu dijulang berkali-kali hingga mengekek anak itu tertawa.

“Mama sayang papa.” Ujar Zariff ceria. Pipi gebu Haikal dicium berkali-kali. Ika tertawa melihat gelagat dua cinta hatinya itu. Zariff memeluk bahu Ika. Ubun-ubun Ika dicium lama.

“Sayang isteri abang.”

Ika kelu. ‘Isteri Kimi.’ Suara itu datang lagi. Akhirnya Ika tersenyum bahagia. Pinggang Zariff di peluk erat dan dia mengangguk perlahan. ‘Sayang suami-suami Ika.’ Hatinya berbisik. Masa hadapan akan ditambah lagi dengan memori bahagia. Memori bersama Hakimi tetap tidak akan pudar kerana cinta kedua-dua suaminya pasti dia bawa bersama hingga hujung nyawanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience